SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

21 Ogos 2012

EKONOMI MALAYSIA BERKEMBANG 5.4 PERATUS PADA SUKU KEDUA

Bernama
21/12/2012


KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.3 peratus pada suku yang sama tahun lepas, dipacu oleh permintaan domestik yang lebih kukuh, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bercakap kepada pemberita, Zeti berkata pada suku itu permintaan domestik melonjak 13.8 peratus berbanding 9.7 peratus berbanding suku pertama.

Beliau juga mengumumkan mengenai semakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 4.9 peratus bagi suku pertama daripada 4.7 peratus. Zeti berkata permintaan domestik yang kukuh disokong oleh pertumbuhan pesat dalam perbelanjaan sektor swasta dan awam, manakala eksport bersih menyederhana ekoran eksport lemah dan import yang tinggi.

Mengenai bekalan, beliau berkata sektor ekonomi utama terus berkembang, diketuai sektor perkhidmatan, pengeluaran dan pembinaan.

"Ini disokong oleh aktiviti dipacu domestik dalam sektor perkhidmatan iaitu komunikasi, hartanah dan perkhidmatan perniagaan dan subsektor insurans kewangan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan unjuran semasa, negara bakal mencatat pertumbuhan 4.0-5.0 peratus tahun ini.

"Pada masa ini kami mengekalkan (unjuran ini). Pada belanjawan akan datang, mungkin ada pelarasan dalam unjuran bagi tahun ini.

"Kami yakin, berdasarkan prestasi separuh pertama tahun ini, KDNK dijangka meningkat lebih tinggi," katanya dan menambah, pelaburan swasta akan terus memacu pertumbuhan ekonomi.

Zeti berkata aktiviti pelaburan yang meningkat boleh dilihat berdasarkan peningkatan 19.8 peratus pada separuh pertama tahun ini dan peningkatan 24.6 peratus pada suku kedua.

"Inilah yang kami mahu berlaku bagi mengekalkan pertumbuhan, dan kami melihat pelaburan kembali dengan kukuh, malah pasaran sekuriti hutang swasta menunjukkan beberapa terbitan baharu bagi mengumpul dana dalam sekuriti hutang swasta untuk pelaburan dalam projek-projek baharu.

"Semua angka ini menunjukkan peningkatan dalam aktiviti pelaburan, terutama oleh sektor swasta dan projek lain yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Zeti berkata peningkatan ranking Malaysia dari segi daya saing dan kos menjalankan perniagaan, secara tidak langsung membantu iklim pelaburan negara.

Beliau berkata beberapa projek kejuruteraan awam besar juga mencatat pertumbuhan kukuh dan akan membantu menyokong pertumbuhan ekonomi.

Ini termasuk projek saluran paip Sabah-sarawak bernilai RM4.6 bilion, projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.5 bilion dan loji tenaga Janamanjung berharga RM5 bilion, katanya.

"Kita juga mencatat pengunaan kapasiti yang lebih tinggi yang kini mencecah paras 80 peratus. Kebiasaannya apabila keadaan ini berlaku dalam pelbagai industri, ini mencetuskan aktiviti pelaburan baharu," katanya.

Mengenai prestasi suku kedua, Zeti berkata modal tetap kasar merekodkan pertumbuhan kukuh 26.1 peratus berbanding 16.1 peratus pada suku yang lepas dengan perbelanjaan sektor swasta dan awam mencatat peningkatan.

Beliau berkata penggunaan swasta meningkat 8.8 peratus (suku pertama 12: 7.4 peratus), disokong oleh situasi pasaran buruh yang padu, pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan sentimen pengguna yang meningkat.

"Selain itu inisiatif kerajaan seperti bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan peneroka Felda selain menaikkan gaji dan pencen penjawat awam, turut membantu meningkatkan perbelanjaan," katanya.

Penggunaan awam meningkat 9.4 peratus daripada 7.3 peratus suku lepas, diketuai perbelanjaan yang tinggi untuk emolumen dan bekalan serta perkhidmatan, katanya.

Menurut Zeti kadar inflasi menyederhana kepada 1.7 peratus pada suku kedua berbanding 2.3 peratus pada suku lepas.

Beliau berkata inflasi dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol menyederhana manakala harga daging dan sayur-sayuran turun.

Bagi sektor luaran, lebihan akaun semasa berkurangan pada suku kedua kepada RM9.6 bilion, bersamaan 4.4 peratus pendapatan negara kasar, katanya.

"Ini sebahagian besarnya disebabkan lebihan barangan yang rendah, terutama hasil pengembangan import kasar dalam keadaan pertumbuhan eksport kasar menyederhana," katanya.

Zeti berkata akaun kewangan mencatatkan pemulihan dengan kemasukan RM5.4 bilion pada suku itu, dengan kemasukan tunai dalam pelaburan lain dan pelaburan langsung asing meningkat yang mengimbangi aliran keluar besih dana portfolio bukan penduduk.

"Dengan lebihan dalam akauin semasa dan kewangan, imbangan pembayaran pulih untuk mencatat lebihan RM12.7 bilion pada suku kedua, berbanding RM7.2 bilion pada suku lepas," katanya.

Kadar dasar semalaman tidak berubah pada 3.00 peratus pada suku berkenaan, katanya.

Beliau berkata ringgit sebaliknya susut 3.8 peratus berbanding dolar US pada suku kedua, selain mata wang serantau utama yang lain.

"Ketidaktentuan krisis hutang negara Eropah dan impaknya ke atas prospek pertumbuhan ekonomi serantau dan global menyebabkan pelabur mengurangkan pegangan dalama aset-aset pasaran baru muncul," katanya.

-- BERNAMA

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Penggunaan awam meningkat 9.4 peratus daripada 7.3 peratus suku lepas, diketuai perbelanjaan yang tinggi untuk emolumen dan bekalan serta perkhidmatan, katanya.

mana taknya, emolumen untuk JUSA, TURUS, ahli parlimen, timbalan menteri, menteri, ahli dewan undangan negeri, exco, menteri besar MELAMPAU-LAMPAU banyaknya. tupasal meningkat.

cuba kurangkan bilangan mereka ni. pasti kita dapat berjimat. bukan ada keje pun mereka ni. tahu menghabiskan duit saja.

Tanpa Nama berkata...

Sokong ulasan 1-1:

Tanpa Nama berkata...

ini menunjukkan
jangkaan perbelanjaan berhemah yang cekap dan bijak telah dilaksanakan dengan bertanggungjawab oleh pihak kerajaan kita.meskipun ada unsur rasuah seperti yg diwarwarkan pembangkang namun tadbir urus baik diluar kotak pikiran patut diteruskan selari dengan tradisi budaya melayu yg kreatif dan inovatif.Berbanding negara maju kononnya anti rasuah tetapi dana bank negara sendiri pun korup seperti Greece,itali ,Ireland ,Sepanyol,Perancis dll.(hanya contoh).Jadi sewajarnya kita berterima kasih kpd kakitangan kerajaan khususnya yg bertungkuslumus dlm melaksanakan amanah yg diberi.Terima kasih PM

Tanpa Nama berkata...

kasilah bonus 2 bulan tahun ni kalau ekonomi baik...