SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

18 Julai 2009

KEMPEN HARI TIDAK BERBELANJA PATUT DIPERLUAS GALAK BUDAYA JIMAT

Berita Harian
18/7/2009





KELMARIN, adalah hari tidak berbelanja iaitu kempen dianjurkan Fomca, Cuepacs dan beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Walaupun dilihat tidak logik, apa yang penting adalah usaha itu sebagai langkah berjimat pada zaman gawat ini perlu digalakkan. Walaupun kempen berjimat ini tidak diuar-uarkan secara intensif, kita sebenarnya amat memerlukan kempen sedemikian sebagai peringatan dan mesej kepada peniaga agar lebih bertimbang rasa apabila mengenakan sebarang harga barang atau perkhidmatan. Pada masa sama, kita perlu juga berhati-hati apabila keluar berbelanja ketika virus H1N1 menular. Berbelanja memang misi mustahil untuk tidak dilakukan kerana sudah menjadi tabiat manusia untuk mendapatkan sesuatu demi kelangsungan hidup.
Sebagai contoh ada yang resah apabila tidak menyapa mamak untuk memesan teh tarik atau roti canai setiap pagi. Ia umpama rutin yang sukar dipisahkan dalam budaya masyarakat Malaysia. Hari tidak berbelanja sesungguhnya amat molek dibuat secara bulanan dan bukan harian pada masa ini kerana selain faktor berjimat ia juga baik untuk kesihatan. Selain mengambil tindakan pencegahan virus selesema babi masa kini, pencemaran udara akibat jerebu turut boleh dielakkan daripada menyebabkan penyakit saluran pernafasan seperti selesema dan asma.
Hari tidak berbelanja yang dianjurkan sungguh bermanfaat dalam memelihara kesihatan apabila aktiviti luar diminimumkan. Pergaulan dan sentuhan yang tidak diperlukan hanya kerana hendak keluar membeli barang yang tidak diperlukan dan boleh ditangguhkan ke lain masa yang lebih selamat perlu dibuat demi kesihatan diri yang lebih penting. Kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan juga perlu diberi isyarat jelas kepada peniaga masa kini bahawa pada hari tidak berbelanja kelmarin, sesungguhnya kempen itu boleh menjadi kempen berterusan sepanjang masa jika mereka terus menaikkan harga barang, walaupun harga minyak dunia sudah kekal pada tahap di bawah AS$100 setong.
Alasan kenaikan kos tidak langsung seperti kos pekerja, insurans dan kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat yang menyebabkan harga senang naik dan susah turun perlu diberi perhatian oleh pengguna dan peniaga sendiri. Jika membuat untung biar berpada agar kita sama-sama merasai pada masa ekonomi sedang dalam pemulihan berkala. Pengguna dan peniaga saling memerlukan dan wajar untuk kita bertimbang rasa sesama kita. Justeru kempen 'Hari Tidak Berbelanja' tepat pada waktunya. Selain duit semakin subur di poket dan tabung, kesihatan boleh dipelihara daripada terkena penyakit yang sukar dikesan di mana ia berada. ABDUL RAZAK IDRIS Banting, Selangor

Tiada ulasan: