SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Oktober 2008

KERAJAAN TIDAK TAMATKAN PERKHIDMATAN KAKITANGAN KONTRAK

Petikan dari Utusan Malaysia
28/10/2008

SEGAMAT 25 Okt. - Kerajaan tidak bercadang untuk menamatkan perkhidmatan kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak menjelang akhir tahun ini seperti didakwa oleh Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), kelmarin.
Sehubungan itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam menyifatkan kenyataan Presiden CUEPACS, Omar Osman bahawa 50,000 kakitangan awam kontrak akan ditamatkan perkhidmatan, sebagai tidak tepat.
"Perkara ini telah dibincangkan dalam Kabinet dan kementerian telah menjelaskan bahawa kenyataan itu adalah tidak tepat.
"Kerajaan sebaliknya tidak mempunyai rancangan untuk menamatkan kontrak kakitangan awam yang berkhidmat buat masa sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pendermaan mesin dan geran hemodialisis yang keseluruhannya bernilai hampir RM500,000 di sebuah hotel di sini, semalam.
Kelmarin, Omar dipetik sebagai berkata, kira-kira 50,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak mungkin ditamatkan perkhidmatan mereka menjelang akhir tahun ini berikutan kekangan kewangan kerajaan.
Menurut Subramaniam, kerajaan pada masa yang sama akan memastikan tiada pemberhentian perkhidmatan di semua agensi kerajaan dan swasta di negara ini.
"Negara kita masih boleh bertahan (menghadapi kekangan kewangan) dan ketika ini masih tiada tanda akan berlaku penamatan kontrak kakitangan awam dan swasta seperti di negara-negara lain.
"Kita akan berbincang dengan mana-mana syarikat yang mempunyai masalah sehingga mungkin menamatkan perkhidmatan antaranya Penerbangan Malaysia (MAS) dan Panasonic supaya tidak berlaku sebarang penamatan kontrak," katanya.

Tiada ulasan: