SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI***

16 Mac 2010

SEGERA LAKSANA PENCEN SWASTA

Utusan Malaysia
Oleh NURUL ANUAR KARI
pengarang@utusan.com.my
15/3/2010




KUALA LUMPUR 15 Mac - Beberapa kesatuan sekerja berharap kerajaan dapat menyegerakan pelaksanaan skim pencen kakitangan swasta, warga emas dan mereka yang bekerja sendiri.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, ia perlu terutamanya untuk membantu pekerja berpendapatan rendah yang memerlukan sokongan kewangan selepas bersara.
"Kita memang mementingkan kajian yang menyeluruh, terperinci dan jelas. Namun, pelaksanaan skim ini juga perlu disegerakan demi kepentingan pekerja yang memerlukan.
"Selain mendapatkan pandangan wakil pekerja dan majikan, kerajaan juga perlu memastikan skim itu sekurang-kurangnya menetapkan kadar pencen melebihi paras pendapatan kumpulan miskin dan miskin tegar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kementerian Sumber Manusia yang menjangkakan dapat membentangkan skim pencen pekerja swasta, warga emas dan mereka yang bekerja sendiri ke Dewan Rakyat seawal-awalnya pada Jun 2011.
Sementara itu, Syed Shahir turut membangkitkan kembali saranan MTUC supaya usia persaraan pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun berikutan peningkatan jangka hayat rakyat negara ini.
"Pekerja swasta kini perlu hidup antara 17 hingga 21 tahun selepas tamat tempoh perkhidmatan dengan bergantung kepada tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Kajian membuktikan wang tersebut bertahan sekitar tiga tahun sahaja. Adalah lebih baik usia persaraan pekerja dilanjutkan atau mereka dibantu dalam terus menyumbang mengikut kemampuan masing-masing," ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman juga bersetuju supaya skim berkenaan disegerakan memandangkan cadangan mengenainya telah lama dikemukakan.
"Kerajaan perlu berusaha menyegerakan skim ini di samping memastikan ia berjalan lancar terutamanya bagi melindungi pekerja dengan gaji rendah yang hanya bergantung kepada simpanan KWSP selepas bersara.
"CUEPACS juga menyokong penuh skim pencen serta kelebihan perubatan yang sama rata diwujudkan untuk kakitangan kerajaan dan sektor swasta supaya keperluan semua pekerja terbela selepas mereka bersara," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Norila Mohd. Daud berharap, pekerja swasta tidak dianaktirikan dalam menikmati pencen dan hidup yang setimpal selepas persaraan mereka kelak.
"Saya mengalu-alukan cadangan skim pencen ini, tetapi pekerja sektor swasta bukan sekadar mahu ada satu skim pencen, mereka juga perlu diberi kelebihan yang sama seperti dinikmati kakitangan kerajaan.
"Seperti kelebihan perubatan. Kakitangan swasta yang sudah bersara sepatutnya diberi keistimewaan serupa, sama ada secara percuma atau pada harga yang dibayar kakitangan kerajaan," katanya.
Menurutnya lagi, sudah sampai masanya kerajaan menyelaraskan skim perlindungan untuk pekerja di negara ini dan usaha tersebut bakal menunjukkan tahap kesediaan Malaysia menjadi sebuah negara maju.
"Jangan dibiarkan wujud dua standard dalam komuniti pesara, satu mempunyai pencen dan kelebihan perubatan sementara satu lagi perlu mencari sumber kewangan sendiri selepas bersara," tegasnya.

2 ulasan:

kulatlapok berkata...

salam pengendali laman blog CUEPACS.

kepada sesiapa yg bertanggungjawab mengendalikan N3 cuepacs ni diucapkan ribuan terima kasih kerna anggota2 awam banyak menerima infonya.

Namun setiap N3 ini perlu diperbaiki iaitu gunakan perengan (paragrap)supaya pembaca dapat membaca dengan mudah dan tidak terlalu boring bila membaca info2 cuapacs yg kesemuanya tidak mempunyai paragrap dan terlalu panjang.

Tanpa Nama berkata...

Pada pendapat saya , tak kira sama ada kakitangan kerajaan atau swasta selepas umur persaraan atau masih bekerja sebagai rakyat Malaysia kita semua PATUT menikmati segala kemudahan perubatan di hospital kerajaan. Pekerja kerajaan atau swata kita semua adalah Rakyat Malaysia.