SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

27 Julai 2010

KHAIRY: SURAT SOKONGAN MP BUKAN SALAHGUNA KUASA

Malaysiakini
27/7/2010



Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata adalah tidak benar sekiranya kita mengatakan bahawa setiap daripada surat sokongan yang ditulis seorang ahli politik adalah 'salah guna kuasa' untuk kenalan-kenalan politiknya.

"Seringkali sesuatu sokongan diberikan atas kapasiti seorang wakil rakyat yang hanya menjalankan tugas mahu membantu rakyat yang tidak mendapat bantuan yang sewajarny," tulis Khairy yang juga ahli parlimen Jelebu dalam blognya.

Tegasnya, mungkin ada yang akan mempersoalkan keperluan surat sokongan atausokongan secara lisan oleh ahli politik, biarpun untuk mereka yang tidak mempunyai hubungan politik.

Beliau mengulas pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan baru-baru ini yang menegaskan sebarang keputusan dalam pemberian kontrak kerajaan perlu berdasarkan merit dan kelayakan sesuatu permohonan, bukan sebarang hubungan politik.

Pada dasarnya saya menyokong sepenuhnya usaha membanteras penyalahgunaan kuasa serta mengutamakan merit dan keperluan dalam apa jua permohonan kepada Kerajaan.

Berikutan itu, kakitangan awam kini diarahkan melaporkan sebarang kes ahli politik cuba mempengaruhi pemberian kontrak kerajaan melalui surat sokongan mahupun secara lisan.

Khairy berkata, pada dasarnya beliau menyokong sepenuhnya usaha membanteras penyalahgunaan kuasa serta mengutamakan merit dan keperluan dalam apa jua permohonan kepada kerajaan.

"Kita sedia maklum pada masa lalu memang wujud kes-kes di mana pemohon yang mempunyai hubungan politik diberi kontrak kerajaan atas dasar sokongan dari ahli politik.

"Saya juga bersetuju dengan Presiden Cuepacs Omar Osman bahawa fenomena ini adalah tidak adil bagi pemohon lain yang tidak mempunyai 'kabel' hubungan politik ini.

"Namun, berdasarkan pengalaman selaku seorang wakil rakyat, saya juga menyedari bahawa bukan semua yang datang meminta surat sokongan adalah mereka yang tidak layak dibantu jauh sekali bergantung harap kepada sokongan dari ahli politik semata-mata," tambahnya.

Malah, tegas Khairy, terdapat beberapa kes di mana pemohon yang ternyata berkelayakan terpaksa datang meminta sokongan beliau selaku wakil mereka di Rembau kerana permohonan mereka gagal atas sebab-sebab kelemahan birokrasi.

"Mereka ini bukanlah kenalan saya jauh sekali mempunyai hubungan politik dengan saya. Mereka berkesempatan berjumpa saya sewaktu saya berada di Pusat Khidmat Masyarakat Rembau," tegasnya.

Seringkali, katanya, sesuatu sokongan diberikan atas kapasiti seorang wakil rakyat yang hanya menjalankan tugas mahu membantu rakyat yang tidak mendapat bantuan yang sewajarnya.

"Mungkin ada yang akan mempersoalkan keperluan surat sokongan atau sokongan secara lisan oleh ahli politik, biarpun untuk mereka yang tidak mempunyai hubungan politik.

"Jika sesuatu permohonan itu mempunyai merit seperti kelayakan teknikal dan rekod kerja yang baik atau kerperluan yang mendesak, bukankah ia akan dipertimbangkan sewajarnya tanpa perlu sebarang campurtangan ahli politik?

"Sama juga bagi permohonan lain yang perlu melalui sistem awam seperti permohonan kerja, kediaman kos rendah mahupun biasiswa - bukankah semuanya boleh ditentukan oleh kakitangan awam berdasarkan merit dan keperluan?

"Di sini, saya ingin mengatakan bahawa suka atau tidak, di kalangan penjawat awam juga terdapat 'Napoleon Kecil' yang bertindak atas motivasi tertentu. Hakikatnya, kakitangan awam juga tidak terlepas daripada kemungkinan salah guna kuasa melalui tindakan 'pilih kasih'," tegas Khairy.

Akibat, daripada kelemahan birokrasi ini, ramai pemohon yang layak dan melalui saluran biasa ditolak.

"Dalam erti kata lain, sistem awam yang sedia ada telah menggagalkan mereka, lantas mereka terpaksa meminta bantuan dari wakil rakyat.

"Dalam hal ini juga, saya ingin membangkitkan persoalan mengenai peranan ahli politik yang dipilih rakyat. Apa guna kita mengadakan pilihanraya untuk memilih wakil rakyat sekiranya perkara seperti menulis surat sokongan pun tidak dibenarkan?

"Jika seorang wakil rakyat gagal membuktikan kebolehan membantu dan membela rakyat, maka beliau akan diundi keluar, manakala kakitangan awam pula tidak dipilih.

"Oleh itu, janganlah kita terlalu cepat memandang serong peranan wakil rakyat dalam menyokong sesuatu permohonan kepada kerajaan," tegasnya.

Menurut Khairy lagi, bukan niat beliau untuk memburukkan kakitangan awam, malah beliau yakin sebahagian besar daripada mereka mempunyai integriti dan keikhlasan yang tinggi.

"Namun, selagi wujud fenomena 'Napoleon Kecil' di kalangan kakitangan awam, kita tidak boleh menolak langsung peranan ahli politik yang mewakili kepentingan rakyat.

"Di sini saya ingin mencadangkan satu jalan tengah yang dapat menangani isu-isu berhubung pemberian kontrak.

"Cadangan saya, jika penjawat awam berperanan melaporkan sebarang surat sokongan dari ahli politik, maka ahli politik juga perlu diberi ruang untuk memanjangkan sesuatu permohonan apabila dirasakan sistem birokrasi telah menggagalkan permohonan itu sungguhpun mempunyai merit untuk diterima.

"Saya melihat kaedah ini dapat membantu dalam memantau penyalahgunaan kuasa di kalangan mereka yang mempunyai hubungan politik, serta kegagalan birokrasi atau juga rasuah dalam perkhidmatan awam.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa cadangan ini dibuat bukan berasaskan dasar campurtangan politik, tetapi atas prinsip merit dan keperluan," katanya.

Tiada ulasan: