SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

20 Julai 2012

SPA KAJI 26 PERATURAN SERTA SEKTOR AWAM

Berita Harian
20/7/2012


Mahmood (kiri) bersama Omar (tengah) pada pertemuan SPA dengan CUEPACS di Putrajaya, semalam.
Mahmood (kiri) bersama Omar (tengah) pada pertemuan SPA dengan
CUEPACS di Putrajaya, semalam.


Putrajaya: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan mengkaji semula 26 peraturan permohonan memasuki sektor awam termasuk membuka jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada pemohon memiliki ijazah sarjana muda.

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam, berkata kajian semula 26 daripada 593 peraturan itu bagi memperluaskan peluang pemohon kerja selain merakyatkan perkhidmatan awam mengikut perkembangan semasa. Katanya, SPA menerima purata 1.1 juta permohonan setahun berbanding kekosongan hanya 30,000 setahun, manakala kekosongan jawatan untuk tahun ini dan tahun depan berdasarkan penjawat awam yang bersara sebanyak 7,000.
“Ada juga peraturan pemohon yang menolak tawaran tidak akan dipanggil untuk temu duga jawatan sama bagi tempoh tiga tahun. Peraturan ini perlu dilihat sama ada masih relevan.

“Begitu juga dasar menetapkan mereka yang mempunyai sarjana tidak boleh memohon jawatan memerlukan kelayakan lebih rendah,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan dengan CUEPACS, di sini semalam. Turut hadir Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Tak mesra pekerja

Mahmood berkata, kajian semula 26 peraturan yang akan dilakukan bersama CUEPACS itu akan dilaksana secepat mungkin.
Katanya, perbincangan dengan kementerian, jabatan dan pihak berkuasa juga dilakukan bagi menentukan sama ada peraturan perlu diubah suai mengikut peredaran masa atau dihapuskan terus.

Sementara itu, Omar berkata 26 peraturan yang dikenal pasti itu dianggap sebagai tidak mesra pekerja sektor awam.

KUPEKMAS RANCANG KUMPUL 400,000 PESARA PADA HARI PESARA

Bernama
19/7/2012


KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) merancang mengumpulkan lebih 400,000 bekas penjawat awam di seluruh negara setiap tahun bagi meraikan Hari Pesara yang jatuh pada 19 Julai.

Presidennya Datuk Omar Osman yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata kelab itu akan menganjurkan pelbagai aktiviti yang mampu memberi faedah kepada bekas penjawat awam itu.

"Apa yang penting pada hari itu kita mahu meraikan pesara penjawat awam bagi menghargai jasa mereka kepada negara," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Perhimpunan Perdana Pesara Kerajaan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Pada majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan setiap 19 Julai, Malaysia akan meraikan Hari Pesara sebagai menghargai jasa mereka penjawat awam dalam membantu membangunkan negara.

Omar berkata KUPEKMAS menyambut baik pengisytiharan Hari Pesara itu dan akan meneruskan usaha membela nasib pesara penjawat awam di negara ini.

-- BERNAMA

19 JULAI DIISYTIHAR HARI PESARA

Bernama
19/7/2012


KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Setiap 19 Julai, Malaysia akan meraikan Hari Pesara sebagai menghargai jasa pesara penjawat awam dalam membantu membangunkan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah membela kebajikan lebih 400,000 pesara penjawat awam dengan baik dan berharap pihak lain turut menunjukkan keprihatinan terhadap mereka.

Ketika merasmikan Perhimpunan Perdana Pesara Kerajaan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Khamis, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.

"Sebagai Perdana Menteri dan wakil kerajaan, sokongan tuan-puan semua amat besar ertinya (bagi kami)," katanya kepada kira-kira 3,500 pesara penjawat awam dari seluruh negara yang menghadiri majlis itu.

Pada majlis sama, Najib turut melancarkan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) yang akan menjadi perantara pesara penjawat awam dengan kerajaan serta membela nasib mereka.

Turut hadir Presiden KUPEKMAS Datuk Omar Osman yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Najib berkata sistem demokrasi berParlimen yang diamalkan di negara ini mengutamakan sokongan kepada kerajaan bagi meneruskan kesinambungan usaha memakmurkan negara.

"Sistem ini memberikan hak kepada rakyat untuk menentukan pihak mana yang layak pada masa tidak lebih lima tahun sekali. Dalam beri sokongan penentu, adalah perlu dinilai sejauh mana keyakinan kita terhadap pihak pimpin dan tadbir negara.

"Kriteria kelayakan ini perlu dilihat daripada 'track record' kerajaan, sejauh mana kerajaan membantu rakyat, menjaga kedaulatan negara dan membela nasib pesara penjawat awam," katanya.

Beliau berkata Malaysia adalah antara negara yang mempunyai skim pencen terbaik hasil daripada dasar ekonomi negara yang bersifat inklusif bukan eksklusif.

"Memberikan kenaikan atau imbuhan kepada penjawat awam atau pencen bagi pesara penjawat awam tertakluk kepada kemampuan (kerajaan). Berbelanja lebih daripada kemampuan adalah 'sifir' keruntuhan ekonomi negara," katanya.

Najib berkata dalam menjana ekonomi negara yang mampan, asas ekonomi perlu dipertingkatkan termasuk melalui peningkatan hasil negara dan perbelanjaan berhemat.

"Bila ekonomi negara kukuh baru kemampuan kita dapat dipertingkatkan seterusnya mampu dinikmati rakyat termasuk pesara penjawat awam, saya tidak boleh janji terhadap apa saya tak boleh tepati.

"Jangan percaya janji kosong daripada orang yang mengidam nak ke Putrajaya...sokonglah kerajaan BN (Barisan Nasional)," katanya.

Pada sesi dialog kemudian, Najib berkata cadangan supaya veteran tentera yang bersara kurang daripada 21 tahun perkhidmatan diberi pencen akan dinilai secara terperinci termasuk daripada aspek kesan kepada ekonomi.

"Kalau ikutkan hati, memang (kerajaan) nak bagi semua tuntutan tapi tak boleh kerana kita kena lihat implikasi kewangan kerajaan," katanya.

Najib berkata kerajaan juga perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permintaan itu untuk bersikap adil kepada penjawat awam yang lain.

Sambil melahirkan rasa simpati, Najib yang pernah menjawat jawatan Menteri Pertahanan, berkata hakikatnya kerajaan tidak pernah menyuruh anggota berkenaan bersara awal sebaliknya ia pilihan individu yang dibuat atas beberapa sebab.

"Ada yang pilih untuk bersara awal kerana nak cari jawatan lain, peluang lain yang lebih baik tapi bila tak boleh, dia balik kepada nak pencen," katanya.

Beliau berkata kerajaan sememangnya berharap supaya semua anggota tentera dapat berkhidmat sehingga mencapai umur persaraan wajib sekaligus melayakkan mereka mendapat pencen untuk keperluan selepas bersara kelak.

-- BERNAMA

26 DASAR PENGAMBILAN PENJAWAT AWAM DIKAJI SEMULA

Bernama
19/7/2012

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan mengkaji semula 26 dari 593 dasar atau peraturan yang digunapakai dalam menentukan pengambilan penjawat awam bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan semasa.

Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam berkata 26 dasar itu dipilih kerana ia dianggap tidak mesra rakyat atau pemohon pekerjaan di sektor awam, dan mungkin hanya sesuai pada zaman ia mula-mula dilaksana.

"Contohnya ada peraturan yang mengatakan pemohon yang telah berjaya, jika mereka menolak tawaran itu mereka tidak dibenar memohon jawatan itu lagi untuk tiga tahun, tanpa usul periksa. Jadi kami kena siasat kenapa, kemungkinan dia tak sihat atau ada kontrak dengan syarikat lain. Jadi kami cadangkan peraturan yang tak mesra ini dihapuskan.

"Mereka yang dalam tempoh percubaan pula, hukuman tatatertib lebih ringan daripada mereka yang menjadi kaki tangan tetap, jadi ia perlu diselaraskan," katanya selepas perjumpaan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di pejabatnya di sini pada Khamis.

Mahmood berkata perkara itu telah dibentang kepada Cuepacs pada pertemuan itu, dan mereka diberi masa untuk mengkaji dan kemudian menyalurkan pandangan serta cadangan mereka mengenai perkara itu kepada SPA.

-- BERNAMA

19 Julai 2012

TIADA KOMPROMI SOAL KESELAMATAN PM: HISHAMMUDDIN

Berita Harian
18/7/2012

 
KUALA LUMPUR: Tiada kompromi dalam soal keselamatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berikutan insiden lelaki dan wanita mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga pada setiap waktu dalam menjamin keselamatan Perdana Menteri. "Saya boleh sahkan keselamatan Perdana Menteri tidak pernah dikompromi pada bila-bila masa. PDRM (Polis DiRaja Malaysia) masih menyiasat motif, kaitan dan rancangan. Beri mereka masa untuk lakukan tugasan mereka," katanya dalam status facebook beliau.
Pasangan amuk itu, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi, dan wanita berumur 28 tahun mengamuk dengan bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging.

Dalam kejadian 2.30 petang semalam, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita yang juga bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.

Susulan insiden amuk yang pertama kali berlaku itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon, berkata tahap keselamatan di JPM akan ditingkatkan bagi menjamin keselamatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata keselamatan di JPM adalah terkawal dan polis beranggapan kes semalam tidak akan diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.
"Polis di Putrajaya akan terus meningkatkan rondaan Unit Peronda (MPV) dan menjalankan kepolisan umum di kawasan sekitar JPM dan seluruh Putrajaya," katanya.

Beliau berkata, polis akan turut menyediakan anggota preman untuk memantau kawasan JPM dan seluruh Putrajaya.

Ketika dihubungi, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, berkata pihaknya mencadangkan agar kawalan keselamatan kawasan di luar JPM dipertingkatkan untuk memastikan kejadian semalam tidak berulang.

"Kawasan di perkarangan JPM sememangnya sudah ketat dan terdapat rondaan dilakukan. Tetapi perlu ditegaskan, kawasan luar JPM juga perlu diberi perhatian dan pemantauan," katanya.

Pihak berkuasa perlu memerhati pergerakan pihak atau individu yang mencurigakan apabila mereka menghampiri kawasan bangunan JPM dan termasuk kawasan pejabat kerajaan yang lain di Putrajaya. - BERNAMA

17 Julai 2012

IMBUHAN AIDILFITRI: CUEPACS CARI PENDEKATAN TERBAIK

Sinar Harian
16 Julai 2012

 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang mencari pendekatan terbaik untuk memastikan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara mendapat imbuhan menjelang Aidilfitri.Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan mendapatkan pandangan pihak tertentu berhubung perkara itu sebelum menyerahkannya kepada pihak pentadbiran untuk diputuskan.Beliau berkata Cuepacs tidak mahu setiap kali kongres itu membuat sesuatu tuntutan terutama bonus, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

"Kita (Cuepacs) sedang mencari ilham supaya perkara ini tak menyusahkan kerajaan, peniaga dan pekerja, kita mahu satu pendekatan yang bijak," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Majlis Kongres Cuepacs Bilangan 6 Sesi 2010-2013 di sini hari ini.Mesyuarat dihadiri 130 orang anggota majlis. Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa juga berkesempatan mengadakan dialog selepas mesyuarat.

