SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

06 Julai 2010

IKTIRAF INDIVIDU AWAM, SWASTA BERPRETASI TINGGI - PM

Utusan Malaysia
6/7/2010



PUTRAJAYA 5 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu seluruh ekosistem sektor awam dan swasta memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada mereka yang mampu menampilkan prestasi tinggi bagi memastikan negara mencapai matlamat induk menjadi negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, pengiktirafan juga perlu diberikan kepada tenaga-tenaga muda berbakat, kreatif dan inovatif bagi melonjakkan tahap ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi.

''Inisiatif yang kita perkenalkan satu persatu ke arah memupuk nilai tambah itu, sebagai contoh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kita hendak tukarkan kepada biasiswa kepada mereka yang mendapat ijazah kelas pertama dan biasiswa nasional kepada 30 pelajar setiap tahun.

''Begitu juga dengan Hari Inovasi, kita beri RM1 juta kepada agensi kerajaan juga satu pengiktirafan kepada prestasi tinggi dan kita kaitkan dengan nilai kreativiti dan inovatif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri antaranya Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Perdana Menteri menegaskan, sistem dalam agensi kerajaan perlu mengenal pasti syarikat-syarikat tempatan yang berpotensi untuk diberikan bantuan termasuk firma yang berinovasi.

''Dalam pameran Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMEDEC), saya dapat lihat syarikat yang berjaya itu ialah mereka yang memang telah membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam negara oleh anak-anak tempatan tetapi sistem kita kadang-kala tidak iktiraf dan memberi peluang kepada syarikat sebegini," katanya.

Dalam hal ini, Najib yang juga Menteri Kewangan memberi teguran tentang nasib syarikat tempatan yang sering kali diketepikan akibat spesifikasi tender kerajaan yang lebih menguntungkan firma antarabangsa.

Beliau menjelaskan keadaan itu berlaku kerana spesifikasi tender yang diguna pakai disediakan oleh perunding antarabangsa yang sudah tentu akan lebih bermirip kepada syarikat asing.

''Ada syarikat tempatan yang telah membangunkan satu produk yang telah ditempah oleh negara luar tetapi bila hendak masuk dalam tender sebuah agensi, dia telah diketepikan kerana dikatakan tidak mengikut spesifikasi yang disediakan oleh syarikat perunding.

''Bukan kata syarikat antarabangsa tidak baik tetapi syarikat tempatan yang berpotensi sudah awal-awal ditolak, belum masuk pertandingan sudah disingkirkan kerana spesifikasi disediakan perunding antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri mengingatkan penjawat awam agar membuat pemantauan rapi terhadap sasaran negara untuk terus mencapai pertumbuhan sebanyak enam peratus sepanjang 10 tahun akan datang.

Katanya, mereka perlu membuat analisis bagaimana sasaran itu boleh dicapai bagi memastikan ekonomi negara berada pada landasannya untuk mencapai status negara maju dengan pendapatan negara perlu mencecah AS$504 bilion (RM1,814.4 bilion) pada 2020.

''Suatu perangkaan berhubung pencapaian ekonomi sebanyak enam peratus bahawa pelaburan swasta dan kerajaan mesti mencatat tahap RM115 bilion setiap tahun, ini bererti kita sebagai perancang dan pelaksana mesti membantu sebagai pemangkin untuk memastikan sasaran itu tercapai.

''Kita mesti tentukan sumbangan sektor-sektor dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) boleh dicapai oleh negara, jadi kalau kita ingat tentang perangkaan induk ini sepanjang masa, saya percaya kita boleh tingkatkan peranan kita sebagai perancang dan pelaksana, macam mana sekali pun kita mesti menjadikan ini berlaku," katanya.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alahai najib... penjawat awam kontrak bila lg nk pandang??? mereka lebih berprestasi tinggi menjalankan tugas kerana takut kontrak tidak disambung.. keciannya mereka... kerajaan dah buta???

Tanpa Nama berkata...

kejaan bukan nak amek tau sangat kite ni..yg dia nak amek tau ialah....orang asing akan diberi PR..jeng..jeng..jeng...kehkehkeh..

Saad berkata...

orang... asing... pun... x ... mo... amek... tahu... pasal .... mesia ni.... cuma... nk .... gaji ... je heee... jeng jeng jeng, hehehe dan kehkehkeh