SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 Mei 2011

CUEPACS CADANG JUMPA PM BINCANG SOAL PELARASAN GAJI

Bernama
10/5/2011




PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan soal pelarasan gaji bagi kira-kira 1.3 juta kakitangan awam di negara ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pihaknya bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri selepas mesyuarat kongres pada 26 dan 27 Mei di Lumut, Perak.

"Selepas mesyuarat kongres, kita akan membuat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Dialog Cadangan Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini pada Selasa.

Katanya selain soal pelarasan gaji, kongres juga bercadang berbincang dengan kerajaan mengenai soal bantuan sara hidup (COLA) dan elaun tetap perumahan.

Cuepacs sebelum ini mencadangkan agar COLA semua penjawat awam diselaraskan kepada RM300 sebulan dan elaun tetap perumahan untuk penjawat awam yang bergred 40 dan ke bawah dinaikkan kepada RM350 sebulan berbanding RM180 sekarang.

Ia juga telah membuat permohonan untuk penyelarasan gaji pada dua tahun lalu bagi mengurangkan beban ahlinya ekoran kenaikan harga barang.

Bagaimanapun, Omar berkata perkara itu terserah kepada kerajaan tetapi berharap ia dapat dipertimbangkan.

Katanya dalam pertemuan kongres dengan penjawat awam di seluruh negara, banyak keluhan telah dikeluarkan berhubung kadar kos hidup pada masa ini yang semakin meingkat termasuk di kawasan luar bandar.

"Bila harga barang naik, mereka mengeluh dengan kenaikan kadar kos hidup sekarang ini. Itu sebab kita minta timbang semula COLA itu supaya dapat diselaraskan," katanya.

Omar berkata penyelarasan gaji Akan dapat menampung perbelanjaan penjawat awam terutama kumpulan bawahan yang terpaksa bekerja sampingan untuk mencari pendapatan tambahan kira-kira RM500 sebulan.

Katanya pertemuan itu juga bagi membincangkan langkah-langkah untuk memantapkan produktiviti penjawat awam.

-- BERNAMA

PENGGANTI PTK DIJANGKA LEBIH BAIK : CUEPACS

Bernama
10/5/2011



PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dijangka lebih baik, kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Cadangan Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam di sini pada Selasa, beliau berkata terdapat perubahan yang akan dilaksanakan dalam sistem baru itu seperti yang diharapkan oleh kesatuan dan nama sistem itu juga akan berubah.

Bagaimanapun, katanya, hasil mesyuarat pada Selasa perlu dikemukakan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah sebelum pengumuman rasmi dibuat.

"Kita berpuas hati kerana mesyuarat hari ini berjalan dengan baik. Cadangan Cuepacs dan cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam dapat digabungkan dan berjaya mencapai satu kata sepakat yang baik.

"Jika perkara ini dapat persetujuan daripada pihak atasan, daripada apa yang dibincangkan hari ini, ia merupakan satu sistem yang lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Kerajaan dijangka melaksanakan sistem penilaian baru terhadap penjawat awam menggantikan PTK berkuat kuasa Julai ini.

Pemansuhan PTK yang berkuatkuasa 1 Januari lalu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau membentangkan Bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.

-- BERNAMA

CUEPACS HARAP PELARASAN GAJI DISEGERAKAN

Utusan Malaysia
9/5/2011





KOTA BHARU 8 Mei – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat mempercepatkan pelarasan gaji 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, permohonan untuk pelarasan gaji itu telah dibuat dua tahun lalu bagi mengurangkan beban ahlinya ekoran kenaikan harga barang.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak bermaksud mendesak kerajaan untuk berbuat demikian kerana memahami kedudukan kewangan negara dan sedar ia akan turut memberikan kesan kepada pekerja swasta.

“Kita sedar kenaikan harga barang adalah di luar kawalan dan kalau gaji kakitangan awam naik, kita bimbang ada golongan akan turut menaikkan harga barang dan bagaimana pula dengan bukan kakitangan awam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Alternatif PTK oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin di sini hari ini.

Omar diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa kakitangan awam akan menerima pelarasan gaji dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu juga untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam yang bekerja sambilan kerana rekod menunjukkan kira-kira 20 peratus daripada 730,000 kakitangan awam kelas sederhana melakukan kerja sambilan.

Katanya, CUEPACS tidak mahu kakitangan awam mengutamakan kerja sambilan sehingga menjejaskan produktiviti tugas hakiki mereka.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam proses terakhir untuk menyiapkan sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

“Kira-kira 90 peratus sistem penilaian baru itu telah siap dan kita akan berbincang buat kali terakhir dengan JPA Selasa ini bagi melengkapkan sistem penilaian baru itu,” katanya.

EJEN PEMANTAU PENJAWAT AWAM

Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2011/05/10



LAPORAN  akhbar kelmarin.

LAPORAN akhbar kelmarin.


Penilaian konsep 360 darjah tingkat kepemimpinan jabatan kerajaan

KUALA LUMPUR: Penilaian tahap kecekapan berkonsep 360 darjah mulai 1 Julai depan berkesan mewujudkan hubungan 'menang-menang' yang erat antara pihak pengurusan dan kumpulan pelaksana, serta mempertingkat daya kepemimpinan cemerlang, telus dan saksama dalam jabatan kerajaan.
Pelaksanaan konsep baru itu juga disifatkan sebagai ejen pemantau kepada pentadbiran dan jentera operasi dalam perkhidmatan awam berikutan semua penjawat menyedari prestasi mereka akan diperhati serta dinilai secara berterusan oleh penyelia, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata sistem penilaian baru itu mampu menjana pembangunan profesionalisme serta kerjaya berterusan di kalangan penjawat awam melalui kursus peningkatan kecekapan, berbanding kebanyakan kursus di bawah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) lebih menjurus kepada program kesedaran dan motivasi.

“CUEPACS juga akan mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam perjumpaan esok (hari ini) supaya penilaian baru ini nanti turut memberi pertimbangan lebih 15 peratus kepada sumbangan kakitangan yang kreatif di luar bidang tugas hakiki mereka,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pelaksanaan sistem itu mampu mengelakkan berlakunya penindasan dalam hubungan antara pegawai atasan dan kakitangan bawahan, sebaliknya tindakan diambil akan lebih berhati-hati serta mengambil kira kepentingan secara keseluruhan.
“Ini secara langsung akan menggalakkan jalinan kerjasama lebih padu yang bukan saja menguntungkan pihak pentadbiran, kumpulan pelaksana, jabatan dan negara tetapi juga pelanggan atau penerima perkhidmatan,” katanya.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri, berkata konsep penilaian baru itu diyakini lebih relevan dan berkesan berbanding penilaian berasaskan peperiksaan dalam PTK.

“Justeru, peluang kenaikan pangkat yang mengambil kira rekod penilaian perkhidmatan secara berterusan serta pembabitan dalam kursus peningkatan ilmu dan kecekapan, amat penting serta lebih ketara,” katanya.

Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Wilayah Persekutuan, Jaapar Mansor berkata, penilaian yang mengutamakan prestasi kerja penjawat awam, lebih-lebih lagi untuk tujuan kenaikan pangkat, adalah lebih adil.

KERJA DARI RUMAH

Berita Harian
Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2011/05/09


Wanita sebagai pekerja, isteri dan ibu cemerlang

DI NEGARA maju, bekerja dari rumah atau konsep Small Office Home Office (SOHO) bukan perkara asing. Ia semakin diterima masyarakat, lebih-lebih lagi dengan kemajuan dan kecekapan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Kajian dijalankan di Amerika Syarikat mendapati lebih 25 juta penduduknya menyertai program SOHO dalam pelbagai sektor. Begitu juga di Kanada (2.5 juta); United Kingdom (2.2 juta), Australia (778,000) dan New Zealand (200,000). Di Malaysia pula, konsep berkenaan masih dianggap baru. Namun, ia semakin mendapat perhatian. Kementerian Kerjaya umpamanya, menjadi perintis program bekerja dari rumah yang pada awalnya membabitkan kakitangan bertugas di cawangan Kejuruteraan Awam, Struktur dan Jambatan, Arkitek dan Ukur Bahan.

Kemudian, Kementerian Sumber Manusia pula menyusul, menyediakan program sama berdasarkan Peraturan Kerja Separa Masa mengikut Akta Kerja 1955, bagi menggalakkan pekerja sektor awam dan swasta bekerja separuh masa atau bekerja dari rumah.

Apa yang penting, program seumpama itu memberi peluang kepada warga kerja khususnya wanita untuk menyertainya dan terus bekerja menambah pendapatan berikutan waktu lebih anjal, kurang tekanan, bebas daripada kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

Bagi wanita bekerja dari rumah banyak keuntungannya kerana mereka boleh merancang secara fleksibel mengikut kesesuaian waktu, dapat membahagikan masa lebih berkualiti menguruskan rumah tangga, menumpukan perhatian kepada kebajikan suami dan anak.
Hak mereka sebagai sebahagian daripada sumber tenaga manusia negara juga tidak terjejas, selain dapat menikmati faedah seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), cuti umum, cuti sakit jika berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Kecekapan dan kemudahan akses kepada dunia siber tanpa sempadan, iaitu e-mel, blog, telepersidangan serta jaringan sosial lain umpamanya Facebook dan twitter membuka peluang lebih luas kepada warga kerja untuk melakukan sesuatu bidang tugas mereka secara lebih efektif, tanpa mengabaikan keluarga.

Konsep bekerja dari rumah yang diwujudkan Kementerian Sumber Manusia, antara lain bertujuan membantu Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan suri rumah serta mereka yang tidak mempunyai pekerjaan bagi melakukan kerja dalam bidang kraftangan atau berkaitan industri kecil sederhana (SMI).

Sejak dilancarkan pada 7 Oktober 2008, program itu sudah memberi manfaat kepada 2,319 suri rumah dan 435 ibu tunggal.

Dengan kejayaan itu, Kementerian Sumber Manusia juga bercadang memperluaskan program itu ke seluruh negara menerusi promosi dengan kerjasama majikan dan persatuan seperti Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persatuan Perniagaan supaya lebih banyak majikan boleh menawarkan pekerjaan dari rumah.

Bagi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, program bekerja dari rumah atau bekerja separuh masa memberi banyak keuntungan kepada wanita bagi mengelak tekanan antara tugas di pejabat dan mengurus rumah tangga.

Bagi CUEPACS, program seumpama itu amat diterima baik dan ia diharap dapat menggalakkan wanita untuk melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang.

“Saya rasa wanita akan lebih tekun dan menjadi pekerja lebih bagus bagus kerana dapat memberi tumpuan kepada kerja dilakukan. Cuma, mereka yang terbabit dengan kerja dari rumah perlu melapor diri atau datang ke pejabat dua hari seminggu untuk berjumpa majikan.

“Interaksi antara pekerja dan majikan perlu untuk melihat perkembangan kerja mereka berjalan lancar,” katanya.

Keluarga dulu, kerjaya nombor dua


RAMAI wanita hari ini lebih mementingkan keluarga selepas mempunyai anak. Tinjauan syarikat laman pekerjaan dalam talian, JobStreet.com menunjukkan hampir 64 peratus wanita berkata, kepentingan kerjaya dalam hidup berubah apabila mereka mempunyai cahaya mata.

Kajian yang dijalankan April lalu itu membabitkan 550 pekerja wanita, berusia antara 18 tahun dan 35 tahun dengan 42 peratus belum berkahwin dan 41 peratus sudah berkahwin serta mempunyai anak. Ia bertujuan mendapatkan pandangan wanita mengenai kerjaya mereka dan ciri pekerjaan yang diingini selepas bergelar ibu.

Ditanya mengenai keutamaan dalam kerja, lebih daripada 61 peratus responden mengatakan waktu kerja yang lebih fleksibel akan menjadi keutamaan, 16 peratus mahukan waktu kerja yang lebih pendek dan konsisten sementara tujuh peratus wanita mahu mengurangkan waktu perjalanan ke tempat kerja dan untuk pulang ke rumah manakala 15 peratus wanita mengutamakan gaji yang lebih tinggi.

Tinjauan yang sama juga mendapati, wanita di negara ini kembali kepada adat tradisional peranan wanita di rumah. Lebih kurang 44 peratus wanita merancang untuk berhenti kerja selepas mempunyai anak. Pilihan yang paling popular adalah untuk bekerja separuh masa, secara sambilan atau pekerjaan yang tidak terikat dengan masa atau berhenti kerja sementara waktu sebelum menyambung kerjaya semula. Tiga puluh lapan peratus wanita berpendapat meninggalkan kerja selama setahun selepas melahirkan anak adalah sesuai.

Berdasarkan maklumat ini, aliran pekerjaan ibu di Malaysia dijangka berubah di masa depan kepada pekerjaan yang lebih fleksibel. Bagaimanapun, hakikatnya, lebih daripada 80 peratus ibu yang menyertai kajian ini tidak berhenti kerja selepas mendapat anak.

Lebih daripada separuh menyatakan isu kewangan sebagai sebab tidak dapat berhenti kerja. Hanya 20 peratus wanita tidak berhenti kerja demi meneruskan perkembangan kerjaya. Ini menunjukkan berlaku konflik antara apa yang dikehendaki mereka dan apa yang boleh dikecapi.

Apabila disoal mengenai majikan pula, tinjauan menunjukkan ada jurang antara apa yang diberi majikan dan apa yang dikehendaki pekerja wanita. Lima puluh satu peratus wanita berasakan majikan tidak peka kepada keperluan ibu yang bekerja; majikan tidak memberi pilihan kerja separuh masa atau waktu kerja yang fleksibel (74 peratus) dan 66 peratus berpendapat majikan harus menyediakan kemudahan tempat penjagaan anak.


INFO

Objektif bekerja dari rumah Kementerian Sumber Manusia

  • Membantu golongan sasar termasuk OKU, ibu tunggal, suri rumah dan keluarga miskin tegar yang belum ada pekerjaan, bekerja secara sambilan atau tetap melalui peluang kerja secara ‘home working’ ditawarkan oleh syarikat berdekatan.

  • Meningkatkan kesedaran masyarakat korporat mengenai tanggungjawab sosial terhadap golongan sasar dan seterusnya menggiatkan usaha untuk menaikkan taraf hidup mereka.

  • Memberi alternatif kepada pihak syarikat untuk mendapatkan pekerja dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing

    Tiga kaedah kerja dari rumah

  • Kerja secara individu

    Kerja yang dijalankan di rumah peserta, yang mana peserta itu sendiri mengambil bahan dan peralatan daripada syarikat serta berurusan terus dengan pihak syarikat bagi segala urusan, termasuk pembayaran upah.

  • Kerja secara berkumpulan

    Kerja yang dijalankan di premis tertentu secara berkumpulan dan diselia ketua yang dilantik untuk mengurus, menyelia dan seterusnya berurusan dengan syarikat berkaitan dengan pekerjaan mereka, termasuk urusan pembayaran upah.

  • Kerja secara individu atau kumpulan melalui pihak ketiga

    Kerja dijalankan di premis tertentu, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pihak ketiga, yang menjadi orang tengah kepada syarikat. Segala urusan berkaitan dengan pekerjaan mereka, termasuk pembayaran upah adalah di bawah tanggungjawab pihak ketiga.
  • 09 Mei 2011

    BINA HUBUNGAN HARMONI -TPM

    Utusan Malaysia
    Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
    pengarang@utusan.com.my
    8/5/2011






    MUHYIDDIN Yassin melancarkan sambutan Hari Pekerja 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. Turut serta Dr. Subramaniam (dua dari kiri), Omar Osman (empat dari kanan), Mohd. Sidek Hassan dan Maznah Mazlan (kanan). – MINGGUAN/MOHD. NOOR AMIN


    KUALA LUMPUR 7 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kesatuan sekerja dan majikan membina hubungan tripartisme yang harmoni dan saling melengkapi dengan kerajaan kerana ia akan memberi manfaat kepada semua pihak.

    Kata Timbalan Perdana Menteri, hubungan yang harmoni itu dapat memastikan peningkatan produktiviti pekerja seterusnya memberi keuntungan yang lebih kepada majikan.

    Dalam masa sama kata beliau, pekerja pula akan memperoleh pendapatan yang tinggi.

    “Akhirnya ini akan memanfaatkan semua pihak tidak kira pekerja, majikan atau masyarakat,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini.

    Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, timbalannya, Datuk Maznah Mazlan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

    Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada pekerja, majikan dan kesatuan sekerja cemerlang dalam 10 kategori berbeza.

    Muhyiddin menambah, kerajaan amat menghargai hubungan tripartisme yang mantap dan berterusan antara pihak pekerja, majikan dan kerajaan bagi memastikan segala usaha pembangunan negara dapat berjalan lancar.

    Beliau turut berharap hubungan rapat itu akan berterusan bagi memelihara dan meningkatkan perhubungan perusahaan yang harmoni.

    Katanya, kejayaan pembangunan negara hari ini adalah hasil hubungan erat antara majikan dan pekerja dan ia wajar dipertingkatkan.

    “Kesediaan untuk berubah, menghormati dan menerima perbezaan pendapat dan bekerja ke arah mewujudkan persamaan dan perkongsian bijak akan membuahkan kejayaan,” katanya










    PELARASAN GAJI: CUEPACS AKUR KEWANGAN KERAJAAN

    Bernama
    9/5/2011




    KOTA BAHARU, 8 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tetap akur jika masalah kewangan dijadikan faktor kerajaan tidak dapat melaksanakan pelarasan gaji kepada lebih sejuta penjawat awam.

    Presidennya Datuk Omar Osman berkata pada masa yang sama kerajaan perlu melihat keperluan untuk berbuat demikian kerana kepentingan kakitangan berjawatan rendah yang terpaksa membuat kerja sampingan.

    "Apa pun kita (Cuepacs) akur dengan kekangan kewangan kerajaan tetapi pada masa yang sama kita perlu melihat dan membantu kakitangan yang berjawatan rendah ini untuk mereka meneruskan kehidupan.

    "Kira-kira 20 peratus daripada lebih 700,000 yang berjawatan rendah dilaporkan mula membuat kerja sampingan kerana masalah kewangan yang mereka hadapi," katanya selepas Majlis Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di sini, Ahad.

    Perasmian seminar itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

    Omar berkata, Cuepacs sememangnya tidak bersetuju dengan langkah penjawat awam yang mahu membuat kerja sampingan kerana khuatir mereka hilang tumpuan ketika melakukan pekerjaan hakiki itu.

    "Cuepacs memang tidak bersetuju mereka mahu membuat kerja luar ini kerana bimbang kerja hakiki mereka akan diabaikan tetapi pada masa yang sama juga kita simpati mereka terpaksa membuat kerja luar ini," katanya.

    Bagaimanapun, beliau berkata penjawat awam perlu membuktikan komitmen mereka dalam membantu transformasi kerajaan sebelum memikirkan soal pelarasan dan kenaikan gaji itu.

    Sementara itu, beliau berkata pertemuan ketiga antara kongres itu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak lama lagi akan memuktamadkan sistem kompetensi baru bagi menggantikan PTK yang dijadual dilaksana pada Julai ini.

    "Sekarang sudah 90 peratus selesai dan Cuepacs berpuas hati dengan kerjasama JPA ini dan yakin sistem baru itu nanti benar-benar dapat melahirkan pekerja yang dapat membangunkan negara menjadi sebuah negara maju.

    "Selama lapan tahun kita tidak berpuas hati dengan PTK itu tetapi kini kita yakin semua penjawat awam yang ada akan berpuas hati dengan pelaksanaan sistem baru itu nanti," katanya.

    Omar berkata antara kaedah sistem itu nanti, semua penjawat awam perlu menghadiri kursus dan mereka kemudiannya akan dinilai untuk proses kenaikan pangkat dan sebagainya.

    -- BERNAMA

    PEKERJA DISARAN PERTINGKAT KEMAHIRAN UNTUK REBUT PELUANG PEKERJAAN BERPENDAPATAN TINGGI

    Bernama
    8/5/2011




    KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri menyeru supaya golongan pekerja di negara ini sentiasa mempertingkatkan kemahiran, ilmu pengetahuan dan produktiviti kerja mereka seiring dengan matlamat kerajaan mentransformasikan negara menjadi sebuah negara ekonomi maju berpendapatan tinggi.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata inisiatif kerajaan melalui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) juga dijangka mewujudkan lebih 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2020, di mana 60 peratus daripadanya merupakan pekerjaan berpendapatan sederhana dan tinggi.

    Justeru beliau berkata, warga pekerja hendaklah meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja yang semakin dinamik dan kompetitif dengan menyemaikan prinsip kreativiti dan inovasi sebagai sebahagian daripada amalan kerja mereka.

    Sehubungan ini beliau berkata peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan juga perlu disokong dengan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, inovasi dan latihan teknikal berkemahiran tinggi.

    "Dalam usaha kerajaan untuk merealisasikan konsep pekerjaan berpendapatan tinggi, negara perlu berubah daripada aktiviti ekonomi yang bernilai tambah rendah kepada aktiviti yang bernilai tambah tinggi," katanya pada perhimpunan sambutan Hari Pekerja 2011 di sini, Sabtu.

    Katanya, dalam usaha itu, kerajaan juga telah merangka program dan strategi bagi meningkatkan kapasiti tenaga kerja mahir yang kini 28 peratus kepada 33 peratus menjelang 2015 dan 50 peratus menjelang 2020.

    Muhyiddin juga menekankan kepentingan melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, berkualiti dan bertaraf dunia sebagai keperluan dalam usaha Malaysia untuk meneroka sumber pertumbuhan ekonomi baru yang berasaskan teknologi tinggi seperti dalam bidang bioteknologi, nanoteknologi dan teknologi laser.

