SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

08 Mac 2009

KERAJAAN PERLU ROMBAK KAEDAH PINJAMAN PERUMAHAN

Berita Harian
Oleh Haspaizi Mohd Zain
bhkb@bharian.com.my
8/3/2009



Pembiayaan Perbendaharaan masih tak cukup: CuepacsKOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), meminta Perbendaharaan mengkaji semula kaedah penilaian pinjaman kepada kakitangan kerajaan yang ingin membina rumah. Presidennya, Omar Osman, berkata bahagian berkenaan seharusnya meluluskan pinjaman kepada kakitangan kerajaan mengikut jumlah permohonan selain berdasarkan kadar gaji peminjam, supaya tidak membebankan masa depan mereka.
Katanya, ramai kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman membina rumah, ada yang akhirnya terpaksa meminjam daripada pihak lain kerana permohonan yang diluluskan tidak mengikut jumlah pinjaman yang dipohon. "Contohnya, permohonan yang layak mendapat pinjaman RM100,000, tetapi yang diluluskan hanya RM70,000. Sepatutnya Perbendaharaan meluluskan pinjaman mengikut jumlah dikehendaki kerana mereka berhak mendapat pinjaman itu," katanya. Omar berkata, pihaknya kesal tindakan Perbendaharaan itu menyebabkan peminjam terpaksa mencari sumber lain seperti berhutang atau meminjam dari pihak tertentu untuk memenuhi kos yang diperlukan untuk membina rumah.
"Bagi saya tidak ada masalah untuk meluluskan pinjaman mengikut kemampuan peminjam, lebih-lebih lagi harga rumah kini mahal. Jika pinjaman kepada peringkat atasan diluluskan dengan segera, mengapa golongan bawahan perlu didiskriminasikan," katanya. Sementara itu, Pertubuhan Projek Rumah Rakyat Kelantan (PRRK) menganggap usaha menyediakan rumah pada kadar harga rendah kepada kakitangan kerajaan di negeri ini akan terbantut, jika pinjaman yang diluluskan tidak mengikut jumlah yang dipohon oleh peminjam. Yang Dipertua PRRK, Datuk Hanifi Awang, berkata apabila jumlah diluluskan tidak mengikut permohonan, ia tentu memberi kesan kepada pengguna membina rumah, sekali gus membantutkan usaha membina rumah murah kepada kakitangan kerajaan. Katanya, pihaknya sentiasa berusaha membantu menyediakan kemudahan berkenaan, namun apabila pinjaman yang diluluskan tidak seperti yang diharapkan, pembinaan rumah terpaksa ditangguhkan kerana peminjam tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.
"Ada peminjam yang layak mendapat pinjaman penuh contohnya sehingga RM100,000, tetapi hanya mendapat separuh daripada permohonan itu. "Dalam menyediakan kemudahan kediaman kepada kakitangannya, kerajaan harus membuat penilaian terbaik bagi meluluskan permohonan supaya tidak membebankan golongan berkenaan," katanya.

Tiada ulasan: