SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

16 Mac 2009

BATAL LESEN DOKTOR TIPU CUTI SAKIT

Utusan Malaysia
16/3/2009


KUALA LUMPUR 13 Mac - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) akan bertindak tegas terhadap doktor yang menipu dalam mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) termasuk membatalkan lesen amalan mereka terutama jika mengulangi kesalahan yang sama.
Presidennya, Datuk Dr. Khoo Kah Lin berkata, tindakan amaran akan diberikan terhadap doktor yang melakukan kesalahan itu buat kali pertama.
''Tetapi setelah beberapa kali diberi amaran dan masih degil serta mengulangi kesalahan yang sama, MMA akan membatalkan lesen amalan mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan yang akan diambil terhadap doktor yang didapati menipu dalam mengeluarkan cuti sakit kepada pekerja untuk tujuan peribadinya.
Dalam buletin terbaru MMA, Kah Lin berkata, penyalahgunaan sijil cuti sakit di kalangan pekerja banyak berlaku di negara ini.
Katanya, antara penyalahgunaan yang sering berlaku ialah mendapatkan cuti sakit untuk tujuan peribadi, menyambung tempoh cuti umum atau cuti tahunan dan mengelak daripada menghadiri kes mahkamah.
Mengulas perkara itu, beliau bagaimanapun berkata, bilangan doktor yang terlibat dalam fenomena penyalahgunaan sijil cuti sakit itu tidaklah begitu tinggi.
''Kami tidak menafikan bahawa wujud perkara ini, tetapi ia tidak serius seperti yang dilaporkan. Mungkin hanya segelintir doktor di negara ini yang mengeluarkan sijil cuti sakit seperti ini kepada pekerja,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman juga bersetuju bahawa pengamal perubatan yang melanggar etika perubatan wajar dikenakan tindakan tegas.
''Mereka yang diberi kuasa untuk berbuat demikian tidak harus menyalahgunakan kuasa tersebut,'' katanya.
Pada masa yang sama, majikan terpaksa membayar kos rawatan pekerja sekiranya pekerja terbabit sering mengambil cuti sakit.
''Ia secara tidak langsung akan menjejaskan produktiviti pekerja dan melambatkan kerja yang diserahkan kepadanya,'' tambah beliau.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Mustafar Maarof berkata, fenomena penyalahgunaan sijil cuti sakit bukan setakat dilakukan oleh doktor klinik swasta sahaja, malahan juga oleh doktor hospital kerajaan.
''MMA perlu memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat supaya imej pengamal perubatan yang lain tidak terjejas,'' katanya.

Tiada ulasan: