SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

19 Disember 2009

LIMA CALON REBUT JAWATAN YANG DIPERTUA ANGKASA HARI INI

Utusan Malaysia
19/12/2009





KUALA LUMPUR 18 Dis. - Pemilihan bagi jawatan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dijangka sengit apabila lima orang menawarkan diri termasuk Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman.
Empat lagi calon ialah penyandang jawatan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum; Naib Yang Dipertua Angkasa, Mustafa Kamal Maulud; pemimpin Koperasi Shamelin, Datuk Muhammad Feisol Hassan dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Wilayah, Datuk Idris Abdullah.
Pertandingan lima penjuru itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini esok sempena Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke-26.
Seramai 2,900 perwakilan daripada 1,700 koperasi akan memilih barisan kepimpinan baru Angkasa.
Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua, ia tidak dipertandingkan kali ini, sebaliknya akan diadakan tahun depan sejajar dengan Perkara 30.2 (Undang-Undang Kecil Angkasa).
Penyandang bagi jawatan itu sekarang ialah Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Berdasarkan peruntukan Perkara 30.2, terdapat tiga jawatan sahaja yang dipertandingkan pada tahun ini iaitu Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan Pengerusi Persidangan.
Kesemua jawatan yang dipertandingkan itu hanya menawarkan satu tempat sahaja.
Bagi jawatan Naib Yang Dipertua, seramai tujuh orang menawarkan diri antaranya Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Polis, Jamal Abdullah; Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan dan bekas juruaudit dalaman Angkasa, Ismail Bakar.
Untuk jawatan Pengerusi Persidangan, 10 orang menawarkan diri termasuk penyandangnya, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman yang juga bekas Menteri Besar Pahang.
Turut menawarkan diri ialah Pengerusi Koperasi Siswazah Intan Usaha Bersatu Berhad (KIUB), Dr. Abdul Rahman Shaik Abdul Razak Shaik dan bekas Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Ahmad Bahri Abdul Rahman.
Abdul Fattah ketika dihubungi lewat petang ini berkata, pemilihan kesemua jawatan itu menggunakan sistem pengundian elektronik (e-voting).
Beliau menjangkakan keputusan bakal diketahui kira-kira pukul 2 petang.

Tiada ulasan: