SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

30 Julai 2009

SENTRAL: BAWA BEKAL DARI RUMAH DIDIK PENGGUNA BERJIMAT

Berita Harian
Oleh Nurhasyima Hasim
nurhasyima@bharian.com.my
30/7/2009




Kempen simbolik Fomca sempena Hari Tidak Berbelanja PETALING JAYA: Krisis ekonomi ketika ini membuatkan setiap individu mengeluh memikirkan kaedah terbaik untuk berjimat terutama dari aspek perbelanjaan harian. Namun tanpa disedari, pelbagai cara sebenarnya boleh dilakukan bagi memastikan wang gaji diterima mencukupi sehingga hujung bulan. Sebagai pemudah cara bagi meringankan beban masyarakat Malaysia khususnya dalam soal menguruskan perbelanjaan dan kewangan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) tampil dengan kempen membawa bekal untuk makan tengah hari.
Kempen itu dianjurkan sebagai simbolik kepada sambutan Hari Tidak Berbelanja yang dirai bagi kali kedua pada 16 Julai lalu, selepas sambutan pertamanya tahun lalu dengan matlamat memberi kesedaran kepada pengguna supaya menilai semula tabiat berbelanja mereka selama ini. Sehubungan itu juga, lebih 40 kakitangan dan ahli jawatankuasa Fomca serta ahli gabungannya berkumpul di Tasik Aman dekat sini, bagi menikmati makanan dibekal seperti sandwic, nasi dan lauk yang disediakan sendiri dari rumah sekali gus menyahut seruan kempen yang mahu orang ramai mengelak daripada membelanjakan wang untuk membeli makanan di luar. Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC), Paul Selva Raj, berkata makan tengah hari di kedai menjadi kebiasaan bagi mereka yang bekerja dan jika dihitung jumlah yang perlu dibelanjakan dalam sebulan adalah banyak.
“Itu belum lagi dicampur dengan belanja bagi makan malam dan pagi selain keperluan harian. Justeru, melalui acara makan tengah hari dengan bekal makanan yang dibawa ini, kita mahu pengguna sedar bahawa perbelanjaan makanan harian boleh dijimatkan dengan hanya menyediakan makanan di rumah. “Kempen simbolik ini diharapkan dapat mengubah minda masyarakat untuk tidak berbelanja perkara yang tidak perlu. Corak penggunaan kita perlu direnung kembali bagi memastikan ia dilakukan berasaskan penggunaan lestari iaitu berdasarkan keperluan dan mengikut kemampuan sebenar kita. “Selain itu, ia juga perlu berasaskan amalan yang baik seperti menyediakan senarai beli-belah dan mengehadkan belanja di samping menggunakan kad kredit secara bijak. Jadi, kita juga sarankan supaya orang ramai mencari ruang untuk menyediakan masakan sendiri dari rumah dan menikmatinya bersama rakan di pejabat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada aktiviti kempen berkenaan baru baru ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman. Kempen itu sebahagian daripada program Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K) anjuran Fomca dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Majlis Belia Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Petronas.
Paul berkata, selain menjimatkan, rutin membawa bekal untuk makan tengah hari juga boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan terutama apabila ada ahli keluarga seperti isteri atau anak yang membantu menyediakan makanan berkenaan untuk dibawa ke pejabat. “Makanan yang disediakan juga bukan saja dilakukan dengan penuh kasih sayang tetapi dijamin bersih serta selamat kerana ia dimasak sendiri yang sudah pasti mementingkan cara penyediaan yang betul. Tanpa disedari, aktiviti membawa bekal ini sebenarnya memberi pelbagai manfaat kepada pengguna,” katanya. Katanya, pihaknya tidak mengukur sambutan orang ramai sebagai tanda aras sama ada untuk meneruskan sambutan atau aktiviti seumpama ini pada masa depan berikutan ilmu kepenggunaan perlu sentiasa disebarkan kepada masyarakat sebelum kesannya dapat diperoleh. “Kita tidak lakukan kempen ini berdasarkan sambutan masyarakat tetapi berdasarkan tanggungjawab Fomca untuk mendidik orang ramai mengenai pentingnya untuk tidak berbelanja sesuka hati. Walaupun, pada peringkat ini, sambutan untuk kempen ini adalah sederhana tetapi ia tetap akan diteruskan bagi memastikan matlamat jangka panjang kempen tercapai,” katanya. Sementara itu, peserta kempen yang hadir pada sesi itu membawa bekal untuk makan tengah hari mengakui membawa bekal dari rumah berupaya membantu meringankan beban belanja harian. Kakitangan CRRC, S Thilaga, berkata beliau yakin ramai individu boleh mendapat manfaat daripada aktiviti ini dengan syarat mereka bersungguh-sungguh mahu berjimat dalam perbelanjaan harian kerana ia terbukti boleh mengurangkan beban belanja makanan bulanan seseorang. “Orang ramai sebenarnya tidak mempunyai alasan untuk tidak berjimat kerana alternatif untuk berbuat demikian sudah ada. Apa yang penting ialah disiplin serta kemahuan untuk menguruskan perbelanjaan mereka dengan cara yang berhemah dan mudah,” katanya. Bagi kakitangan CRRC, Yu Kin Len pula, beliau berharap aktiviti ini dapat digalakkan di sekolah khususnya di kalangan pelajar kerana penyediaan makanan berkhasiat dan selamat dari rumah penting untuk perkembangan tumbesaran mereka selain mempromosi masa berkualiti antara anak dan ibu yang menyediakan makanan berkenaan.

Tiada ulasan: