SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 Mac 2010

CABARAN LELAKI

Metro
2/3/2010




AGAK memeranjatkan apabila tiba-tiba isu penguasaan wanita dalam sektor awam didedahkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Ini kerana isu dominasi kaum wanita dalam sektor pekerjaan di negara kita bukan suatu fenomena baru. Ia berlaku dan berterusan sekian lama, malah saban tahun jumlah wanita yang memperoleh peluang pekerjaan boleh lebih tinggi daripada kaum lelaki baik di sektor awam mahupun dalam swasta.
Dalam sektor awam sendiri misalnya mengikut data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga 19 Februari 2010 menunjukkan kaum wanita menguasai 63% daripada jumlah penjawat awam yang meliputi pelbagai kumpulan perkhidmatan. Sebagai seorang lelaki dan juga penjawat awam, penulis tidak sedikitpun berasa tergugat atau bimbang dengan senario itu. Ini kerana selama ini pun kita sedia maklum kehebatan kaum wanita di negara kita dalam pelbagai bidang. Kejayaan demi kejayaan mereka raih dengan cemerlang dan gemilang.
Jika kita kaji secara mendalam, ternyata kaum wanita lebih cerdik daripada kaum lelaki. Buktinya boleh dilihat apabila setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan baik UPSR, PMR, SPM mahupun STPM semuanya dikuasai pelajar perempuan. Mereka sering muncul sebagai pelajar yang memperoleh paling banyak ‘A’ dalam mata pelajaran diambil berbanding pelajar lelaki.
Situasi ini berterusan pula di peringkat pengajian tinggi dan akibatnya hampir 70% hingga 80% jumlah pelajar di setiap kampus terdiri daripada pelajar perempuan dan sekali lagi mereka juga muncul pelajar terbaik di setiap konvokesyen IPT masing-masing.
Ini menunjukkan kaum wanita mudah mengatasi kaum lelaki dari segi pencapaian akademik maka tidak hairanlah apabila mereka juga terus mendominasi sektor pekerjaan kelak bila tamat pengajian. Seperti kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, pelantikan ke sektor awam berdasarkan merit dan bukannya berdasarkan jantina maka sudah semestinya graduan wanita yang cemerlang akan mendapat peluang lebih baik terpilih ke sesuatu jenis pekerjaan.
Majikan swasta juga dewasa ini dilihat tidak mempunyai sebarang masalah memilih dan memberi kepercayaan kepada kaum wanita menyandang sesuatu jawatan dalam organisasi mereka.
Oleh demikian, walaupun kebimbangan Cuepacs tetap ada asasnya, namun baik pihak Cuepacs mahupun kaum lelaki itu sendiri sewajarnya melihat keadaan ini dari sudut dan perspektif yang lebih positif dan terbuka.
Anggaplah ia satu cabaran kepada kaum lelaki terutama remaja dan belia yang bakal memasuki alam pekerjaan. Mereka perlu cemerlang dalam akademik jika mahu bersaing dengan kaum wanita.
Namun, apa yang berlaku sekarang cukup menyedihkan kebanyakan lelaki muda terbabit dalam gejala kurang sihat seperti merempit dan dadah. Akibatnya jumlah kaum lelaki di penjara dan pusat serenti boleh dikatakan melebihi bilangan kaum lelaki yang ada di IPT di seluruh negara.
Jika keadaan ini berterusan maka agak mustahil untuk kaum lelaki bersaing dengan kaum wanita. Kaum lelaki perlu cepat sedar dan melakukan anjakan paradigma jika mahu terus kekal bersaing dengan kaum wanita. Persaingan ini pula perlulah dilihat sebagai suatu persaingan sihat demi masa depan negara yang gemilang.
Walau apapun kita wajar merakamkan ucapan terima kasih kepada Cuepacs kerana membangkitkan isu ini kerana sekurang-kurangnya pendedahan ini boleh menyedarkan kaum lelaki. Penulis mengharapkan kaum lelaki khususnya golongan muda akan sedar seterusnya berusaha keras untuk sama-sama berganding bahu dengan kaum wanita bagi memajukan negara.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor
.

2 ulasan:

kushieda Minorin berkata...

didikan yg kurang sempurna serta pengaruh rakan takan adalah antara sebab sebab utama golongan lelaki tidak dapat melonjak jauh. selagi masalah utama tidak mereka selesaikan. tidak akan ada jalan penyelesaian.

czaree berkata...

Wanita cemerlang akademik kerana mereka tekun dan rajin belajar. Naluri lelaki berbeza bukan mereka kurang cerdik. "Penguasaan wanita" hanya akademik. Kita perlu lihat dari segi aspek sosial dan agama. Lelaki diwajibkan menyara keluarga bukan wanita. Peluang kerja perlu berdasarkan kesaksamaan peluang dan bukan berdasarkan akedemik semata-mata.Masalah sosial akan berleluasa jika keadaan ini tidak dikawal. Contoh: dasar ekonomi baru. Dimanakah bumiputera sekarang jika dasar ini tidak dilaksanakan? Lelaki perlu diberi bimbingan seperti konsep dasar ekonomi baru. Apapun perjalanan hidup moden: infrastruktur, prasana, pembetungan, komunikasi IT,kenderaan, komunikasi jalanraya, udara, laut dan berbagai lagi banyak bergantung kepada tenaga lelaki. Wanita tidak perlu mendabik dada kerana pencapaian akademik mereka atas kertas mengatasi lelaki secara "amnya". Kemewahan dan keselesaan dan gaya hidup moden mereka adalah dari keringat dan kreativiti kaum lelaki.Sama-samalah kita berusaha kearah pembinaan sosial yang lebih sempurna.