Bernama
21/12/2012
KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berkembang 5.4
peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.3 peratus pada suku yang
sama tahun lepas, dipacu oleh permintaan domestik yang lebih kukuh, kata
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Bercakap kepada pemberita, Zeti berkata pada suku itu permintaan
domestik melonjak 13.8 peratus berbanding 9.7 peratus berbanding suku
pertama.
Beliau juga mengumumkan mengenai semakan pertumbuhan keluaran dalam
negara kasar (KDNK) kepada 4.9 peratus bagi suku pertama daripada 4.7
peratus. Zeti berkata permintaan domestik yang kukuh disokong oleh
pertumbuhan pesat dalam perbelanjaan sektor swasta dan awam, manakala
eksport bersih menyederhana ekoran eksport lemah dan import yang tinggi.
Mengenai bekalan, beliau berkata sektor ekonomi utama terus berkembang, diketuai sektor perkhidmatan, pengeluaran dan pembinaan.
"Ini disokong oleh aktiviti dipacu domestik dalam sektor perkhidmatan
iaitu komunikasi, hartanah dan perkhidmatan perniagaan dan subsektor
insurans kewangan," katanya.
Beliau berkata berdasarkan unjuran semasa, negara bakal mencatat pertumbuhan 4.0-5.0 peratus tahun ini.
"Pada masa ini kami mengekalkan (unjuran ini). Pada belanjawan akan datang, mungkin ada pelarasan dalam unjuran bagi tahun ini.
"Kami yakin, berdasarkan prestasi separuh pertama tahun ini, KDNK
dijangka meningkat lebih tinggi," katanya dan menambah, pelaburan swasta
akan terus memacu pertumbuhan ekonomi.
Zeti berkata aktiviti pelaburan yang meningkat boleh dilihat berdasarkan
peningkatan 19.8 peratus pada separuh pertama tahun ini dan
peningkatan 24.6 peratus pada suku kedua.
"Inilah yang kami mahu berlaku bagi mengekalkan pertumbuhan, dan kami
melihat pelaburan kembali dengan kukuh, malah pasaran sekuriti hutang
swasta menunjukkan beberapa terbitan baharu bagi mengumpul dana dalam
sekuriti hutang swasta untuk pelaburan dalam projek-projek baharu.
"Semua angka ini menunjukkan peningkatan dalam aktiviti pelaburan,
terutama oleh sektor swasta dan projek lain yang dilaksanakan oleh
kerajaan," katanya.
Zeti berkata peningkatan ranking Malaysia dari segi daya saing dan kos
menjalankan perniagaan, secara tidak langsung membantu iklim pelaburan
negara.
Beliau berkata beberapa projek kejuruteraan awam besar juga mencatat
pertumbuhan kukuh dan akan membantu menyokong pertumbuhan ekonomi.
Ini termasuk projek saluran paip Sabah-sarawak bernilai RM4.6 bilion,
projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.5
bilion dan loji tenaga Janamanjung berharga RM5 bilion, katanya.
"Kita juga mencatat pengunaan kapasiti yang lebih tinggi yang kini
mencecah paras 80 peratus. Kebiasaannya apabila keadaan ini berlaku
dalam pelbagai industri, ini mencetuskan aktiviti pelaburan baharu,"
katanya.
Mengenai prestasi suku kedua, Zeti berkata modal tetap kasar merekodkan
pertumbuhan kukuh 26.1 peratus berbanding 16.1 peratus pada suku yang
lepas dengan perbelanjaan sektor swasta dan awam mencatat peningkatan.
Beliau berkata penggunaan swasta meningkat 8.8 peratus (suku pertama 12:
7.4 peratus), disokong oleh situasi pasaran buruh yang padu,
pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan sentimen pengguna yang meningkat.
"Selain itu inisiatif kerajaan seperti bantuan kewangan kepada isi rumah
berpendapatan rendah dan peneroka Felda selain menaikkan gaji dan
pencen penjawat awam, turut membantu meningkatkan perbelanjaan,"
katanya.
Penggunaan awam meningkat 9.4 peratus daripada 7.3 peratus suku lepas,
diketuai perbelanjaan yang tinggi untuk emolumen dan bekalan serta
perkhidmatan, katanya.
Menurut Zeti kadar inflasi menyederhana kepada 1.7 peratus pada suku kedua berbanding 2.3 peratus pada suku lepas.
Beliau berkata inflasi dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol
menyederhana manakala harga daging dan sayur-sayuran turun.
Bagi sektor luaran, lebihan akaun semasa berkurangan pada suku kedua
kepada RM9.6 bilion, bersamaan 4.4 peratus pendapatan negara kasar,
katanya.
"Ini sebahagian besarnya disebabkan lebihan barangan yang rendah,
terutama hasil pengembangan import kasar dalam keadaan pertumbuhan
eksport kasar menyederhana," katanya.
Zeti berkata akaun kewangan mencatatkan pemulihan dengan kemasukan RM5.4
bilion pada suku itu, dengan kemasukan tunai dalam pelaburan lain dan
pelaburan langsung asing meningkat yang mengimbangi aliran keluar besih
dana portfolio bukan penduduk.
"Dengan lebihan dalam akauin semasa dan kewangan, imbangan pembayaran
pulih untuk mencatat lebihan RM12.7 bilion pada suku kedua, berbanding
RM7.2 bilion pada suku lepas," katanya.
Kadar dasar semalaman tidak berubah pada 3.00 peratus pada suku berkenaan, katanya.
Beliau berkata ringgit sebaliknya susut 3.8 peratus berbanding dolar US
pada suku kedua, selain mata wang serantau utama yang lain.
"Ketidaktentuan krisis hutang negara Eropah dan impaknya ke atas prospek
pertumbuhan ekonomi serantau dan global menyebabkan pelabur
mengurangkan pegangan dalama aset-aset pasaran baru muncul," katanya.
-- BERNAMA