SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

20 Mei 2011

TIADA LAGI UJIAN

Berita Harian
Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/05/20



pix_gal0
PROSPEK mulai 1 Julai dinilai panel berwibawa

PUTRAJAYA: Kaedah penilaian baru bagi kakitangan awam untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan, tetapi ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.
Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.
Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini.

“Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,” katanya pada majlis menandatangani persetujuan bersama sistem baru itu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, malam tadi. CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman.
Beliau berkata, penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru itu bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam.

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.

“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Konsep baru itu akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan PTK di bawah SSM.

PROSPEK PENGGANTI PTK BERKUATKUASA 1 JULAI

Bernama
19/5/2011


PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK menjadi pengganti kepada Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang berkuatkuasa 1 Julai ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

"Walau bagaimanapun, sebarang penambahbaikan pelaksanaan boleh dibuat atau dirunding dari semasa ke semasa.

"Itu jaminan saya," katanya pada majlis Menandatangani Persetujuan Bersama JPA-Cuepacs Mengenai Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan PTK di sini Khamis.

Turut hadir Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs secara bersama bersetuju bahawa falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan memperluaskan skopnya meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

"Pengenalan penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru ini bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata selain dimensi asas kompetensi seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, kedua-dua pihak bersetuju dimensi tambahan diperkenalkan iaitu kreativiti dan inovasi selaras dengan nilai semasa yang diberi penekanan oleh kerajaan dalam pembangunan negara.

Katanya kaedah penilaian bagi kumpulan pelaksana tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa yang akan menilai kompetensi yang diperlukan pada sesuatu jawatan.

Katanya hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi 'cemerlang dan berpotensi tinggi', 'memenuhi kompetensi dan berpotensi' atau 'memerlukan pembangunan'.

Abu Bakar berkata pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan, berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya.

"Faedah pembangunan diri termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang pegawai serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan lain-lain.

"Manakala faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan untuk kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan di dalam atau di luar negeri," katanya.

Katanya pegawai yang berada di gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred yang berkenaan.

"Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan, Latihan Berteraskan Kompetensi dan seumpamanya," katanya.

Abu Bakar berkata ketua perkhidmatan dan ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan.

Katanya pada keseluruhannya penilaian kompetensi baru ini adalah berbentuk program yang bersepadu bermula dengan pengenalpastian kompetensi pegawai di gred lantikan yang diikuti dengan pelbagai program pembangunan diri termasuk bimbingan, pementoran dan latihan sesuai dengan keperluan pembelajaran pegawai yang berkenaan.

"Setelah berada di gred kenaikan pangkat, pegawai seterusnya akan melalui program pembangunan kompetensi dan potensi yang dirancang secara sistematik sehingga ke akhir kerjaya seseorang pegawai," katanya.

Katanya pada masa ini, pihak JPA sedang meneliti draf akhir pekeliling berkenaan yang dijangka akan dikeluarkan pada akhir bulan ini.

Mengulas mengenai tiga permohonan Cuepacs, Abu Bakar berkata pihaknya tidak dapat menjanjikannya kerana setiap perancangan kewangan perlu dilaksanakan dengan baik.

Terdahulu, Omar dalam ucapannya memohon kepada JPA supaya kenaikan pangkat secara time-based dikekalkan, bukan berdasarkan kepada kompetensi tertentu; dan kedua perlu ada kenaikan pangkat secara istimewa yang tidak tertakluk kepada jawatan kosong.

"Selepas pergi mana-mana kursus atau meningkatkan kompetensi tetapi balik tidak juga dapat kenaikan pangkat. Jadi, kita mahu mana-mana penjawat awam yang pergi bagi meningkatkan kompetensi dan potensi, supaya balik tanpa temuduga terus mendapat kenaikan yang cemerlang dan istimewa," katanya.

Katanya yang ketiga ialah insentif diberikan apabila seseorang pengawai itu mendapat kenaikan pangkat dan sebagainya.

-- BERNAMA

______________________________________________________________________

Gambar dari Media Cuepacs





17 Mei 2011

NUTP SYOR PERKENAL SKIM KHAS BELI BUKU

Berita Harian
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/05/16



KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Kementerian Pelajaran memperkenal skim khas untuk guru membeli buku bagi menggalakkan budaya ilmiah dalam kalangan warga pendidik seluruh negara.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata menerusi skim itu, guru dibenarkan membuat tuntutan buku di sekolah masing-masing bagi memudah dan mempercepat urusan bayaran semula. Beliau berkata, harga sesetengah buku rujukan terutama yang diimport agak tinggi dan skim buku guru berkenaan dapat meringankan beban mereka untuk mengikuti perkembangan ilmu. “NUTP mahu guru sentiasa mengemas kini pengetahuan dalam bidang masing-masing atau memperluas ilmu mereka dalam bidang lain.

“Skim ini juga membolehkan guru membeli buku fiksyen seperti novel dalam bahasa Melayu atau Inggeris berdasarkan minat mereka,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Adnan berkata, skim buku guru itu juga boleh meningkatkan pengetahuan guru selain merancakkan industri buku tempatan.

Beliau berkata, dengan lebih 400,000 guru di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran sekarang, jika mereka dibenarkan membuat tuntutan RM500 saja setahun, dana RM20 juta akan berlegar dalam industri buku negara ini.
“Dengan itu, proses jualan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka atau penerbit lain lebih rancak sama ada di bandar atau luar bandar.

“Ini secara tidak langsung menggerakkan ekonomi luar bandar terutama di kedai kecil menerusi jualan bahan bacaan.

“Skim ini memberi keadaan menang-menang kepada guru dan juga kerajaan kerana kita dapat melahirkan guru yang sentiasa mengemaskinikan ilmu mereka” katanya yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Ramai, Manjung, Perak.

PERIHAL ORANG MUDA: PROFESION GURU BUKAN 'MAIN-MAIN

Berita Harian
Oleh Alzahrin Alias
zahrin@bharian.com.my
2011/05/15



pix_gal0
Faktor gaji, beban kerja luntur minat

KUALA LUMPUR: Profesion perguruan yang pernah menjadi pilihan graduan atas faktor gaji dan waktu bekerja kini bukan lagi suatu tarikan kepada anak muda berikutan perubahan gaya hidup sosial mereka.

Berdasarkan maklum balas diterima daripada rakan laman sosial Facebook Berita Harian, rata-rata anak muda menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan kedua atas faktor gaji dan bebanan tugas. Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata faktor subjek pembelajaran dari peringkat sekolah hingga institusi pengajian tinggi (IPT) yang lebih menumpukan kepada jurusan sains gunaan dan teknikal juga menjadi punca anak muda kurang berminat berminat menjadi guru. “Untuk menjadi seorang guru, mereka harus dididik dengan sains sosial tapi kebanyakan golongan muda kini menganggap sains sosial sebagai satu jurusan yang membosankan.

“Orientasi hendak menjadi guru perlu ada elemen sosial dan artistik yang tinggi. Tapi anak muda kini lebih berminat kepada perkara yang bersifat realistik seperti penerokaan dan penciptaan,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.

Dr Mohd Fadzil berkata, elemen persekitaran juga menjadi faktor utama dalam proses memilih kerjaya di mana hubungan anak muda dengan kerjaya guru dilihat terlalu pasif dan reaktif.

“Golongan muda tidak jelas mengenai kerjaya yang bakal mereka hadapi kerana tidak diterapkan secara langsung atau tidak langsung sejak alam persekolahan.
“Jika kita lihat sebagai contoh, di sekolah guru akan beritahu murid kena rajin belajar baru boleh menjadi peguam, doktor atau jurutera. Mungkin hanya 10 peratus guru yang memberi galakan supaya anak muridnya menjadi guru,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata profesion guru bukan satu kerjaya ‘main-main’ kerana kriteria paling penting ialah individu itu perlu mempunyai minat dan sikap kasih terhadap kanak-kanak.

“Kementerian akan memilih calon yang layak untuk menjadi seorang guru walaupun tidak dinafikan ramai memohon. Maka semakin banyak kerenah yang perlu dihadapi. Jika hendak tanam minat dan cinta ini tapi hati tidak ikhlas, susah juga.

“Kita perlu didik perlahan-lahan kerana tidak semestinya jika hari ini menjadi guru, hari ini perasaan cinta terhadap kerjaya itu timbul. Jika hanya kerana desakan kerjaya dan tidak boleh memupuk perasaan itu, baik usah menjadi guru,” katanya.

Untuk reaksi rakan Facebook selanjutnya, Layari www.facebook.com/bhonline

KAEDAH BARU KENAIKAN PANGKAT BANTU JATI DIRI GURU

Utusan Malaysia
17/5/2011



KUALA LUMPUR 16 Mei - Kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru hari ini diharap dapat meningkatkan lagi jati diri guru sebenar.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, peluang peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan mereka bagaimanapun perlu dinilai melalui kriteria menyeluruh iaitu bukan sahaja bersandarkan pencapaian akademik.

Katanya, antara kriteria lain yang boleh diambil kira adalah kepimpinan membimbing murid dalam bidang kokurikulum, sukan termasuk akhlak dan disiplin murid.

"Kita harap pencapaian guru juga dinilai melalui pembabitan guru dengan masyarakat setempat, kita tidak mahu guru mengasingkan diri dengan masyarakat atau berada dalam dunia mereka sahaja.

"Sekiranya guru sanggup turun padang berjumpa dengan ibu bapa atau penjaga murid jika ada masalah, kita mahu semangat seperti itu akan wujud dalam diri guru,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kaedah baru kenaikan pangkat yang diumumkan itu adalah mengikut kategori empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, hal-hal berkaitan integriti di kalangan guru perlu dititik beratkan dengan memberikan satu pengiktirafan jika tidak pernah terlibat dengan kegiatan rasuah.

Sehubungan itu, katanya, kenaikan pangkat dan tangga gaji yang dicadangkan harus ditawarkan kepada mereka yang mempunyai semangat dan minat mendalam dalam profesion perguruan.

''Para guru harus bersikap profesional untuk meningkatkan standard mereka, sentiasa proaktif dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara,'' katanya.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu mengambil kira keperluan 2,000 guru besar di sekolah kurang murid yang tidak mengalami kenaikan pangkat.

''Mereka memegang jawatan selama 15 tahun dan tidak ada kenaikan pangkat apa-apa, sekurang- kurangnya dinaikkan ke DGA34 daripada DGA32 sekarang ini, iaitu hanya mengalami kenaikan gaji sebanyak RM90,'' katanya.

NOR DAIM TOKOH KEPIMPINAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2011

Utusan Malaysia
16/5//2011



KUCHING 16 Mei – Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Nor Daim dinobat sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2011, manakala empat lagi warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru 2011 sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-40.

Penerima Tokoh Guru 2011 antaranya ialah bekas Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Datuk Siva Subramaniam, 64, dan pensyarah Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof. Datuk Dr. Ab. Rahim Selamat, 66.

Turut menerima penghormatan yang sama ialah bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, Kuantan, Hamedah Wok Awang, 63, dan bekas pengetua Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Datuk Rita T. Jaafar.

Mereka menerima pingat, piala, sijil dan wang tunai RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran perayaan tersebut di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Nor yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pelajaran Sarawak ketika ditemui berkata, pengiktirafan tersebut mampu menjadi pendorong kepada seluruh warga pendidik untuk terus berbakti dalam melahirkan modal insan yang berkualiti di negara ini.

“Terima kasih kepada semua guru kerana mempunyai semangat untuk meneruskan perjuangan masing-masing. Saya yakin pendidikan adalah mekanisme terpenting bagi kita bergerak ke depan menjadi sebuah negara yang maju,” katanya.

Subramaniam yang juga bekas Presiden Kongres Persatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pula berkata, anugerah itu merupakan pencapaian yang paling istimewa sepanjang beliau berkecimpung dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Ab. Rahim berkata, kejayaan yang dikecapinya tidak sedikit pun membuat beliau leka dan lupa asal-usulnya yang pernah berkhidmat sebagai seorang guru di dalam bilik darjah.

“Walaupun kini saya seorang pensyarah, saya lebih suka dipanggil cikgu kerana gelaran itu membawa makna tersendiri. Saya juga tetap berpegang kepada prinsip seorang guru akan tetap menjadi guru selama-lamanya,” katanya.

Rita pula berpendapat pengiktirafan yang diberikan merupakan sesuatu yang tidak pernah dimimpikannya selama ini kerana beliau berkhidmat atas dasar menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Saya rasa diri begitu kerdil apabila menerima anugerah yang cukup besar ertinya kepada warga pendidik ini,” katanya.

Seorang lagi penerima, Hamedah pula diwakili adiknya memandangkan beliau tidak dapat hadir kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

TIDAK PERLU UMUR BERSARA 60 TAHUN

Utusan Malaysia
16/5/2011



KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak perlulah melalut mahukan kakitangan awam dinaikkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Pelbagai masalah akan timbul jika ia dilaksanakan juga.

Pertama, lambakan siswazah sedang mengganggur berjumlah ratusan ribu itu akan lebih parah lagi kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kerja.

Kedua, prestasi pekerja lanjut umur itu tidak akan sama dengan prestasi mereka yang muda dan segar segalanya.

Ketiga, kenapa kerajaan harus membazirkan membayar gaji maksimum apabila ditambah dua tahun lagi, sedangkan kita boleh ambil tenaga pekerja yang muda dengan gaji minimum dan lebih aktif itu?

Keempat, apabila seseorang itu berusia 60 tahun, kebanyakan kakitangan ini tidak begitu cekap dalam penggunaan pengendalian komputer dan sistem canggih lain di pejabat.

CUEPACS sepatutnya berjuang bagi kenaikan gaji untuk ahli-ahlinya, terutama sekali yang berpendapatan rendah dan bekerja pula di bandar-bandar besar, bukannya perjuangkan masalah orang hendak pencen.

SYED ABDULLAH
Ampangan, Seremban.

SIKAP KEBERSAMAAN PEMIMPIN, PENJAWAT AWAM PENTING DALAM MENJAYAKAN PROGRAM KERAJAAN

Bernama
16/5/2011



KOTA KINABALU, 16 Mei (Bernama) -- Sikap kebersamaan antara pemimpin dengan penjawat awam merupakan faktor penting dalam menjayakan pelaksanaan program dan dasar kerajaan untuk rakyat.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata biarpun pemimpin membuat perancangan, pelaksanaannya perlu dilakukan secara berpasukan dengan kakitangan di semua peringkat.

"Realitinya, kami (pemimpin) tidak mampu bekerja sendiri tanpa anda (penjawat awam).

"Kita bukan sahaja bekerja untuk sesebuah jabatan, tetapi untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri," katanya pada Majlis Makan Malam Jabatan Ketua Menteri Sabah di sini malam Isnin.

Musa berkata Jabatan Ketua Menteri itu merupakan nadi kepada agensi kerajaan yang lain dalam merealisasikan program pentadbiran dan pembangunan negeri.

Beliau turut melahirkan perasaan bangga terhadap pencapaian jabatan itu dalam melaksanakan perancangan dengan teratur dan cemerlang.

-- BERNAMA

16 Mei 2011

TRANFORMASI GURU KUASAI ICT SEJAJAR ASPIRASI NEGARA

Utusan Malaysia
16/5//2011




DEMI mendidik anak bangsa beberapa guru meredah Laut Sulawesi selama 20 minit dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke Pulau Pababaq, Semporna, Sabah.g>Presiden NUTP, Adnan Hashim HARI ini amat istimewa buat warga pendidik. Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Sarawak diharap membawa berita gembira. Akan adakah insentif baru bagi meningkatkan profesionalisme perguruan. Bagaimana pula hala tuju dan masa depan kerjaya ini. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Adnan Hashim meluahkan pandangan dan harapan guru kepada wartawan Berita Harian, ROHANIZA IDRIS serta RASHIQAH ILMI ABD RAHIM.

APAKAH relevannya tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ dengan peranan pendidik dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar Tema ini mengingatkan kita pentingnya peranan guru sebagai penjana transformasi pendidikan negara yang memikul semua perancangan pendidikan dirancang kerajaan. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah melakukan transformasi seiring aspirasi negara seterusnya melaksanakan matlamat Hari Guru. Bagi mencapai usaha ini, guru perlu menerapkan kaedah baru dalam pembelajaran kerana masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Justeru, sempena Hari Guru tahun ini, kami memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran guru terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar mereka lebih kreatif dan inovatif dalam teknik pembelajaran di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas.

Transformasi ini perlu seiring dengan semangat 1Malaysia yang mementingkan perpaduan. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan sekali gus semangat kerjasama mereka. Saya berharap perpaduan yang dipupuk di sekolah terus kukuh dan berkekalan sehingga menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Namun, bagi menggalakkan guru meningkatkan kecemerlangan pelajar, kerajaan harus menunaikan janji terhadap pendidik. Tahun lalu, kerajaan mencadangkan pemberian ganjaran kepada guru berkelulusan PhD tetapi belum dilaksanakan. Saya harap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Apabila transformasi berlaku, kerja guru bertambah kompleks. Apakah cabaran utama guru kini dalam melahirkan insan cemerlang?
Tidak dinafikan perkembangan semasa memberi kesan kepada proses pembentukan sahsiah terutama di kalangan anak muda. Saya melihat cabaran utama guru untuk melahirkan generasi seimbang rohani dan jasmani adalah perkembangan teknologi maklumat yang tidak terkawal. Kebanyakan pelajar mampu memiliki komputer sendiri bahkan pemahaman mereka terhadap aplikasi internet kadangkala melebihi pemahaman orang dewasa. Malangnya, kebanyakan bahan negatif disebarkan dalam internet. Dalam menangani masalah ini, guru harus mendidik pelajar cara menapis bahan negatif.

Isu negatif senario politik negara di media turut memberi kesan buruk kepada minda pelajar, apatah lagi akhbar sering dijadikan rujukan. Pelajar membuat rumusan terhadap isu dipaparkan sehingga menjadi bahan bualan dan jenaka. Keadaan ini menyukarkan tugas pendidik kerana tidak mudah menyingkirkan elemen negatif yang diterapkan kepada mereka tambahan pula jika isu politik.

Bagaimana NUTP melihat soal disiplin pelajar sekarang, apakah ia sudah sampai ke tahap membimbangkan?

Pelajar kini sering melakukan kejutan kepada masyarakat. Masalah sosial pelajar semakin membimbangkan kerana mereka bukan saja membuli atau ponteng, bahkan merogol, membunuh, mencederakan orang dan terbabit dadah. Isu disiplin pelajar harus diberi perhatian serius. Namun, ia bukan tugas pendidik semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti rakan terdekat anak agar pergerakan mereka dikawal. Usaha ini menuntut tanggungjawab semua pihak supaya salah laku anak dapat diperbetulkan daripada awal.

Saya juga percaya pelaksanaan hukuman rotan membantu mendisiplinkan pelajar. Hal ini tidak patut menjadi isu besar selagi pelaksanaannya berlandaskan panduan seperti pemberian surat amaran terhadap salah laku anak kepada ibu bapa. Ini penting kerana saya tidak mahu ada guru dihadapkan ke mahkamah gara-gara bertindak luar batas sedangkan pada awalnya mereka ikhlas untuk mengajar.

Dalam mengatasi masalah sosial pelajar, saya berharap semua pihak dapat memikirkan penyelesaian terbaik dan bukan menggalakkan masalah ini. Misalnya, sekolah untuk pelajar wanita terlanjur bukanlah langkah terbaik kerana ia seperti menggalakkan perbuatan itu. Bagaimana pula dengan pelajar lelaki yang melakukan kesalahan sama? Penyelesaian yang baik seharusnya adil kepada dua-dua pihak.

Dakwaan guru terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran dan pengurusan menjejas tumpuan terhadap tugas hakiki sebagai pendidik. Apakah langkah menanganinya.

Guru kini bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar, malah terpaksa menyediakan laporan tugas mereka. Kajian menunjukkan tugas dan tanggungjawab guru meningkat setiap tahun. Peningkatan ini kesan transformasi sistem pendidikan yang membabitkan penggubalan dasar dan sistem serta bertambahnya mata pelajaran. Antara pendekatan yang perlu dilaksanakan kementerian ialah mengambil lebih ramai guru dan kakitangan sokongan dalam memperkemaskan urusan sekolah.

Bagaimana isu perpindahan dan penempatan guru.

NUTP pernah menyatakan pendirian kepada kementerian bahawa masalah ini boleh memberi tekanan mental dan menjejaskan kualiti kerja guru. Amalan yang ada tidak menguntungkan guru dan kerajaan kerana lazimnya guru yang dihantar ke sesebuah sekolah adalah lulusan universiti atau institut perguruan. Kesannya, mereka kurang berpengalaman sekali gus menjejaskan sistem dan keberkesanan pembelajaran. Apabila sudah mendapat pengalaman dalam tempoh masa agak lama, mereka dipindahkan. Keadaan ini memberi kesan buruk kepada pelajar kerana sekolah luar bandar seolah-olah menjadi tempat bereksperimen.

Justeru, guru muda atau yang sudah lama berkhidmat harus ditempatkan di negeri kelahiran demi mengekalkan kualiti kerja. Kos penghantaran dan penempatan guru juga dapat dikurangkan kerana elaun berpindah guru dari Semenanjung ke Sarawak atau Sabah boleh mencecah ribuan ringgit. Masalah gangguan emosi dan prestasi guru yang tinggal berjauhan dari keluarga juga dapat diatasi. Begitu juga masalah membabitkan komunikasi, budaya dan cara hidup.

CUEPACS CADANG SAMBUT HARI PENSYARAH SETIAP TAHUN

Utusan Malaysia
16/5/2011



MACHANG 15 Mei - Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan sambutan Hari Pensyarah pada masa akan datang selain sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, walaupun kedua- dua profesion itu bertujuan mendidik anak bangsa namun kelebihan sering berpihak kepada guru sedangkan dalam sesetengah perkara pensyarah sewajarnya mendapat perhatian lebih baik.

Sehubungan itu, katanya, telah tiba masanya kerajaan melakukan transformasi kepada golongan pensyarah agar mendapat perhatian seperti yang dinikmati oleh warga guru.

"Apabila berlaku transformasi kepada golongan pensyarah ia bukan memperkecilkan jasa guru malah sempena Hari Guru esok, CUEPACS mengucapkan terima kasih atas segala bakti yang dicurahkan, namun golongan pensyarah juga seperti guru yang selayaknya mendapat perhatian.

"Selama ini kita hanya menyambut Hari Guru, justeru mulai tahun hadapan kerajaan diminta mengadakan sambutan Hari Pensyarah atau dikenali sebagai Hari Akademik khusus untuk golongan profesional ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Dialog dan Pembangunan Kakitangan Pentadbiran bersama Rektor dan pengurusan kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan di sini hari ini.

Omar menambah, antara perubahan yang dicadangkan kepada golongan pensyarah termasuk mengkaji semula gred kenaikan serta insentif lain.

"Selalunya para guru menerima khabar gembira setiap kali sambutan dibuat dan kita minta kerajaan juga akan mengumumkan khabar yang sama kepada golongan pensyarah dan mungkin pilih hari yang sesuai untuk meraikan mereka.

"Nasib guru sebenarnya jauh lebih baik kerana mempunyai lima persatuan tetapi kebajikan pensyarah bergantung kepada inisiatif institusi pengajian tinggi (IPT) itu sendiri di bawah Kementerian Pengajian Tinggi," ujarnya.

Berdasarkan kepada pelbagai kajian dan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang dibangunkan oleh golongan pensyarah selama ini katanya, adalah wajar golongan itu diberi penghargaan sebaik-baiknya.

15 Mei 2011

KERAJAAN PERLU KAJI PELBAGAI ASPEK SEBELUM GAJI MINIMUM - MAZNAH MAZLAN

Bernama
15/5/2011




KOTA KINABALU, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan perlu mengkaji pelbagai aspek terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan kadar gaji minimum di negara ini, termasuk impak inflasi, pelaburan domestik, dan kesan kepada majikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata kajian dalam peringkat akhir itu sedang dijalankan bersama Bank Dunia, kumpulan-kumpulan profesional, dan kementerian yang berkaitan, antara lain untuk memastikan segala aspek diambil kira sebelum membuat keputusan.

"Kita juga kena ambil kira aliran dana kepada pekerja asing, kerana kita ada kira-kira 1.9 juta pekerja asing yang berdaftar sekarang. Kalau naikkan ke RM800 atau RM900 sebulan (daripada kadar kemiskinan RM720) mungkin kita perlu bayar beberapa bilion ringgit tambahan.

"Kita juga akan tengok pengalaman dari negara-negara lain seperti Korea, Jepun dan sebagainya. Kita tak boleh beri jawapan kepada semua tuntutan sedemikian sehingga kajian ini selesai," katanya kepada pemberita di sini hari Sabtu.

Beliau diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah baru-baru ini supaya gaji minimum ditetapkan pada RM900 bagi negeri Sabah. Rang undang-undang mengenai gaji minimum negara sedang digubal dan dijangka dibentang di Parlimen pada Julai ini, di mana sebuah majlis konsultasi akan diwujudkan untuk membuat penyelarasan berhubung gaji minimum bagi sektor swasta mengikut peruntukan undang-undang.

Sebelum ini, kajian Kementerian Sumber Manusia pada 2009 yang merangkumi 1.3 juta pekerja di negara ini menunjukkan bahawa 33.8 peratus daripada mereka menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

Maznah menjelaskan apabila majlis konsultasi melibatkan pakar-pakar itu diwujudkan, mereka bukan saja berbincang mengenai kadar gaji minimum tetapi akan menilainya dari semasa ke semasa.

"Sama ada kita akan ada satu gaji minimum untuk seluruh negara, ataupun berdasarkan zon, ataupun berdasarkan sektor, ini semua kita masih melihat dan mempertimbangkan," katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Sabah yang diketuai oleh pengerusi cawangan negerinya, Salina Ali.

-- BERNAMA

14 Mei 2011

CUEPACS ADIL BELA KAKITANGAN

Berita Harian
2011/05/14



SAYA ingin merujuk kepada surat yang dikirimkan pada 12 Mei lalu mengenai rasa tidak puas hati pengadu terhadap Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang hanya membela kakitangan awam bergred 1 hingga 40.

Jika kita lihat CUEPACS memandang serius keadaan ekonomi yang meruncing untuk kakitangan Kumpulan Sokongan terutama Kumpulan Sokongan Dua. Rata-rata Kumpulan Sokongan Dua ini mempunyai pendapatan bersih bawah RM1,000. Tidak semua kakitangan dalam golongan ini mengalami kehidupan sempit, tetapi jika dibandingkan dengan Kumpulan Profesional, perbezaan pendapatan golongan bawahan ini hampir 10 kali ganda lebih rendah.

Kepada siapalah golongan ini hendak meluahkan dan meminta kenaikan elaun jika tidak kepada CUEPACS? Golongan bawahan ini tidak kecewa sekalipun golongan profesional mendapat pelbagai elaun yang begitu banyak jumlahnya sementara golongan bawahan tidak mampu menyara keluarga dengan pendapatan sekarang.

Golongan bawahan juga hanya menikmati kenaikan pangkat selepas bertugas melebihi 15 tahun, manakala golongan profesional hanya perlu bertugas tiga tahun untuk menikmati kenaikan gred tinggi.


Jika soal kenaikan elaun rumah menjadi isu golongan ini, CUEPACS boleh menukar elaun perumahan kepada elaun lain untuk kumpulan sokongan. Diharap agar CUEPACS dapat memenuhi segala keluhan dan rintihan semua kumpulan.

ANGGOTA WARISAN, Sabak Bernam.

GURU SYOR GAJI, ELAUN KAKITANGAN AWAM DISELARAS

Berita Harian
2011/05/14




HARI Guru akan disambut dua hari lagi. Sebagai guru, saya terpanggil untuk meluahkan rasa hati berikutan beberapa isu yang hangat diperkatakan dewasa ini membabitkan kakitangan awam termasuk guru iaitu gaji dan elaun.

Berita baik yang ditunggu semua kakitangan awam berikutan tuntutan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi penyelarasan gaji dan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) serta Elaun Tetap Perumahan (ITP) sempena Hari Pekerja 1 Mei lalu ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Saya ingin mengutarakan beberapa cadangan kepada kerajaan, CUEPACS dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili guru. Pertama, COLA dan ITP diselaraskan kepada semua kakitangan awam tanpa mengira gred gaji.

Kedua, perbezaan gred gaji antara kakitangan awam hanya berdasarkan gaji pokok dan Elaun Tetap Khidmat Awam (ITKA). Pada situasi ini, gaji pokok kakitangan awam pengurusan dan profesional (gred 41 dan ke atas) mesti lebih tinggi daripada lepasan diploma (gred 40 ke bawah).

Ketiga, semua gred gaji dan elaun di setiap kementerian diselaraskan. Sebagai contoh, gred gaji kakitangan awam sokongan lepasan diploma Kementerian Pelajaran bermula daripada gred 1 hingga 40 sedangkan gred gaji bagi kakitangan awam sokongan lepasan diploma Kementerian Kesihatan bermula daripada gred 1 hingga 42.

Begitu juga dengan Elaun Kritikal bagi Kementerian Pelajaran antara lima dan 10 peratus daripada gaji pokok sedangkan bagi kakitangan awam Kementerian Kesihatan mencecah 15 peratus.
Keempat, tempoh kenaikan pangkat kakitangan awam Kementerian Pelajaran amat panjang. Kenaikan daripada gred DG41 ke gred DG44 guru mengambil masa 10 tahun, sedangkan di kementerian lain antara tiga hingga tujuh tahun saja.

Ada yang menyatakan perkara ini berlaku kerana guru terlalu ramai berbanding kakitangan kementerian lain. Ada perbezaan gaji sangat ketara antara kami walaupun tempoh perkhidmatan sama.

Kami berasakan guru antara golongan paling teraniaya antara kementerian dengan 1,001 tugas, serta keputusan Jawatankuasa Mengkaji Beban Tugas Guru yang belum diumumkan walaupun sudah hampir setahun berlalu.

Guru memang tepat diibaratkan seperti lilin yang menerangi kehidupan orang lain. Semoga Hari Guru 2011 ini membawa sinar ‘lilin’ yang bercahaya kepada semua kakitangan awam terutama guru. Selamat Hari Guru.

SINARAN LILIN,
Tanjung Malim, Perak.

SKIM PEKERJA SAMBILAN HARIAN DIPERKENAL

Berita Harian
Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2011/05/13




PUTRAJAYA: Kerajaan kini menggunakan kaedah tunggal untuk mendapatkan pekerja bukan tetap, iaitu melalui Skim Pekerja Sambilan Harian yang hanya menetapkan kontrak maksimum tiga bulan menggantikan Skim Pekerja Sambilan dan Pekerja Khidmat Singkat (PKS).

Langkah yang berkuat kuasa mulai 9 Mac lalu itu bagi memudahkan pengurusan, termasuk pertindihan tugas dan perbezaan kadar upah antara pekerja sambilan dan PKS. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata mengikut skim terbaru itu, tempoh perkhidmatan pekerja harian itu tidak panjang dan tugasnya berbentuk ‘ad hoc’ atau mengikut tempoh sesuatu projek dan pengambilannya lebih mudah serta menjimatkan. “Tempoh perkhidmatan mereka tidak melebihi tiga bulan dan boleh dilanjutkan tiga bulan lagi jika ada keperluan oleh ketua jabatan. Waktu bekerja ialah sembilan jam sehari,” katanya menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 2011.

Pekeliling berkenaan dikeluarkan untuk menjelaskan dasar dan prosedur pengambilan pekerja sambilan harian bagi menggantikan pengambilan pekerja sambilan dan PKS yang diperkenalkan sejak 1970-an.

Pada masa ini, pelaksanaan tugas yang bersifat sementara dalam tempoh singkat dilakukan melalui pengambilan pekerja sambilan mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1978 – Perubahan Kadar Bayaran Gaji Sehari Bagi Pekerja-Pekerja Sambilan serta beberapa peraturan lain yang dikeluarkan selepas itu.

Selain itu, sebagai alternatif kepada pekerja sambilan, kerajaan juga memperkenalkan PKS bagi melaksanakan tugas tertentu dengan dibayar upah ikut jam atau ikut kerja mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 1999 – Skim Bayaran Upah Ikut Jam atau Kerja.
Berikutan pengenalan skim Pekerja Sambilan Harian itu, semua pekeliling berkaitan pekerja sambilan dan PKS dibatalkan.

Walaupun pekerja sambilan harian itu layak dicarumkan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun mereka tidak layak dibayar kerja lebih masa, upah cuti mingguan dan cuti am, manakala tiada gaji bagi hari yang tidak hadir bekerja.

Bagaimanapun, mereka yang hanya boleh diambil dari kalangan rakyat tempatan, layak menerima elaun perjalanan, bayaran sewa hotel atau penempatan, elaun harian kerana bertugas di luar pejabat antara lapan hingga 24 jam dan elaun makan ketika bertugas di luar melebihi 24 jam.

“Pengambilan pekerja sambilan harian bukan jaminan untuk mereka diserap sebagai pegawai lantikan tetap, sebaliknya mereka yang memenuhi syarat hendaklah memohon melalui proses pengambilan biasa,” katanya dalam pekeliling itu.

Bagaimanapun, pekerja sambilan dan PKS yang sedang bertugas masih boleh meneruskan perkhidmatan sehingga tamat kontrak masing-masing.

Beliau berkata, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan berkenaan turut membabitkan semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan pihak berkuasa tempatan.

CUEPACS sebelum ini mendakwa pada masa ini ada kira-kira 45,000 kakitangan kontrak yang berkhidmat di semua agensi kerajaan dan ada yang sudah berkhidmat antara 10 hingga 20 tahun.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta JPA mengkaji semula kaedah pengambilan pekerja bukan tetap melalui skim PSH kerana ia didakwa tidak menyelesaikan masalah pekerja kontrak kerajaan pada masa ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya berpendirian kontrak seseorang pekerja bukan tetap dilaksanakan bagi tempoh antara setahun hingga lima tahun, mengikut kesesuaian jawatan, supaya memberi jaminan kepada mereka apabila berkhidmat secara kontrak dengan kerajaan.

PONTENG: PEKERJA AM PALING RAMAI

Utusan Malaysia
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my



Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) melihat dokumen Memorandum Persefahaman sambil diperhati Pengerusi Perhebat, Laksamana Tan Sri Iiyas Din (kiri), Naib Presiden (Pembangunan Kampus dan Pengurusan Pembelajaran) OUM, Prof. Ir. Dr. Rosli Hamir dan Ketua Pegawai Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi (kanan) di Kementerian Pertahanan, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Mei – Kakitangan awam daripada kumpulan Pekerja Am Rendah (PAR) dikesan paling ramai ponteng kerja dipercayai kerana melakukan kerja sambilan untuk mendapat wang tambahan sehingga ada yang mengabaikan tugas hakiki.

Perkara itu didedahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ekoran masalah berkenaan yang melanda kementerian tersebut sejak sekian lama.

Menurut beliau, masalah ponteng kerja dalam kalangan kakitangan PAR itu bukan hanya membabitkan Kementerian Pertahanan, bahkan turut melanda kementerian yang lain.

Hal itu diakui sendiri oleh Presiden Kongres Persatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ahmad Zahid memberitahu, masalah kewangan dikenal pasti menjadi punca utama kakitangan daripada kumpulan berkenaan gagal memberi komitmen dan tumpuan 100 peratus terhadap tugas mereka.

“Masalah paling besar di Kementerian Pertahanan adalah kakitangan tidak hadir bertugas dan ia sebahagian besar melibatkan PAR. Saya siasat rupa-rupanya bukan hanya di kementerian ini, semua kementerian hadapi masalah sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penubuhan Klinik Kaunseling 1Mindef yang antara lain bertujuan mengatasi masalah kakitangan tidak hadir bertugas, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Omar memberitahu, tidak kurang 200,000 kakitangan PAR di semua agensi kerajaan menghadapi masalah kewangan kronik akibat gaji yang rendah.

Tambahnya, golongan tersebut juga merupakan kumpulan penjawat awam yang paling ramai dibelenggu masalah hutang termasuk meminjam dengan ah long.

Jelas Omar, kakitangan PAR kebiasaannya menikmati gaji kurang daripada RM1,500 sebulan, kecuali yang telah berkerja hampir 30 tahun dan menikmati gaji sekitar RM2,000 sebulan.

“Sebab itu kami menggesa kerajaan supaya memansuhkan Gred 1 hingga 16 yang (gajinya) sudah tidak relevan dengan kos hidup semasa. Sepatutnya paling rendah adalah Gred 17,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai klinik itu pula, Ahmad Zahid berkata, penubuhannya bukan bermakna warga ATM mengalami masalah mental, sebaliknya bertujuan membudayakan kaunseling dalam kalangan mereka.

Jelasnya, klinik tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di peringkat kementerian di negara ini, kerana belum ada kementerian lain menubuhkan klinik kaunseling sendiri.

“Ia antara lain bertujuan menangani masalah disiplin melibatkan warga kementerian, terutamanya masalah ponteng kerja yang perlu diberikan perhatian.

“Selain itu, ia juga lebih kepada psikologi untuk menangani tekanan yang dihadapi oleh mereka supaya dapat meningkatkan produktiviti dan sistem penyampaian Kementerian Pertahanan,” katanya.

Pada majlis berasingan, Ahmad Zahid menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dengan Open Universiti Malaysia (OUM) serta Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) bagi membangun dan memberi pengiktirafan terutamanya kepada pesara tentera.

Beliau seterusnya berharap, Perhebat dapat memberi nilai tambah kepada bekas tentera agar mereka laku di pasaran kerja selepas tamat perkhidmatan.

Menurut Ahmad Zahid, kini terdapat seramai 320,000 pesara tentera di negara ini dan mereka yang telah banyak berjasa menjaga keselamatan negara tidak sepatutnya hanya layak bekerja sebagai pengawal keselamatan atau pemandu teksi apabila tamat perkhidmatan.

CUEPACS GESA KERAJAAN TIMBANG SEKALI LAGI NAIK USIA PERSARAAN

Bernama
13/5/2011




KUALA TERENGGANU, 12 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi menggesa kerajaan melanjutkan umur persaraan pekerja dalam perkhidmatan awam daripada 58 kepada 60 tahun.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata cadangan itu wajar ditimbang semula oleh kerajaan kerana beliau yakin golongan ini mampu menyumbangkan perkhidmatan dengan lebih efisyen bersandarkan pengalaman yang mereka miliki.

"Seperti negara maju yang lain, umur persaraan penjawat awam mereka antara 60 hingga 62 tahun dan kita hanya sembilan tahun lagi hendak mencapai sasaran negara maju pada tahun 2020. Jadi wajarlah kerajaan mempertimbangkan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di sini Khamis yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie.

Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada kesihatan pekerja berkenaan iaitu mestilah mempunyai penglihatan, pendengaran, pemikiran serta fizikal yang baik untuk dipertimbangkan dilanjutkan umur persaraan mereka.

Katanya faktor itu penting bagi membolehkan mereka terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

Kali terakhir isu mengenai umur persaraan dibangkitkan di negara ini ialah pada 2008, iaitu sebelum ia dinaikkan kepada 58 tahun.

Dalam masa yang sama, beliau turut memohon agar kerajaan meneliti untuk menyelaraskan elaun sara hidup (COLA) kerana kos hidup di kawasan bandar dan luar bandar pada masa kini tidak jauh bezanya.

"Kita juga harap kerajaan dapat menaikkan imbuhan tetap perumahan daripada RM180 yang diberikan sekarang kepada RM350 kerana kadar sewaan rumah sekarang tinggi dan langkah itu boleh mengurangkan bebanan petugas awam," katanya.



-- BERNAMA

13 Mei 2011

CUEPACS HANYA PERJUANG HAK KAKITANGAN RENDAH

Berita Harian
2011/05/12



KENYATAAN Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman dalam akhbar ini pada 10 Mei lalu mengundang rasa kurang senang pegawai bergred 41 ke atas terhadap kesatuan itu mengenai cadangan tuntutan kenaikan elaun perumahan (ETP) gred 1 hingga 40 daripada RM180 kepada RM350, manakala elaun perumahan untuk gred 41 dan ke atas dikekalkan kerana sudah dianggap mencukupi.

Kami berpandangan cadangan CUEPACS tidak rasional dan tidak berdasarkan hakikat sebenar dan hanya mewakili kepentingan pihak tertentu saja. Setiap kali tuntutan dikemukakan CUEPACS hanya golongan tertentu seolah-olah ia berjuang untuk kepentingan kelompok itu saja dan selalu juga gred 41 tersisih dan tidak mendapat manfaat sewajarnya. Ini sudah terbukti dalam kes pelarasan gaji antara 15 hingga 30 peratus pada 2005. Paling kurang mendapat manfaat adalah golongan dalam gred 41 yang sebelum pelarasan tangga gaji 41 adalah lebih tinggi daripada 27-32, namun sebaliknya selepas pelarasan.

Kami menyokong sepenuhnya cadangan itu seandainya ia memberi keadilan kepada semua. Tetapi apa yang berlaku jika diteliti secara mendalam apakah wajar cadangan yang cuba dibawa oleh oleh CUEPACS itu. Tidakkah CUEPACS sedar RM350 itu akan menjadikan elaun gred 1-40 lebih tinggi daripada pegawai mereka. Tidakkah Presiden CUEPACS tahu atau sedar bahawa bayaran ETP yang diterima kakitangan gred 41 hanya RM250.

Jika alasan CUEPACS kadar diterima gred 1-40 tidak mencukupi untuk menampung sewaan rumah kenapa tidak minta elaun sehingga RM500 hingga RM1,000 saja. Dalam soal tuntutan COLA, kami menyokong sepenuhnya kerana kos barangan dan perkhidmatan semakin meningkat.

Jika dikaji secara terperinci pendapatan sesetengah golongan gred 17 hingga 40 lebih tinggi daripada pendapatan pegawai gred 41-44, kerana selain gaji dan elaun, mereka boleh menambah pendapatan dengan tuntutan kerja lebih masa mencecah ribuan ringgit, sedangkan gred 41 dan ke atas tidak mendapat peluang itu.

Seandainya JPA atau kerajaan menerima cadangan CUEPACS ini, ETP golongan gred 40 ke bawah menjadi lebih tinggi daripada kakitangan bergred 41 dan 44. Jika ini berlaku ia adalah sesuatu yang amat malang bagi kakitangan gred 41 kerana sering dilupakan CUEPACS.
Buatlah kajian secara mendalam sebelum mengemukakan tuntutan kepada kerajaan agar kebajikan anggota gred 41 juga mendapat perhatian sewajarnya.

AWAN KELABU,

PEKERJA GRED 41 SERING DISISIHKAN

Berita Harian
2011/05/12




SAYA berasa amat kesal dengan kenyataan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman baru-baru ini yang dilihat hanya memperjuangkan kakitangan kerajaan gred 1 hingga 40 saja.

Kenyataan beliau yang mahu kerajaan menaikkan elaun kakitangan gred 1 hingga 40 tidak menunjukkan beliau sebagai seorang Presiden yang menjaga kepentingan kakitangan awam secara menyeluruh. Lebih dikesali beliau menyatakan elaun kakitangan gred 41 ke atas sudah lebih mencukupi. Adakah adil elaun kakitangan gred rendah saja yang perlu dinaikkan? Jangan jadi pisang berbuah dua kali yang banyak menguntungkan sebelah pihak saja. Jika beliau memperjuangkan golongan gred rendah beliau tidak layak memegang jawatan Presiden CUEPACS, sebaliknya menjadi Presiden Kakitangan Kerajaan Bergred Rendah saja.

JEJAKA KACAK,

POLIS KENAL PASTI SUSPEK KES PUKUL ANGGOTA JPJ

Bernama
12/5/2011




KUALA TERENGGANU, 12 Mei (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti kumpulan lelaki yang terlibat dalam kes memukul seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyebabkan pegawai itu cedera di bahagian muka dan badan dalam kejadian pada petang Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata polis yang memandang serius kes itu kini sedang mengesan kumpulan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

"Polis meminta individu yang terlibat dalam kejadian itu datang ke balai polis berhampiran untuk menyerah diri.

"Kita memandang serius kes ni kerana ia melibatkan seorang kakitangan kerajaan dipukul ketika menjalankan tugas, sehubungan itu saya juga menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari Khamis.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Abdul Rahman Emang Anyie berkata pihaknya memantau rapi keadaan kesihatan Ketua Pembantu Penguatkuasa, Ismail Daud, 45.

"Mangsa kini mengalami trauma dan dia kini melakukan tugas secara berteman. Namun saya yakin mangsa dan kakitangan JPJ yang lain kuat semangat dan tidak gentar untuk terus terus menjalankan tugas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS ) Datuk Omar Osman ke pejabat JPJ Terengganu di sini hari ini.

Omar pula berkata pihaknya mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menilai untuk menyediakan perlindungan insurans skim perkhidmatan kepada kakitangan penguatkuasa di jabatan berisiko.

"Seperti contoh kejadian kakitangan JPJ ini, kita perlu pastikan mereka mendapat perlindungan sewajarnya kerana kerja yang dilakukan mereka berisiko. Setakat ini mereka hanya dilindungi insurans peribadi masing-masing," katanya.

Dalam kejadian pada petang Isnin lepas mangsa dibelasah sekumpulan lelaki di Jalan Jerangau-Jabor, Dungun, dekat sini ketika cuba memeriksa lesen memandu seorang lelaki.

-- BERNAMA

12 Mei 2011

MAKLUM BALAS AKHBAR : "KADAR ELAUN TIDAK MEMADAI"

JPA
12 Mei 2011


Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat Kakitangan Kecewa, Serdang Selangor bertajuk “Kadar Elaun Tidak Memadai” bertarikh 30 April 2011 yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia.

Sukacita dimaklumkan bahawa Elaun Perumahan Wilayah (EPW) merupakan salah satu daripada enam elaun dan kemudahan yang diberikan kepada pegawai yang bertukar wilayah. Elaun dan kemudahan ini adalah merupakan tambahan kepada saraan pegawai. Elaun dan kemudahan ini diberi kepada kedua-dua kumpulan pegawai sama ada mereka yang berasal dari Semenanjung Malaysia dan berkhidmat di Sabah atau Sarawak atau sebaliknya.

Untuk makluman, prinsip pemberian EPW adalah sebagai bantuan perumahan dan bukannya berdasarkan rent in lieu. Kadar EPW adalah berpandukan kadar sewa rumah mengikut negeri dengan mengambil kira bahawa EPW merupakan suatu elaun bantuan perumahan, maka penetapan kadar EPW dibuat berdasarkan kepada 90% daripada kadar sewa pasaran mengikut lokasi yang diperakukan oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia. Jabatan ini mengucapkan terima kasih di atas cadangan tersebut dan akan memberi perhatian ke atasnya bergantung kepada kemampuan kewangan Kerajaan.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
12 Mei 2011