SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

31 Julai 2009

FOMCA BIMBANG MENGENAI PENGUASAAN PIHAK ASING DALAM GLC

Bernama
31/7/2009




PETALING JAYA, 31 Julai (Bernama) -- Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini menggesa kerajaan lebih berhati-hati apabila menyenaraikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di pasaran saham kerana ia akan memberi kesan terhadap aspek kebajikan penduduk dan negara.Setiausaha Agungnya Muhammad Shaani Abdullah berkata apa yang dibimbangkan ialah penyenaraian itu mungkin akan melenyapkan terus kawalan dalam syarikat terbabit dan menyebabkan ia dikuasai pihak asing.Beliau berkata demikian semasa mengulas laporan mengenai sebuah syarikat berpengkalan di Hong Kong, Wang Tak Co Ltd, yang menjadi pemegang saham terbesar Padiberas Nasional Berhad (Bernas), yang merupakan sebuah GLC yang memonopoli import beras.Wang Tak kini memiliki 31.36 peratus daripada 470.4 juta saham dalam Bernas.Muhammad berkata Fomca tidak menentang pelaburan asing atau pembabitan syarikat asing dalam pertumbuhan ekonomi negara, namun ia amat bimbang dengan pengurusan syarikat-syarikat berkenaan."Pelabur di seluruh dunia hanya berminat dengan keuntungan semata-mata dan tidak mempedulikan soal lain, jadi mereka tidak boleh diharap untuk memiliki tanggungjawab sosial dalam menyumbang kepada pembangunan negara," katanya kepada Bernama di sini Jumaat."Oleh itu aset negara perlu dipastikan supaya tidak dikawal oleh orang asing kerana perlahan-lahan mereka ini akan mengikis hartanya, dan memindahkan ia ke negara mereka sendiri," tambahnya.Sementara itu Cuepacs turut menyuarakan kebimbangannya mengenai liberalisasi perkhidmatan kesihatan dalam negara.Setiausaha Agungnya Ahmad Shah Mohd Zin berkata di bawah rancangan liberalisasi yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, syarikat-syarikat asing akan diberikan kebenaran menubuhkan hospital-hospital swasta dalam negara, di samping turut dibenarkan mengimport doktor serta petugas perubatan sendiri.Beliau berkata kemudiannya Pertubuhan Pengurusan Penjagaan Kesihatan Asing (MCO) dan Pertubuhan Pengurusan Kesihatan (HMO) hospital ini akan membawa rangkaian kerja mereka yang tirut membawa bersama syarikat insurans untuk membekalkan pakej insurans kepada penduduk tempatan.Katanya perkembangan ini mungkin baik jika dilihat di atas kertas kerana ia akan membawa persaingan dan menambah baik perkhidmatan kesihatan serta hospital tempatan, namun realitinya ia akan menjejaskan sistem rawatan kesihatan sedia ada.Beliau berkata ini kerana ia akan menimbulkan suasana perebutan tenaga pakar, doktor, petugas paramedik dari hospital-hospital kerajaan, sekaligus memburukkan lagi masalah 'brain drain' dan menjejaskan kualiti perkhidmatan.Katanya MCO dan HMO bersama dengan syarikat-syarikat insurans akan menguasai sistem perkhidmatan kesihatan sekaligus menafikan kumpulan berpendapatan rendah daripada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.Ahmad Shah berkata 90 peratus daripada penjawat awam bergantung kepada perkhidmatan kesihatan kerajaan dan sekiranya perkhidmatan itu terjejas, mereka akan menjadi pihak yang terinaya, terutama golongan pesara."Oleh itu kami merayu kepada kerajaan supaya berhati-hati dalam membuka perkhidmatan kesihatan kepada pihak asing," katanya.-- BERNAMA

Tiada ulasan: