SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

04 Disember 2009

SEJAUH MANA KPI AZAM 2009?

Utusan Malaysia
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
pengarang@utusan.com.my
4/12/2009





MENERIMA diari 2010 pada hari pertama Disember mengingatkan saya tentang azam 2009 yang tinggal sebulan saja lagi untuk dicapai.
Jika sehingga penghujung bulan ini, apa yang dihasratkan tidak tercapai bermakna azam itu gagal. Lebih daripada itu, azam itu sebenarnya telah dimulakan sejak enam tahun lalu.
Gabungan cita-cita, harapan yang kadangkala disulami impian selama enam tahun hanya tinggal sebulan untuk dicapai - mungkin mustahil kecuali ada keajaiban membantu menjadikannya kenyataan.
Hakikatnya bulan terakhir ini adalah pengukur terakhir kepada semua orang sejauh mana pencapaian masing-masing sepanjang tahun ini.
Berjaya atau gagal - indeksnya telah boleh dibaca, jawapannya juga telah boleh dirangka - malah ada yang telah membuat rumusan mengenai prestasi sendiri.
Contoh paling mudah, sebagai pekerja adakah kita berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan majikan. Atau sepanjang tahun ini, tanggungjawab yang diamanahkan di bahu kita sebagai pekerja hanya dipikul setengah hati. Manakala separuh lagi terbengkalai kerana kegagalan pekerja melaksanakan peranan masing-masing.
Begitu juga dengan peranan kita sebagai individu. Adakah prestasi atau pencapaian kita sebagai manusia yang sarat dengan tanggungjawab berjaya dilaksanakan.
Kita sebagai individu yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk sebagai ibu, bapa atau anak tidak boleh dinafikan mempunyai peranan besar yang menuntut komitmen selagi hayat dikandung badan.
Komitmen itu bukan hanya terpakai sepanjang 2009. Bagaimanapun kejayaan melaksanakan peranan tersebut pada tahun ini menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) setiap individu tidak kira apa peranan atau fungsi yang dipikul.
Sebab itu apabila ada yang berkata masih awal untuk memperkatakan perihal berjaya atau gagal azam 2009, ia sebenarnya tidak begitu.
Ini kerana pencapaian boleh diukur sekurang-kurangnya tiga kali setahun. Tiga bulan pertama, adakah azam itu bermula dengan baik, mencecah enam bulan?
Adakah perkembangannya memberangsangkan, dan tiga bulan terakhir sekurang-kurang 70 peratus azam itu telah berjaya dicapai?
Jika tinggal hanya sebulan dan azam itu tidak berganjak dari atas kertas atau cuma terpahat di fikiran maka sejauh mana pencapaiannya boleh dijawab atau diberi ukuran.
Di peringkat menteri atau kementerian misalnya, jika Disember sarat dengan pelbagai kursus dan program maka ia tidak semestinya bermakna KPInya cemerlang.
Lantaran menjadi trend kementerian atau jabatan mahu menghabiskan bajet tahunan di saat-saat akhir. Itu pun selepas menyedari masih banyak peruntukan tidak dibelanjakan.
Apabila peruntukan tidak dibelanjakan bermakna kalangan penjawat awam di kementerian atau jabatan yang berkenaan tidak buat kerja.
Maka jawapannya, lahirlah idea kreatif penganjuran kursus-kursus sepanjang Disember dengan matlamat untuk menghabiskan bajet dan mengelak daripada dipersoalkan.
Hasilnya, program yang dianjurkan umpama melepaskan batuk di tangga. Pengisian 2009 yang telah dirangka sejak awal tidak mencapai matlamatnya.
Begitu juga azam kita, yang sebenarnya bergantung kepada diri sendiri sama ada untuk menjadikannya kenyataan atau sebaliknya. Itu perlu diakui.

Tiada ulasan: