SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

31 Mac 2011

CUEPACS HARGAI PENGUMUMAN KEMUDAHAN PERUBATAN UNTUK PESARA KWSP

Bernama
31/3/2011



KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Pengumuman mengenai kemudahan perubatan untuk pesara skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) amat dihargai memandangkan ramai pesara terdahulu yang tidak jelas mengenai perbezaan skim pencen dan KWSP, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

"Sejak dulu pesara KWSP yang nak dapatkan khidmat perubatan akan guna nama anak (bagi membolehkan menerima rawatan secara percuma) ataupun tanggung kos rawatan sendiri. Tapi sekarang mereka menikmati keistimewaan yang sama seperti pesara skim pencen.

"Dulu ramai yang memilih skim KWSP kerana mereka bergaji kecil dan berharap akan dapat kemudahan yang sama (seperti pesara skim pencen) walaupun tiada wang masuk setiap bulan," katanya.

Omar berkata jumlah tepat pesara yang menikmati kemudahan rawatan percuma itu masih belum diketahui tetapi membayangkan ramai di kalangan mereka merupakan pekerja di bawah Badan Berkanun.

Beliau turut menyeru agar pesara skim KWSP mendapatkan surat pengesahan dari majikan terakhir memandangkan mereka tidak mempunyai kad pesara.

"Tanpa surat pengesahan ini mereka akan dilayan sebagai orang awam dan perlu membayar kos rawatan sendiri," katanya.



Pada 22 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penjawat awam skim KWSP yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma berkuatkuasa dari tarikh berkenaan.

Pada 1992, melalui Skim Saraan Baru (SSB), kakitangan kerajaan yang dilantik selepas 12 April 1992 ditawarkan skim KWSP sebagai alternatif kepada Skim Pencen.



Pada 2009, kerajaan menawarkan opsyen skim pencen kepada seramai 66,733 anggota sektor awam yang telah memilih skim KWSP bagi memberi peluang kepada mereka untuk menikmati faedah persaraan lebih baik.

-- BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SAYA terpanggil untuk memberikan komen atas pengumuman kerajaan terhadap kakitangan awam baru-baru ini khususnya mereka yang memilih skim pencen. Sejak dahulu hingga kini perjuangan CUEPACS lebih tertumpu kepada kakitangan awam yang memilih skim pencen. Kami amat menghormati usaha CUEPACS ini dan mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan awam yang memilih skim pencen atas manfaat yang kerajaan berikan kepada mereka.

Namun di sebalik usaha CUEPACS ini dan keprihatinan pihak kerajaan terhadap kakitangan awam, golongan pemilih skim KWSP yang terdiri hanya lima peratus sahaja dari mereka amat terabai dan dianaktirikan.

Rasanya berpuluh surat telah dipaparkan di dada akhbar dan isu ini telah diketengahkan kepada CUEPACS tetapi sayangnya golongan pemilih skim KWSP langsung tidak pernah diberikan perhatian oleh kerajaan mahupun diperjuangkan oleh CUEPACS. Sedangkan dengan jumlah yang kecil (5%) sepatutnya usaha untuk memberikan kebajikan kepada golongan ini adalah lebih mudah dan tidak melibatkan kos yang tinggi. Kami yang telah memilih skim ini akur atas keputusan yang telah dibuat disebabkan maklumat oleh majikan ketika itu adalah kabur dan tidak berpeluang untuk menukar kepada skim pencen.

Atas sebab itu kami merayu pihak kerajaan dan CUEPACS agar memberikan pertimbangan yang khusus kepada golongan pemilih skim KWSP iaitu:

l Menambah caruman majikan (kerajaan) kepada 17 peratus (sekarang 12 peratus).

l Menentukan dan menjamin jumlah dividen yang wajar untuk pencarum KWSP iaitu melebihi tujuh peratus setahun.

l Pemilih skim KWSP wajar dihargai atas sumbangan dengan perkhidmatan kerajaan dengan menerima ganjaran (graduiti) berdasarkan tempoh perkhidmatan.

l Pengeluaran khas untuk mengerjakan fardu haji pada usia muda (35 tahun ke atas) - syaratnya wang ini dibayar oleh KWSP terus kepada Tabung Haji.

Cadangan ini adalah amat wajar dipertimbangkan seterusnya diluluskan kerana pencarum KWSP dari kalangan kakitangan kerajaan tidak lagi mempunyai pendapatan selepas bersara, kos sara hidup yang semakin tinggi pada ketika usia tua, kadar inflasi yang menjejaskan simpanan, duit tabungan yang terpaksa dibelanjakan untuk perubatan dan kos-kos lain yang tidak dijangkakan. Segala kajian terhadap skim pencen selepas dari ini dan seterusnya tidak menguntungkan pemilih skim KWSP kerana mereka tidak terlibat apabila tamat perkhidmatan dengan kerajaan.

Pemilih KWSP yang terdiri dari hanya lima peratus dari keseluruhan kakitangan awam berharap agar kerajaan dan CUEPACS tidak terlepas pandang akan nasib mereka yang sehingga kini tiada pembelaan. Kepada CUEPACS yang sedang memperjuangkan kebajikan kakitangan awam, pandanglah juga pemilih skim KWSP yang selama ini diabaikan. Bantulah kami yang juga anggota perkhidmatan awam sama seperti pemilih skim pencen.

WAKIL PEMILIH SKIM KWSP