SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

01 Disember 2009

PBT PERLU BANTU PENDUDUK

Utusan Malaysia
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
30/11/2009







MUHYIDDIN Yassin bersalam dengan wakil pihak berkuasa tempatan yang menghadiri Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 serta Persidangan Dwitahunan Anulae Ke-23 di Kuala Lumpur, semalam.







KUALA LUMPUR 30 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar dipinda atau diubah suai jika ia sudah usang atau tidak sesuai dengan perkembangan semasa.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu penting ke arah memperkenalkan cara-cara terbaru untuk melaksanakan tanggungjawab PBT secara lebih berkesan lagi.
"Mengenai kajian undang-undang kecil yang sudah lama dipakai, ia satu perkara yang harus diberi perhatian," katanya semasa merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 serta Persidangan Dwitahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) Ke-23 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas ucapan aluan oleh Presiden Anulae Semenanjung Malaysia, Azih Muda bahawa undang-undang kecil dilaksanakan PBT di negara ini perlu dikaji serta diseragamkan.
Muhyiddin berkata, sebahagian besar undang-undang kecil PBT berada di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri, dan menurutnya beliau menyerahkan kepada pihak ini untuk mengkajinya dan jika ada yang berkaitan dengan Kerajaan Persekutuan, ia boleh dibawa kepada perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pada sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin berkata, PBT perlu membantu penduduk di kawasan masing-masing untuk mendapatkan lebih banyak peluang perniagaan.
Katanya, PBT boleh berbuat demikian dengan mengeluarkan lebih banyak lesen perniagaan sekali gus menambah pendapatan.
"Memang kerajaan telah pun meminta PBT mengeluarkan lebih banyak lesen perniagaan terutama kepada penjaja kecil sebelum ini.
"Tetapi kita minta ia terus dipertingkatkan oleh kerana semakin ramai rakyat kita yang berminat berniaga," katanya.
Muhyiddin menjelaskan, lebih 120,000 lesen perniagaan terutama bagi peniaga kecil dan penjaja telah dikeluarkan PBT diseluruh negara pada tahun lalu.
"Kita minta ia terus dipertingkatkan dengan syarat permohonan memenuhi syarat dan kawasan yang disediakan bersesuaian. Ini bukan untuk pegawai PBT tetapi untuk penduduk tempatan," katanya.
Terdahulu semasa berucap, Muyhiddin berkata, peranan PBT secara langsung atau tidak langsung amat diperlukan dalam usaha kerajaan untuk menaik taraf kehidupan rakyat.
Katanya, petugas PBT dianggap seperti barisan hadapan kepada kerajaan dalam membantu rakyat secara keseluruhannya selain memacu pembangunan negara.
"PBT adalah ejen utama kerajaan dalam melaksanakan semua matlamat yang digariskan. Ia akan menjadikan setiap agenda kerajaan sentiasa di hati rakyat," katanya.
Beliau berkata, segala usaha kerajaan tidak akan berhasil sekiranya seluruh warga PBT tidak mempunyai kesedaran mendalam dan tidak menghayati sepenuhnya matlamat yang digariskan kerajaan.

Tiada ulasan: