SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

11 Julai 2010

AHMAD SAID BERI AMARAN PENJAWAT AWAM SALAH GUNA KUASA

Bernama
11/7/2010




KEMAMAN, 11 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ahmad Said memberi amaran kepada penjawat awam di Terengganu supaya tidak menyalah guna kuasa, jika tidak mahu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Beliau berkata beliau menerima aduan dan laporan bahawa terdapat perbuatan salah guna kuasa dalam beberapa jabatan kerajaan negeri.

"Saya beri amaran, jika berterusan perkara ini berlaku, saya sendiri akan turun bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membuat pemeriksaan mengejut," katanya ketika ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam bagi Daerah Kemaman pada Ahad.

"Kita memikul amanah, jadi kita perlu berhati-hati dalam apa jua tindakan kita, jangan sampai kita diheret ke penjara kerana gagal melaksanakan amanah.

"Saya juga mahu semua urusan rakyat disegerakan dan jangan dilengahkan. Malah kita harus beri perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Mengulas lanjut kepada pemberita kemudiannya, Ahmad berkata beliau telah memaklumkan mengenai aduan salah guna kuasa tersebut kepada ketua jabatan berkenaan.

Beliau turut meminta penjawat awam tidak mensabotaj kerajaan dengan menyebarkan dakyah yang tidak betul mengenai dasar-dasar kerajaan.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: