SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

29 Julai 2009

ANGKASA NAFI KOMISEN RM1.8B

Berita Harian
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my





KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), menafikan dakwaan Cuepacs bahawa badan itu memperoleh komisen sebanyak RM8.1 bilion setahun dengan menyediakan perkhidmatan potongan gaji bagi pinjaman sektor awam dan swasta. Naib Yang Dipertua Angkasa, Mustapa Kamal Maulut, berkata beliau tidak dapat memaklumkan jumlah sebenar komisen tetapi berharap mana-mana pihak yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai perkara itu supaya menghubungi Angkasa. Beliau berkata, seramai 1.2 juta kakitangan kerajaan yang menjadi sebahagian daripada lebih enam juta anggota Angkasa menikmati pelbagai kemudahan dan faedah daripada badan koperasi.
“Kakitangan kerajaan yang menjadi anggota koperasi mendapat kemudahan dan faedah dari Angkasa, malah Angkasa kini menaungi aktiviti 1,800 koperasi sekolah dengan memberikan bantuan serta bimbingan secara percuma. “Menyentuh mengenai hasrat Cuepacs ini, saya berpendapat adalah lebih baik Cuepacs menumpukan usahanya membela kakitangan kerajaan yang belum diselesaikan seperti cuti bersalin dan kerja lebih masa,” katanya. Cuepacs sebelum ini menggesa Kementerian Kewangan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkasa bagi membolehkan kongres itu memanfaatkan komisen daripada perkhidmatan itu untuk faedah 1.2 juta kakitangan kerajaan.
Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata Angkasa memperoleh RM8.1 bilion setahun dalam bentuk komisen dengan menyediakan perkhidmatan potongan bagi sektor awam dan swasta. Mustapa berkata, Angkasa mempunyai kelengkapan teknologi terkini dan kepakaran pemprosesan potongan gaji serta kakitangan yang cekap bagi memastikan tidak berlaku kehilangan duit dalam sistem potongan gaji. Katanya, Cuepacs juga digesa menangani isu pemberian secara terus kod potongan gaji kakitangan awam oleh Akauntan Negara kepada bank perdagangan. “Saya mengajak Cuepacs berganding bahu dengan Angkasa dalam menangani isu ini, ia adalah satu ancaman yang lebih besar kepada hal kebajikan yang dilahirkan oleh gerakan koperasi sebelum ini.
“Hasrat Akauntan Negara hanya akan memberi keuntungan kewangan yang besar kepada bank komersial, tetapi mereka tidak meletakkan kebajikan kepada kakitangan kerajaan mahupun masyarakat negara ini sebagai keutamaan,” katanya.

Tiada ulasan: