SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 Disember 2009

TIADA JAMINAN, IMBUHAN KEPADA PEKERJA AGENSI NUKLEAR

Bernama


KUALA LUMPUR: Kakitangan Agensi Nuklear Malaysia tidak diberikan sebarang bentuk jaminan dan imbuhan khas selain daripada jaminan dan imbuhan yang lazimnya diberikan kepada penjawat awam, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof. Beliau berkata bagaimanapun, sebahagian daripada kakitangan itu yang ditakrifkan sebagai pekerja sinaran layak mendapat cuti tambahan sebanyak 14 hari setahun. "Bagi kakitangan yang menjalankan tugas sebagai pengendali reaktor penyelidikan nuklear yang terdapat di agensi, elaun kelayakan khas RM150 sebulan diberikan.
"Ini kerana semua pengendali reaktor itu perlu menjalani latihan khas tambahan yang dikendalikan oleh agensi itu sendiri sebelum dibenarkan mengendali reaktor penyelidikan berkenaan," katanya menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) yang ingin tahu bentuk jaminan serta imbuhan yang diberikan kepada kakitangan di pusat tenaga nuklear pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Fadillah berkata bagi memastikan tiada kesan negatif terhadap kesihatan pekerja di agensi itu, semua kakitangan yang ditakrifkan sebagai pekerja sinaran dimestikan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. "Pemeriksaan perubatan ini tertumpu kepada aspek yang khusus kepada mengenal pasti sebarang kesan sinaran dalam sel darah dalam tubuh kakitangan berkenaan dan setakat ini, tiada kesan negatif didapati," katanya.
Beliau berkata bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam serta alam sekitar, semua langkah keselamatan di Agensi Nuklear Malaysia sentiasa dipantau oleh sistem audit dalaman agensi tersebut dan agensi kawalseliaan kebangsaan seperti Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). "Audit atau "Peer Review" terhadap operasi agensi itu oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga dilaksanakan dari semasa ke semasa. "Peer review''" oleh pakar dari negara serantau juga telah dilaksanakan di bawah rangka kerja Forum Kerjasama Nuklear Asia (FNCA). "Semua langkah keselamatan di Agensi Nuklear Malaysia juga perlu bagi memenuhi obligasi negara di bawah pelbagai triti, konvensyen dan perjanjian nuklear serantau dan antarabangsa termasuk Triti Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang turut meliputi aspek keselamatan aktiviti nuklear bagi mengelakkan kesan negatif kepada negara jiran," katanya. Fadillah turut menegaskan bahawa aktiviti di Agensi Nuklear Malaysia tidak memberikan sebarang kesan negatif sama ada kepada kesihatan penduduk sekeliling dan alam sekitar.
Katanya, pemantauan yang merangkumi analisis kandungan bahan radioaktif di dalam sampel udara, air, tanah dan tumbuh-tumbuhan dalam kawasan sekitar membuktikan ketiadaan peningkatan kandungan bahan radioaktif di kawasan persekitaran berbanding keadaan sebelum agensi itu mula beroperasi. - Bernama

Tiada ulasan: