SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PENJAWAT AWAM TIANG SERI NEGARA

17 Julai 2009

8 TUNTUTAN CUEPACS UNTUK 1.2 JUTA KAKITANGAN

Berita Harian
17/7/2009




KUALA LUMPUR: Lapan tuntutan digariskan Majlis Kongres Cuepacs untuk manfaat 1.2 juta penjawat awam, termasuk pesara kerajaan adalah cadangan yang masih di peringkat perbahasan dan disimpan dalam fail dikategorikan sulit oleh majlis berkenaan.

Timbalan Presiden Cuepacs, Aziz Muda, berkata kertas kerja berhubung semua tuntutan itu juga belum dirangka, malah ia belum dibincangkan di peringkat Majlis Kongres Cuepacs Khas membabitkan semua kesatuan gabungan.



“Belum ada ketetapan muktamad mengenainya, sebab itu sehingga sekarang kami tidak membuat sebarang kenyataan media mengenainya, cuma fakta mengenainya dipetik daripada sumber kajian yang belum dimuktamadkan.

“Sebagai pengerusi mesyuarat di Ipoh pada 27 Jun lalu itu, perkara itu tidak tersenarai dalam agenda mesyuarat,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Bernama melaporkan Majlis Kongres Cuepacs meluluskan cadangan menuntut kerajaan membayar bonus tetap setiap tahun dengan menggabungkan elemen imbuhan itu dalam skim perkhidmatan kakitangan awam.

Ini adalah antara beberapa tuntutan baru yang akan dikemukakan kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada kajian semula syarat perkhidmatan penjawat awam.

Selain bonus tetap, tuntutan lain adalah kadar faedah pinjaman perumahan dikurangkan kepada satu peratus, bayaran gantian cuti rehat daripada maksimum 150 hari, formula pencen mengikut gaji pokok terakhir termasuk elaun, cuti tahun menjaga anak sakit, bayaran balik implan gigi dan rawatan mata, sistem kenaikan matriks diganti dengan sistem linear dan mewujudkan skim sub-profesional bagi pemegang diploma.

Aziz berkata, pihaknya bimbang persepsi kerajaan apabila tuntutan itu didedahkan sebelum keputusan muktamad dibuat kerana ia menggambarkan seolah-olah Cuepacs memberi tekanan kepada kerajaan, terutama di awal pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Selalunya pemimpin Cuepacs akan berjumpa Perdana Menteri terlebih dulu untuk membentangkan tuntutan terbaru kesatuan sebelum membuat kenyataan media mengenainya,” katanya yang bimbang kejadian itu boleh mengganggu gugat usaha Cuepacs itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Gaji Cuepacs juga terkejut apabila dimaklumkan berhubung perkara itu kerana nota berhubung tuntutan itu masih di peringkat sulit.

Malah, katanya, memang ada perbincangan yang sedang diusahakan Presiden Cuepacs, Omar Osman berhubung formula baru pencen kakitangan awam tetapi perkara itu belum sampai ke peringkat yang boleh dihebahkan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan dengan lebih lanjut langkah terbaik bagi memastikan tiada sebarang tanggapan buruk kerajaan terhadap Cuepacs hingga boleh menjejaskan usaha yang dilakukan untuk manfaat penjawat awam.

Sumber memberitahu Berita Harian, hanya tuntutan berkaitan bonus tetap setiap tahun saja isu baru yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, manakala tujuh tuntutan lain adalah isu lama yang akan diketengahkan semula untuk pertimbangan kerajaan.

Tiada ulasan: