8/4/2011
April 08, 2011

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memulihkan keyakinan penjawat awam dan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan selepas rentetan satu demi satu kes malang.
“Kami juga berharap SIAP yang baru ditubuhkan dapat memulakan siasatan ini untuk memulihkan keyakinan penjawat awam dan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan selepas rentetan satu demi satu kes malang,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Keanggotaan SIAP, yang penubuhannya dibolehkan menerusi Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 yang diluluskan Parlimen dua tahun lalu, diumumkan semalam — sehari selepas insiden kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohamed di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di sini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Datuk Heliliah Mohd Yusof sebagai pengerusi SIAP untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 April.
Enam anggota SIAP lain ialah Datuk Paul Low Seng Kuan, Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan, Datuk Seri Robert Jacob Ridu, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Vinayak Prabhakar Pradhan dan Datuk Salehuddin Saidin.
Pelantikan keenam-enam anggota lain itu juga berkuat kuasa pada 1 April lalu.
Mengikut laporan media sebelum ini, SIAP tiada kuasa untuk mendakwa, sebaliknya ia merupakan badan pemantau terhadap aduan orang ramai mengenai salah laku pegawai penguatkuasaan.
Dalam kenyataannya hari ini, Nik Nazmi mendakwa Najib dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Aziz juga mengambil kesempatan meneruskan desakan penubuhan suruhanjaya diraja dalam isu video “Datuk T”.
“Malang sekali pemimpin BN nampaknya lebih mahu bermain politik dan bukannya menjawab persoalan yang bermain di minda ramai penjawat awam dan rakyat umum yang cintakan keadilan dan kebenaran,” kata beliau yang juga Adun PKR bagi kawasan Seri Setia.
Katanya, tragedi kematian Ahmad Sarbani telah “mengejutkan kita semua” dan terlalu banyak persoalan yang masih tidak terjawab tentang insiden terbaru itu.
“Beberapa hari yang lalu saya mendapat maklumat bahawa pegawai-pegawai Kastam merasakan diri mereka menjadi kambing hitam dalam Ops 3B yang dilaksanakan oleh SPRM untuk menyiasat rasuah dan penyelewengan (di) Kastam.
“Suruhanjaya Siasatan Diraja mesti ditubuhkan untuk menyiasat kematian Allahyarham Ahmad Sarbani dengan serta-merta dengan melibatkan masyarakat sivil serta menyiasat struktur dan organisasi SPRM dalam kes ini,” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, kenyataan Najib bahawa Allahyarham Ahmad Sarbani telah pergi ke SPRM secara sukarela tidak masuk akal memandangkan beliau telah ditahan 1 April lalu dan dibebaskan atas ikat jamin keesokan hari.
“Mengapa beliau hendak ke SPRM sekiranya tidak dipanggil oleh SPRM?” katanya lagi.
Kata Nik Nazmi, kenyataan Najib dan Nazri bahawa Ops 3B akan diteruskan dalam ketegasan kerajaan melawan rasuah juga amatlah menyedihkan memandangkan ketegasan yang sama tidak pernah kelihatan dalam melawan rasuah melibatkan pimpinan politik BN.
“Ini bukan kali pertama kerajaan BN lebih tegas bertindak terhadap penjawat awam berbanding pemimpin mereka sendiri,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, kata beliau, pihaknya berharap Cuepacs iaitu badan induk kesatuan sekerja awam dapat tegas memperjuangkan kebajikan penjawat awam yang disiasat oleh SPRM dan seolah-olah bersalah sebelum diputuskan oleh mahkamah.




Mangsa dikenalpasti sebagai Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang berkhidmat sebagai pembantu pengarah di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor.
Pegawai penyiasat telah memintanya menunggu di situ sementara pergi mengambil fail kes tersebut.
Tambahnya, mayat Ahmad ditemui terbaring di atas gelanggang badmintion pada jam 10.15 pagi.



