Bernama
8/5/2011
  KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri menyeru  supaya golongan pekerja di negara ini sentiasa mempertingkatkan  kemahiran, ilmu pengetahuan dan produktiviti kerja mereka seiring dengan  matlamat kerajaan mentransformasikan negara menjadi sebuah negara  ekonomi maju berpendapatan tinggi.
 Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata inisiatif kerajaan melalui 12 Bidang  Ekonomi Utama Negara (NKEA) juga dijangka mewujudkan lebih 3.3 juta  peluang pekerjaan menjelang tahun 2020, di mana 60 peratus daripadanya  merupakan pekerjaan berpendapatan sederhana dan tinggi.
 Justeru beliau berkata, warga pekerja hendaklah meningkatkan  kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja yang semakin dinamik dan  kompetitif dengan menyemaikan prinsip kreativiti dan inovasi sebagai  sebahagian daripada amalan kerja mereka.
 Sehubungan ini beliau berkata peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan  juga perlu disokong dengan aktiviti penyelidikan dan pembangunan,  inovasi dan latihan teknikal berkemahiran tinggi.
 "Dalam usaha kerajaan untuk merealisasikan konsep pekerjaan  berpendapatan tinggi, negara perlu berubah daripada aktiviti ekonomi  yang bernilai tambah rendah kepada aktiviti yang bernilai tambah  tinggi," katanya pada perhimpunan sambutan Hari Pekerja 2011 di sini,  Sabtu.
 Katanya, dalam usaha itu, kerajaan juga telah merangka program dan  strategi bagi meningkatkan kapasiti tenaga kerja mahir yang kini 28  peratus kepada 33 peratus menjelang 2015 dan 50 peratus menjelang 2020.
 Muhyiddin juga menekankan kepentingan melahirkan modal insan yang  berpengetahuan tinggi, berkualiti dan bertaraf dunia sebagai keperluan  dalam usaha Malaysia untuk meneroka sumber pertumbuhan ekonomi baru yang  berasaskan teknologi tinggi seperti dalam bidang bioteknologi,  nanoteknologi dan teknologi laser.
 Katanya dalam konteks ini, institusi pendidikan dan latihan wajar  melakukan penambahbaikan secara kreatif dan inovatif ke atas sistem  penyampaian pendidikan dan latihan untuk membolehkan negara mengeluarkan  lebih ramai tenaga kerja yang bukan sahaja mahir malah berdaya inovatif  dan kompetitif.
 "Selain daripada institusi-institusi pendidikan dan latihan, pihak  majikan dan warga pekerja sendiri juga perlu memainkan peranan yang  lebih aktif dalam menjayakan program pembangunan modal insan ini,"  katanya.
 Sementara itu, timbalan perdana menteri juga berkata kerajaan amat  menghargai perhubungan "tripartisma" antara pekerja, majikan dan  kerajaan yang mantap dan berterusan antara pihak pekerja, majikan dan  kerajaan bagi memastikan segala usaha pembangunan negara dapat berjalan  dengan lancar.
 Katanya, hubungan "tripartisma" yang harmoni dan saling melengkapi  antara satu sama lain ini akan memberi manfaat kepada semua pihak.
 Sambutan tahun ini yang bertemakan "Pekerja Merealisasikan Transformasi  Negara" disertai hampir 12,000 peserta daripada 200 kontijen yang  mewakili pelbagai organisasi kerajaan dan swasta.
 Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, Ketua  Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Presiden Kongres Kesatuan  Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman, Timbalan  Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Jaafar Abdul  Majid dan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Datuk Azman Shah  Haron.
 -- BERNAMA
4 ulasan:
woit... kita bantai di sini woi..
http://www.facebook.com/najibrazak
Tingkat gaji skim juruteknik yg dah LAMAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA tertangguh tu dulu..pastu baru cerita pasal tingkat kemahiran
apa ke benda ni,jgn ckp tak serupa bikin la....mcm mana nak berpendapatan tinggi kalau rakyat ditindas di bumi sendiri.Yg berpendapatan tinggi tu menteri-menteri yang mempergunakan wang rakyat ke hulu ke hilir.myampah lah baca artikel2 mcm ni.
"PEKERJA DISARAN PERTINGKAT KEMAHIRAN UNTUK REBUT PELUANG PEKERJAAN BERPENDAPATAN TINGGI"...TU MAKSUD DIA...I'AM SORRY...NO PELARASAN GAJI...NO KENAIKAN ELAUN...KALAU NAK GAJI LEBIH..PERGI BUAT PART TIME KERJA...
Catat Ulasan