SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PENJAWAT AWAM TIANG SERI NEGARA

10 Mei 2011

KERJA DARI RUMAH

Berita Harian
Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2011/05/09


Wanita sebagai pekerja, isteri dan ibu cemerlang

DI NEGARA maju, bekerja dari rumah atau konsep Small Office Home Office (SOHO) bukan perkara asing. Ia semakin diterima masyarakat, lebih-lebih lagi dengan kemajuan dan kecekapan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Kajian dijalankan di Amerika Syarikat mendapati lebih 25 juta penduduknya menyertai program SOHO dalam pelbagai sektor. Begitu juga di Kanada (2.5 juta); United Kingdom (2.2 juta), Australia (778,000) dan New Zealand (200,000). Di Malaysia pula, konsep berkenaan masih dianggap baru. Namun, ia semakin mendapat perhatian. Kementerian Kerjaya umpamanya, menjadi perintis program bekerja dari rumah yang pada awalnya membabitkan kakitangan bertugas di cawangan Kejuruteraan Awam, Struktur dan Jambatan, Arkitek dan Ukur Bahan.

Kemudian, Kementerian Sumber Manusia pula menyusul, menyediakan program sama berdasarkan Peraturan Kerja Separa Masa mengikut Akta Kerja 1955, bagi menggalakkan pekerja sektor awam dan swasta bekerja separuh masa atau bekerja dari rumah.

Apa yang penting, program seumpama itu memberi peluang kepada warga kerja khususnya wanita untuk menyertainya dan terus bekerja menambah pendapatan berikutan waktu lebih anjal, kurang tekanan, bebas daripada kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

Bagi wanita bekerja dari rumah banyak keuntungannya kerana mereka boleh merancang secara fleksibel mengikut kesesuaian waktu, dapat membahagikan masa lebih berkualiti menguruskan rumah tangga, menumpukan perhatian kepada kebajikan suami dan anak.
Hak mereka sebagai sebahagian daripada sumber tenaga manusia negara juga tidak terjejas, selain dapat menikmati faedah seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), cuti umum, cuti sakit jika berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Kecekapan dan kemudahan akses kepada dunia siber tanpa sempadan, iaitu e-mel, blog, telepersidangan serta jaringan sosial lain umpamanya Facebook dan twitter membuka peluang lebih luas kepada warga kerja untuk melakukan sesuatu bidang tugas mereka secara lebih efektif, tanpa mengabaikan keluarga.

Konsep bekerja dari rumah yang diwujudkan Kementerian Sumber Manusia, antara lain bertujuan membantu Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan suri rumah serta mereka yang tidak mempunyai pekerjaan bagi melakukan kerja dalam bidang kraftangan atau berkaitan industri kecil sederhana (SMI).

Sejak dilancarkan pada 7 Oktober 2008, program itu sudah memberi manfaat kepada 2,319 suri rumah dan 435 ibu tunggal.

Dengan kejayaan itu, Kementerian Sumber Manusia juga bercadang memperluaskan program itu ke seluruh negara menerusi promosi dengan kerjasama majikan dan persatuan seperti Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persatuan Perniagaan supaya lebih banyak majikan boleh menawarkan pekerjaan dari rumah.

Bagi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, program bekerja dari rumah atau bekerja separuh masa memberi banyak keuntungan kepada wanita bagi mengelak tekanan antara tugas di pejabat dan mengurus rumah tangga.

Bagi CUEPACS, program seumpama itu amat diterima baik dan ia diharap dapat menggalakkan wanita untuk melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang.

“Saya rasa wanita akan lebih tekun dan menjadi pekerja lebih bagus bagus kerana dapat memberi tumpuan kepada kerja dilakukan. Cuma, mereka yang terbabit dengan kerja dari rumah perlu melapor diri atau datang ke pejabat dua hari seminggu untuk berjumpa majikan.

“Interaksi antara pekerja dan majikan perlu untuk melihat perkembangan kerja mereka berjalan lancar,” katanya.

Keluarga dulu, kerjaya nombor dua


RAMAI wanita hari ini lebih mementingkan keluarga selepas mempunyai anak. Tinjauan syarikat laman pekerjaan dalam talian, JobStreet.com menunjukkan hampir 64 peratus wanita berkata, kepentingan kerjaya dalam hidup berubah apabila mereka mempunyai cahaya mata.

Kajian yang dijalankan April lalu itu membabitkan 550 pekerja wanita, berusia antara 18 tahun dan 35 tahun dengan 42 peratus belum berkahwin dan 41 peratus sudah berkahwin serta mempunyai anak. Ia bertujuan mendapatkan pandangan wanita mengenai kerjaya mereka dan ciri pekerjaan yang diingini selepas bergelar ibu.

Ditanya mengenai keutamaan dalam kerja, lebih daripada 61 peratus responden mengatakan waktu kerja yang lebih fleksibel akan menjadi keutamaan, 16 peratus mahukan waktu kerja yang lebih pendek dan konsisten sementara tujuh peratus wanita mahu mengurangkan waktu perjalanan ke tempat kerja dan untuk pulang ke rumah manakala 15 peratus wanita mengutamakan gaji yang lebih tinggi.

Tinjauan yang sama juga mendapati, wanita di negara ini kembali kepada adat tradisional peranan wanita di rumah. Lebih kurang 44 peratus wanita merancang untuk berhenti kerja selepas mempunyai anak. Pilihan yang paling popular adalah untuk bekerja separuh masa, secara sambilan atau pekerjaan yang tidak terikat dengan masa atau berhenti kerja sementara waktu sebelum menyambung kerjaya semula. Tiga puluh lapan peratus wanita berpendapat meninggalkan kerja selama setahun selepas melahirkan anak adalah sesuai.

Berdasarkan maklumat ini, aliran pekerjaan ibu di Malaysia dijangka berubah di masa depan kepada pekerjaan yang lebih fleksibel. Bagaimanapun, hakikatnya, lebih daripada 80 peratus ibu yang menyertai kajian ini tidak berhenti kerja selepas mendapat anak.

Lebih daripada separuh menyatakan isu kewangan sebagai sebab tidak dapat berhenti kerja. Hanya 20 peratus wanita tidak berhenti kerja demi meneruskan perkembangan kerjaya. Ini menunjukkan berlaku konflik antara apa yang dikehendaki mereka dan apa yang boleh dikecapi.

Apabila disoal mengenai majikan pula, tinjauan menunjukkan ada jurang antara apa yang diberi majikan dan apa yang dikehendaki pekerja wanita. Lima puluh satu peratus wanita berasakan majikan tidak peka kepada keperluan ibu yang bekerja; majikan tidak memberi pilihan kerja separuh masa atau waktu kerja yang fleksibel (74 peratus) dan 66 peratus berpendapat majikan harus menyediakan kemudahan tempat penjagaan anak.


INFO

Objektif bekerja dari rumah Kementerian Sumber Manusia

  • Membantu golongan sasar termasuk OKU, ibu tunggal, suri rumah dan keluarga miskin tegar yang belum ada pekerjaan, bekerja secara sambilan atau tetap melalui peluang kerja secara ‘home working’ ditawarkan oleh syarikat berdekatan.

  • Meningkatkan kesedaran masyarakat korporat mengenai tanggungjawab sosial terhadap golongan sasar dan seterusnya menggiatkan usaha untuk menaikkan taraf hidup mereka.

  • Memberi alternatif kepada pihak syarikat untuk mendapatkan pekerja dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing

    Tiga kaedah kerja dari rumah

  • Kerja secara individu

    Kerja yang dijalankan di rumah peserta, yang mana peserta itu sendiri mengambil bahan dan peralatan daripada syarikat serta berurusan terus dengan pihak syarikat bagi segala urusan, termasuk pembayaran upah.

  • Kerja secara berkumpulan

    Kerja yang dijalankan di premis tertentu secara berkumpulan dan diselia ketua yang dilantik untuk mengurus, menyelia dan seterusnya berurusan dengan syarikat berkaitan dengan pekerjaan mereka, termasuk urusan pembayaran upah.

  • Kerja secara individu atau kumpulan melalui pihak ketiga

    Kerja dijalankan di premis tertentu, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pihak ketiga, yang menjadi orang tengah kepada syarikat. Segala urusan berkaitan dengan pekerjaan mereka, termasuk pembayaran upah adalah di bawah tanggungjawab pihak ketiga.
  • 10 ulasan:

    Tanpa Nama berkata...

    woit..kita bantai sini woi..

    http://www.facebook.com/najibrazak

    Tanpa Nama berkata...

    bagus la..wanita dapat bekerja dari rumah..
    rata-rata wanita kini bukan saja menjadi isteri, ibu malah menjadi penyumbang kepada ekonomi keluarga.Penatnya tak terkata...jika wanita di beri peluang seperti ini maka pembangunan keluarga dan anak-anak kurang terjejas.

    Tanpa Nama berkata...

    keluarga first,kerjaya no dua

    abis tu napa sy minta tukar xdpt2?? padahal isteri n anak2 ada di selangor..sy lak kene keje di kedah..xpasal2 kne ulang alik tiap 2 minggu skali utk jenguk isteri n anak2..semua tuh kos..gaji bknnya besar mana..bile kite ngeluh soal gaji,ada lak yg kata kite xbersyukur..tp mmg xcukup lah kalo sorg dok sini n sorg dok sana..ke hulu hilir tiap mggu..wlupon sy bekerja sebagai pem.pkuatkuasa,xsemestinya kne soh sy dok keje jauh2 dr kg utk elak salah guna kuasa n rasuah..rasuah boleh berlaku di mana saje skrg nih..cuma terpulang pd kite saja..sy cuma mintak berlaku adil aje pd semua..lebih mudah+jimat jika suami isteri dok serumah bersama sepanjang masa slps lek keje..baru lah boleh utamakan keluarga dl dr kerjaya..boleh juga kurangkan kes penceraian n kawin lari oleh penjawat awam..

    Tanpa Nama berkata...

    Amat baik cadangan "kerja dari rumah' sudah pasti , penjawat awam tak merungut lagi nak naik gaji, sebab upah jaga anak je dah rm 600.oo untuk dua orang ,termasuk sarapan pagi. banyak duit boleh dijimatkan, anak-anak pula terjamin keselamatannya dan dalam masa yang sama kita boleh beri perhatian dan kasih sayang. Tapi kena pastikan setiap tugasan yang diberi dapat dilaksanakan dengan baik. Hai, kalau betullah..memang banyak kebaikan yang diperolehi rakyat dan negara.

    Tanpa Nama berkata...

    Saya sebagai penjawat awam memang selalu impikan saat ini.Kalau lah impian saya tercapai, alangkah bahagianya.Boleh buat kerja 5 dalam satu, mengemas, memasak, menjaga anak, buat kerja pejabat dan lain lagi.Barulah rumahtangga akan lebih harmoni kerana suami pun sama-sama tolong buat kerja rumah, dan tiada alasan lah nak suka hati keluar kerjalah, apalah..Saya sokong 200%..

    Tanpa Nama berkata...

    iaa....sambil tu bolih ehem2

    Tanpa Nama berkata...

    negara maju dah lama buat beb.. computer kite 10 tahun ketinggalan, pendidikan kite 10 tahun ketinggalan.. dah pakai computer di sekolah tak payah bawa buku banyak.. mesyuarat dah pakai sidang video.. 10 tahun kite ketinggalan.. pemikiran masyarakat maju 10 tahun ke hadapan..kite ketinggalan.. sains dan teknologi dari segi pengangkutan bandar-luar bandar, infrastruktur, internet, teknologi kenderaan dan sebagainya 10 tahun kite ketinggalan.. kalau semua dah ketinggalan.. tinggal terus jea lagi baik..

    Tanpa Nama berkata...

    Pi Ti Do.. boleh keje dari rumah..

    Tanpa Nama berkata...

    Salam. syukur dapat kongsi maklumat gdn kekawan.Jika kita ada masalah dgn kerja, tukar kerja kerna rezeki ada di mana2. Jgn buntu. Bincang dgn kawan yg positif dan yg telah melakukannya.
    Insyallah ada jalan. Tak payah kita marah pd orang kerana cubaan dari Allah.
    Gantung hati kepadaNya..

    Tanpa Nama berkata...

    saya dah puas baca iklan dari rumah semuanya mintak wang daftar paling tidak pun Rm10 ringgit,tak ada ke percuma?
    nama pun kerja dari rumah kalau ada duit taklah buka iklan kerja dari rumah terutama surirumah macam saya yang selalu kesempitan wang.saya harap pihak cuepacs cuba pertimbangkan masalah macam saya ini.