SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

21 April 2015

HARAP NAJIB PERTIMBANG NAIK GAJI

Sinar Harian
20/4/2015


  • Azih Muda Azih Muda
KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat melakukan penambahbaikan dalam 252 skim gaji mengikut kesesuaian masa kini.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, maklum balas yang diterima tidak memuaskan terutamanya apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan tuntutan pihaknya sebagai tidak sesuai selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

“Saya berharap agar kerajaan akan mempertimbangkan tuntutan supaya 252 skim gaji dikaji semula dan ditambah baik, termasuklah cadangan menaikkan gaji minimum kakitangan awam sehingga RM1,200 sebulan.

“Sejak kebelakangan ini kita tengok kerajaan menyatakan masa tidak sesuai untuk kenaikan gaji. Soalnya bukan sesuai atau tidak kerana kalau nak kata tidak sesuai, sepanjang masa pun tidak sesuai,”katanya kepada media di majlis penutupan Seminar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Kepenggunaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, semalam.

Menurutnya, jika kerajaan benar mahu menjaga kepentingan penjawat awam rendah, satu usaha yang komprehensif perlu dimulakan sekarang.

Bagaimanapun menurut Azih, pihaknya yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin yang prihatin dan akan menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.

“Sebab itu kita harap beliau dapat mengumumkan penambahbaikan 252 skim ini ketika sambutan Hari Pekerja di Kuching, Sarawak pada 1 Mei ini,” katanya.

Terdahulu, Cuepacs menuntut supaya kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 35 peratus bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum.

Menurut beliau, gaji yang diterima RM805 sebulan adalah tidak memadai dan berada di tahap yang rendah terutama ketika kos sara hidup melambung tinggi sekarang.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azih turut menggesa kerajaan menarik semula cadangan untuk menamatkan perkhidmatan kira-kira 46,000 penjawat awam yang dilantik secara kontrak pada 31 Disember depan.

“Kita minta jasa baik Perdana Menteri supaya mempertimbangkan perkara ini memandangkan mereka yang terbabit  kebanyakannya pemegang ijazah dan saya yakin, setelah bekerja dengan kerajaan, mereka  mempunyai komitmen sendiri dalam kehidupan masing-masing.

“Jika perkara ini (penamatan kontrak perkhidmatan) berlaku, tidak mustahil pelbagai isu akan timbul dan mereka akan menghadapi masalah untuk mendapatkan kerja baharu,” katanya.

Tiada ulasan: