SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

13 Oktober 2014

PENJAWAT AWAM SEBAGAI PELAKSAN PERLU FAHAMI BAJET 2015 -KSN

Bernama
12/10/2014





KUCHING, 12 Okt (Bernama) -- Penjawat awam perlu memahami dan memberi perhatian kepada setiap perkara dalam Bajet 2015 kerana mereka adalah pelaksana dasar dan program yang digubal dan dirancang kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata ini kerana Bajet 2015 yang dibentangkan Jumaat lepas memperkenalkan konsep baharu iaitu 'ekonomi modal' dan 'ekonomi rakyat', satu hubungan simbiotik yang mempunyai kaitan dan perlu selari agar rakyat turut merasai pencapaian yang diraih negara pada peringkat makro.

"Ekonomi modal antaranya bermaksud menjana pendapatan dan membawa pertumbuhan menerusi pelaburan asing, pelaburan dalam negeri, perdagangan antarabangsa dan juga kekuatan ringgit.

"Ekonomi rakyat pula antaranya berkaitan dengan pendapatan isi rumah, kesejahteraan, kemiskinan, dan semua perkara yang mempunyai kaitan secara langsung dengan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perjumpaan dan Dialog dengan Pegawai-pegawai Awam Persekutuan, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin.

Ali berkata menerusi konsep dipanggil 'pertumbuhan dengan pengagihan', ekonomi modal dan ekonomi rakyat adalah penting dan perlu bergerak bersama-sama.

"Kalau modal tidak bergerak macam mana nak tingkatkan pendapatan rakyat?. Jadi saya berharap selepas ini anda (penjawat awam) boleh terangkan apakah yang cuba disampaikan dalam Bajet 2015 itu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara berkata beliau mewakili semua penjawat awam mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana disebalik isu seperti defisit fiskal, kerajaan tidak melupakan penjawat awam menerusi pemberian bonus, kemudahan perumahan serta beberapa inisiatif lain.

Sementara itu ketika ditanya mengenai elaun penjawat awam dan isu-isu penjawatan, Ali berkata perkara tersebut akan tetap dibincangkan secara berkala.

"Isu seperti elaun memang dikaji secara berkala, sebaik pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) April 2015, kita akan lihat semula apakah keperluan sektor awam.

"Tetapi apa yang penting kita laksanakan CBP dengan sebaik-baiknya," katanya.

-- BERNAMA

1 ulasan:

Unknown berkata...

PM patut hargai PA, kerana PA adalah tulang belakang kerajaan.. bukan nak ugut, tapi inilah hakikat. Berusaha sebelum terlambat, banyak PA yang sekarang PRO BN.