Bernama
2/5/2011
  PETALING JAYA, 1 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia  (MTUC) pada Ahad mengulangi desakan supaya kerajaan segera melaksanakan  enam tuntutan yang diperjuangkan mereka selama ini.
 Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam berkata tuntutan itu ialah  penetapan gaji minimum RM900 sebulan, mengurangkan waktu bekerja kepada  40 jam daripada 48 jam seminggu dan penetapan usia tamat tempoh  perkhidmatan kepada 60 tahun.
 MTUC juga menuntut supaya kerajaan memberikan faedah persaraan yang  dikira berdasarkan kepada sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan  pekerja, menghapuskan sistem kerja kontrak dan mewujudkan persekitaran  kerja yang selamat termasuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di  tempat kerja.
 "Sempena sambutan Hari Pekerja ini, kita minta kerajaan dapat mengambil  tindakan segera (terhadap tuntutan ini). Janganlah dilengah-lengahkan  terutama mengenai pelaksanaan gaji minimum.
 "Ini kerana berdasarkan statistik kerajaan, masih terdapat sebanyak 34  peratus daripada pekerja menerima gaji rendah iaitu di bawah garis  kemiskinan," katanya kepada pemberita pada perhimpunan Hari Pekerja  anjuran MTUC bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan di sini pada  Ahad.
 Turut hadir ialah bekas Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dan  Pengerusi MTUC bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal  Kishnam.
 Balasubramaniam berkata MTUC juga meminta kerajaan mengurangkan  pengambilan pekerja asing sebaliknya memberi peluang kepada pekerja  tempatan untuk menceburi sektor swasta terutama dalam sektor  perkilangan.
 "Kita (MTUC) ada terima aduan daripada kesatuan yang menyifatkan  majikan mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja tempatan dan  mengutamakan pekerja asing," katanya.
 Beliau juga berkata hanya sembilan peratus daripada pekerja di negara ini  yang menyertai kesatuan pekerja.
 "Setakat ini jumlah ahli adalah seramai hampir 620,000 orang dari 272  kesatuan, namun yang aktif adalah seramai 530,000 orang," katanya yang  turut meminta majikan menganggap kesatuan adalah rakan kepada syarikat  dan bukannya sebagai beban.
 Kira-kira 400 orang yang mewakili pelbagai kesatuan sekerja menghadiri perhimpunan berkenaan.
 -- BERNAMA
1 ulasan:
SATU PERKARA YANG PERLU CUEPACS DAN MTUC BUKA UNTUK PERBINCANGAN
SKIM SIMPANAN PERKAHWINAN UNTUK LELAKI DAN WANITA TAK MENGIRA AGAMA DAN BANGSA DIPERKENALKAN KEPADA KWSP MELALUI POTONGAN GAJI SEHINGGA MENCAPAI RM10000 DAN RM20000 MENGIKUT PILIHAN MASING-MASING DAN HANYA BOLEH DIKELUARKAN SEKIRANYA DISAHKAN AKAN BERKAHWIN DAN DISAKSIKAN OLEH WALI ATAU SAKSI....PERKARA INI SUDAH DIKEMUKAKAN OLEH ABIM DAN KESATUAN BELIA SEJAK TAHUN 1988 LAGI DENGAN MEMORANDUM DAN DOKUMENTASI TETAPI DITOLAK OLEH PIHAK KERAJAAN BN....BILAKAH AKAN DIADAKAN...JANGAN BIARKAN RAKYAT MALAYSIA BERHUTANG DISEBABKAN INGIN BERKAHWIN.....
Catat Ulasan