SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

01 Mac 2010

PERLAKSANAAN PERINTAH AM TIMBULKAN KETIDAKSERAGAM

Berita Harian
1/3/2010



REAKSI Presiden Cuepacs, Omar Osman, yang tersentak sejenak apabila diajukan soalan mengenai Perintah Am dan pekeliling kerajaan sudah cukup sebagai petanda betapa rumitnya menangani isu berkaitannya. Beliau sendiri mengakui permasalahan berkaitan isu itu membabitkan skop amat besar, termasuk aduan membabitkan sesetengah aspek seperti tindakan tatatertib, cuti, elaun dan kenaikan pangkat, yang banyak diterima Cuepacs. Maklumlah, biar apa saja perkara membabitkan peraturan atau garis panduan berkaitan tata laku dan etika pekerja sudah semestinya mengundang pelbagai masalah dan perlu kerap dikemaskinikan mengikut keadaan tetapi mustahil dapat memuaskan hati semua pihak.
Namun, Perintah Am dan pekeliling kerajaan ini menjadi nadi utama yang mengawal selia serta memastikan urus tadbir kerajaan daripada peringkat akar umbi hingga ke tahap tertinggi, harus berjalan lancar serta mematuhi prosedur ditetapkan. Pada dasarnya, Perintah Am adalah rangkuman syarat, garis panduan, kod etika, disiplin dan undang-undang kecil berkaitan apa yang boleh dilakukan selain prosedur bagi melakukannya dan larangan terhadap penjawat awam. Pekeliling kerajaan pula terbahagi kepada tiga kategori iaitu pekeliling perkhidmatan, surat dan surat edaran yang lazimnya menjadi saluran untuk menerangkan bidang kuasa dan kaedah bagaimana sesuatu elemen Perintah Am disesuaikan untuk kementerian, jabatan atau sektor perkhidmatan awam tertentu.
Pekeliling bersifat lebih anjal berbanding Perintah Am kerana ia harus diterjemahkan mengikut keperluan semasa walaupun terikat kepada ruang lingkup yang ditetapkan Perintah Am. Ini lazimnya dikeluarkan ketua pengarah di kementerian berkenaan khusus bagi kakitangan tertentu. Tetapi ada juga pekeliling yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara jika membabitkan keseluruhan kakitangan awam secara umum. Antara lain, Perintah Am merangkumi Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Perkhidmatan Badan Berkanun Persekutuan, Perkhidmatan Badan Berkanun Negeri dan Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan. Ia meliputi perihal pelantikan, elaun, cuti, tatatertib rumah kerajaan, perubatan dan waktu bekerja selain skim pencen perkhidmatan awam, skim pencen badan berkanun dan kuasa tempatan, acara kewangan, serta penyelarasan pencen.
Perintah Am juga menggariskan tugas-tugas suruhanjaya perkhidmatan bagi melantik, mengesahkan, memberi taraf berpencen, menaikkan pangkat, menukar, kawalan tatatertib dan tugas-tugas lain. Ia juga menetapkan kuasa melantik bagi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan, perkhidmatan awam persekutuan dan bersama, anggota pasukan polis, serta perkhidmatan pelajaran. Selain itu, Perintah Am menetapkan tahap penggredan mengikut kelayakan akademik penjawat awam serta status pegawai (sama ada tetap, sementara, kontrak, sambilan atau berasingan). Ia juga menentukan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan tangga gaji. Lazimnya setiap profesyen dalam sektor awam perlu ada perintah am yang khusus mengenainya dan diperincikan menerusi pekeliling yang dikeluarkan mengikut keperluan semasa oleh ketua jabatan berkenaan, tertakluk kepada bidang kuasa yang diberi. Delegasi kuasa bagi mengguna pakai Perintah Am sering diturunkan kepada pegawai peringkat jabatan. Ini secara tidak langsung menyebabkan tiada keseragaman dari segi pelaksanaan, yang lazimnya mengikut budi bicara pegawai atasan berkenaan. Walaupun pegawai atasan terbabit juga terikat kepada Perintah Am atau Pekeliling lain, pemantauan yang menyeluruh sukar dilakukan terhadap mereka, terutama jika jabatan kerajaan itu terletak di pedalaman. Sehubungan itu, wujud aduan di kalangan kakitangan awam bahawa berlaku pilih kasih dalam pelaksanaan tindakan tatatertib mengikut Perintah Am kerana hukum berlainan dikenakan bagi kesalahan sama. Selain itu, ada kakitangan mendakwa sesetengah rakan sekerja diberi layanan istimewa kerana hubungan politik sehingga membebankan kakitangan lain yang terpaksa memikul beban kerja individu berkenaan. Kewujudan banyak kerenah birokrasi yang membantutkan pelaksanaan sesuatu prosedur yang amat mudah turut melunturkan semangat bekerja kebanyakan kakitangan awam dan tidak kurang terdorong menyertai sektor swasta di mana mereka yakin akan diberi ganjaran lebih setimpal. Umpamanya, usaha mengemas kini rekod kakitangan bagi tujuan kenaikan gred atau gaji selepas memperoleh kelulusan akademik lebih tinggi, kadang-kala mengambil masa hampir setahun sedangkan pengesahannya boleh dilakukan dalam tempoh beberapa hari di sektor swasta. Ada dakwaan mengatakan pegawai atasan bersifat pilih kasih apabila mahu mengambil tindakan berpandukan Perintah Am. Dalam erti kata lain mereka yang baik dengannya boleh terlepas dan sebaliknya sesiapa yang tidak disukai lebih cenderung dikenakan tindakan. Banyak peruntukan Perintah Am juga dianggap sudah lapuk dan tidak sesuai lagi dengan perkembangan semasa tetapi perubahan yang dilakukan memakan masa terlalu lama kerana kerenah birokrasi atau dibiarkan kepada budi bicara ketua jabatan untuk menentukan pelaksanaannya. Sebelum ini, ada usul bagi mengemas kini Perintah Am ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, malah perbincangan dengan Peguam Negara menjurus ke arah itu sudah dimulakan tetapi tiada perkembangan dilaporkan setakat ini.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pekeliling JPA hujung tahun 2009 berkaitan kenaikan Gred Pemb. Tadbir Kesetiausahaan dari N17 ke
N27 belum lg dilaksanakan di universiti tertentu. Kerenah pihat pengurusan atasan. Lambat mengambil tindakan. Nampaknya kena tunggu lagi la, mungkin lagi 6 bulan.

kushieda Minorin berkata...

apa maksud anda?

"Gred Pemb. Tadbir Kesetiausahaan dari N17 ke
N27 belum lg dilaksanakan di universiti tertentu. "

universiti ke PSM yg masalah ni?

Tanpa Nama berkata...

Pengurusan universiti lambat mengambil tindakan. Opsyen belum ditandatangani. Semua2 lambat.