Selain itu Omar mengulangi pendirian mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menarik balik dua dasar baru yang diperkenalkan iaitu membenarkan pemegang ijazah sarjana muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini.Beliau berkata dasar itu perlu dibatalkan dan satu pendekatan yang lebih berdaya saing diwujudkan untuk memantapkan perkhidmatan awam negara.Katanya keputusan Cuepacs berhubung perkara itu akan dikemukakan kepada Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam pada 19 Julai ini.

Omar berkata beliau difahamkan terdapat 800 jawatan untuk peringkat SPM telah ditawarkan kepada pemegang ijazah sarjana muda.Sementara itu Ali berkata pendekatan turun padang yang dilaksanakan oleh beliau diharap dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.Beliau berkata pendekatan tersebut lebih berkesan kerana dapat melihat keadaan sebenar berbanding hanya bergantung kepada laporan pegawai di peringkat tempatan.

Ali juga berharap Cuepacs yang memperjuangkan nasib penjawat awam supaya dapat berkongsi pandangan atau pendapat dan tidak merasakan wujud sebarang kekangan antara beliau dan kongres itu. - Bernama

CUEPACS CARI PENDEKATAN TERBAIK PASTIKAN PENJAWAT AWAM DAPAT IMBUHAN MENJELANG AIDILFITRI

Bernama
17/7/2012

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang mencari pendekatan terbaik untuk memastikan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara mendapat imbuhan menjelang Aidilfitri.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan mendapatkan pandangan pihak tertentu berhubung perkara itu sebelum menyerahkannya kepada pihak pentadbiran untuk diputuskan.

Beliau berkata Cuepacs tidak mahu setiap kali kongres itu membuat sesuatu tuntutan terutama bonus, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

"Kita (Cuepacs) sedang mencari ilham supaya perkara ini tak menyusahkan kerajaan, peniaga dan pekerja, kita mahu satu pendekatan yang bijak," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Majlis Kongres Cuepacs Bilangan 6 Sesi 2010-2013 di sini Isnin.

Mesyuarat dihadiri 130 orang anggota majlis. Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa juga berkesempatan mengadakan dialog selepas mesyuarat.



-- BERNAMA

13 Julai 2012

CUEPACS BINCANG BONUS AIDILFITRI UNTUK 1.4 JUATA PENJAWAT ISNIN INI

Bernama
13/7/2012


KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Tuntutan bonus Aidilfitri untuk 1.4 juta penjawat awam di negara ini adalah antara isu yang akan dibincang pada mesyuarat Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Isnin ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata permintaan bonus itu akan dibincang dari pelbagai sudut termasuk jumlah bayaran.

Cuepacs juga akan membincangkan dasar baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang membenarkan pemegang ijazah sarjana muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Omar mengulangi pendirian Cuepacs yang tidak bersetuju dengan dasar itu kerana dianggap menutup peluang kerjaya untuk lepasan SPM, selain boleh membawa masalah kepada SPA pada masa depan.

"Selain itu, Cuepacs juga membantah dasar SPA yang membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini," katanya.

Katanya keputusan Cuepacs berhubung kedua-dua dasar itu akan dikemukakan kepada Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam pada 19 Julai ini.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa di sini pada 16 Julai.

Selain beramah mesra, beliau berkata Cuepacs berharap Ali dapat memberikan pendapat dan komitmennya dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam.

-- BERNAMA

11 Julai 2012

CUEPACS GESA PEMBANTU MAKMAL IPTA DINAIKAN GRED

Bernama
11/7/2012


SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menaikkan gred jawatan kira-kira 2,000 pembantu makmal yang bertugas di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kesemua pekerja itu kini dalam gred C17 dan dicadang dinaikkan kepada gred C27 berikutan menanggung beban kerja yang berlebihan namun tiada apa-apa insentif diberikan.

"Kenaikan (gred) ini juga relevan kerana kumpulan terbabit bekerja lebih masa selain membantu pensyarah dan pelajar asing dalam menyiapkan tugasan dan kajian," katanya kepada pemberita selepas program Himpunan Transformasi dan Ikrar Integriti di sini.

Beliau berkata pihaknya akan memberi tempoh sehingga 30 Sept depan supaya perkara itu diambil tindakan segera.

Mengulas mengenai jumlah pemberian bonus yang perlu diberikan kerajaan kepada penjawat awam pada akhir tahun ini, Omar berkata kongres itu akan mengadakan mesyuarat pada 18 Julai bagi membincangkan isu tersebut.

-- BERNAMA

SPA SERIUS DALAM MEMIKAT BUKAN MELAYU SERTA SEKTOR AWAM

Bernama
11/7/2012


Laporan Khas Oleh Ravichandran D.J Paul

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat komposisi kaum yang lebih saksama dalam perkhidmatan awam selaras dengan dasar-dasar transformasi beliau dan matlamat 1Malaysia.

Begitu juga dengan ketua setiausaha negara yang baru Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang mahu melihat perkhidmatan awam menampilkan imej berbilang kaum.

Sekarang ini, lebih 80 peratus penjawat awam adalah Melayu dan Bumiputera lain sementara Cina (5 peratus) dan India (4 peratus). Bahagian yang diwakili bukan-Melayu begitu kecil sekali jika dibandingkan dengan 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

Pada satu ketika dahulu Jabatan Kerja Raya, Perkhidmatan Pos dan Keretapi Tanah Melayu didominasi pegawai daripada masyarakat India. Begitu juga golongan Bukan-Bumiputera hadir dalam bilangan ketara dalam bidang perguruan.

Hari ini, hanya sebilangan kecil penjawat awam India dan bilangan lebih kecil lagi penjawat awam Cina boleh ditemui di jabatan-jabatan tertentu khasnya dalam bidang profesional.

Sementara pintu terus terbuka bagi bukan-Melayu untuk menyertai perkhidmatan awam, mereka memandang sepi terhadap jawatan-jawatan sektor awam kerana menganggap peluang untuk meningkat naik dalam kerjaya adalah terhad berbanding rakan-rakan Melayu mereka.

Masalah ini diburukkan lagi oleh hakikat yang tidak ramai bukan-Melayu sekarang ini berminat dengan perkhidmatan awam. Masyarakat India lebih selesa dengan persekitaran berbilang budaya sementara masyarakat Cina pula memilih persekitaran berorientasi perniagaan.

Bagaimanapun, kerajaan kini serius dalam menarik penyertaan lebih ramai bukan-Melayu dalam usaha memastikan perkhidmatan awam diwakili semua kaum dan menerimapakai pendekatan abad ke 21 dalam menunaikan janji Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

USAHA GALAK RAMAI BUKAN MELAYU

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam menunjukkan bahawa kerajaan mengambil pelbagai usaha untuk menggamit bukan-Melayu menyertai perkhidmatan awam dan ia bukan sekadar omong-omong kosong.

SPA mengendalikan kira-kira 48 peratus daripada jumlah pengambilan kakitangan kerajaan.

Bagi Mahmood, perkara pertama untuk dilakukan adalah menggalakkan lebih ramai bukan-Melayu memohon jawatan-jawatan perkhidmatan awam supaya SPA mempunyai lebih ramai orang untuk dipilih berdasarkan kepada kelayakan dan merit yang ditetapkan bagi semua pemohon.

Sementara penjawat awam Melayu dan Bumiputera lain akan kekal dominan dalam perkhidmatan awam, memandangkan masyarakat itu mewakili majoriti, masih terdapat ruang bagi kaum lain untuk turut memainkan peranan.

Tetapi, untuk meyakinkan bukan-Melayu bahawa perkhidmatan awam bukan terhad kepada masyarakat Melayu sahaja pasti bukan mudah memandangkan Generasi Y adalah segmen populasi yang memasuki pasaran kerja sekarang ini.

SPA juga sedar yang ia perlu mencetuskan perubahan dalam minda masyarakat bukan-Melayu dan dengan itu ia mengambil inisiatif untuk terbabit secara langsung dengan komuniti terbabit.

LUPAKAN YANG LAMPAU

Jadi SPA kini mengambil satu pendekatan baru. Di sebalik hanya mengiklankan peluang-peluang pekerjaan, SPA kini turun padang untuk menggamit bukan-Melayu yang layak untuk mengisi kekosongan dalam perkhidmatan awam.

Antara inisiatif terawal adalah satu sesi dialog bersama 40 guru India dan pemimpin masyarakat untuk menyampaikan mesej di sekolah hinggalah kejiranan akan peluang-peluang yang terdapat dalam perkhidmatan awam bagi masyarakat India.

Sesi dialog bagi wilayah tengah pada Jumaat lepas (6 Julai), akan disusuli oleh sesi lebih kurang sama di wilayah selatan dan utara. Satu dialog lebih kurang sama bagi masyarakat Cina juga sedang diusahakan.

Menurut penyelaras sesi dialog ini G. Perumal, seorang anggota suruhanjaya perkhidmatan awam; "Pada sesi itu Tan Sri menjelaskan bahawa tidak ramai anggota masyarakat India memohon untuk menyertai perkhidmatan awam.

"Beliau menunjukkan bahawa daripada lebih 1.2 juta orang yang memohon mengisi kekosongan dalam perkhidmatan awam pada 2011, masyarakat India diwakili oleh 36,729 (3.27 peratus) orang dan masyarakat Cina jauh kurang iaitu seramai 23,547 (2.1 peratus) sementara pemohon Melayu mengatasi kedua-dua kaum dengan 893,292 (79.5 peratus) pemohon.

"Daripada bilangan ini, 2,316 India (6.3 peratus) dan 3,686 Cina (10.1 peratus) berjaya dipilih berbanding dengan 28,367 Melayu (77 peratus)."

"Tan Sri meminta masyarakat India untuk melupakan apa sahaja yang menghalang mereka sebelum ini daripada menyertai perkhidmatan awam memandangkan pintu bagi mereka terbuka luas sekarang ini."

"Buat julung kali bukan-Melayu boleh memohon sehingga 15 jawatan yang diiklankan oleh SPA dan bukan lima seperti sebelum ini dengan jawatan-jawatan itu diiklankan di akhbar-akhbar harian berbahasa Tamil," katanya dan menambahkata, sehinggakan SPA sedia mengatur temuduga mengikut keperluan pemohon.

BANYAK PERLU DILAKUKAN

Bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meyakinkan bukan- Melayu.

Mereka yang menghadiri dialog itu, khasnya kaum guru, tidak puas hati dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan awam.

Mereka menggunakan forum itu untuk menyuarakan keluhan mereka - ketinggalan dari segi kenaikan pangkat dan sumbangan mereka tidak diiktiraf.

Mereka juga menunjukkan peluang kenaikan pangkat yang terhad dan lain-lain lagi yang terhad bagi bukan-Melayu dalam pasukan polis dan angkatan tentera.

Perumal berkata Mahmood memberitahu anggota dialog yang keluhan mereka boleh diselesaikan pada forum relevan dan apa yang penting adalah untuk lihat kepentingan bersama demi masa hadapan.

Dan untuk maju dalam kerjaya dalam sektor awam, mereka perlu bermula dari bawah seperti semua yang lain.

-- BERNAMA

Nasional Penjawat awam digesa ubah mentaliti, cara kerja

Berita Harian
11/7/2012



KUALA LUMPUR: Penjawat awam perlu melakukan anjakan sikap drastik seiring dengan gagasan dan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata penjawat awam tidak seharusnya berasa selesa berada pada takuk lama sehingga pencen dan sentiasa cepat berpuas hati dengan pencapaian serta urusan harian yang biasa. “Penjawat awam perlu menyahut saranan Perdana Menteri sebagai satu cabaran bagi meningkatkan daya saing mereka. Mahu naik gaji tapi sikap pada tahap lama tidak mahu berubah macam mana?
“Kita menyokong untuk menjadikan penjawat awam berpendapatan tinggi tapi mesti seimbangkan pendapatan dengan sikap serta kerja yang dilakukan,” katanya hari ini, semalam.

Kelmarin, Najib berkata, penjawat awam perlu sentiasa mengambil sikap Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) sebagai panduan dalam melaksanakan tugas harian. Sikap itu pula perlu disokong dengan satu lagi akronim - PCI - ‘Productivity, Creativity and Inovation’ (Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi).

Perdana Menteri yang dikenali ramai sebagai ‘peminat bola,’ turut memberi contoh kejayaan Sepanyol menjuarai Euro 2012 menumpaskan Itali 4-0 yang menurutnya dicapai apabila pasukan itu menampilkan pendekatan baru dengan beraksi tanpa pemain penyerang, sebaliknya bergantung kepada enam pemain tengah untuk menjaringkan gol.

Omar berkata, bahagian latihan dan sumber manusia setiap agensi kerajaan perlu memainkan peranan dalam membentuk minda penjawat awam supaya mampu berfikir di luar daripada kebiasaan bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
“Dengan menggunakan kaedah bukan konvensional, mekanisme baru bagi menyelesaikan masalah rakyat dan melakukan kerja harian akan terbentuk dan mekanisme ini akan membantu penjawat awam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih baik dan berkesan,” katanya. - BERNAMA

09 Julai 2012

PENJAWAT AWAM PERLU LEBIH KREATIF DAN INOVATIF - NAJIB

Bernama
9/7/2012



PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Penjawat awam perlu menampilkan pelaksanaan tugas yang lebih kreatif dan inovatif bagi menyahut cabaran untuk memenuhi jangkaan rakyat yang semakin bertambah kompleks, pelbagai dan sentiasa berubah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkhidmatan awam merupakan tonggak kepada usaha memastikan dasar negara dilaksanakan, demi mencapai matlamat kerajaan untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Beliau berkata persekitaran hari ini jauh lebih berbeza berbanding satu ketika dahulu, yang menuntut kerjasama dan komitmen padu serta jitu daripada segenap lapisan pentadbiran.

"Kita berdepan dengan rakyat Malaysia yang mempunyai jangkaan dan harapan yang tidak macam dahulu dan perubahan ini disebabkan kejayaan kita menyediakan peluang pendidikan yang semakin tinggi, akses kepada pendidikan yang cukup luas. Pendedahan maklumat kini mungkin sudah terlalu banyak," katanya semasa berucap pada majlis Dialog Perdana Perkhidmatan Awam di sini Isnin.

Najib berkata sebagai pendukung sebuah pentadbiran, penjawat tidak ada pilihan selain daripada memacu kemampuan untuk menghasilkan sistem penyampaian yang lebih berkesan, pantas dan efektif.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia boleh berbangga kerana semasa persekitaran ekonomi negara Eurozone dan United Kingdom berada dalam keadaan tidak menentu, keadaannya tidak begitu ketara di Malaysia ketika ini.

"Mana tidaknya, mana-mana kami pergi, saya dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pergi, semua minta tambahan peruntukan," katanya dan menambah sektor pembinaan pula terus menyerlah tanpa menunjukkan tanda-tanda pertumbuhannya terjejas.

"Tapi kita juga perlu realistik, misalnya kita perlu pelaburan luar negara, kalau dunia menjurus ke arah krisis ekonomi, sudah tentu saluran bagi pelaburan baru akan berkurangan," katanya.

Najib berkata walaupun sudah menempa banyak kejayaan, namun perjalanan Malaysia masih jauh dan beliau percaya masih ada ruang untuk penjawat awam terus melakukan penambahbaikan, dan menurutnya perubahan itu perlu merupakan satu 'lonjakan berganda'.

Katanya, sebab itu beliau sering menggesa dan mencabar semua, termasuk dirinya sendiri, untuk memikirkan idea yang lebih kreatif dan inovatif yang boleh ditampilkan untuk membawa penambahbaikan sebenar, dan tidak boleh menjalankan tugas seperti kebiasaannya.

Najib berkata harapan dan jangkaan rakyat kini berubah dan pelbagai, apabila masyarakat di seluruh negara rata-rata berubah mengikut arus urbanisasi, yang membawa lebih banyak cabaran kepada sistem penyampaian, di samping menuntut penyesuaian dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab penjawat awam.

Menurutnya jika suatu ketika dahulu apa yang dipentingkan adalah keperluan asas seperti jalan raya, bekalan air dan eletrik, kini tuntutannya lebih pelbagai seperti usaha cegah jenayah, kebebasan dan layanan perkhidmatan.

Beliau berkata sebagai kerajaan, pentadbirannya tidak boleh menawarkan sesuatu yang retorik, tetapi perlu memberi bantuan yang jelas dan nyata yang sampai terus kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan banyak lagi.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga tidak boleh berbelanja sewenang-wenangnya kerana perlu bersandarkan kepada perbelanjaan yang berhemah.

"Kalau nak tambah perbelanjaan sekalipun, kita kena 'wujudkan kekayaan' kena cari sumber baru," katanya.

Lebih 500 penjawat awam dari seluruh negara hadir pada majlis dialog anjuran Razak School of Government, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perdana Menteri itu, yang diagendakan khusus sebagai platform utama untuk memastikan perkhidmatan awam Malaysia menjadi teras, tunjang dan tonggak hadapan dalam proses anjakan transformasi yang pesat ketika ini.

Majlis turut dihadiri Muhyiddin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.



-- BERNAMA

06 Julai 2012

KSN MINTA KETUA-KETUA SETIAUSAHA, JABATAN TURUN PADANG

Bernama
6/7/2012


KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa meminta semua ketua setiausaha dan ketua jabatan supaya turun padang untuk melihat sendiri keadaan petugas masing-masing ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau yang berjanji akan turut berbuat demikian, berkata langkah itu bertujuan menjaga kebajikan penjawat awam dalam melaksanakan tugas.

"Kita perlu turun melihat sendiri keadaan sebenar. Ada kemungkinan jabatan tertentu ada (berlaku) kelewatan (dalam menyediakan perkhidmatan). Kita perlu lihat perkhidmatan kaunter (misalnya) dan kita (hanya) lihat dari depan, dan tidak tahu adakah mereka selesa, adakah sesiapa yang menjaga mereka.

"Kita perlu jaga kebajikan petugas kita sendiri, perlu lihat kepuasan mereka untuk memberi perkhidmatan," katanya pada program Dialog Khas bersama KSN terbitan RTM yang disiarkan secara langsung di TV1 Rabu malam.

Pelantikan Ali, 57, berkuat kuasa pada 24 Jun lepas, dan beliau menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Ali yang merupakan KSN ke-13, sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

Program bertemakan 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' itu dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar.

Dalam pada itu, Ali meminta penjawat awam di peringkat atasan supaya mengamalkan sistem terbuka bagi memberi ruang kepada petugas bawahan untuk berjumpa dan memberi idea serta mengemukakan sebarang masalah.

Beliau turut menjawab soalan seorang pemanggil berhubung kekurangan penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor awam.

Ali berkata antara kaedah yang boleh dibuat untuk menarik minat golongan itu menyertai sektor awam yang kini mempunyai 1.4 juta pejawat ialah mengadakan dialog dan perjumpaan dengan persatuan dianggotai bukan Bumiputera.

Mengenai dakwaan pakej yang ditawarkan di sektor awam kurang menarik berbanding swasta, beliau berkata lebih banyak maklumat perlu didedahkan berhubung keistimewaan sektor awam.

Beliau turut menggalakkan ketua setiausaha dan ketua jabatan supaya menggunakan media baharu seperti Facebook dan Twitter dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Selain itu, beliau menggesa penjawat awam supaya memupuk kerjasama erat antara satu sama lain, selain dengan badan bukan kerajaan, pihak swasta dan Cuepacs.

"Kita mempunyai kelebihan jika kita bekerjasama mencari jalan untuk membangunkan negara selaras dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020," katanya.

-- BERNAMA

Cuepacs: SPM-level jobs for degree holders an unfair move

The Star
By MAZWIN NIK ANIS

mazwin@thestar.com.my
5/7/2012

PETALING JAYA: Cuepacs is against the Public Service Commission's move to allow degree holders to apply for positions meant for SPM holders as it will limit job opportunities for those holding the certificate.Its president Datuk Omar Osman, who described the move as a step backward, said even though 80% of posts in the civil service was for those with SPM and below, it did not mean degree holders should apply for these jobs.

“We do not know what the commission's rationale is for introducing this ruling but we don't think it makes sense at all. We do not support this idea,” he said in an interview.The PSC had announced that effective July 1, degree holders would be allowed to apply and hold positions meant for SPM holders.The commission, on its website, explained the ruling would allow all applicants to compete for positions without having to face restrictions due to their qualification, adding that applicants could apply for positions that were two levels lower than their qualification.

Omar said that there had been previous attempts to employ degree holders to do jobs for which they were over-qualified but in most cases, the staff left when they got an offer that matched their paper qualifications.“It is unfair to allow degree holders to take on jobs held by those with SPM. Furthermore, there is a question of ego to consider because some people do not like to take instructions from those who are not their level.
“Also, the Government should promote those who started work as SPM holders but have obtained degrees since. Many are still stuck doing administrative assistant jobs when they should have been promoted,” he said.
On another ruling whereby one could now apply for 15 positions at one go, Omar said this was acceptable provided the job sought was according to one's qualification.

04 Julai 2012

Farida to fill in as PSD head

The Star
4/7/2012
 

KUALA LUMPUR: Datuk Farida Mohd Ali will take over the duties of the director-general of the Public Service Department starting July 1, pending the government's decision to appoint a new director-general.

.
Datuk Farida Mohd Ali was previously PSD deputy director-general of development

Chief Secretary to the Government Datuk Seri Dr Ali Hamsa, who made the announcement in a short press release yesterday, also expressed the government's gratitude and thanks to former director-general Tan Sri Abu Bakar Abdullah, 57, for his 35 years of service in the public sector.
Meanwhile, Cuepacs president Datuk Omar Osman, when contacted yesterday, said he would meet with Ali and Abu Bakar before commenting on the matter.

SPA SEDIA JUMPA CUEPACS ISU PERLAKSANAAN DUA DASAR BAR

Utusan Malaysia
4/7/2012


KUALA LUMPUR 3 Julai - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersedia mengadakan pertemuan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menjelaskan secara terperinci berhubung pelaksanaan dua dasar baru yang diperkenalkan kelmarin.
Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, ia sebagai menolak dakwaan kesatuan itu yang menyifatkan dasar-dasar berkenaan sebagai tidak relevan dan merupakan 'langkah ke belakang' berbanding amalan sebelum ini.
Jelas beliau, selain meningkatkan peluang permohonan jawatan ke sektor awam, pelaksanaan dasar itu dibuat bagi menyelesaikan masalah kekurangan kaum bukan Melayu menyertai sektor awam dalam usaha menarik lebih ramai kaum itu berkhidmat di sektor tersebut.
''CUEPACS tidak tahu apa masalah sebenar yang dihadapi, dasar ini dibuat setelah mengambil kira situasi menang-menang tanpa menjejaskan peluang dan ruang pemohon di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
''Oleh itu kita mengalu-alukan mereka berjumpa dengan kami untuk diberi penjelasan sewajarnya kerana dasar ini melibatkan orang awam yang belum lagi menjadi ahli kesatuan itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pandangan CUEPACS yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dua dasar baru yang turut disifatkan tidak mencerminkan daya saing di kalangan pemohon yang berbeza kelayakan, malah mendakwa ia adalah satu pembaziran.
Dasar yang diperkenalkan itu adalah membenarkan calon memiliki Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat SPM selain turut membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sahaja sebelum ini.
Sementara itu, SPA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, dua dasar baru yang diperkenalkan itu membolehkan semua calon bersaing bagi memohon mana-mana jawatan yang bersesuaian tanpa sekatan tahap kelayakan akademik yang dimiliki.
Kata kenyataan itu, langkah itu selaras hasrat kerajaan supaya rakyat tidak memilih pekerjaan walaupun mempunyai kelayakan lebih tinggi.
Jelasnya, jumlah kekosongan di peringkat ijazah adalah terhad dan ia menjadi punca hanya 7,007 calon dilantik ke perkhidmatan awam pada tahun lalu berbanding 155,297 pemohon.

PENJAWAT AWAM PERLU ANJAKAN SIKAP YANG DRASTIK - CUEPACS

Bernama
4/7/2012


KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Penjawat awam perlu melakukan anjakan sikap yang drastik seiring dengan gagasan dan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Omar berkata penjawat awam tidak seharusnya berasa selesa berada di takuk lama sehingga pencen dan sentiasa cepat berpuas hati dengan pencapaian serta urusan harian yang biasa.

"Penjawat awam perlu menyahut seruan Perdana Menteri sebagai satu cabaran bagi meningkatkan daya saing mereka. Mahu naik gaji tapi sikap di tahap lama tidak mahu berubah... macam mana?.

"Kita menyokong untuk menjadikan penjawat awam berpendapatan tinggi tapi mesti seimbangkan pendapatan dengan sikap serta kerja yang dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Najib berkata penjawat awam perlu sentiasa mengambil sikap Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) sebagai panduan dalam melaksanakan tugas harian. Sikap itu pula perlu disokong dengan satu lagi akronim - PCI - 'Productivity, Creativity and Inovation' (Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi).

-- BERNAMA

03 Julai 2012

CUEPACS TIDAK SETUJU DUA DASAR BARU SPA

Utusan Malaysia
3/7/2012

KUALA LUMPUR 2 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan dua dasar baru yang diperkenalkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam usaha meningkatkan peluang permohonan jawatan ke sektor awam.Presidennya, Datuk Omar Osman menyifatkan dasar-dasar berkenaan sebagai tidak relevan dan merupakan ‘langkah ke belakang’ berbanding amalan sebelum ini. Katanya, dasar tersebut langsung tidak mencerminkan daya saing dalam kalangan pemohon yang berbeza kelayakan malah mendakwa ia adalah satu pembaziran.

“Dasar seumpamanya pernah diamalkan dahulu, calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda layak memohon jawatan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagaimanapun, ia lebih banyak mendatangkan masalah berbanding menyelesaikannya, apa akan berlaku kepada calon yang memiliki diploma atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)?.“Sekiranya calon memiliki ijazah tersebut menerima tawaran yang setimpal dengan kelayakan, sudah tentu dia akan meninggalkan jawatan SPM yang dimiliki. Kemudian, SPA perlu buat lagi temuduga untuk cari pengganti, ia adalah pembaziran dan menyebabkan kekecohan.

“CUEPACS tidak bersetuju dan menolak dasar-dasar baru berkenaan. Ia bukanlah penyelesaian yang realistik kepada masalah 35,000 pemilik ijazah yang bekerja secara kontrak ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas tindakan SPA memperkenalkan dua dasar baru bertujuan meningkatkan peluang permohonan jawatan ke sektor awam berkuatkuasa semalam. Dasar yang diperkenalkan itu adalah membenarkan calon memiliki Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat SPM selain turut membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sahaja sebelum ini.

Ditanya sama ada CUEPACS akan berjumpa dan berbincang dengan SPA berhubung pelaksanaan dasar-dasar berkenaan, Omar berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian.
Sebaliknya, menurut beliau, pihaknya akan membincangkan perkara berkenaan di dalam mesyuarat kongres dan akan membawanya kepada perhatian Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara.“Tiada sebab untuk kami berjumpa dengan SPA. Masa mereka bincang untuk melaksanakan dasar ini, kami langsung tidak dipanggil.

“Kami akan membawa perkara ini kepada perhatian Perdana Menteri. Kalau tidak dapat, kami akan berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara," jelasnya.

KAKITANGAN AWAM MESTI CEPAT DAN TEPAT

Utusan Malaysia
2/6/2012


NAJIB Tun Razak menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (kanan), Tan Sri Koh Tsu Koon (dua dari kiri), Datuk Seri G. Palanivel (dua dari kanan) dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa. - BERNAMA


PUTRAJAYA 2 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kakitangan awam bertindak secara terancang, mengambil sikap bergerak dengan cepat, tepat dan berintegriti (CTI) supaya rakyat dapat merasai perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan.Perdana Menteri berkata, sikap itu perlu disokong dengan produktiviti, kreativiti dan inovasi (PCI) agar kepuasan rakyat terus meningkat terhadap perkhidmatan kerajaan.

''Kalau kita ingat pada dua akronim ini, ia mencerminkan proses pembaharuan yang perlu dilakukan dalam perkhidmatan kerajaan iaitu mencari idea-idea baru lebih bernas dan tidak begitu konvensional kerana yang penting ialah keberhasilan," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.Menurutnya Najib, dalam pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara yang baru, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, beliau mahu perkhidmatan awam diterapkan dengan akronim-akronim yang dapat menggambarkan proses pembaharuan dalam kerajaan.

Beliau menarik perhatian tentang analogi Euro 2012 di mana Sepanyol menang tanpa ada penyerang namun enam pemain tengahnya masing-masing boleh menjaringkan gol.Perdana Menteri menyifatkan kejayaan Sepanyol itu satu formasi yang tidak biasa dilakukan dan belum dicuba tetapi akhirnya menjadikan negara itu juara Eropah.
''Justeru sebagai sebuah kerajaan kita juga sentiasa mencari idea-idea yang ada kelainan.
''Salah satu daripada kejayaan mutakhir ini yang menepati CPI dan PCI ialah apabila kita mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Melaka yang menempatkan agensi-agensi kerajaan di bawah satu bumbung," katanya.
Perkhidmatan di bawah satu bumbung di UTC Melaka bermula pukul 8.30 pagi hingga 10 malam merupakan satu pembaharuan yang mungkin tidak ada negara lain di dunia berbuat demikian untuk memberi keselesaan kepada rakyat.Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kerana hasil usaha membangunkan projek e-Kasih untuk membasmi kemiskinan telah berjaya membantu kerajaan mendapat tempat pertama Anugerah Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi kategori Meningkatkan Pengurusan Ilmu Dalam Kerajaan.''Walaupun ada pihak cuba menidakkan apa yang kita hendak lakukan dengan tujuan dan motif politik tetapi kita kena sentiasa yakin bahawa usaha dan niat yang baik boleh mencapai kejayaan demi kejayaan.

''Kita akan teruskan usaha walaupun ada rintangan dan usaha untuk menggagalkan tetapi kalau kita gigih, lambat laun kebenaran akan timbul jua," katanya.Perdana Menteri turut menyimpulkan lonjakan saham Felda Global Venture (FGV) hampir 20 peratus adalah bukti usaha pihak tertentu yang cuba mengeksploitasikan penyenaraian saham FGV bermotif politik semata-mata untuk merampas Putrajaya.Katanya, Barisan Nasional (BN) akan tetap mempertahankan Putrajaya kerana yakin dan percaya bahawa hasrat untuk memajukan negara akan mendapat rahmat Allah.Beliau turut meminta kakitangan awam memberi sokongan kepada KSN baru dan bergerak sebagai satu pasukan berdasarkan kepada perkhidmatan yang cepat, tepat berintegriti selain memberi tumpuan kepada produktiviti, kredibiliti dan inovasi.

NASIB LEBIH 500 JURUFOTO, JURUKAMERA KPKK DAPAT PEMBELAAN RAIS YATIM

Bernama
2/7/2012


KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Nasib lebih 500 jurufoto dan jurukamera yang berkhidmat dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) mendapat pembelaan menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu mereka menerima faedah perkhidmatan dan gaji yang lebih baik.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf supaya mengkaji semula beberapa cadangan bagi menambah baik perkhidmatan kumpulan itu.

Antaranya ialah kenaikan pangkat sehingga Gred 54 berbanding Gred 38 sebagai gred maksimum bagi jawatan itu di bawah Sistem Saraan Malaysia pada masa ini, kata Rais dalam perjumpaan khas pertama beliau dengan jurufoto dan jurukamera dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di kementerian itu di sini, pada Isnin.

Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Kamaruddin dan Timbalan Ketua Setiausaha KPKK Datuk Dr Rothiah Omar.

Rais berkata langkah itu akan membuka laluan kerjaya yang lebih luas kepada mereka memandangkan dunia fotografi begitu luas manakala foto dan video adalah pemangkin kepada tamadun moden.

Beliau berkata pada permulaannya KPPK akan membawa perkara itu kepada perhatian pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sekiranya tidak selesai di peringkat itu, beliau akan membawanya ke Kabinet untuk pertimbangan.

Rais berharap faedah dan syarat perkhidmatan lebih baik dapat meningkatkan produktiviti negara melalui bidang fotografi memandangkan kehidupan masyarakat tidak lengkap tanpa foto dan video yang dilihat dan ditonton menerusi akhbar dan televisyen setiap hari.

Katanya melalui penambahbaikan itu juga seseorang jurufoto mungkin boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat walaupun tidak memiliki kelayakan ijazah kerana pertimbangan dibuat berdasarkan bakat dan kebolehannya merakam gambar dengan baik.

Rais turut menasihati kumpulan itu agar meningkatkan lagi tahap profesionalisme mereka sejajar dengan peningkatan dalam skim perkhidmatan mereka.

Beliau turut mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian supaya mengkaji semula kes-kes jurufoto dan jurukamera yang tidak menerima kenaikan pangkat selama lebih 10 tahun untuk membawa perkara itu ke perhatian pihak JPA.

Pada sidang akhbar selepas itu, Rais berkata beliau berharap dengan langkah itu kumpulan berkenaan tidak akan terasa terasing dan berasa perkhidmatan mereka dihargai.

Sementara itu, Ketua Unit Foto Bernama Mustaza Mohd Yusoff mengucapkan terima kasih kepada menteri dan menyifatkan langkah itu sebagai telah meningkatkan semangat jurufoto dan jurukamera dan berharap ia akan menjanjikan masa depan yang lebih cerah.

Timbalan ketua unit yang sama, Zid Omar juga berterima kasih kepada Rais dan yakin langkah itu akan membuka ruang kepada para jurufoto dan jurukamera untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

"Selama ini jurufoto dan jurukamera melakukan pekerjaan yang mencabar dan berbahaya tetapi kurang dihargai. Saya gembira kerana menteri nampak tugas kami dan menghargai kami dan melihat kerjaya ini sebagai mempunyai masa depan," kata beliau.

Seorang lagi jurufoto Bernama, yang juga timbalan ketua di unit yang sama, Kasim Saad menaruh harapan tinggi agar langkah baik yang diusahakan Rais itu akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA