SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

23 April 2015

PENINGKATAN GAJI PERLU SEIRING INISIATIF

Harian Metro
23/4/2015


Kuala Lumpur: Peningkatan gaji minimum ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu seiring dengan cadangan inisiatif kedua KWSP dalam memastikan caruman minimum diselaraskan dengan gaji minimum.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berkata, cadangan untuk mencarum gaji minimum itu adalah sesuatu yang baik, tetapi untuk gaji ahli berpendapatan rendah perlu dinaikkan supaya dapat menampung kos sara hidup kini.
“Majikan perlu melihat kepada kebajikan pekerja yang memerlukan kenaikan gaji sekurang-kurangnya 15 peratus sekiranya cadangan itu dilaksanakan.
“Bagaimana ahli yang berpendapatan rendah ingin menampung perbelanjaan hidup sekiranya gaji diperoleh yang sedia rendah semakin sedikit selepas dicarum,” katanya.
Azih berkata, bagaimanapun cadangan inisiatif itu mampu menambah simpanan ahli untuk menampung kehidupan selepas bersara.
“Memang tidak dinafikan ia boleh membantu ahli dari segi jumlah simpanan, tetapi rancangan jangka masa panjang itu perlu ditekankan.
“Ahli perlu merancang wang yang disimpan itu memandangkan mereka terpaksa melakukan pengorbanan dengan mencarum lebih banyak semasa bekerja,” katanya.
Katanya, ahli perlu berfikiran positif sekiranya caruman minimum itu dilaksanakan kerana ia untuk kebaikan jangka panjang ahli sendiri.
“Inisiatif ini juga mampu melindungi ahli dari segi mendapat jaminan sumbangan majikan tidak kurang daripada caruman berasaskan gaji minimum,” katanya.

Tiada ulasan: