SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

15 Ogos 2014

CUEPACS, ANGKASA BANTAH CADANGAN SALUR DANA BPA KEPADA PIHAK KETIGA

Bernama
14/8/2014




PETALING JAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) pada Khamis membantah cadangan penyaluran RM60 juta dana Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA) kepada pihak ketiga.

Berikutan itu, Cuepacs dan Angkasa akan menghantar satu memorandum bantahan mengenainya kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek, Presiden Cuepacs Azih Muda hari ini.

Cuepacs dan Angkasa juga akan meminta kementerian mengkaji semula cadangan itu, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama pimpinan Angkasa di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan untuk menyalurkan sebahagian dana BPA kepada satu lagi pihak yang turut menjalankan aktiviti sama seperti Angkasa.

"Kita menerima maklumat bahawa ada usaha pihak tertentu yang ingin mengambil alih fungsi Angkasa dalam mengurus potongan gaji anggota koperasi termasuk lebih 2.2 juta penjawat awam," katanya.

Sementara itu, Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata Angkasa, yang sudah 43 tahun beroperasi, mungkin kehilangan 40 peratus sumber pendapatan jika cadangan itu diteruskan dan ia boleh menjejaskan operasinya.

"Setakat ini, hanya Angkasa sahaja yang menguruskan BPA," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Cuepacs, beliau berkata kedua-dua pihak turut membincangkan isu dasar dan survival Angkasa dari segi perniagaan selain usaha memperkemas kerjasama dua organisasi berkenaan.

Angkasa mempunyai 11,400 gerakan koperasi yang bernaung di bawahnya dengan keanggotaan lapan juta orang termasuk penjawat awam.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: