SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

20 Disember 2009

Dr. MOHD. ALI KEKAL YANG DIPERTUA ANGKASA

Utusan Malaysia
20/12/2009




KUALA LUMPUR 19 Dis. - Profesor Datuk Dr. Mohd. Ali Mohd. Baharum mengekalkan jawatan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam pertandingan sengit empat penjuru di sini hari ini.
Beliau memperolehi 1,216 undi mengatasi pencabar terdekatnya, Mustapa Kamal Maulut dengan kelebihan 47 undi.
Mustapa Kamal yang sebelum ini Naib Yang Dipertua Angkasa meraih sebanyak 1,169 undi.
Turut merebut jawatan yang sama ialah Pengerusi Koperasi Shamelin Berhad, Datuk Muhammad Feisol Hassan (90 undi) dan Pengerusi Koperasi Pegawai Pentadbiran dan Pengurusan Tanah Malaysia, Datuk Yidris Abdullah yang mendapat 40 undi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding, menarik diri dengan alasan mahu menumpukan perhatian terhadap tugas dalam pertubuhan itu.
Seramai 2,900 perwakilan daripada 1,700 koperasi memilih barisan kepimpinan baru Angkasa hari ini sempena Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-26 yang berlangsung dua hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua, ia tidak dipertandingkan kali ini, sebaliknya pertandingan akan diadakan tahun depan selaras dengan Perkara 30.2 (Undang-Undang Kecil Angkasa).
Penyandang bagi jawatan itu sekarang ialah Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Bagi jawatan Naib Yang Dipertua, dimenangi Jamal Abdullah yang memperolehi 824 undi mengatasi lapan pencabarnya.
Jamal ialah anggota Lembaga Pengarah Koperasi Polis Diraja Malaysia yang kini bertugas sebagai Ketua Balai Polis Desa Jaya, Gombak, Selangor.
Jawatan Pengerusi Tetap Persidangan pula dimenangi Pengerusi Koperasi Serbaguna Kawasan Paya Besar Berhad, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman dengan undi 1,478 .
Dua Timbalan Pengerusi Tetap yang dipilih ialah Pengerusi Koperasi Siswazah Intan Usaha Bersatu Berhad (KIUB), Dr. Abdul Rahman Abdul Shaik dan bekas Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Ahmad Bahri Abdul Rahman.
Turut bertanding bagi jawatan tersebut ialah Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Berhad, Datuk Mat Rejab Kassim dan Pengerusi Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Lenga Muar Berhad, Abu Bakar Mohamad.
Calon lain ialah Anggota Jawatankuasa Perhubungan Angkasa, Datuk Abu Bakar Shaari; Naib Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak, Jamaluddin Mohd. Isa; Pengurus Koperasi Ukhwah Cawangan Perak, Abdul Satar Hashim; Ahli Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan Angkasa, Bahar Siran; Pengerusi Koperasi Pekebun Getah Melaka, Datuk Jaafar Lajis.
Pemilihan kesemua jawatan itu menggunakan sistem pengundian elektronik (e-voting).
Keputusan pertandingan diumumkan hampir pukul enam petang berikutan kiraan semula undi yang dilakukan sebanyak dua kali.

Tiada ulasan: