Utusan Malaysia
2/10/2014
Rasuah adalah perbuatan pecah amanah. Dosa pertama yang dilakukan oleh manusia adalah kesalahan melanggar amanah; dikisahkan dalam ayat 115 Surah Thaahaa bermaksud: "Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat".Perintah tersebut terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: "Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isteri mu syurga ini dan makanlah makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang yang zalim."Dokumen tertua yang ditemui menyentuh subjek rasuah, terkandung dalam Arthasastra, tulisan BC Kautilya di India, pada tahun 300 sebelum Masihi. Di China, Dinasti Qing pada tahun 220 sebelum Masihi memahami konsep rasuah dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terlibat melakukannya.
2/10/2014
Teks penuh Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena
Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah/Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah (BPR/SPRM) Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),
semalam.BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya jua, beta dapat
berangkat untuk menzahirkan Titah Diraja Sempena Sambutan Ulang Tahun
Ke-47 penubuhan BPR yang kini dikenali dengan nama Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Titah ini akan menyentuh dua aspek:
Pertama, senario umum. Kedua, menangani rasuah.
Aspek Pertama: Senario Umum
Rasuah adalah perbuatan pecah amanah. Dosa pertama yang dilakukan oleh manusia adalah kesalahan melanggar amanah; dikisahkan dalam ayat 115 Surah Thaahaa bermaksud: "Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat".Perintah tersebut terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: "Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isteri mu syurga ini dan makanlah makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang yang zalim."Dokumen tertua yang ditemui menyentuh subjek rasuah, terkandung dalam Arthasastra, tulisan BC Kautilya di India, pada tahun 300 sebelum Masihi. Di China, Dinasti Qing pada tahun 220 sebelum Masihi memahami konsep rasuah dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terlibat melakukannya.
Rasuah ditakrifkan, perbuatan salah guna kuasa untuk memperkayakan
atau memberi kelebihan kepada individu, anggota keluarga dan kenalan
rapat ketika seseorang itu diamanahkan tanggungjawab mentadbir urus
sumber awam.Diriwayatkan daripada Abu Hurairah;"Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Akan datang
suatu zaman, umat manusia tidak lagi mempedulikan rezeki yang diterima
olehnya sama ada daripada sumber halal atau haram."Profesor Emeritus Dr. Petrus van Duyne (Universiti Tilburg),
penyelidik tersohor jenayah ekonomi, penyeludupan wang dan rasuah
mentakrifkan konsep rasuah secara saintifik: "Corruption is an improbity
or decay in the decision-making process in which a decision-maker
consents to deviate or demands deviation from the criterion which should
rule his or her decision-making, in exchange for a reward or for the
promise or expectation of a reward, while these motives influencing his
or her decision-making cannot be part of the justification of the
decision."
Rasuah berlaku di sektor awam dan di sektor swasta, malah hari ini
turut berlaku dalam institusi antarabangsa, institusi agama serta badan
sukarela dan badan sukan. Ban Ki-Moon, Setiausaha Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September 2007 menyatakan: "Corruption
undermines democracy and the rule of law. It leads to violations of
human rights. It erodes public trust in government. It can kill."Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan
pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan
kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat
perkhidmatan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik.
Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan
tetapi kerana rasuah, ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran - ada
yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna -
hasil mahsul lesap, akibatnya kemunduran terus melanda - kemiskinan
terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah,
ia akan tumbuh melebar - subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan
akhirnya meresap menjadi budaya, hingga memusnahkan sesebuah negara
bangsa.
Rasuah mengakibatkan ketirisan khazanah negara, pembangunan tidak
lestari, pencemaran alam sekitar, agihan kekayaan tidak seimbang dan
peningkatan kemiskinan. Antara 2001 hingga 2010, hampir AS$6 trilion
disalah guna di negara-negara miskin hingga menjejaskan kehidupan rakyat
biasa. Dianggarkan, setiap tahun, AS$1 trilion pengubahan wang secara
haram (money laundering) berlaku di negara-negara miskin dan kurang
membangun; dianggarkan juga, setiap tahun AS$38 ke AS$64 bilion hasil
dalam bentuk cukai di negara-negara sedang membangun, tidak dipungut
kerana rasuah.
Ketirisan AS$1 trilion, menjadi punca kepada 3.6 juta kematian
setahun; kerana hasil negara yang sepatutnya dibelanjakan untuk
perkhidmatan kesihatan, makanan dan infrastruktur telah dilesapkan.
Perangkaan 2012 mendedahkan, separuh daripada 61 juta kanak-kanak yang
tercicir sekolah rendah berlaku di Sub Saharan Afrika. Jika rasuah
berjaya dihapuskan di Sub Saharan Afrika, setiap tahun, 10 juta
kanak-kanak akan mendapat kemudahan sekolah, 500,000 guru boleh dilantik
dan lebih 11 juta penghidap HIV/AIDS dapat dibekalkan ubat
antiretroviral.
Rasuah berlaku tidak hanya di negara mundur - negara miskin. Rasuah
turut berlaku di negara maju - negara kaya, dalam pertubuhan-pertubuhan
antarabangsa; malah berlaku pada skala lebih besar, memberikan impak
global hingga menjejaskan kehidupan insan di serata dunia. Bermakna,
mereka di negara maju, tidak sebersih kain yang putih - tidak sejernih
air di telaga Zam-zam.Sektor swasta tidak sunyi daripada skandal rasuah. Pada 2012,
bank-bank ternama antarabangsa dikenakan denda AS$21 bilion atas
pelbagai kesalahan melibatkan fraud, mengelak cukai, manipulasi kadar
faedah dan pelaburan berisiko tinggi. Syarikat Siemens pada 2008, telah
mengolah akaun syarikat untuk menghalalkan rasuah dengan menyediakan
peruntukan AS$50 juta, di bawah klasifikasi Bajet Rasuah Tahunan.
Syarikat Siemens didenda AS$800 juta di bawah akta The Foreign Corrupt
Practices, Amerika Syarikat (AS). Dalam tahun 2010, enam syarikat minyak
dan gas yang beroperasi di AS didenda AS$236 juta di bawah akta yang
sama. Selama 25 tahun, Syarikat WALMART menjadi subjek Foreign
Corruption Act; WALMART akhirnya mengaku secara konsisten telah membayar
rasuah di Mexico antara 2003-2008. Rolls-Royce membuat pengakuan
terbuka menggunakan rasuah sebagai instrumen untuk menembusi pasaran
China.
Institusi-institusi antarabangsa tidak bebas daripada pelbagai
skandal. Nama baik PBB tercemar berikutan pendedahan skandal program
oil-for-food yang dilakukan oleh pihak tertentu, melibatkan individu dan
syarikat di beberapa negara antaranya AS, Australia, Britain, Jerman,
Perancis, Rusia dan Switzerland. Program Millenium Development Goals
(MDG), diperkenalkan pada tahun 2000, bertujuan membantu nasib lebih
satu bilion manusia yang berpendapatan kurang daripada AS$1 sehari;
rasuah telah mengakibatkan kos program bekalan air bersih dan sanitasi
meningkat AS$48 bilion lebih tinggi.
Sumber ekonomi dan kegiatan ekonomi di bawah sistem pemerintahan
komunisme terletak di bawah kawalan langsung negara. Maklumat dikawal
secara ketat, media berada di bawah kawalan pemerintah dan masyarakat
awam tidak mempunyai kebebasan bersuara secara terbuka. Sistem
pemerintahan sedemikian membolehkan akar rasuah tumbuh melata.Bermula dengan era Deng Xiaoping pada 1978, meskipun kekal dengan
doktrin politik berteraskan komunisme, negara China telah melakukan
transformasi ekonomi secara radikal hingga kini muncul sebagai kuasa
ekonomi kedua terbesar di dunia. Reformasi ekonomi membuka ruang untuk
membolehkan berlakunya rasuah lebih besar, melalui pelbagai peluang baru
penswastaan. Kekayaan baru mencetuskan masalah baru.
Global Financial Integrity (GFI) yang berpangkalan di Washington
menganggarkan AS$2.83 trilion dialirkan keluar secara haram dari China
antara 2005 hingga 2011. Lebih 150 economic fugitives dari China,
majoritinya pegawai yang mempunyai rekod melakukan rasuah dilaporkan
berada di AS. Sumber Reuter melaporkan Interpol mempunyai waran tangkap
terhadap 69 warga China atas kesalahan rasuah, menggelapkan wang, fraud
dan sogokan. Xinhua News Agency pada Julai 2014, melaporkan sejak 2008,
730 warga China dari pelbagai negara di serata dunia, yang disyaki
melakukan jenayah ekonomi telah diserahkan kembali (extradited).
Presiden Xi Jinpeng mengakui secara terbuka bahawa China sedang
dilanda masalah rasuah; mengumumkan pendirian tegas bahawa kepimpinan
beliau berazam untuk membanteras rasuah. Dalam ucapan ulungnya setelah
mengambil alih kepimpinan negara, Presiden Xi antara lain menegaskan: "Inside the party, there are many problems that need to be addressed,
especially the problems among party members and officials of corruption
and taking bribes, being out of touch with the people, undue emphasis
on formalities and bureaucracy; ...to forge iron, one must be strong."
Rakyat China diingatkan bahawa tentera China tewas kepada tentera
Jepun dalam tahun 1894 walaupun pertahanan China memiliki kapal-kapal
yang mahal dari Eropah. Sejarawan menyifatkan kekalahan China adalah
disebabkan amalan rasuah di kalangan pemimpin tinggi ketika itu.
Presiden Xi memberikan amaran bahawa parti dan negara akan musnah jika
rasuah tidak dihentikan. Li Keqiang dalam sidang akhbar pertama selepas
dilantik sebagai Perdana Menteri pada 15 Mac 2013, menegaskan: "stirring vested interest may be more difficult than stirring the
soul...; clean government should start with oneself,. Only if one is
upright himself should he ask others to be upright. After entering
public service, we should give up all thought of making money."
Pegawai kerajaan yang hidup mewah, mengadakan majlis keraian secara
besar-besaran termasuk majlis perkahwinan disiasat, diminta
mengisytiharkan sumber pembiayaan. Langkah pengisytiharan harta diri dan
anggota keluarga diperkenalkan di kalangan ahli parti dan anggota
pentadbiran. Serbuan dilakukan di pusat-pusat hiburan dan pelacuran dan
tindakan dikenakan kepada polis serta pihak berkuasa tempatan kerana
tidak bertindak memberhentikan aktiviti sedemikian. Sejak 2013, lebih
200,000 pegawai telah dijatuhkan pelbagai hukuman.
Sistem pemerintahan berteraskan demokrasi, berpegang kepada doktrin
kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Betapa sekalipun kecacatan
yang ada, sistem demokrasi sering kali dianggap lebih superior, memiliki
mekanisme dan saluran untuk mendedahkan amalan rasuah elit
pemerintahan. Ia dikatakan modul terbaik, membolehkan berlangsungnya
amalan-amalan ketelusan, akauntabiliti serta semak dan imbang. Doktrin
demokrasi membolehkan rakyat menukar kerajaan, jika kerajaan gagal
memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.India terkenal sebagai demokrasi terbesar dunia, memberi ruang
kebebasan yang luas kepada warga untuk bersuara. Namun demokrasi yang
mengizinkan kebebasan bersuara tidak banyak membantu untuk membendung
rasuah secara berkesan. Amalan rasuah terus menjalar bagaikan parasit
yang subur hidup di setiap pepohon pentadbiran negara. Ia dibimbangi
semakin merebak.
Peristiwa Tehelka.com adalah kes menarik untuk dijadikan rujukan.
Pada 13 Mac 2001, Tehelka.com mengadakan sidang akhbar, mendedahkan
skandal rasuah dalam urusan pembelian senjata. Rakaman video mendedahkan
penglibatan pemimpin-pemimpin tinggi politik, birokrat dan tentera.
Dua wartawan Tehelka.com menyamar sebagai agen Syarikat West End
International, berunding untuk mendapatkan kontrak bagi membekalkan
peralatan keselamatan. Kamera dipasang secara sulit merakamkan
transaksi rasuah yang berlaku. Rakaman video mendedahkan Bangaru Laxman,
Presiden Parti Bharatiya Janata menerima sogokan 100,000 Indian Rupee
(AS$2,170).
Tehelka.com turut mendedahkan budaya rasuah di Kementerian Pertahanan
India. Rakaman video memperlihatkan pegawai-pegawai kanan tentera
minum wiski sambil berfoya-foya bersama pelacur; juga mendedahkan 16
pegawai tentera menerima sogokan antara September hingga Disember 2000.
Atas desakan rakyat, Menteri Pertahanan George Fernandez meletakkan
jawatan, Bangaru Laxman meletakkan jawatan Presiden Parti Bharatiya
Janata, empat pegawai kanan Kementerian Pertahanan digantung kerja.
Tehelka.com dipuji rakyat kerana berani mendedahkan perlakuan rasuah
peringkat tinggi; tetapi kerajaan menguar-uarkan bahawa Tehelka.com
menjadi instrumen parti pembangkang, di samping berperanan sebagai agen
Pakistan dan agen kepada Agensi Perisikan Eropah, bertujuan jahat
memburukkan kerajaan. Direktorat Badan Perisikan India, Pihak Berkuasa
Percukaian, Jabatan Kastam dan Polis, bergabung tenaga, melakukan
pelbagai siasatan terhadap Tehelka.com. Ironinya, siasatan lebih
menumpukan kepada etika kewartawanan dan bukannya perlakuan rasuah yang
didedahkan.
Kesudahannya, Ketua Pengarang Tehelka.com, Tarun Tejpal didakwa pada
September 2001 atas kesalahan moral menawarkan pelacur kepada pegawai
tentera. Shanker Sharma, pelabur terbesar Tehelka.com dipenjarakan tanpa
dakwaan. Bilangan staf Tehelka.com menguncup daripada 120 orang pada
2001 kepada empat orang pada 2003, di samping aset syarikat yang tinggal
hanyalah tiga unit komputer dan beberapa kerusi berdebu. Bermakna,
Tehelka.com terpaksa gulung tikar kerana bertindak sebagai whistle
blower; sementara pihak yang didedahkan melakukan rasuah, terlepas
daripada hukuman; malah George Fernandez dilantik semula sebagai Menteri
Pertahanan tujuh bulan selepas meletakkan jawatan.
India disifatkan memiliki budaya rasuah yang berterusan dan berulang.
Data 2003 menunjukkan hanya 15 peratus daripada Dana Membasmi
Kemiskinan, sampai kepada rakyat miskin. Laporan The Centre of
International Policy yang berpangkalan di Washington bertarikh November
2010 mencatatkan, sejak mencapai kemerdekaan, India dianggarkan
kehilangan AS$452 bilion, pada kadar AS$20 bilion setahun melalui
pemindahan wang ke luar negara secara haram. Wawancara Julian Assange
yang disiarkan oleh Times Now News Channel, pada 26 April 2011,
menyatakan rekod simpanan wang dalam Bank-bank di Switzerland dalam
kalangan warga India mengatasi warga-warga lain dunia.
Di Jepun, Skandal Lockheed 1976, melibatkan Perdana Menteri Kakuei
Tanaka dalam urusan pembelian 21 pesawat Airbus oleh All Nipon Airways.
Kakuei Tanaka melalui proses perbicaraan mengambil masa tujuh tahun.
Pada Oktober 1983, Tanaka disabitkan oleh Mahkamah Daerah Tokyo,
dijatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda 500 juta Yen. Tanaka
mengemukakan rayuan. Pada Julai 1987, Mahkamah Tinggi Tokyo mengekalkan
keputusan; Tanaka sekali lagi mengemukakan rayuan.
Meskipun disabitkan kesalahan, Tanaka tetap mendapat sokongan rakyat,
dipilih sebagai ahli Parlimen (DIET) kawasan Niigata dengan kemenangan
majoriti besar dalam pilihan raya yang berlangsung pada Disember 1983.
Seluruh prosiding perbicaraan Tanaka melewati 17 tahun. Ketika Tanaka
meninggal dunia pada 16 Disember 1993, proses rayuannya masih belum
selesai; bermakna Tanaka terlepas daripada menjalani sebarang hukuman.
Soal selidik yang dilakukan pada Januari 1995 oleh akhbar Yomiuri
Shimbun mendapati, populariti Tanaka tidak terjejas kerana Skandal
Lockheed, malah Tanaka berada di ranking teratas berbanding Perdana
Menteri-Perdana Menteri Yoshida Shigeru, Sato Eisaku dan Ikeda Hayato.
Di kalangan penyokong, Tanaka disanjung sebagai pemimpin yang mengambil
berat nasib rakyat, dianggap pemimpin politik Jepun paling popular pada
era pasca Perang Dunia Kedua.
Indeks Persepsi Rasuah 2013, mencatatkan Jepun mencapai 74 markah,
berada di ranking ke-18. Namun skandal rasuah yang berlaku, meletakkan
Jepun berada dalam paradoks, di antara jernih air di permukaan tasik
dengan lumpur hitam di dasar tasik. Jepun dianggap hampir mencapai
status sifar rasuah di peringkat petty corruption yang melibatkan
pegawai bawahan tetapi berlaku structural corruption secara
besar-besaran melibatkan pihak atasan. Ahli politik Jepun perlu modal
besar untuk survival, untuk menampung perbelanjaan aktiviti politik dan
untuk mendapatkan sokongan politik.
Skandal Lockheed 1976, adalah antara faktor yang telah mendorong AS
menggubal The Foreign Corrupt Practices Act. Skandal-skandal besar lain
di Jepun adalah kes Recruit (1989), menjadi punca kepada kejatuhan
pentadbiran Perdana Menteri Noboru Takeshita, kes-kes kontraktor Zenecon
(1993-1994), mengakibatkan beberapa Prefectural Governors disabitkan
kesalahan dan seorang daripadanya membunuh diri dan skandal Bank of
Japan/Kementerian Kewangan (1997-1998), mengakibatkan tangkapan,
peletakan jawatan dan membunuh diri beberapa pegawai tinggi.
Budaya politik yang berlangsung di Jepun pasca Perang Dunia Kedua
mencatatkan belanja bagi tujuan kempen-kempen pilihan raya mencecah
AS$10 bilion; sebahagian besar perbelanjaan ditaja oleh Yakuza, kumpulan
mafia yang berlegar dalam sistem politik dan sistem ekonomi Jepun,
menghulurkan derma kepada ahli-ahli politik, kemudiannya mendapat
perlindungan daripada ahli-ahli politik. Structural Corruption begitu
endemik dalam sistem yang dikawal oleh oligarki yang mengamalkan politik
naungan dan budaya imbuhan lalu terbina segi tiga yang reput (the
rotten triangle), persepakatan (collusion), di antara ahli politik,
anggota birokrasi dan tokoh perniagaan.
AS tidak terkecuali dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa.
Spiro Agnew ialah Naib Presiden yang pertama meletakkan jawatan dalam
keadaan aib pada 10 Oktober 1973 kerana Jabatan Kehakiman mendapati
cukup bukti beliau melakukan rasuah politik dan menerima sogokan. Agnew
berkompromi untuk tidak mencabar dakwaan di bawah Federal Income Tax
Evasion Act jika dakwaan rasuah politik digugurkan. Beliau dikenakan
denda AS$10,000, dihukum tiga tahun probation dan ditegah daripada
mengemukakan rayuan.
Skandal Watergate berlaku pada 17 Jun 1972. Presiden Richard Nixon
mengetahui dan terlibat dengan operasi espionage tersebut. Selain
menyogok wang untuk menutup kes, Presiden Nixon turut menggunakan CIA
untuk menghalang FBI daripada melakukan siasatan, memusnahkan bukti dan
memecat staf yang tidak mahu bersubahat dengannya; perbuatan salah guna
kuasa yang ketara. Apabila penglibatan Presiden Nixon tidak lagi dapat
dilindungi, beliau meletakkan jawatan pada 8 Ogos 1974. Pengganti
beliau, Presiden Gerald Ford memberikan Richard Nixon pengampunan di
atas apa juga jenayah yang telah beliau lakukan atau mungkin telah
lakukan semasa menjawat jawatan Presiden; bermakna Richard Nixon bebas
daripada sebarang dakwaan mahupun hukuman.
Apakah moral di sebalik skandal-skandal yang berlaku di tiga negara
demokrasi ini. Ia mencerminkan sistem nilai dalam masyarakat yang
terperangkap dalam paradoks antara undang-undang, moraliti dan emosi.
Betapa jawatan dan status, memberikan imuniti melepaskan seseorang yang
telah melakukan kesalahan dari menjalani hukuman. Ia melibatkan
persoalan moral, betapa ikatan emosi di antara pengikut dengan pemimpin,
betapa esprit de corps di antara mereka yang berada dalam liga yang
sama, mencetuskan kesetiaan yang menghalang proses keadilan dapat
dilaksanakan; mereka saling mempertahankan, saling melindungi, saling
membela rakan dan kawan daripada dikenakan hukuman.
Nicollo Machiavelli dan Jean-Jacques Rousseau, memetik contoh-contoh
daripada negara pada era silam, merumuskan kerosakan rasuah berlaku
apabila rakyat sendiri sudah tidak mengambil kisah, malah memberikan
kesetiaan yang membuta tuli kepada pemimpin kerana terlalu bergantung
pada pemimpin hingga hilangnya minda dan jiwa merdeka; akibatnya
masyarakat juga terperangkap dalam putaran ganas rasuah dan menjadi
masyarakat yang rasuah, hatta tidak berupaya mengawal pemimpin daripada
melakukan rasuah.
Institusi agama sewajibnya berpegang kepada etika dan nilai moral
yang tinggi. Namun dunia didedahkan dengan pelbagai skandal di Vatican.
Antaranya Monsignor Nunzio Scarano, ditahan dan disoal siasat kerana
disyaki terlibat dalam perancangan penyeludupan 20 juta Euro dari
Switzerland ke Itali. Pengarah Bank Vatican, Paolo Cipriani dan Timbalan
Pengarah Massimo Tulli diarah berundur, disyaki terlibat dengan skandal
kewangan bernilai 23 juta Euro.
Islam agama syumul, menyeluruh lagi sempurna. Kehidupan dunia
berkesinambungan dengan kehidupan akhirat seperti yang diperingatkan
dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala, ayat 39 Surah Al-Mu'min
bermaksud: "Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan
(sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal."
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bazzar,
Thabrani-Al-Targhib bermaksud: "Tidak dapat bergeser kaki seorang hamba
pada hari kiamat, sehingga ia ditanya empat perkara: Tentang umurnya,
untuk apa dihabiskan? Tentang masa mudanya, untuk apa ia gunakan?
Tentang ilmunya, apakah ia mengamalkannya? Tentang hartanya dari mana ia
dapat dan ke mana ia belanjakan?"
Islam menetapkan tanda aras yang tinggi untuk menghindarkan rasuah
dengan menegaskan aspek integriti. Islam menegah keras perbuatan salah
guna kuasa di kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan
kuasa. Abu Humaid Ibn Sa'd As-Saidi, meriwayatkan peristiwa di antara
Rasulullah SAW dengan Ibn Al-Lutabiyyah yang Baginda lantik bertugas
memungut zakat. Semasa Al-Lutabiyyah memungut zakat, beliau turut
diberikan hadiah.
Ketika menyerahkan kutipan zakat, Rasulullah SAW bertanya, bahagian
yang beliau tidak serahkan. Al-Lutabiyyah memaklumkan, bahagian tersebut
telah dihadiahkan oleh beberapa pembayar zakat kepadanya. Rasulullah
SAW bertanya, adakah beliau akan diberikan hadiah, jika beliau tidak
ditugaskan memungut zakat; Rasulullah SAW menganggap pemberian
sedemikian diragukan, berkemungkinan menjadi pencetus kepada perbuatan
rasuah, lalu menasihatkan agar ia dikembalikan kepada pemberi.
Al-Quran dan sunah Rasulullah sarat dengan peringatan menegah ummah
daripada melakukan rasuah. Umat Islam, pemimpin Islam dan negara Islam
mempunyai cukup rujukan untuk memenuhi amanah dan tanggungjawab menuju
Siratul Mustaqim iaitu 'jalan lurus yang dipohonkan', menurut yang
diseru dalam ayat 6 Surah Al-Fatihah. Jika ajaran Islam dihayati lalu
diamalkan sepenuhnya, negara Islam di bawah pimpinan umat Islam
sewajibnya sifar rasuah.
Pada malam berlakunya peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW melihat
sekelompok manusia yang lidahnya digunting-gunting. Baginda bertanya;
"Siapakah orang itu?" Jibril Alai Hissalam menjawab, "Mereka adalah para
mubaligh dari kalangan umat-Mu yang tidak mengamalkan apa yang mereka
dakwahkan."Firman Allah dalam ayat 44 Surah Al-Baqarah bermaksud: "Mengapakah
kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan sedang kamu melupakan diri
(kewajipan) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab..."
Gambaran yang diperlihatkan semasa peristiwa Israk Mikraj wajib
dijadikan peringatan oleh setiap insan yang diamanahkan dengan
tanggungjawab pimpinan, apatah lagi di kalangan mereka yang berikrar
akan melakukan yang makruf dan menentang yang mungkar, supaya ikrar
tidak tergantung dalam retorik.
Aspek Kedua:
Cabaran menangani rasuah
Ternyata rasuah berlaku dalam setiap sistem pemerintahan dan dalam
setiap negara. Kautilya ketika menghasilkan Arthashastra mengenal pasti
40 kaedah menyalahgunakan wang yang dilakukan oleh pegawai awam untuk
kepentingan peribadi. Kautilya mencatatkan: "Just as it is impossible
not to taste honey or the poison that finds itself at the tip of the
tongue, so it is impossible for a government servant not to eat up, at
least, a bit of the King's revenue. Just as a fish underwater cannot
possibly be found out either as drinking or not drinking the water, so
government work cannot be found out (while) taking money (for
themselves)".
Transparacency International, menyatakan misi atau mission statement;
"...(corruption) undermines good government, fundamentally distorts
public policy, leads to the misallocation of resources and particularly
hurts the poor. Controlling it is only possible with the cooperation of a
wide range of stakeholders in the integrity system, including most
importantly, the state, civil society and the private sector."
Rasuah sering kali menjadi isu utama menyebabkan pemimpin dijatuhkan
lalu diganti dengan yang baru. Setiap pemimpin yang diberikan amanah
berikrar mahu memerangi rasuah. Undang-undang baru, digubal;
undang-undang sedia ada, dipinda; pelbagai agensi dibentuk; rakyat
dijanjikan dan harapan diberikan; tetapi jika undang-undang hanya
berstatus dokumen bertulis, tidak dikuatkuasakan, ia tidak mungkin
menjadi senjata berkesan untuk memberi kemenangan dalam medan perang
menghadapi rasuah.Pelbagai agensi yang ditubuhkan tidak akan menjadi briged perang yang
boleh mengibarkan bendera kemenangan jika medan memerangi rasuah
dilakukan secara selektif.
Di kalangan negara Asia, Filipina memiliki instrumen pencegahan
rasuah paling banyak, tujuh undang-undang dan 19 agensi penguat kuasa.
Presiden Ferdinand Marcos memperkenalkan lima Agensi Pencegah Rasuah
yang baru dalam tempoh 21 tahun era pemerintahannya (1965 - 1986). Namun
ia hanyalah kosmetik hiasan untuk melindungi wajah yang hodoh. Bumi dan
langit Filipina sarat diselubungi mendung rasuah. Amalan rasuah
memuncak semasa era pemerintahan Marcos; amalan kronisme berlaku secara
berleluasa, sanak-saudara dan kenalan rapat dilantik mengetuai pelbagai
agensi; masing-masing lebih cenderung mengumpul kekayaan peribadi.
Ketika berucap pada Perasmian Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat
Kuasa Antirasuah Antarabangsa pada 4 Oktober 2012, Perdana Menteri
menegaskan azam dan usaha Kerajaan Malaysia untuk membasmi rasuah.
Usaha membanteras rasuah ditetapkan sebagai salah satu daripada tujuh
komponen Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program
Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Pelbagai langkah susulan telah dirintis termasuk penubuhan 14
mahkamah khas rasuah. Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2013,
menunjukkan tahap keyakinan rakyat terhadap keberkesanan SPRM telah
meningkat daripada 64 peratus ke 65.8 peratus; dan tahap sokongan
masyarakat kepada SPRM turut meningkat daripada 86.4 peratus dalam tahun
2012 kepada 87.3 peratus dalam tahun 2013. Usaha-usaha terus dirintis
untuk memperkemaskan undang-undang di samping meningkatkan kapasiti dan
keupayaan agensi penguat kuasa.
Undang-undang dan agensi penguat kuasa adalah instrumen yang perlu
dilengkapi dengan program yang komprehensif lagi holistik. Memahami
latar belakang pelaku rasuah akan memberikan kelebihan kepada para
petugas untuk berupaya memberikan preskripsi dan diagnostik yang tepat.
Secara simplistik, pelaku rasuah terbahagi kepada dua kategori.
Kategori pertama, adalah kumpulan yang terdesak, terpaksa melakukannya
kerana kesempitan hidup, ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk
membiayai keperluan asas harian.
Data Laporan Model Ekonomi Baru menunjukkan, 80 peratus isi rumah di
negara ini berpendapatan kurang RM5,000 sebulan; 40 peratus isi rumah
berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; 78.6 peratus penyimpan KWSP
berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Tahap keupayaan pelaburan di
kalangan majoriti bumiputera boleh dimanifestasikan dengan data yang
menunjukkan 75 peratus penabung Amanah Saham Bumiputera memiliki purata
tabungan hanya RM611 seorang. Permintaan Presiden CUEPACS agar bank
membekalkan lebih banyak nota RM10 dalam mesin ATM, memberikan petanda
bahawa pada masa tertentu, sebilangan pemilik kad ATM, tidak pun
mempunyai baki minimum RM50 dalam akaun masing-masing.
Data menyentuh agihan sangat membimbangkan dalam usaha gigih negara
mahu mencapai taraf negara maju dengan sasaran pendapatan per kapita
48,000 ringgit pada 2020. Agihan tidak seimbang dan jurang pendapatan
yang lebar akan mewujudkan persekitaran yang boleh menyuburkan budaya
petty corruption. Apakah pilihan yang ada dalam kalangan pegawai awam
mahupun swasta jika gaji tidak dapat menampung perbelanjaan hidup
harian?
Majoriti yang berada dalam kategori ini, sebenarnya, tidak mahu
melakukan rasuah. Ada yang melakukan kerja kedua, berniaga di pasar
malam, memandu teksi secara sambilan, mengadakan kelas tuisyen, menjual
kuih, mengambil upah menjahit, melibatkan diri dalam direct selling,
serta melakukan pelbagai kerja sampingan untuk mencukupkan pendapatan.
Akibatnya mereka tidak cukup rehat - mereka keletihan, menyebabkan
mereka menjadi petugas yang lesu ketika bertugas lalu menjejaskan
produktiviti.
Inilah hakikat senario semasa di dalam negara. Bilangan yang
tergolong dalam kategori ini akan semakin bertambah jika formula
berkesan tidak diperkenalkan terutama memberikan fokus kepada
aspek-aspek perumahan, makanan, pengangkutan serta khidmat kesihatan dan
rawatan perubatan yang kosnya semakin hari semakin meningkat. Negara
tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang
berlaku. Ia cabaran besar kepada negara. Ia bukan sakit tekak yang
bersifat sementara, boleh diubati dengan gula-gula Strepsil. Ia penyakit
sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan
pakar bedah sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial
yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif lagi holistik
untuk dilaksanakan.
Pelaku rasuah kategori kedua terdiri dalam kalangan yang bersifat
tamak - bersifat haloba; secara umumnya daripada kumpulan atasan,
berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah - gaya
hidup megah. Pelaku rasuah dalam kategori ini amat licik, melakukan
rasuah secara sofistikated, bijak membersihkan tangannya daripada
sebarang lumpur kekotoran, tidak mudah untuk disabitkan, di samping
sebahagian mereka mempunyai hubungan intim dengan orang atasan.
Usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek
pertama langkah punitif yang tegas dan tidak selektif, dilaksanakan
tanpa gentar - tanpa pilih kasih; aspek kedua: Langkah preventif untuk
mengukuhkan intergriti. Tegas dan tidak selektif adalah dua kata kunci
penting yang wajib dijadikan prinsip. Negara mempunyai contoh-contoh
yang boleh dijadikan tanda aras dan rujukan, dijadikan sumber inspirasi
dan sumber kekuatan untuk berani bertindak.
Majistret pertama yang dilantik di Pulau Pinang lebih 200 tahun lalu
pada era pemerintahan kolonial, dipecat kerana melakukan rasuah. Pada
era pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Menteri Pelajaran
merangkap Menteri Kesihatan pada 1964, Allahyarham Abdul Rahman Talib
kalah dalam perbicaraan kes sivil melawan S.P. Seenivasagam, memberi
implikasi Abdul Rahman Talib terlibat dengan rasuah. Allahyarham
mengundur diri daripada Jemaah Menteri.
Sokongan terhadap parti pemerintah, Perikatan merosot dalam pilihan
raya umum 1969. Allahyarham Tun Abdul Razak peka membaca mesej rakyat.
Tun Abdul Razak meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang
parti Perikatan dan kerajaan semasa kempen pilihan raya; lalu segera
bertindak melakukan langkah pembetulan. Imej kerajaan berkaitan rasuah
ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak tidak memberi perlindungan
kepada anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah.
Atas nasihat Datuk Harun Hashim, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)
melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah
BPR, membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah.
Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Said didedahkan memiliki hampir
RM1.2 juta; RM330,000 disita kerana didapati diperoleh secara rasuah.
Beliau meletakkan jawatan pada Februari 1970. Pada Julai 1970, Menteri
Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti dua bulan; selepas itu
beliau digantikan dengan Mahmood Sulaiman. Di peringkat Persekutuan,
Khaw Kai Boh diarah berundur daripada menjadi anggota Jemaah Menteri
pada September 1970.
Pada era kehebatan Roma, pemerintahan diktator diizinkan oleh
undang-undang untuk dilantik bagi tempoh enam bulan dalam situasi negara
menghadapi krisis; selepas itu kuasa hendaklah dikembalikan kepada
rakyat. Cincinnatus, seorang Jeneral Bersara, yang telah diserahkan
kuasa memerintah secara diktator adalah contoh pemimpin Roma yang tidak
gilakan pangkat mahupun sanjungan. Cincinnatus dilantik memimpin semasa
Roma menghadapi krisis; setelah Roma kembali tenteram, walaupun rakyat
Roma memohon agar dia terus memimpin, Cincinnatus, menolaknya dan
mengembalikan kuasa kepada rakyat Machiavelli merujuk sifat sedemikian sebagai ciri mulia; sifat
seorang pemimpin yang memiliki kekebalan serta daya tahan daripada
melakukan rasuah kerana tidak haloba untuk mengekalkan kuasa. Sifat
terpuji Cincinnatus, sebenarnya menjelma dalam batang tubuh Tun Abdul
Razak yang mindanya tidak boleh dirasuah dengan sifat tamak
mempertahankan kuasa. Sebagai Pengarah MAGERAN, pasca tragedi 13 Mei,
Tun Abdul Razak memiliki kuasa mutlak. Apabila negara kembali aman,
meskipun dipohon untuk tidak membubarkan MAGERAN, Tun Abdul Razak
memilih untuk mengembalikan kuasa kepada institusi rakyat; sistem
demokrasi berparlimen dihidupkan semula.
Pada era pimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn, Allahyarham Datuk
Harun Idris pada 1976 disabitkan kesalahan rasuah. Harun dibicarakan di
hadapan Paduka ayahanda beta, ketika itu Hakim Raja Azlan Shah. Hakim
Raja Azlan Shah (kini Almarhum Al-Maghfurlah) menghadapi tugas berat.
Tertuduh, bukan sahaja mempunyai sokongan politik tetapi seorang
individu yang baginda kenal. Ketika menjatuhkan hukuman antara lain
Hakim Raja Azlan Shah menyatakan:
"It is painful for me to have to sentence a man I know. I wish it
were the duty of some other judge to perform that task. To me this
hearing seems to reaffirm the vitality of the rule of law. But to many
of us, this hearing also suggests a frightening decay in the integrity
of some of our leaders. It has given horrible illustrations of Lord
Acton's aphorism 'power tends to corrupt, and absolute power corrupts
absolutely', and has focussed concern on the need of some avowed
limitations upon political authority.
..the law is no respector of persons. Nevertheless it will be
impossible to ignore the fact that you are in a different category from
any person that I have ever tried. It would be impossible to ignore the
fact that, in the eyes of millions of our countrymen and women, you are a
patriot and a leader. Even those who differ from you in politics look
upon you as a man of high ideals. You had every chance to reach the
greatest height of human achievement. But half-way along the road, you
allowed avarice to corrupt you.
It is incomprehensible how a man in your position could not in your
own conscience, recognise corruption for what it is. In so doing, you
have not only betrayed your party cause, for which you have spoken so
eloquently, but also the oath of office which you have taken and
subscribed before your Sovereign Ruler, and above all the law of which
you are its servant".
Penghakiman tersebut mengandungi bukan sekadar kata-kata mensabitkan
kesalahan dan menjatuhkan hukum, ia turut mengandungi komponen nasihat,
teguran, peringatan dan amaran, agar dijadikan teladan. Tentulah berat
bagi lidah Hakim Raja Azlan Shah untuk menzahirkan ungkapan kata-kata
sedemikian keras - sedemikian tegas terhadap tertuduh yang turut baginda
kenali; tetapi Hakim Raja Azlan Shah perlu lebih mengutamakan
kedaulatan undang-undang dan kepentingan umum daripada batang tubuh
seorang kenalan.
Bertindak secara tegas lagi tidak selektif bukan satu opsyen, tetapi
satu kemestian. Allah SWT telah memperlihatkan contoh panduan. Nabi
Adam a.s. ialah ciptaan Ilahi, dimuliakan, dikurniakan status tinggi
hingga para malaikat diperintahkan sujud kepadanya. Namun apabila
peraturan gagal dipatuhi, hukuman dilaksanakan oleh Ilahi secara tegas
lagi segera; Nabi Adam diperintah keluar dari syurga.
Ayat 135 surah An-Nisaa, bermaksud: "Wahai orang yang beriman!
Hendaklah kamu menjadi orang yang senantiasa menegakkan keadilan, lagi
menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun
terhadap diri mu sendiri ataupun ibu bapa dan kaum kerabatmu. Kalaulah
orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin, (maka janganlah kamu
terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran), kerana
Allah lebih mengetahui keadaan keduanya. Oleh itu, janganlah kamu
turutkan hawa nafsu, sehingga kamu tidak berlaku adil. Jika kamu
memutarbelitkan atau enggan menjadi saksi, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui segala apa yang kamu lakukan."
Demikian tegasnya prinsip melaksanakan keadilan di dalam Islam yang
tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada
sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan baik diri sendiri, teman rapat,
kaum keluarga mahupun ibu bapa. Perintah yang terkandung di dalam ayat
tersebut diperkukuhkan lagi dengan salah satu hadis Rasulullah SAW yang
bermaksud: "Sesungguhnya telah binasa orang yang sebelum kamu iaitu
sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat tinggi, lalu mereka dibiarkan
sahaja; tetapi jika yang mencuri itu mereka yang lemah, lalu dengan
segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, yang aku di dalam
kekuasaan-Nya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya ku
kudungkan tangannya."
Aspek preventif memerlukan usaha meningkatkan integriti agar insan
dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu.
Sifat tamak merupakan faktor yang sering kali menjerumuskan manusia
melakukan dosa. Islam menganjurkan insan untuk mengamalkan sifat
kesederhanaan, menjauhkan diri daripada sifat bermegah dan bermewah;
tercatat peringatan Ilahi dalam Kisah Nabi Hud a.s. pada ayat 128 Surah
Asy-Syu'araa, bermaksud: "Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah
tinggi bangunan untuk bermewah-mewah dan memperlihatkan kekayaan".
Ketika Allah SWT murka kepada Nabi Adam kerana terpengaruh dengan
godaan iblis, Nabi Adam berada di dalam kesenangan syurga, dilimpahi
nikmat yang dijamin oleh Allah SWT seperti maksud yang terkandung dalam
ayat 118 dan 119 Surah Thaahaa; "Tidak akan kelaparan, tidak akan merasa
dahaga, tidak akan telanjang, tidak akan ditimpa panas matahari,"
Nabi Adam tertipu dengan godaan iblis. Bahawa Allah telah memberi
peringatan dalam ayat 117 Surah tersebut; "Iblis adalah musuh". Baginda
ditewaskan musuh dengan janji palsu iblis untuk memberikan kuasa, janji
palsu 'pengekalan kuasa' seperti yang terkandung dalam ayat 120 surah
berkaitan yang bermaksud: "Lalu syaitan membisikkan fikiran jahat
kepadanya, dengan berkata: Hai Adam, mahukah aku tunjukkan kepada kamu
pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa."
Betapa dinding ketahanan iman ditembusi kerana tarikan untuk
mendapatkan kuasa. Nafsu gilakan kuasa nyata boleh menewaskan kewarasan
akal. Memperkukuhkan iman adalah benteng pertahanan yang wajib dibina
untuk meningkatkan daya tahan insan daripada tergelincir dengan tarikan
kebendaan, tarikan kemewahan serta tarikan kepada pangkat dan kuasa.
Insan wajib diperingatkan dengan firman Allah yang terkandung dalam ayat
35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud:
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu
dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya).
Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
David Owen, dalam karyanya, The Hubris Syndrome: Bush, Blair and the
Intoxication of Power, melakukan analisis perlakuan rasuah dari lensa
seorang doktor perubatan; Owen menyifatkan perlakuan rasuah yang berlaku
kerana gilakan kuasa adalah satu penyakit mental. Mahatma Ghandi
memerhatikan bahawa kuasa membuatkan manusia menjadi tuli dan buta; lalu
keputusan dilakukan berdasarkan naluri; kepuasan peribadi mengatasi
kepentingan awam; sebarang pendapat yang bercanggah meskipun datang
daripada kenalan rapat, dianggap bersuara musuh - dianggap mengancam
kedudukannya; lalu pelbagai tindakan dilakukan untuk menghapuskan apa
jua tentangan.
Bahawa kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan jawatan adalah
ujian. Amanah dan tanggungjawab adalah ujian. Menegak yang makruf dan
menentang yang mungkar adalah satu tuntutan. Setiap janji yang
diungkapkan, setiap perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan akan
diperiksa pada hari kebangkitan, di Mahkamah Rabbuljalil di Padang
Mahsyar; ketika itu tidak ada peguambela untuk membela dosa yang telah
dilakukan, begitu juga amanah yang gagal disempurnakan.
Memerangi rasuah adalah jihad, yang perlu disemaikan di hati sanubari
insan. Rasulullah bersabda: "Dalam diri manusia ada segumpal 'daging'
apabila 'daging' itu baik maka baiklah akhlak orang itu; apabila
'daging' itu buruk, maka buruklah akhlak orang itu".Semoga Allah memberikan petunjuk dan kekuatan kepada setiap anggota
SPRM, gigih menyempurnakan tugas berat membasmi rasuah. Semoga setiap
niat ikhlas dan tugas yang dilaksanakan secara jujur mendapat hidayat
dan ganjaran Ilahi
6 ulasan:
BAGUS UCAPAN NI SARAT DENGAN NILAI-NILAI SEJARAH
ya .. patutnya , yang makan rasuah nie hukuman gantung dan sebat ja . pasal depa nie la kerajaan rugi ..
tak pasal2 minyak naik .. gaji bila lagi nak naik 300% ..
Sempena pengurangan subsidi minyak... diharap mana mana wakil dapat membangkitkan tentang kadar tuntutan perjalanan bagi penjawat awam yg menggunakan kenderaan sendiri bagi tujuan urusan rasmi... diharap dapat pertimbangan sewajarnya... jika tidak dinaikkan... diharap dapat sediakan kenderaan rasmi kerajaan yg mencukupi untuk melancarkan perjalanan urusan rasmi kerajaan. Sekian.
ucapan yg mantop dan berisi....point to ponder, hakikatnya pendapatan rakyat bawah RM3000 dan rm2000 masih dominasi rakyat malaysia. Hope that menteri kewangan I. II dan timbalannya buat double check.
ucapan yg mantop dan berisi....point to ponder, hakikatnya pendapatan rakyat bawah RM3000 dan rm2000 masih dominasi rakyat malaysia. Hope that menteri kewangan I. II dan timbalannya buat double check.
tambahan info :
Kes rasuah diperingkat tinggi yang menjadi rujukan aku semasa mengikuti Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) di USM 2005 ialah Kes Skandal Hawala di India yang melibatkan US18 juta rasuah dikalangan ahli politik.
Catat Ulasan