SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

19 Mac 2010

KETUA JABATAN UGUT KAKITANGAN AKTIF CUEPACS

Utusan Malaysia
Oleh: ANGELINA SINYANG
19/3/2010



IPOH 18 Mac – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman mendedahkan ada ketua jabatan kerajaan mengugut kakitangan mereka yang aktif dalam kesatuan sekerja supaya meletakkan jawatan jika mahu terus menikmati faedah di tempat kerja.

Beliau memberitahu, bentuk ugutan itu termasuk memberi tekanan kepada pegawai terbabit dengan penilaian prestasi kerja yang tidak baik sehingga menghalang mereka daripada dinaikkan pangkat.

Lebih teruk, katanya, apabila terdapat pemimpin Cuepacs terpaksa meletakkan jawatan kerana ditekan secara halus oleh ketua masing-masing.

Menurutnya, tekanan itu datang dalam bentuk tidak menjemput mereka menyertai mana-mana aktiviti yang dijalankan oleh jabatan dan pegawai itu tidak dilayan apabila membuat sebarang permohonan berkaitan tugasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-38 Kesatuan Pekerja Rendah Awam Cawangan Ipoh di Dewan Jabatan Kerja Raya Mekanikal, Jalan Lahat di sini hari ini.

Omar berkata, terdapat juga ketua jabatan yang bertindak melampau dengan menganggap pemimpin Cuepacs sebagai pengacau apabila mereka aktif memperjuangkan hak pekerja bawahan.

‘‘Kita minta semua ketua jabatan kerajaan menghormati pemimpin kesatuan sekerja kerana mereka bukannya pengacau. sebaliknya mahu bekerjasama dengan kerajaan untuk melahirkan pekerja cemerlang’,” katanya.

Menurut Omar, pihaknya tidak teragak-agak menghantar laporan mengenai perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan jika masalah tersebut menjadi semakin serius.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, Ceupacs mahu kerajaan memansuhkan terus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang diamalkan sekarang dalam menentukan kenaikan pangkat kakitangan awam khususnya yang melibatkan pekerja rendah awam.

‘‘Prosedur mewajibkan kakitangan kerajaan khususnya pekerja rendah awam lulus PTK terlebih dahulu sebelum dinaikkan pangkat dilihat tidak lagi sesuai diamalkan kerana ia tidak adil.

‘‘Ini kerana ada pekerja yang baru dua tahun bekerja dinaikkan pangkat jika lulus PTK manakala mereka yang bekerja lebih 20 tahun kekal di jawatan lama semata-mata kerana gagal ujian tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mendesak pekerja rendah awam yang belum menyertai Cuepacs supaya mendaftar segera agar mereka boleh bersama-sama memperjuangkan hak sebagai pekerja.

Katanya, terdapat 800,000 pekerja rendah awam layak menyertai Cuepacs tetapi hanya 45 peratus mendaftar dalam kesatuan itu setakat ini.

Mengenai isu semakan gaji pekerja perkhidmatan awam, Omar berkata, keputusan berhubung tuntutan itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Mei depan iaitu sempena sambutan Hari Pekerja.

Tiada ulasan: