SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

18 Oktober 2013

KERJASAMASEKTOR AWAM MALAYSIA, SINGAPURA BERADA PADA KEDUDUKAN TERBAIK -KSN

Bernama
18/10/2013


Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah SINGAPURA, 18 Okt (Bernama) -- Kerjasama sektor awam Malaysia dan Singapura kini berada pada kedudukan terbaik dan inilah masa paling baik untuk mempertingkatkan lagi hubungan itu ke tahap lebih tinggi, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. "Ia dapatlah kita bayangkan seperti hubungan antara pemimpin negara kita... antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini Jumaat.

Beliau berkata keakraban kedua-dua pemimpin itu dapat menyelesaikan beberapa isu termasuk di bawah Perkara Persetujuan (POA) yang menjadi penghalang kepada perhubungan yang akrab. Ali, yang melakukan lawatan rasmi singkat ke Singapura mulai semalam, berkata secara keseluruhan lawatannya itu membuahkan hasil positif. Beliau turut mengadakan perbincangan dengan Tan Sri Peter Ong, ketua perkhidmatan awam Singapura, yang menganjurkan majlis makan malam rasmi bagi meraikan beliau dan rombongan semalam. Antara persetujuan yang dicapai pada perbincangan itu adalah mengadakan program sukan dan seminar tahunan antara Malaysia dan Singapura di peringkat perkhidmatan awam pada November ini, kata Ali. "Ong dan rombongan beliau yang diwakili beberapa setiausaha tetap kementerian di Singapura akan datang ke Putrajaya," katanya.

Hari ini, Ali dan rombongan melawat Centre for Strategic Futures dan diberi taklimat oleh Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Perkhidmatan Awam Singapura Kwek Mean Luck. "Di situ kita telah dapat bertukar-tukar pendapat mengenai struktur perkhidmatan awam kedua-dua negara dan berbincang mengenai Civil Service College Singapura," katanya. Ali berkata terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari antara satu sama lain. "Saya telah menyatakan pegawai-pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Intan (Institut Tadbiran Awam Negara) akan membuat lawatan dan perbincangan susulan dengan Civil Service College Singapura pada masa terdekat," kata beliau. -- BERNAMA

1 ulasan:

PROF JUSA B berkata...

Saya perlu bangkitkan tentang gaji pensyarah. Aneh dan pelik kerana sepanjang 30 tahun saya bertugas sebagai pensyarah, gaji pensyarah tidak pernah melalui penstrukturan semula berbanding gaji guru yang saya lihat begitu drastik perubahannya. Bayangkan seorang guru pakar (guru cemerlang) yang hanya berkelulusan ijazah pertama layak menerima gaji bergred DG52 (setaraf dengan gred gaji pensyarah berkelulusan PhD) atau DG48 sedangkan seorang pensyarah yang berkelulusan sarjana dan bergred DS45, mengajar pula calon-calon sarjana tetapi menerima gaji yang lebih rendah daripada itu.
Lebih malang lagi ialah, sebahagian besar pensyarah bergred DS45 ini merupakan bekas-bekas guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada 15 tahun. Jika dibandingkan dengan rakan-rakan guru mereka yang berada di sekolah atau di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau Kolej Matrikulasi, maka golongan pensyarah ini seperti sengaja dizalimi. Lebih memalukan lagi jika dibandingkan dengan guru-guru sekolah yang mengajar Tingkatan 6 (pra-universiti), dengan pengalaman kurang 10 tahun tetapi turut menerima gaji gred DG48/DG44.
Inilah satu kezaliman dalam kes pembayaran upah dan guna tenaga kerja kepada pensyarah. Oleh itu, saya mencadangkan supaya gred gaji pensyarah tanpa PhD perlu dinaiktarafkan kepada DS52 (atau setara dengan tingkat gaji DG48) dan pensyarah berkelulusan PhD dinaik taraf ke Gred DS54 dan begitulah seterusnya. Situasi ini akan dapat menunjukkan status dan kedudukan pensyarah di mata dunia setanding usaha memartabatkan golongan profesional.
Secara peribadi, saya melihat skim perkhidmatan pensyarah IPTA pada zaman ini adalah amat menyedihkan berbanding guru sekolah. Golongan ini terpaksa berhadapan dengan satu persaingan dunia yang jumud dan amat menekan. Pensyarah hari ini lebih teruk daripada seorang guru yang terpaksa berhadapan dengan cabaran atau kemungkinan pertembungan budaya ilmu. Tentunya pertembungan ini menuntut iltizam dan komitmen yang tinggi sebagai satu usaha persaingan yang sihat.
Kepada KPM, fikirkanlah kebajikan dan nasib para pensyarah yang akan membawa impian dan nama universiti tempatan ke mata dunia sebelum mereka berhijrah ke universiti swasta (IPTS) yang menjanjikan pulangan yang lebih baik. Tugas pensyarah sebenarnya lebih berat berbanding guru sekolah. Mereka perlu membuat penyelidikan, menyelia tesis sarjana mahupun PhD, mengajar dan mereka juga menjadi milik masyarakat.
Akhirnya, sebagai seorang profesor Gred Jusa B, saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap gaji dan jawatan kerana saya sudah menikmati kesemuanya itu. Apa yang saya harapkan ialah belalah nasib golongan pensyarah ini kerana di tangan merekalah akan lahirnya generasi hebat negara dan generasi bermodal insan yang bakal menyambung gagasan kepimpinan negara.Seperti yang selalu saya suarakan di dalam mesyuarat dengan anggota senat-senat universiti bahawa sudah sampai masanya pihak KPM berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu memastikan bangsa mereka berada di baris hadapan tanpa membunuh jati diri bangsa. Budaya menginsafi falsafah Melayu “kera di hutan disusukan; anak mati dalam pelukan” perlu difahami sebaik-baiknya.Sebagai penutup surat ini, sekali lagi saya merayu agar KPM dapat memikirkan kewajaran pandangan dan cadangan saya ini supaya kita sama-sama dapat mengangkat martabat dan memikirkan kebajikan golongan pensyarah yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana pihak sejak 10 tahun kebelakangan ini.