SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 Oktober 2014

RASUAH: SENARIO DAN CABARAN

Utusan Malaysia
2/10/2014




Teks penuh Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah/Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (BPR/SPRM) Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya jua, beta dapat berangkat untuk menzahirkan Titah Diraja Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-47 penubuhan BPR yang kini dikenali dengan nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Titah ini akan menyentuh dua aspek: Pertama, senario umum. Kedua, menangani rasuah.

Aspek Pertama: Senario Umum

Rasuah adalah perbuatan pecah amanah. Dosa pertama yang dilakukan oleh manusia adalah kesalahan melanggar amanah; dikisahkan dalam ayat 115 Surah Thaahaa bermaksud: "Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat".Perintah tersebut terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: "Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isteri mu syurga ini dan makanlah makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang yang zalim."Dokumen tertua yang ditemui menyentuh subjek rasuah, terkandung dalam Arthasastra, tulisan BC Kautilya di India, pada tahun 300 sebelum Masihi. Di China, Dinasti Qing pada tahun 220 sebelum Masihi memahami konsep rasuah dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terlibat melakukannya. 

Rasuah ditakrifkan, perbuatan salah guna kuasa untuk memperkayakan atau memberi kelebihan kepada individu, anggota keluarga dan kenalan rapat ketika seseorang itu diamanahkan tanggungjawab mentadbir urus sumber awam.Diriwayatkan daripada Abu Hurairah;"Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Akan datang suatu zaman, umat manusia tidak lagi mempedulikan rezeki yang diterima olehnya sama ada daripada sumber halal atau haram."Profesor Emeritus Dr. Petrus van Duyne (Universiti Tilburg), penyelidik tersohor jenayah ekonomi, penyeludupan wang dan rasuah mentakrifkan konsep rasuah secara saintifik: "Corruption is an improbity or decay in the decision-making process in which a decision-maker consents to deviate or demands deviation from the criterion which should rule his or her decision-making, in exchange for a reward or for the promise or expectation of a reward, while these motives influencing his or her decision-making cannot be part of the justification of the decision." 

Rasuah berlaku di sektor awam dan di sektor swasta, malah hari ini turut berlaku dalam institusi antarabangsa, institusi agama serta badan sukarela dan badan sukan. Ban Ki-Moon, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September 2007 menyatakan: "Corruption undermines democracy and the rule of law. It leads to violations of human rights. It erodes public trust in government. It can kill."Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik. Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran - ada yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna - hasil mahsul lesap, akibatnya kemunduran terus melanda - kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, ia akan tumbuh melebar - subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, hingga memusnahkan sesebuah negara bangsa.

Rasuah mengakibatkan ketirisan khazanah negara, pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, agihan kekayaan tidak seimbang dan peningkatan kemiskinan. Antara 2001 hingga 2010, hampir AS$6 trilion disalah guna di negara-negara miskin hingga menjejaskan kehidupan rakyat biasa. Dianggarkan, setiap tahun, AS$1 trilion pengubahan wang secara haram (money laundering) berlaku di negara-negara miskin dan kurang membangun; dianggarkan juga, setiap tahun AS$38 ke AS$64 bilion hasil dalam bentuk cukai di negara-negara sedang membangun, tidak dipungut kerana rasuah. 

Ketirisan AS$1 trilion, menjadi punca kepada 3.6 juta kematian setahun; kerana hasil negara yang sepatutnya dibelanjakan untuk perkhidmatan kesihatan, makanan dan infrastruktur telah dilesapkan. Perangkaan 2012 mendedahkan, separuh daripada 61 juta kanak-kanak yang tercicir sekolah rendah berlaku di Sub Saharan Afrika. Jika rasuah berjaya dihapuskan di Sub Saharan Afrika, setiap tahun, 10 juta kanak-kanak akan mendapat kemudahan sekolah, 500,000 guru boleh dilantik dan lebih 11 juta penghidap HIV/AIDS dapat dibekalkan ubat antiretroviral. 

Rasuah berlaku tidak hanya di negara mundur - negara miskin. Rasuah turut berlaku di negara maju - negara kaya, dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa; malah berlaku pada skala lebih besar, memberikan impak global hingga menjejaskan kehidupan insan di serata dunia. Bermakna, mereka di negara maju, tidak sebersih kain yang putih - tidak sejernih air di telaga Zam-zam.Sektor swasta tidak sunyi daripada skandal rasuah. Pada 2012, bank-bank ternama antarabangsa dikenakan denda AS$21 bilion atas pelbagai kesalahan melibatkan fraud, mengelak cukai, manipulasi kadar faedah dan pelaburan berisiko tinggi. Syarikat Siemens pada 2008, telah mengolah akaun syarikat untuk menghalalkan rasuah dengan menyediakan peruntukan AS$50 juta, di bawah klasifikasi Bajet Rasuah Tahunan. Syarikat Siemens didenda AS$800 juta di bawah akta The Foreign Corrupt Practices, Amerika Syarikat (AS). Dalam tahun 2010, enam syarikat minyak dan gas yang beroperasi di AS didenda AS$236 juta di bawah akta yang sama. Selama 25 tahun, Syarikat WALMART menjadi subjek Foreign Corruption Act; WALMART akhirnya mengaku secara konsisten telah membayar rasuah di Mexico antara 2003-2008. Rolls-Royce membuat pengakuan terbuka menggunakan rasuah sebagai instrumen untuk menembusi pasaran China. 

Institusi-institusi antarabangsa tidak bebas daripada pelbagai skandal. Nama baik PBB tercemar berikutan pendedahan skandal program oil-for-food yang dilakukan oleh pihak tertentu, melibatkan individu dan syarikat di beberapa negara antaranya AS, Australia, Britain, Jerman, Perancis, Rusia dan Switzerland. Program Millenium Development Goals (MDG), diperkenalkan pada tahun 2000, bertujuan membantu nasib lebih satu bilion manusia yang berpendapatan kurang daripada AS$1 sehari; rasuah telah mengakibatkan kos program bekalan air bersih dan sanitasi meningkat AS$48 bilion lebih tinggi. 

Sumber ekonomi dan kegiatan ekonomi di bawah sistem pemerintahan komunisme terletak di bawah kawalan langsung negara. Maklumat dikawal secara ketat, media berada di bawah kawalan pemerintah dan masyarakat awam tidak mempunyai kebebasan bersuara secara terbuka. Sistem pemerintahan sedemikian membolehkan akar rasuah tumbuh melata.Bermula dengan era Deng Xiaoping pada 1978, meskipun kekal dengan doktrin politik berteraskan komunisme, negara China telah melakukan transformasi ekonomi secara radikal hingga kini muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Reformasi ekonomi membuka ruang untuk membolehkan berlakunya rasuah lebih besar, melalui pelbagai peluang baru penswastaan. Kekayaan baru mencetuskan masalah baru. 

Global Financial Integrity (GFI) yang berpangkalan di Washington menganggarkan AS$2.83 trilion dialirkan keluar secara haram dari China antara 2005 hingga 2011. Lebih 150 economic fugitives dari China, majoritinya pegawai yang mempunyai rekod melakukan rasuah dilaporkan berada di AS. Sumber Reuter melaporkan Interpol mempunyai waran tangkap terhadap 69 warga China atas kesalahan rasuah, menggelapkan wang, fraud dan sogokan. Xinhua News Agency pada Julai 2014, melaporkan sejak 2008, 730 warga China dari pelbagai negara di serata dunia, yang disyaki melakukan jenayah ekonomi telah diserahkan kembali (extradited). 

Presiden Xi Jinpeng mengakui secara terbuka bahawa China sedang dilanda masalah rasuah; mengumumkan pendirian tegas bahawa kepimpinan beliau berazam untuk membanteras rasuah. Dalam ucapan ulungnya setelah mengambil alih kepimpinan negara, Presiden Xi antara lain menegaskan: "Inside the party, there are many problems that need to be addressed, especially the problems among party members and officials of corruption and taking bribes, being out of touch with the people, undue emphasis on formalities and bureaucracy; ...to forge iron, one must be strong." 

Rakyat China diingatkan bahawa tentera China tewas kepada tentera Jepun dalam tahun 1894 walaupun pertahanan China memiliki kapal-kapal yang mahal dari Eropah. Sejarawan menyifatkan kekalahan China adalah disebabkan amalan rasuah di kalangan pemimpin tinggi ketika itu. Presiden Xi memberikan amaran bahawa parti dan negara akan musnah jika rasuah tidak dihentikan. Li Keqiang dalam sidang akhbar pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 15 Mac 2013, menegaskan: "stirring vested interest may be more difficult than stirring the soul...; clean government should start with oneself,. Only if one is upright himself should he ask others to be upright. After entering public service, we should give up all thought of making money." 

Pegawai kerajaan yang hidup mewah, mengadakan majlis keraian secara besar-besaran termasuk majlis perkahwinan disiasat, diminta mengisytiharkan sumber pembiayaan. Langkah pengisytiharan harta diri dan anggota keluarga diperkenalkan di kalangan ahli parti dan anggota pentadbiran. Serbuan dilakukan di pusat-pusat hiburan dan pelacuran dan tindakan dikenakan kepada polis serta pihak berkuasa tempatan kerana tidak bertindak memberhentikan aktiviti sedemikian. Sejak 2013, lebih 200,000 pegawai telah dijatuhkan pelbagai hukuman. 

Sistem pemerintahan berteraskan demokrasi, berpegang kepada doktrin kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Betapa sekalipun kecacatan yang ada, sistem demokrasi sering kali dianggap lebih superior, memiliki mekanisme dan saluran untuk mendedahkan amalan rasuah elit pemerintahan. Ia dikatakan modul terbaik, membolehkan berlangsungnya amalan-amalan ketelusan, akauntabiliti serta semak dan imbang. Doktrin demokrasi membolehkan rakyat menukar kerajaan, jika kerajaan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.India terkenal sebagai demokrasi terbesar dunia, memberi ruang kebebasan yang luas kepada warga untuk bersuara. Namun demokrasi yang mengizinkan kebebasan bersuara tidak banyak membantu untuk membendung rasuah secara berkesan. Amalan rasuah terus menjalar bagaikan parasit yang subur hidup di setiap pepohon pentadbiran negara. Ia dibimbangi semakin merebak. 

Peristiwa Tehelka.com adalah kes menarik untuk dijadikan rujukan. Pada 13 Mac 2001, Tehelka.com mengadakan sidang akhbar, mendedahkan skandal rasuah dalam urusan pembelian senjata. Rakaman video mendedahkan penglibatan pemimpin-pemimpin tinggi politik, birokrat dan tentera. Dua wartawan Tehelka.com menyamar sebagai agen Syarikat West End International, berunding untuk mendapatkan kontrak bagi membekalkan peralatan keselamatan. Kamera dipasang secara sulit merakamkan transaksi rasuah yang berlaku. Rakaman video mendedahkan Bangaru Laxman, Presiden Parti Bharatiya Janata menerima sogokan 100,000 Indian Rupee (AS$2,170).

Tehelka.com turut mendedahkan budaya rasuah di Kementerian Pertahanan India. Rakaman video memperlihatkan pegawai-pegawai kanan tentera minum wiski sambil berfoya-foya bersama pelacur; juga mendedahkan 16 pegawai tentera menerima sogokan antara September hingga Disember 2000. Atas desakan rakyat, Menteri Pertahanan George Fernandez meletakkan jawatan, Bangaru Laxman meletakkan jawatan Presiden Parti Bharatiya Janata, empat pegawai kanan Kementerian Pertahanan digantung kerja. 

Tehelka.com dipuji rakyat kerana berani mendedahkan perlakuan rasuah peringkat tinggi; tetapi kerajaan menguar-uarkan bahawa Tehelka.com menjadi instrumen parti pembangkang, di samping berperanan sebagai agen Pakistan dan agen kepada Agensi Perisikan Eropah, bertujuan jahat memburukkan kerajaan. Direktorat Badan Perisikan India, Pihak Berkuasa Percukaian, Jabatan Kastam dan Polis, bergabung tenaga, melakukan pelbagai siasatan terhadap Tehelka.com. Ironinya, siasatan lebih menumpukan kepada etika kewartawanan dan bukannya perlakuan rasuah yang didedahkan. 

Kesudahannya, Ketua Pengarang Tehelka.com, Tarun Tejpal didakwa pada September 2001 atas kesalahan moral menawarkan pelacur kepada pegawai tentera. Shanker Sharma, pelabur terbesar Tehelka.com dipenjarakan tanpa dakwaan. Bilangan staf Tehelka.com menguncup daripada 120 orang pada 2001 kepada empat orang pada 2003, di samping aset syarikat yang tinggal hanyalah tiga unit komputer dan beberapa kerusi berdebu. Bermakna, Tehelka.com terpaksa gulung tikar kerana bertindak sebagai whistle blower; sementara pihak yang didedahkan melakukan rasuah, terlepas daripada hukuman; malah George Fernandez dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan tujuh bulan selepas meletakkan jawatan. 

India disifatkan memiliki budaya rasuah yang berterusan dan berulang. Data 2003 menunjukkan hanya 15 peratus daripada Dana Membasmi Kemiskinan, sampai kepada rakyat miskin. Laporan The Centre of International Policy yang berpangkalan di Washington bertarikh November 2010 mencatatkan, sejak mencapai kemerdekaan, India dianggarkan kehilangan AS$452 bilion, pada kadar AS$20 bilion setahun melalui pemindahan wang ke luar negara secara haram. Wawancara Julian Assange yang disiarkan oleh Times Now News Channel, pada 26 April 2011, menyatakan rekod simpanan wang dalam Bank-bank di Switzerland dalam kalangan warga India mengatasi warga-warga lain dunia. 

Di Jepun, Skandal Lockheed 1976, melibatkan Perdana Menteri Kakuei Tanaka dalam urusan pembelian 21 pesawat Airbus oleh All Nipon Airways. Kakuei Tanaka melalui proses perbicaraan mengambil masa tujuh tahun. Pada Oktober 1983, Tanaka disabitkan oleh Mahkamah Daerah Tokyo, dijatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda 500 juta Yen. Tanaka mengemukakan rayuan. Pada Julai 1987, Mahkamah Tinggi Tokyo mengekalkan keputusan; Tanaka sekali lagi mengemukakan rayuan.

Meskipun disabitkan kesalahan, Tanaka tetap mendapat sokongan rakyat, dipilih sebagai ahli Parlimen (DIET) kawasan Niigata dengan kemenangan majoriti besar dalam pilihan raya yang berlangsung pada Disember 1983. Seluruh prosiding perbicaraan Tanaka melewati 17 tahun. Ketika Tanaka meninggal dunia pada 16 Disember 1993, proses rayuannya masih belum selesai; bermakna Tanaka terlepas daripada menjalani sebarang hukuman. Soal selidik yang dilakukan pada Januari 1995 oleh akhbar Yomiuri Shimbun mendapati, populariti Tanaka tidak terjejas kerana Skandal Lockheed, malah Tanaka berada di ranking teratas berbanding Perdana Menteri-Perdana Menteri Yoshida Shigeru, Sato Eisaku dan Ikeda Hayato. Di kalangan penyokong, Tanaka disanjung sebagai pemimpin yang mengambil berat nasib rakyat, dianggap pemimpin politik Jepun paling popular pada era pasca Perang Dunia Kedua.

Indeks Persepsi Rasuah 2013, mencatatkan Jepun mencapai 74 markah, berada di ranking ke-18. Namun skandal rasuah yang berlaku, meletakkan Jepun berada dalam paradoks, di antara jernih air di permukaan tasik dengan lumpur hitam di dasar tasik. Jepun dianggap hampir mencapai status sifar rasuah di peringkat petty corruption yang melibatkan pegawai bawahan tetapi berlaku structural corruption secara besar-besaran melibatkan pihak atasan. Ahli politik Jepun perlu modal besar untuk survival, untuk menampung perbelanjaan aktiviti politik dan untuk mendapatkan sokongan politik. 

Skandal Lockheed 1976, adalah antara faktor yang telah mendorong AS menggubal The Foreign Corrupt Practices Act. Skandal-skandal besar lain di Jepun adalah kes Recruit (1989), menjadi punca kepada kejatuhan pentadbiran Perdana Menteri Noboru Takeshita, kes-kes kontraktor Zenecon (1993-1994), mengakibatkan beberapa Prefectural Governors disabitkan kesalahan dan seorang daripadanya membunuh diri dan skandal Bank of Japan/Kementerian Kewangan (1997-1998), mengakibatkan tangkapan, peletakan jawatan dan membunuh diri beberapa pegawai tinggi. 

Budaya politik yang berlangsung di Jepun pasca Perang Dunia Kedua mencatatkan belanja bagi tujuan kempen-kempen pilihan raya mencecah AS$10 bilion; sebahagian besar perbelanjaan ditaja oleh Yakuza, kumpulan mafia yang berlegar dalam sistem politik dan sistem ekonomi Jepun, menghulurkan derma kepada ahli-ahli politik, kemudiannya mendapat perlindungan daripada ahli-ahli politik. Structural Corruption begitu endemik dalam sistem yang dikawal oleh oligarki yang mengamalkan politik naungan dan budaya imbuhan lalu terbina segi tiga yang reput (the rotten triangle), persepakatan (collusion), di antara ahli politik, anggota birokrasi dan tokoh perniagaan. 

AS tidak terkecuali dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa. Spiro Agnew ialah Naib Presiden yang pertama meletakkan jawatan dalam keadaan aib pada 10 Oktober 1973 kerana Jabatan Kehakiman mendapati cukup bukti beliau melakukan rasuah politik dan menerima sogokan. Agnew berkompromi untuk tidak mencabar dakwaan di bawah Federal Income Tax Evasion Act jika dakwaan rasuah politik digugurkan. Beliau dikenakan denda AS$10,000, dihukum tiga tahun probation dan ditegah daripada mengemukakan rayuan. 

Skandal Watergate berlaku pada 17 Jun 1972. Presiden Richard Nixon mengetahui dan terlibat dengan operasi espionage tersebut. Selain menyogok wang untuk menutup kes, Presiden Nixon turut menggunakan CIA untuk menghalang FBI daripada melakukan siasatan, memusnahkan bukti dan memecat staf yang tidak mahu bersubahat dengannya; perbuatan salah guna kuasa yang ketara. Apabila penglibatan Presiden Nixon tidak lagi dapat dilindungi, beliau meletakkan jawatan pada 8 Ogos 1974. Pengganti beliau, Presiden Gerald Ford memberikan Richard Nixon pengampunan di atas apa juga jenayah yang telah beliau lakukan atau mungkin telah lakukan semasa menjawat jawatan Presiden; bermakna Richard Nixon bebas daripada sebarang dakwaan mahupun hukuman.

Apakah moral di sebalik skandal-skandal yang berlaku di tiga negara demokrasi ini. Ia mencerminkan sistem nilai dalam masyarakat yang terperangkap dalam paradoks antara undang-undang, moraliti dan emosi. Betapa jawatan dan status, memberikan imuniti melepaskan seseorang yang telah melakukan kesalahan dari menjalani hukuman. Ia melibatkan persoalan moral, betapa ikatan emosi di antara pengikut dengan pemimpin, betapa esprit de corps di antara mereka yang berada dalam liga yang sama, mencetuskan kesetiaan yang menghalang proses keadilan dapat dilaksanakan; mereka saling mempertahankan, saling melindungi, saling membela rakan dan kawan daripada dikenakan hukuman.

Nicollo Machiavelli dan Jean-Jacques Rousseau, memetik contoh-contoh daripada negara pada era silam, merumuskan kerosakan rasuah berlaku apabila rakyat sendiri sudah tidak mengambil kisah, malah memberikan kesetiaan yang membuta tuli kepada pemimpin kerana terlalu bergantung pada pemimpin hingga hilangnya minda dan jiwa merdeka; akibatnya masyarakat juga terperangkap dalam putaran ganas rasuah dan menjadi masyarakat yang rasuah, hatta tidak berupaya mengawal pemimpin daripada melakukan rasuah. 

Institusi agama sewajibnya berpegang kepada etika dan nilai moral yang tinggi. Namun dunia didedahkan dengan pelbagai skandal di Vatican. Antaranya Monsignor Nunzio Scarano, ditahan dan disoal siasat kerana disyaki terlibat dalam perancangan penyeludupan 20 juta Euro dari Switzerland ke Itali. Pengarah Bank Vatican, Paolo Cipriani dan Timbalan Pengarah Massimo Tulli diarah berundur, disyaki terlibat dengan skandal kewangan bernilai 23 juta Euro. 

Islam agama syumul, menyeluruh lagi sempurna. Kehidupan dunia berkesinambungan dengan kehidupan akhirat seperti yang diperingatkan dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala, ayat 39 Surah Al-Mu'min bermaksud: "Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal."
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bazzar, Thabrani-Al-Targhib bermaksud: "Tidak dapat bergeser kaki seorang hamba pada hari kiamat, sehingga ia ditanya empat perkara: Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan? Tentang masa mudanya, untuk apa ia gunakan? Tentang ilmunya, apakah ia mengamalkannya? Tentang hartanya dari mana ia dapat dan ke mana ia belanjakan?"

Islam menetapkan tanda aras yang tinggi untuk menghindarkan rasuah dengan menegaskan aspek integriti. Islam menegah keras perbuatan salah guna kuasa di kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa. Abu Humaid Ibn Sa'd As-Saidi, meriwayatkan peristiwa di antara Rasulullah SAW dengan Ibn Al-Lutabiyyah yang Baginda lantik bertugas memungut zakat. Semasa Al-Lutabiyyah memungut zakat, beliau turut diberikan hadiah. 

Ketika menyerahkan kutipan zakat, Rasulullah SAW bertanya, bahagian yang beliau tidak serahkan. Al-Lutabiyyah memaklumkan, bahagian tersebut telah dihadiahkan oleh beberapa pembayar zakat kepadanya. Rasulullah SAW bertanya, adakah beliau akan diberikan hadiah, jika beliau tidak ditugaskan memungut zakat; Rasulullah SAW menganggap pemberian sedemikian diragukan, berkemungkinan menjadi pencetus kepada perbuatan rasuah, lalu menasihatkan agar ia dikembalikan kepada pemberi.

Al-Quran dan sunah Rasulullah sarat dengan peringatan menegah ummah daripada melakukan rasuah. Umat Islam, pemimpin Islam dan negara Islam mempunyai cukup rujukan untuk memenuhi amanah dan tanggungjawab menuju Siratul Mustaqim iaitu 'jalan lurus yang dipohonkan', menurut yang diseru dalam ayat 6 Surah Al-Fatihah. Jika ajaran Islam dihayati lalu diamalkan sepenuhnya, negara Islam di bawah pimpinan umat Islam sewajibnya sifar rasuah.

Pada malam berlakunya peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW melihat sekelompok manusia yang lidahnya digunting-gunting. Baginda bertanya; "Siapakah orang itu?" Jibril Alai Hissalam menjawab, "Mereka adalah para mubaligh dari kalangan umat-Mu yang tidak mengamalkan apa yang mereka dakwahkan."Firman Allah dalam ayat 44 Surah Al-Baqarah bermaksud: "Mengapakah kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan sedang kamu melupakan diri (kewajipan) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab..." 

Gambaran yang diperlihatkan semasa peristiwa Israk Mikraj wajib dijadikan peringatan oleh setiap insan yang diamanahkan dengan tanggungjawab pimpinan, apatah lagi di kalangan mereka yang berikrar akan melakukan yang makruf dan menentang yang mungkar, supaya ikrar tidak tergantung dalam retorik.

Aspek Kedua: 

Cabaran menangani rasuah

Ternyata rasuah berlaku dalam setiap sistem pemerintahan dan dalam setiap negara. Kautilya ketika menghasilkan Arthashastra mengenal pasti 40 kaedah menyalahgunakan wang yang dilakukan oleh pegawai awam untuk kepentingan peribadi. Kautilya mencatatkan: "Just as it is impossible not to taste honey or the poison that finds itself at the tip of the tongue, so it is impossible for a government servant not to eat up, at least, a bit of the King's revenue. Just as a fish underwater cannot possibly be found out either as drinking or not drinking the water, so government work cannot be found out (while) taking money (for themselves)".

Transparacency International, menyatakan misi atau mission statement; "...(corruption) undermines good government, fundamentally distorts public policy, leads to the misallocation of resources and particularly hurts the poor. Controlling it is only possible with the cooperation of a wide range of stakeholders in the integrity system, including most importantly, the state, civil society and the private sector." 

Rasuah sering kali menjadi isu utama menyebabkan pemimpin dijatuhkan lalu diganti dengan yang baru. Setiap pemimpin yang diberikan amanah berikrar mahu memerangi rasuah. Undang-undang baru, digubal; undang-undang sedia ada, dipinda; pelbagai agensi dibentuk; rakyat dijanjikan dan harapan diberikan; tetapi jika undang-undang hanya berstatus dokumen bertulis, tidak dikuatkuasakan, ia tidak mungkin menjadi senjata berkesan untuk memberi kemenangan dalam medan perang menghadapi rasuah.Pelbagai agensi yang ditubuhkan tidak akan menjadi briged perang yang boleh mengibarkan bendera kemenangan jika medan memerangi rasuah dilakukan secara selektif.

Di kalangan negara Asia, Filipina memiliki instrumen pencegahan rasuah paling banyak, tujuh undang-undang dan 19 agensi penguat kuasa. Presiden Ferdinand Marcos memperkenalkan lima Agensi Pencegah Rasuah yang baru dalam tempoh 21 tahun era pemerintahannya (1965 - 1986). Namun ia hanyalah kosmetik hiasan untuk melindungi wajah yang hodoh. Bumi dan langit Filipina sarat diselubungi mendung rasuah. Amalan rasuah memuncak semasa era pemerintahan Marcos; amalan kronisme berlaku secara berleluasa, sanak-saudara dan kenalan rapat dilantik mengetuai pelbagai agensi; masing-masing lebih cenderung mengumpul kekayaan peribadi.

Ketika berucap pada Perasmian Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Antirasuah Antarabangsa pada 4 Oktober 2012, Perdana Menteri menegaskan azam dan usaha Kerajaan Malaysia untuk membasmi rasuah. Usaha membanteras rasuah ditetapkan sebagai salah satu daripada tujuh komponen Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). 

Pelbagai langkah susulan telah dirintis termasuk penubuhan 14 mahkamah khas rasuah. Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2013, menunjukkan tahap keyakinan rakyat terhadap keberkesanan SPRM telah meningkat daripada 64 peratus ke 65.8 peratus; dan tahap sokongan masyarakat kepada SPRM turut meningkat daripada 86.4 peratus dalam tahun 2012 kepada 87.3 peratus dalam tahun 2013. Usaha-usaha terus dirintis untuk memperkemaskan undang-undang di samping meningkatkan kapasiti dan keupayaan agensi penguat kuasa. 

Undang-undang dan agensi penguat kuasa adalah instrumen yang perlu dilengkapi dengan program yang komprehensif lagi holistik. Memahami latar belakang pelaku rasuah akan memberikan kelebihan kepada para petugas untuk berupaya memberikan preskripsi dan diagnostik yang tepat. Secara simplistik, pelaku rasuah terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama, adalah kumpulan yang terdesak, terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup, ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk membiayai keperluan asas harian. 

Data Laporan Model Ekonomi Baru menunjukkan, 80 peratus isi rumah di negara ini berpendapatan kurang RM5,000 sebulan; 40 peratus isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; 78.6 peratus penyimpan KWSP berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Tahap keupayaan pelaburan di kalangan majoriti bumiputera boleh dimanifestasikan dengan data yang menunjukkan 75 peratus penabung Amanah Saham Bumiputera memiliki purata tabungan hanya RM611 seorang. Permintaan Presiden CUEPACS agar bank membekalkan lebih banyak nota RM10 dalam mesin ATM, memberikan petanda bahawa pada masa tertentu, sebilangan pemilik kad ATM, tidak pun mempunyai baki minimum RM50 dalam akaun masing-masing.

Data menyentuh agihan sangat membimbangkan dalam usaha gigih negara mahu mencapai taraf negara maju dengan sasaran pendapatan per kapita 48,000 ringgit pada 2020. Agihan tidak seimbang dan jurang pendapatan yang lebar akan mewujudkan persekitaran yang boleh menyuburkan budaya petty corruption. Apakah pilihan yang ada dalam kalangan pegawai awam mahupun swasta jika gaji tidak dapat menampung perbelanjaan hidup harian? 

Majoriti yang berada dalam kategori ini, sebenarnya, tidak mahu melakukan rasuah. Ada yang melakukan kerja kedua, berniaga di pasar malam, memandu teksi secara sambilan, mengadakan kelas tuisyen, menjual kuih, mengambil upah menjahit, melibatkan diri dalam direct selling, serta melakukan pelbagai kerja sampingan untuk mencukupkan pendapatan. Akibatnya mereka tidak cukup rehat - mereka keletihan, menyebabkan mereka menjadi petugas yang lesu ketika bertugas lalu menjejaskan produktiviti.

Inilah hakikat senario semasa di dalam negara. Bilangan yang tergolong dalam kategori ini akan semakin bertambah jika formula berkesan tidak diperkenalkan terutama memberikan fokus kepada aspek-aspek perumahan, makanan, pengangkutan serta khidmat kesihatan dan rawatan perubatan yang kosnya semakin hari semakin meningkat. Negara tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang berlaku. Ia cabaran besar kepada negara. Ia bukan sakit tekak yang bersifat sementara, boleh diubati dengan gula-gula Strepsil. Ia penyakit sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif lagi holistik untuk dilaksanakan.

Pelaku rasuah kategori kedua terdiri dalam kalangan yang bersifat tamak - bersifat haloba; secara umumnya daripada kumpulan atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah - gaya hidup megah. Pelaku rasuah dalam kategori ini amat licik, melakukan rasuah secara sofistikated, bijak membersihkan tangannya daripada sebarang lumpur kekotoran, tidak mudah untuk disabitkan, di samping sebahagian mereka mempunyai hubungan intim dengan orang atasan.

Usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek pertama langkah punitif yang tegas dan tidak selektif, dilaksanakan tanpa gentar - tanpa pilih kasih; aspek kedua: Langkah preventif untuk mengukuhkan intergriti. Tegas dan tidak selektif adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip. Negara mempunyai contoh-contoh yang boleh dijadikan tanda aras dan rujukan, dijadikan sumber inspirasi dan sumber kekuatan untuk berani bertindak. 

Majistret pertama yang dilantik di Pulau Pinang lebih 200 tahun lalu pada era pemerintahan kolonial, dipecat kerana melakukan rasuah. Pada era pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan pada 1964, Allahyarham Abdul Rahman Talib kalah dalam perbicaraan kes sivil melawan S.P. Seenivasagam, memberi implikasi Abdul Rahman Talib terlibat dengan rasuah. Allahyarham mengundur diri daripada Jemaah Menteri.

Sokongan terhadap parti pemerintah, Perikatan merosot dalam pilihan raya umum 1969. Allahyarham Tun Abdul Razak peka membaca mesej rakyat. Tun Abdul Razak meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang parti Perikatan dan kerajaan semasa kempen pilihan raya; lalu segera bertindak melakukan langkah pembetulan. Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak tidak memberi perlindungan kepada anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah. Atas nasihat Datuk Harun Hashim, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah BPR, membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah. 

Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Said didedahkan memiliki hampir RM1.2 juta; RM330,000 disita kerana didapati diperoleh secara rasuah. Beliau meletakkan jawatan pada Februari 1970. Pada Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti dua bulan; selepas itu beliau digantikan dengan Mahmood Sulaiman. Di peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur daripada menjadi anggota Jemaah Menteri pada September 1970.

Pada era kehebatan Roma, pemerintahan diktator diizinkan oleh undang-undang untuk dilantik bagi tempoh enam bulan dalam situasi negara menghadapi krisis; selepas itu kuasa hendaklah dikembalikan kepada rakyat. Cincinnatus, seorang Jeneral Bersara, yang telah diserahkan kuasa memerintah secara diktator adalah contoh pemimpin Roma yang tidak gilakan pangkat mahupun sanjungan. Cincinnatus dilantik memimpin semasa Roma menghadapi krisis; setelah Roma kembali tenteram, walaupun rakyat Roma memohon agar dia terus memimpin, Cincinnatus, menolaknya dan mengembalikan kuasa kepada rakyat Machiavelli merujuk sifat sedemikian sebagai ciri mulia; sifat seorang pemimpin yang memiliki kekebalan serta daya tahan daripada melakukan rasuah kerana tidak haloba untuk mengekalkan kuasa. Sifat terpuji Cincinnatus, sebenarnya menjelma dalam batang tubuh Tun Abdul Razak yang mindanya tidak boleh dirasuah dengan sifat tamak mempertahankan kuasa. Sebagai Pengarah MAGERAN, pasca tragedi 13 Mei, Tun Abdul Razak memiliki kuasa mutlak. Apabila negara kembali aman, meskipun dipohon untuk tidak membubarkan MAGERAN, Tun Abdul Razak memilih untuk mengembalikan kuasa kepada institusi rakyat; sistem demokrasi berparlimen dihidupkan semula.

Pada era pimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn, Allahyarham Datuk Harun Idris pada 1976 disabitkan kesalahan rasuah. Harun dibicarakan di hadapan Paduka ayahanda beta, ketika itu Hakim Raja Azlan Shah. Hakim Raja Azlan Shah (kini Almarhum Al-Maghfurlah) menghadapi tugas berat. Tertuduh, bukan sahaja mempunyai sokongan politik tetapi seorang individu yang baginda kenal. Ketika menjatuhkan hukuman antara lain Hakim Raja Azlan Shah menyatakan:

"It is painful for me to have to sentence a man I know. I wish it were the duty of some other judge to perform that task. To me this hearing seems to reaffirm the vitality of the rule of law. But to many of us, this hearing also suggests a frightening decay in the integrity of some of our leaders. It has given horrible illustrations of Lord Acton's aphorism 'power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely', and has focussed concern on the need of some avowed limitations upon political authority.

..the law is no respector of persons. Nevertheless it will be impossible to ignore the fact that you are in a different category from any person that I have ever tried. It would be impossible to ignore the fact that, in the eyes of millions of our countrymen and women, you are a patriot and a leader. Even those who differ from you in politics look upon you as a man of high ideals. You had every chance to reach the greatest height of human achievement. But half-way along the road, you allowed avarice to corrupt you. 

It is incomprehensible how a man in your position could not in your own conscience, recognise corruption for what it is. In so doing, you have not only betrayed your party cause, for which you have spoken so eloquently, but also the oath of office which you have taken and subscribed before your Sovereign Ruler, and above all the law of which you are its servant". 

Penghakiman tersebut mengandungi bukan sekadar kata-kata mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukum, ia turut mengandungi komponen nasihat, teguran, peringatan dan amaran, agar dijadikan teladan. Tentulah berat bagi lidah Hakim Raja Azlan Shah untuk menzahirkan ungkapan kata-kata sedemikian keras - sedemikian tegas terhadap tertuduh yang turut baginda kenali; tetapi Hakim Raja Azlan Shah perlu lebih mengutamakan kedaulatan undang-undang dan kepentingan umum daripada batang tubuh seorang kenalan.

Bertindak secara tegas lagi tidak selektif bukan satu opsyen, tetapi satu kemestian. Allah SWT telah memperlihatkan contoh panduan. Nabi Adam a.s. ialah ciptaan Ilahi, dimuliakan, dikurniakan status tinggi hingga para malaikat diperintahkan sujud kepadanya. Namun apabila peraturan gagal dipatuhi, hukuman dilaksanakan oleh Ilahi secara tegas lagi segera; Nabi Adam diperintah keluar dari syurga.

Ayat 135 surah An-Nisaa, bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang senantiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri mu sendiri ataupun ibu bapa dan kaum kerabatmu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin, (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran), kerana Allah lebih mengetahui keadaan keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu, sehingga kamu tidak berlaku adil. Jika kamu memutarbelitkan atau enggan menjadi saksi, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu lakukan."

Demikian tegasnya prinsip melaksanakan keadilan di dalam Islam yang tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan baik diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu bapa. Perintah yang terkandung di dalam ayat tersebut diperkukuhkan lagi dengan salah satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya telah binasa orang yang sebelum kamu iaitu sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat tinggi, lalu mereka dibiarkan sahaja; tetapi jika yang mencuri itu mereka yang lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, yang aku di dalam kekuasaan-Nya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya ku kudungkan tangannya."

Aspek preventif memerlukan usaha meningkatkan integriti agar insan dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu. Sifat tamak merupakan faktor yang sering kali menjerumuskan manusia melakukan dosa. Islam menganjurkan insan untuk mengamalkan sifat kesederhanaan, menjauhkan diri daripada sifat bermegah dan bermewah; tercatat peringatan Ilahi dalam Kisah Nabi Hud a.s. pada ayat 128 Surah Asy-Syu'araa, bermaksud: "Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermewah-mewah dan memperlihatkan kekayaan". 

Ketika Allah SWT murka kepada Nabi Adam kerana terpengaruh dengan godaan iblis, Nabi Adam berada di dalam kesenangan syurga, dilimpahi nikmat yang dijamin oleh Allah SWT seperti maksud yang terkandung dalam ayat 118 dan 119 Surah Thaahaa; "Tidak akan kelaparan, tidak akan merasa dahaga, tidak akan telanjang, tidak akan ditimpa panas matahari," 

Nabi Adam tertipu dengan godaan iblis. Bahawa Allah telah memberi peringatan dalam ayat 117 Surah tersebut; "Iblis adalah musuh". Baginda ditewaskan musuh dengan janji palsu iblis untuk memberikan kuasa, janji palsu 'pengekalan kuasa' seperti yang terkandung dalam ayat 120 surah berkaitan yang bermaksud: "Lalu syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: Hai Adam, mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa." 

Betapa dinding ketahanan iman ditembusi kerana tarikan untuk mendapatkan kuasa. Nafsu gilakan kuasa nyata boleh menewaskan kewarasan akal. Memperkukuhkan iman adalah benteng pertahanan yang wajib dibina untuk meningkatkan daya tahan insan daripada tergelincir dengan tarikan kebendaan, tarikan kemewahan serta tarikan kepada pangkat dan kuasa. Insan wajib diperingatkan dengan firman Allah yang terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud: 

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan." 

David Owen, dalam karyanya, The Hubris Syndrome: Bush, Blair and the Intoxication of Power, melakukan analisis perlakuan rasuah dari lensa seorang doktor perubatan; Owen menyifatkan perlakuan rasuah yang berlaku kerana gilakan kuasa adalah satu penyakit mental. Mahatma Ghandi memerhatikan bahawa kuasa membuatkan manusia menjadi tuli dan buta; lalu keputusan dilakukan berdasarkan naluri; kepuasan peribadi mengatasi kepentingan awam; sebarang pendapat yang bercanggah meskipun datang daripada kenalan rapat, dianggap bersuara musuh - dianggap mengancam kedudukannya; lalu pelbagai tindakan dilakukan untuk menghapuskan apa jua tentangan. 

Bahawa kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan jawatan adalah ujian. Amanah dan tanggungjawab adalah ujian. Menegak yang makruf dan menentang yang mungkar adalah satu tuntutan. Setiap janji yang diungkapkan, setiap perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan akan diperiksa pada hari kebangkitan, di Mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar; ketika itu tidak ada peguambela untuk membela dosa yang telah dilakukan, begitu juga amanah yang gagal disempurnakan.

Memerangi rasuah adalah jihad, yang perlu disemaikan di hati sanubari insan. Rasulullah bersabda: "Dalam diri manusia ada segumpal 'daging' apabila 'daging' itu baik maka baiklah akhlak orang itu; apabila 'daging' itu buruk, maka buruklah akhlak orang itu".Semoga Allah memberikan petunjuk dan kekuatan kepada setiap anggota SPRM, gigih menyempurnakan tugas berat membasmi rasuah. Semoga setiap niat ikhlas dan tugas yang dilaksanakan secara jujur mendapat hidayat dan ganjaran Ilahi

6 ulasan:

zamzuri berkata...

BAGUS UCAPAN NI SARAT DENGAN NILAI-NILAI SEJARAH

Unknown berkata...

ya .. patutnya , yang makan rasuah nie hukuman gantung dan sebat ja . pasal depa nie la kerajaan rugi ..
tak pasal2 minyak naik .. gaji bila lagi nak naik 300% ..

Rambo berkata...

Sempena pengurangan subsidi minyak... diharap mana mana wakil dapat membangkitkan tentang kadar tuntutan perjalanan bagi penjawat awam yg menggunakan kenderaan sendiri bagi tujuan urusan rasmi... diharap dapat pertimbangan sewajarnya... jika tidak dinaikkan... diharap dapat sediakan kenderaan rasmi kerajaan yg mencukupi untuk melancarkan perjalanan urusan rasmi kerajaan. Sekian.

Damia Humaira berkata...

ucapan yg mantop dan berisi....point to ponder, hakikatnya pendapatan rakyat bawah RM3000 dan rm2000 masih dominasi rakyat malaysia. Hope that menteri kewangan I. II dan timbalannya buat double check.

Damia Humaira berkata...

ucapan yg mantop dan berisi....point to ponder, hakikatnya pendapatan rakyat bawah RM3000 dan rm2000 masih dominasi rakyat malaysia. Hope that menteri kewangan I. II dan timbalannya buat double check.

Unknown berkata...

tambahan info :
Kes rasuah diperingkat tinggi yang menjadi rujukan aku semasa mengikuti Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) di USM 2005 ialah Kes Skandal Hawala di India yang melibatkan US18 juta rasuah dikalangan ahli politik.