SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

27 Julai 2009

CUEPACS MAHU AMBIL ALIH FUNGSI KHIDMAT POTONGAN BULANAN

Bernama
27/7/2009



KUALA LUMPUR: Cuepacs hari ini menggesa Perbendaharaan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). Ini bagi membolehkan kongres itu memanfaatkan komisen daripada perkhidmatan itu untuk faedah 1.2 juta kakitangan kerajaan. Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata Angkasa memperoleh kira-kira RM8.1 bilion setahun daripada segi komisen dengan menyediakan perkhidmatan potongan bagi sektor awam dan swasta.
"Daripada amaun ini, 50 peratus disumbangkan oleh kakitangan awam melalui pelbagai potongan," katanya. Angkasa mengenakan caj 2.5 peratus bagi amaun pinjaman bulanan sebagai komisen bagi perkhidmatan itu. "Apa yang kami cadangkan kepada kerajaan ialah untuk membenarkan Cuepacs mengambil alih perkhidmatan potongan bagi pinjaman kakitangan awam dan membiarkan Angkasa meneruskan perkhidmatan bagi sektor swasta.
"Jika cadangan itu diterima, ia akan membenarkan Cuepacs menjana kira-kira RM4 bilion setahun daripada perkhidmatan itu," katanya. Pendapatan itu, katanya akan disalurkan semula kepada kakitangan awam melalui sebuah yayasan dalam bentuk biasiswa, bantuan perubatan, geran dan bantuan kewangan dan material lain. "Bantuan juga akan diberikan kepada pesara kerajaan, dengan itu dapat mengurangkan beban di pihak kerajaan. "Ini akan mewujudkan keadaan saling bermanfaat, kerana kakitangan awam dan kerajaan akan mendapat faedah daripada skim ini," katanya.
Ahmad Shah berkata Angkasa tidak menyumbang "apa-apa kepada kakitangan awam," di sebalik menjana pendapatan besar daripada mereka. Beliau berkata Cuepacs mempunyai keupayaan untuk mengambil alih perkhidmatan potongan itu dan apa yang diperlukannya ialah sedikit bantuan di peringkat permulaan daripada kerajaan untuk menyediakan infrastruktur diperlukan. "Mungkin kerajaan boleh memberikan kami pinjaman mudah yang kami mampu bayar balik dalam tempoh singkat apabila sistem kami beroperasi," katanya. Sementara itu, Bernama difahamkan Perbendaharaan dan Pejabat Akauntan Negara bersetuju dengan cadangan itu dan bersedia membantu Cuepacs jika kerajaan meluluskan cadangan itu. "Menyediakan infrastruktur bukan masalah besar dan ia boleh dilakukan dengan mudah kerana asasnya sudah ada," kata sumber di MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia). Menurut sumber itu malahan mendapatkan kakitangan berpengalaman bukan satu masalah kerana pegawai berpengalaman daripada Pejabat Akauntan Negara dan jabatan lain boleh dipinjamkan sementara untuk membantu Cuepacs. - Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ye betul lah tu......jawatan penyelia asrama dah keluar dari jabatan dietetik dan sajian di hospital ada yang dipindahkan ke jabatan pentadbiran...dah tu...tak ada apa-apa kursus yang dihadiri lepas tu......1 tahun mahu isi kursus dalam lnpt...tp nak kursus macam mana kalau tak dipanggil untuk kursus yang bersesuaian dengan jawatan. jadi, dalam lnpt pun kosong untuk bahagian kursus dan latihan...dahlah jawatan penyelia asrama ni dikeluarkan dari jabatan dietetik dan sajian,macam tak berguna pulak lepas jawatan kami bertungkus lumus di jabatan lama selepas gred tukang masak dinaiktaraf...jawatan kami masih macam tu........apa cerita ni????