    Katanya dalam konteks ini, institusi pendidikan dan latihan wajar melakukan penambahbaikan secara kreatif dan inovatif ke atas sistem penyampaian pendidikan dan latihan untuk membolehkan negara mengeluarkan lebih ramai tenaga kerja yang bukan sahaja mahir malah berdaya inovatif dan kompetitif.

    "Selain daripada institusi-institusi pendidikan dan latihan, pihak majikan dan warga pekerja sendiri juga perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam menjayakan program pembangunan modal insan ini," katanya.

    Sementara itu, timbalan perdana menteri juga berkata kerajaan amat menghargai perhubungan "tripartisma" antara pekerja, majikan dan kerajaan yang mantap dan berterusan antara pihak pekerja, majikan dan kerajaan bagi memastikan segala usaha pembangunan negara dapat berjalan dengan lancar.

    Katanya, hubungan "tripartisma" yang harmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain ini akan memberi manfaat kepada semua pihak.

    Sambutan tahun ini yang bertemakan "Pekerja Merealisasikan Transformasi Negara" disertai hampir 12,000 peserta daripada 200 kontijen yang mewakili pelbagai organisasi kerajaan dan swasta.

    Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Jaafar Abdul Majid dan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Datuk Azman Shah Haron.

    -- BERNAMA

    07 Mei 2011

    SAMBUTAN HARI PEKERJA DI HOSPITAL PAKAR SULTANAH FATIMAH DI MUAR JOHOR

    Media Cuepacs
    6/5/2011



    Muar; Sambuatan Hari Pekerja di Hospital Pakar Sultanah Johor bermula 3-6hb. Mei 2011 sempena menyambut hari pekerja penjawat awam dihospital tersebut. Majlis gemilang perasmian diadakan pada 6hb mei 2011 di Tapak Futsal Hospital. Majlis di rasmikan oleh Dato' Haji Omar Osman Presiden CUEPACS dan di diringi oleh Timbalan Setiausaha Agung I & III dan Timbalan Setiausaha Kewangan. Lebih kurang 150 yang hadir dan mendengar amanat Dato' Presiden CUEPACS. Turut hadir sama Pengarah dan Pengerusi MBJ.





    06 Mei 2011

    CUEPACS MESTI LEBIH ADIL TUNTUT GAJI, ELAUN

    Berita Harian
    2011/05/03



    USAHA Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon penyelarasan gaji mahu pun elaun kakitangan awam sempena Hari Pekerja 2011 memang dialu-alukan demi menjaga kebajikan pekerja.

    Penyelarasan Elaun Sara Hidup (COLA) dibayar sama rata kepada semua kakitangan awam RM300 sebulan tanpa mengira kategori kawasan kakitangan itu bertugas juga satu keputusan adil. Ini kerana, elaun COLA bukan hanya untuk menampung keperluan kos sewa rumah saja tetapi merangkumi kos sara hidup seharian seperti keperluan makan minum dan pengangkutan. Dalam kepesatan ekonomi kini, kos sara hidup ibarat air laut ada pasang surutnya. Bagaimanapun, dalam merancang tindakan wajar daripada kerajaan, CUEPACS juga perlu realistik dan memastikan apa yang diminta itu memberi keadilan kepada semua kakitangan awam pelbagai gred jawatan.

    Merujuk temu bual Azrul Affandi Sobry bersama Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, sempena Hari Pekerja bertajuk ‘Bayaran COLA lebih adil terus diperjuang’ yang disiarkan akhbar ini kelmarin, ada perkara saya fikir terlepas pandang daripada penilaian beliau.

    Mengikut pemahaman saya, tujuan elaun COLA dibayar untuk membantu kakitangan awam menguruskan kos kehidupan seharian bukan membantu pembayaran kos sewa rumah kerana bagi tujuan pengurusan kos sewa rumah, setiap kakitangan awam sudah pun mempunyai elaun perumahan atau Imbuhan Tetap Perumahan (ITP).

    Lagipun, situasi semasa perlu difahami serta dikaji kerana apa yang berlaku mungkin sewa rumah di bandar lebih mahal berbanding di luar bandar tetapi harga barang keperluan di bandar lebih murah jika dibandingkan dengan harga barang keperluan di luar bandar.
    Saya perhatikan sebelum ini, kebanyakan usaha CUEPACS berkaitan kenaikan gaji, elaun mahu pun pemberian bonus tahunan banyak memberi keuntungan kepada kakitangan sokongan gred 1 hingga 40 serta gred 48 ke atas dan yang menjadi mangsa keadaan adalah kakitangan gred 41 hingga 44.

    Sebarang usaha CUEPACS berkaitan gaji, elaun dan bonus perlulah dibuat lebih adil dan saksama supaya sistem sedia ada tidak menjadi bahan jenaka pihak lain.

    Kita biasa mendengar gurauan: “Saya yang tak sambung belajar dan tidak ada ijazah pun dapat gaji lebih tinggi dari awak yang ada ijazah”. Harap CUEPACS dan kerajaan lebih peka mengenai perkara ini.

    KAKITANGAN 41,
    Tanjung Malim, Perak.

    PERANGI RASUAH JIHAD KERAJAAN BERINTEGRITI - TPM

    Bernama
    05/05/2011 4:04pm



    KUALA LUMPUR 5 Mei - Memerangi rasuah adalah jihad paling utama setiap kerajaan yang berintegriti, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata, dalam konteks politik masa kini, tahap kebolehpercayaan institusi kerajaan di mata rakyat bergantung kepada sejauh mana pemerintah dan penjawat awam dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

    "Bagi sebuah sistem demokrasi yang berfungsi, tindak-tanduk pemerintah dan penjawat awam tidak pernah terlepas daripada pemerhatian masyarakat.

    "Betapa ramai kita lihat pemimpin dunia yang gugur dan kerajaan yang tersungkur dek terpalit amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana Integriti bertajuk ”Agenda Integriti Nasional” sempena sambutan ulang tahun ketujuh Pelan Integriti Nasional dan Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini hari ini.

    Muhyiddin berkata, usaha untuk memerangi rasuah secara menyeluruh seharusnya dibendung sehingga ke akar umbi dan tidak hanya tertumpu kepada pihak penguasa dan pemerintah semata-mata. - Bernama

    LEBIH 1,000 ORANG ASLI KINI KERJA DI AGENSI KERAJAAN

    Bernama
    6/5/2011



    KUALA TERENGGANU, 5 Mei (Bernama) -- Lebih 1,000 masyarakat Orang Asli kini bergelar penjawat awam yang bertugas di 144 agensi kerajaan di seluruh negara.

    Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata angka itu menunjukkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di negara ini sudah banyak berubah berbanding dahulu.

    "Mereka bukan sahaja ditempatkan di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sahaja, tetapi turut ditempatkan di agensi-agensi lain.

    "Ini merupakan perkembangan yang baik kerana mereka kini menyertai arus perdana, bukan sahaja dari segi ekonomi, tapi juga terlibat dalam pentadbiran negara," katanya kepada pemberita di sini.

    Beliau sebelum itu menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Orang Asli di Wisma Darul Iman, di sini, pada Khamis. Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

    Selain membincangkan isu tanah melibatkan Orang Asli yang jumlahnya kira-kira 900 orang di Terengganu, mesyuarat itu turut membincang isu ekonomi dan pendidikan untuk mencari jalan terbaik meningkatkan taraf hidup penduduk pribumi itu.

    Menurut Shafie, mesyuarat dengan kerajaan negeri Terengganu adalah siri yang kelima. Mesyuarat sama sebelum ini telah diadakan di Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

    Menteri itu berkata kini semakin ramai penduduk Orang Asli mempunyai kedudukan kewangan yang memberangsangkan memandangkan mereka tidak lagi bergantung kepada punca pendapatan tradisional.

    "Sudah ramai yang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit, malah ada yang terlibat dalam sektor perniagaan dan pembinaan," katanya.

    Jelasnya, sesetengah daripada mereka tidak lagi memerlukan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan mampu memiliki Pumah Mesra Rakyat kerana memiliki keupayaan daripada segi kewangan.

    Selain itu, mesyuarat turut membincangkan mengenai cadangan kerajaan untuk meminda Akta 134 Kanun Tanah Negara (KTN) berhubung pemilikan tanah untuk Orang Asli.

    -- BERNAMA

    KIRA-KIRA 3,000 PENJAWAT AWAM DIISYTIHAR BANKRAP TAHUN LEPAS

    Bernama
    5/5/2011




    KOTA KINABALU, 4 Mei (Bernama) -- Kira-kira 3,000 penjawat awam diisytiharkan bankrap pada tahun lalu, meningkat dari 2009 yang mencatat jumlah 1,086 orang, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman.

    Beliau berkata paling ramai dari kumpulan ini datang dari kategori Gred 1 hingga Gred 40, dimana hampir 80 peratus terlibat adalah lelaki.

    "Kebanyakannya sebab mereka buat pinjaman kenderaan...Mungkin gaji dah kecil dan sudahpun buat banyak pinjaman, tetapi pinjam lagi untuk beli kenderaan lepas tu tak boleh bayar, timbul masalah dan berhutang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena Hari Pekerja anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

    Terdahulu Omar dalam ucapannya berkata, walaupun pihaknya terus berusaha membuat tuntutan baru untuk memastikan kebajikan dan keselesaan penjawat awam terjaga, tabiat sesetengah warga penjawat awam yang berbelanja melebihi kemampuan juga perlu ditegur.

    Jelasnya, jika keadaan sebegini berlarutan, penjawat awam tersebut tidak akan berpuas hati dengan apa-apa pun penambahan atau kenaikan kerana ini sentiasa tidak akan cukup bagi mereka.

    Namun beliau turut menegaskan bahawa kenaikan harga barangan pada masa ini semakin membebankan penjawat awam, sebab itu Cuepacs memohon kerajaan untuk melakukan pelarasan gaji pada tahun ini, termasuk penambahbaikan faedah-faedah lain.

    Beliau berkata, Sabah dan Sarawak juga mengalami perkara yang sama, dimana harga barang dan kos hidup di sini turut meningkat seperti di Semenanjung.

    Sehubungan dengan itu, kata Omar, Cuepacs ingin melihat kadar elaun wilayah bagi penjawat awam yang bertugas di Sabah dan Sarawak dinaikkan antara lima sehingga 10 peratus dari kadar sekarang.

    Beliau berkata, selari dengan permohonan Cuepacs sebelum ini supaya bantuan sara hidup (Cola) di Semenanjung diselaraskan kepada RM300 sebulan tanpa mengira tempat, maka elaun wilayah juga perlu dinaikkan.

    Omar juga mencadangkan supaya insentif pemberian tiket penerbangan percuma untuk penjawat awam dan keluarga ke Semenanjung, diadakan semula sebagai satu bentuk motivasi kepada mereka.

    -- BERNAMA

    05 Mei 2011

    8,196 PENJAWAT AWAM TIDAK HADIR BERTUGAS SEPANJANG DUA TAHUN LEPAS

    Bernama
    5/5/2011



    PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Seramai 8,196 penjawat awam tidak hadir bertugas tanpa cuti, tanpa kebenaran atau tanpa sebab munasabah sepanjang dua tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Beliau berkata secara purata bagi tempoh itu, kes ketidahadiran bertugas adalah kira-kira 40 peratus daripada kesalahan tatatertib yang dikenakan hukuman lucut hak emolumen, buang kerja, denda dan amaran.

    Pada tahun lepas, jumlah kes yang direkodkan ialah 4,777 kes, iaitu 1,971 kes bagi tidak hadir bertugas (41.3 peratus) manakala kes kesalahan lain pula sebanyak 2,806 kes (58.7 peratus), katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku terbitan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertajuk 'Kerusi Bersawang-Himpunan Contoh Kes-kes Tatatertib Tidak Hadir Bertugas, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

    Menurutnya sebanyak 3,419 kes difailkan pada 2009 yang dikategorikan dalam "Kerusi Bersawang" iaitu 1,078 kes tidak hadir bertugas dan 2,341 kes bagi kesalahan lain.

    Sementara itu, Nazri berkata buku itu akan menjadi panduan umum kepada jabatan dan agensi dalam menguruskan kes-kes ketidakhadiran bertugas terutamanya dalam memutuskan hukuman yang sesuai berdasarkan bilangan hari pegawai tidak hadir bertugas.

    -- BERNAMA

    03 Mei 2011

    PERBINCANGAN ALTERNATIF PTK DI ANTARA JPA DAN CUEPACS

    Media Cuepacs
    3/2/2011




    Putrajaya: Satu perbincangan mengenai Alternatif PTK telah deiadakan diantara JPA dengan Majlis Tertinggi CUEPACS di Pusat Konvensyen Putra Jaya (PICC). Perbincangan ini di Ketuai Oleh Dato' Dr. Mohd. Azhar Bin Hj. Yahaya, Dato' Basarudin Sadli , Dato' Mat Aron dan Pegawai Tertinggi JPA, Wakil KKM, KSM dan lain- lain.

    Bagi CUEPACS di ketuai oleh Dato' Haji Omar Osman Presiden, Sdra Azih Muda Tim. Presiden I, Sdri Lok Yim Peng Setiausaha Agung, Sdra Adnan Mat Tim. Setiausaha Agung I, Sdra Abdul Rahman Mohd Nordin Tim. Setiausaha Agung III, Sdra Ja'afar Mansor Setiausaha Kewangan, Sdra Mohd Razali Singah Tim. Setiausaha Kewangan dan Ahli Majlis Tertinggi CUEPACS.

    Pembentangan dimulakan oleh Timbalam Presiden Cuepacs. dan kemudian pihak JPA. perbincangan masih lagi belu ada kata putus kerana CUEPACS dan JPA akan mencari keputusan yang terbaik.





    TAKLIMAT ISU SEMASA DAN PENYERAHAN CEK KEPADA PESAKIT YANG

    Media Cuepacs
    2/5/2011





    Sg. Petani: Taklimat isu semasa berlangsung di Hospital Sultan Abdul Halim Sg. Petani Kedah. Presiden CUEPACS Dato' Haji Omar Osman memberikan taklimat hampir sejam. Turut hadir Timbalan Setiausaha I , III , Timbalan Setiausaha Kewangan dan wakil Cuepacs Bahagian Kedah Ku Azmi Ku Ibrahim. Lebih kurang 100 penjawatan awam mendengar taklimat tersebut Selepas taklimat diadakan majlis pemberian pampasan SKIM IKTIARI CUEPACS yang dipasarkan oleh Agensi FAUZI ABDUL JALIL Sdn. Bhd. Pampasan insuran diterima oleh Sdri Dr. Nor Aini binti Ramlee. Tarikh sertai 1 Disember 2009 dan tarikh pengesahan penyakit September 2010. Jumlah yang diterima RM 1007,712.15.

    COINCIL TO ENSURE FAIR SALARIES IN PRIVATE SECTOR, SAYS SUBRAMANIAM

    The Star
    By SYLVIA LOOI and IAN MCINTYRE
    newsdesk@thestar.com.my
    2/5/2011



    POH: The National Minimum Wage Consultative Council Act will be tabled at the next Dewan Rakyat sitting, said Human Resources Minister Datuk Dr S. Subramaniam

    He said the council would coordinate the salaries of workers in the private sector once the Act was enforced.

    “It will make the necessary announcements to ensure the salaries of those in the private sector are in tandem with the cost of living,” he told reporters at the Workers Day celebration organised by Cuepacs at Stadium Indera Mulia here yesterday.

    Dr Subramaniam said the council would be empowered to determine salaries in the private sector.

    May Day pledge: Government servants taking their oath during the national-level Cuepacs Labour Day celebration in Ipoh yesterday.

    “It will also have the power to ensure that its decisions are adhered to by the private sector,” he said.

    In his speech, Dr Subramaniam described the Act as the Govern-ment's gift to employees in the private sector.

    Cuepacs president Datuk Omar Osman expressed the hope that the Government would carry out salary adjustments for civil servants this year.

    He said the union had also proposed that the cost of living allowance for all civil servants be adjusted to RM300 per month and housing allowance for government employees in Grades 40 and below be increased to RM350 per month from the current RM180.

    ”If there is any house for rental at RM180, Cuepacs will rent all these houses,” he quipped.

    In GEORGE TOWN, the Penang MTUC claimed that wages had remained low although the state had chalked up a record RM12.2bil in foreign direct investments last year.

    Its secretary K. Veeriah said there was also a lack of high-paying “quality” jobs in the state.

    He claimed that some employers at the Bayan Lepas Free Industrial Trade Zone were still offering wages as low as RM500 to production workers “which was lower than the cost of living.”

    He said MTUC would continue to champion for a minimum wage of RM900 plus RM300 as cost of living allowance.

    02 Mei 2011

    MTUC MINTA KERAJAAN LAKSANA ENAM TUNTUTAN

    Bernama
    2/5/2011




    PETALING JAYA, 1 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Ahad mengulangi desakan supaya kerajaan segera melaksanakan enam tuntutan yang diperjuangkan mereka selama ini.

    Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam berkata tuntutan itu ialah penetapan gaji minimum RM900 sebulan, mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam daripada 48 jam seminggu dan penetapan usia tamat tempoh perkhidmatan kepada 60 tahun.

    MTUC juga menuntut supaya kerajaan memberikan faedah persaraan yang dikira berdasarkan kepada sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan pekerja, menghapuskan sistem kerja kontrak dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat termasuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

    "Sempena sambutan Hari Pekerja ini, kita minta kerajaan dapat mengambil tindakan segera (terhadap tuntutan ini). Janganlah dilengah-lengahkan terutama mengenai pelaksanaan gaji minimum.

    "Ini kerana berdasarkan statistik kerajaan, masih terdapat sebanyak 34 peratus daripada pekerja menerima gaji rendah iaitu di bawah garis kemiskinan," katanya kepada pemberita pada perhimpunan Hari Pekerja anjuran MTUC bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan di sini pada Ahad.

    Turut hadir ialah bekas Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dan Pengerusi MTUC bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam.

    Balasubramaniam berkata MTUC juga meminta kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing sebaliknya memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk menceburi sektor swasta terutama dalam sektor perkilangan.

    "Kita (MTUC) ada terima aduan daripada kesatuan yang menyifatkan majikan mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja tempatan dan mengutamakan pekerja asing," katanya.

    Beliau juga berkata hanya sembilan peratus daripada pekerja di negara ini yang menyertai kesatuan pekerja.

    "Setakat ini jumlah ahli adalah seramai hampir 620,000 orang dari 272 kesatuan, namun yang aktif adalah seramai 530,000 orang," katanya yang turut meminta majikan menganggap kesatuan adalah rakan kepada syarikat dan bukannya sebagai beban.

    Kira-kira 400 orang yang mewakili pelbagai kesatuan sekerja menghadiri perhimpunan berkenaan.

    -- BERNAMA

    AKTA MAJLIS KONSULTASI GAJI MINIMUM DIBENTANG PADA SESI PARLIMEN AKAN DATANG

    Bernama
    2/5/2011



    IPOH, 1 Mei (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Akta Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara pada sesi Parlimen akan datang, kata menteri berkenaan Datuk Dr S. Subramaniam.

    Beliau berkata apabila dipersetujui dan diluluskan, Majlis itu boleh membuat penyelarasan berhubung gaji minimum untuk sektor swasta mengikut peruntukan undang-undang.

    "Melalui Majlis itu, kita akan membuat pengumuman tertentu yang perlu supaya gaji minimum sektor swasta adalah selaras dengan kos kehidupan semasa. Majlis ini juga mempunyai kuasa untuk memastikan apa yang ditetapkan dipatuhi oleh sektor swasta," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Cuepacs peringkat kebangsaan di Stadium Indera Mulia di sini Ahad.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan gaji minimum sektor swasta.

    Sebelum ini, kajian Kementerian Sumber Manusia pada 2009 yang merangkumi 1.3 juta pekerja di negara ini menunjukkan bahawa 33.8 peratus daripadanya menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

    Kadar gaji bagi pelbagai sektor pembuatan misalnya elektrik dan elektronik adalah RM500 hingga RM550; tekstil RM500 hingga RM600; perabot antara RM550 dan RM700; plastik RM550 hingga RM650 serta sarung tangan getah antara RM500 dan RM650.

    Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam, tumpuan kepada penyelarasan dan penstrukturan semula sistem penyampaian sedia ada perlu dilakukan.

    Katanya kerajaan menyedari ada beberapa aspek perlu diberi perhatian dan diperhalusi dalam sistem penyampaiannya untuk mengurangkan kerenah birokrasi.

    "Kita berharap pegawai dan petugas dalam perkhidmatan awam menerima perkembangan baru dalam suasana yang baik dan melalui pendekatan itu mereka boleh meningkatkan tahap praduktiviti mereka," katanya.

    Pada sambutan itu, Pusat Perubatan Universiti Malaysia memenangi anugerah Majikan Prihatian Cuepacs dan Cuepacs Bahagian Wilayah Persekutuan memenangi anugerah Cuepacs Bahagian Contoh dengan kedua-dua menerima sijil penghargaan, wang tunai dan trofi.

    -- BERNAMA

    01 Mei 2011

    SISTEM GANTI PTK BERMULA 1 JULAI

    Utusan Malaysia
    1/5/2011



    KUALA LUMPUR 30 April – Kerajaan dijangka melaksanakan sistem penilaian baru terhadap penjawat awam menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa Julai ini.

    Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, sistem itu akan menilai tahap kompetensi golongan itu berdasarkan penguasaan pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku mereka dalam pekerjaan.

    “Pada 2 Mei ini, Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) dan CUEPACS akan membuat persidangan bagi membentangkan beberapa cadangan terhadap penambahbaikan sistem penilaian baru itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sempena ulang tahun ke-50 penubuhan Kesatuan Inspektor Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

    Pemansuhan PTK yang berkuatkuasa 1 Januari lalu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.

    Menurut Omar, sistem penilaian baru itu akan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini.