SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

25 Oktober 2008

PELUANG 43,000 PILIH PENCEN

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

SEREMBAN 25 Okt. - Seramai 43,000 kakitangan kerajaan yang mengambil opsyen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkemungkinan diberi peluang sekali lagi untuk membuat pilihan menyertai skim pencen.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan supaya kakitangan terbabit mendapat kembali nikmat dalam opsyen pencen.
''CUEPACS menyedari nasib 43,000 kakitangan kerajaan yang memilih opsyen KWSP yang tidak mendapat tiga perkara berbanding mereka yang memilih opsyen pencen.
''Tiga perkara itu ialah tiada kad persaraan, tiada kemudahan perubatan selepas bersara dan tiada gratuiti. Mereka kini berhadapan kebimbangan," kata beliau kepada pemberita di sini malam tadi.
Omar ditemui pada Majlis Makan Malam CUEPACS Kebangsaan 2008 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, CUEPACS amat berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan kerana terdapat jurang perbezaan antara pemegang opsyen pencen dan KWSP, lebih-lebih lagi dalam konteks selepas persaraan.
Pada tahun 1992 jelasnya, melalui Sistem Saraan Baru (SSB), kakitangan kerajaan diberi opsyen untuk memilih skim KWSP atau pencen.
''Pada tahun 2002 melalui Sistem Saraan Malaysia (SSM), opsyen itu terus kekal hingga sekarang. Saya percaya sewaktu mereka membuat opsyen dahulu, majikan tidak memberikan penjelasan yang tepat mengenai jumlah wang yang bakal diterima melalui KWSP dalam satu jumlah besar.
''Bagi saya nilai RM200,000 atau RM300,000 dahulu adalah besar. Tetapi hari ini, nilai tersebut kecil dan tidak cukup untuk menyara kehidupan mereka selepas bersara," kata beliau.
Omar berkata, CUEPACS akan merayu dan berharap keputusan mengenai perkara itu diputuskan selewat-lewatnya hujung tahun ini supaya nasib 43,000 kakitangan kerajaan mendapat pembelaan semula.
''Berilah mereka peluang sekali sahaja lagi untuk memilih opsyen pencen.
''Saya optimis dan yakin kerajaan cukup prihatin dengan kakitangan kerajaan termasuklah kenaikan pencen persaraan, menambah usia persaraan daripada 55 tahun kepada 58 dan kini 60 tahun," ujar beliau.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Thanks CUEPACS. Saya adalah antara 43000 orang kakitangan awam yang telah memilih skim KWSP dan sekarang akan menikmati skim pencen. Billion Thanks.