SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Januari 2010

PENJAWAT AWAM PERLU PROFESIONAL

Utusan Malaysia
14/1/2010

SEMUA penjawat awam atau kakitangan kerajaan harus akur dan patuh kepada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya berkhidmat secara penuh profesional tanpa didorong kecenderungan politik.
Selanjutnya, Najib dalam ucapannya semasa majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang turut dihadiri Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri baru-baru ini menyatakan penjawat awam mesti berpegang teguh dan kukuh kepada prinsip profesional secara total tanpa mengambil kira apa-apa pun pandangan peribadi.
Seseorang yang dilantik menganggotai mana-mana sektor dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada dasar, peraturan, pekeliling perkhidmatan, perintah am dan lain-lain peraturan yang telah ditetapkan dan diguna pakai semasa menjalankan tugas. Ia juga meliputi semua tindakan pelantikan, penanggungan kerja, naik pangkat, tatatertib dan pengurusan prestasi penjawat awam.
Kenyataan dan saranan Perdana Menteri itu mengingatkan penjawat awam yang alpa tentang perlunya mereka bersikap profesional dalam menjalankan tugas.
Penjawat awam perlu meletakkan ke tepi perbezaan fahaman politik dan kepentingan peribadi. Pelaksanaan dasar yang dibuat oleh kerajaan hanya akan tercapai kepada matlamat yang ditetapkan sekiranya semua penjawat awam bersikap profesional, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan di dalam setiap Pelan Rancangan Malaysia hanya berjaya dicapai sekiranya semua pihak mendokong penuh dasar tersebut.
Tindakan segelintir penjawat awam yang ponteng kerja tanpa sebarang alasan bukan sahaja merugikan, malah menjatuhkan imej perkhidmatan awam.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia di Port Dickson pada April tahun lalu menyatakan sebanyak lima peratus kakitangan awam terlibat dengan gejala ponteng kerja. Walaupun peratusan itu dianggap kecil, namun sekiranya tiada tindakan tegas diambil, dikhuatiri ia akan memberi impak yang besar kepada jabatan tempat mereka bertugas.
Apa pula nanti persepsi orang ramai terhadap jabatan berkenaan. Sesungguhnya seseorang penjawat awam itu membawa bersamanya imej jabatan tempat mereka bekerja.
Penjawat awam yang bertugas sebagai pendidik sama ada di sektor pendidikan dan pengajian tinggi wajar menumpukan secara total kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan mengikut silibus yang telah ditetapkan tanpa memasukkan elemen-elemen yang tidak relevan dalam pengajaran mereka.
Ini penting kerana generasi muda hari ini merupakan bakal pemimpin masa hadapan. Tindakan segelintir tenaga pengajar yang mengambil kesempatan menanamkan fahaman politik sempit, 'anti-establishment', memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin tertentu dan dasar-dasar kerajaan amat mendukacitakan. Kanak-kanak dan golongan pelajar umpama kain yang putih, sekiranya warna yang diterapkan itu gelap, maka lama kelamaan pemikiran mereka akan dipengaruhi unsur gelap.
Kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia hari ini adalah hasil hubungan yang baik dan saling bertaut antara kerajaan dan penjawat awam. Dasar kerajaan mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lancar sekiranya semua penjawat awam sentiasa menyokong dan mampu menterjemahkan dasar tersebut dan menentukan setiap agenda kerajaan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

NADZIR AWANG AHMAD
Universiti Teknologi Mara Perlis

5 ulasan:

Unknown berkata...

professionalism memerlukan pemahaman yg menyeluruh tentang apa yang dikatakan mengenai kualiti dan tahap kecekapan penjawat awam.

kita dituntut utk mengamalkan sikap professionalisma didalam menjalankan kerja kerja seharian demi memajukan negara.

sikap sesetengah penjawat awam yg kurang berdisiplin dan tidak bertanggungjawab di dalam menjalankan sesuatu tugas yg diamanahkan adalah salah satu punca utama kepada turunnya tahap produktiviti sektor awam.

contoh paling mudah ialah penggunaan telefon yg dibekalkan pejabat untuk panggilan peribadi. tidak salah sekiranya telefeon ini digunakan untuk menelefon ibu di kampung seminggu sekali. tetapi jika digunakan kerap kali sehingga mengganggu orang lain dan penggunaan masa panggilan yg melebihi kadar yg sepatutnya tidak boleh diamalkan sama sekali. anda hendaklah maklum bahawa kos panggilan itu di tanggung kerajaan malaysia. duit rakyat.

satu lagi masalah yg saya kerap lihat di dalam ruang pejabat ialah penggunaan radio. tidak salah menggunakan radio di pejabat, tetapi kadar pendengaran audio perlu dikurangkan untuk menjamin keselesaan kepada penjawat awam yg lain.

Tanpa Nama berkata...

aku sokong kalau penyalahgunaan kuasa dan lain2 dalam pentadbiran kerajaan diambil tindakan tegas.

tapi orang bukan kerajaan atau swasta kene ingat...orang yang keje kerajaan ni pun RAKYAT MALAYSIA jugak...bukan rakyat asing...bayar jugak cukai bukan free sebab keje kerajaan..

duit rakyat tu termasukla duit orang yang keje kerajaan jugak..jangan anggap orang keje kerajaan ni semua dapat free...

so..kalau ada apa2 permintaan dari orang kerajaan orang bukan kerajaan atau swasta jangan nak potong jalan atau dengki. tak baik.

Tanpa Nama berkata...

menteri kat smua kementerian tu dapat jadi menteri sebab politik. menang pilihanraya baru dapat porfolio. kena masuk politik baru dapat jadi menteri. Politik dan perkhidmatan awam masih ada kaitan. Jangan nafikan.

Tanpa Nama berkata...

Tentang pengunaan radio, adalah lebih berhemah jika saluran radio nasional RTM bagi negeri masing - masing dijadikan sebagai rangkaian wajib didengar jika ada penggunaan radio d setiap pejabat agensi / jabatan / kementerian.

Tanpa Nama berkata...

seperti contoh, bagi semua premis krajaan di Kelantan yang ada memasang radio, perlu menjadikan siaran Kelantan FM sebagai siaran rasmi radio di setiap premis kerajaan. Dengan ini penyampaian dan info terkini boleh menjadikan anggota awam lebih berdaya maklumat hasil dari penyampaian semasa oleh siaran Radio Televisyen Malaysia