SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

08 Ogos 2008

KERAJAAN PERLU WASPADA SALUR BANTUAN KEWANGAN

Petikan dari Berita Harian
8/8/2008

KUALA LUMPUR: Cuepacs dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mahu kerajaan berhati-hati menyalurkan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Bajet 2009 ini. Mereka berharap kerajaan ikhlas menjalankan tanggungjawab sosial untuk memberi keselesaan hidup kepada rakyat berpendapatan rendah yang dihimpit kenaikan pelbagai harga barangan dan minyak sekarang. Setiausaha Agung Fomca, Mohammad Sha’ani Abdullah berkata, kerajaan perlu menetapkan kadar pendapatan golongan pendapatan rendah di bandar dan luar bandar yang layak diberi bantuan itu.
Katanya, bantuan itu juga perlu disalur menepati kumpulan sasar. “Fomca berharap bantuan ini tidak dianggap beban baru kepada kerajaan. Kita juga cadangkan bantuan disalur kepada mereka yang layak mengikut bilangan tanggungan dalam keluarga, bukan berasaskan gaji saja. “Kerajaan juga perlu memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan ke atas bantuan ini apabila yang berkemampuan pun menikmati kemudahan itu,” katanya di sini, semalam.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pihaknya tidak pasti golongan berpendapatan rendah mana akan mendapat kemudahan itu atau hanya untuk golongan miskin seperti petani, nelayan dan penternak saja. Katanya, Cuepacs berharap bantuan itu juga akan membabitkan kakitangan awam yang berpendapatan rendah. Beliau berkata, mengikut perkiraan Cuepacs kakitangan awam berpendapatan kurang RM2,500 sebulan dan tinggal di ibu kota seperti Kuala Lumpur adalah golongan berpendapatan rendah. “Ada kira-kira 650,000 kakitangan awam Kumpulan Sokongan Dua yang berpendapatan RM1,500 ke bawah sebulan dan Kumpulan Sokongan Satu (RM1,501 hingga RM3,500) seramai 200,000 orang.
“Cuepacs menyambut baik langkah kerajaan memberi bantuan itu dapat membantu meringankan beban tanggungan golongan itu. “Kita tunggulah apa akan diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2009 tidak lama lagi mengenai bantuan itu dan pihak mana yang layak menikmatinya,” katanya.

CUEPACS SOKONG PIAGAM KHAS GANTI AKUJANJI

Petikan dari Berita Harian
7/8/2008

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong syor Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu akuan akujanji bagi kakitangan awam digantikan dengan piagam khas jika ia boleh meningkatkan lagi integriti sektor awam dan keterbukaan dalam hubungan antara pemimpin politik dengan kerajaan. Presidennya, Omar Osman, bagaimanapun berkata, mekanisme khusus seperti had keterbukaan dalam hubungan perlu ada sebagai garis panduan kepada penjawat awam bagi memastikan kerjasama yang dijalin berjalan lancar dan tidak disalahgunakan kakitangan awam. Beliau berkata, matlamat dan kandungan piagam berkenaan juga hendaklah berupaya memberi kesan yang positif kepada sistem penyampaian dan perkhidmatan kakitangan awam termasuk meningkatkan integriti kakitangan serta mengurangkan masalah birokrasi yang sering dikaitkan dengan sektor itu.

06 Ogos 2008

TINGKATKAN KECEKAPAN TERLEBIH DAHULU

Petikan dari Utusan Malaysia
MERUJUK kepada laporan Utusan Malaysia 31 Julai lepas, saya berasa amat kecewa dengan tindakan Presiden CUEPACS yang terus mendesak kerajaan mengenai pemberian bonus dan kajian semula pemberian Elaun Kos Sara hidup (COLA) untuk kakitangan awam dalam Bajet 2009.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada ketika ini, apa yang sepatutnya dilakukan oleh Presiden CUEPACS ialah menyeru ahli-ahlinya supaya melipatgandakan usaha dan meningkatkan tahap kecekapan dalam pekerjaan.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Beliau terus mendesak kerajaan untuk tetap memberikan bonus dan kajian semula pemberian COLA yang pada dasarnya akan menambahkan beban kewangan kerajaan dan berkemungkinan menjejaskan pembiayaan kewangan kepada sektor-sektor yang lebih utama.
Harus diingat, imbuhan berbentuk wang ini lambat laun pasti tidak akan mencukupi. Tiada maknanya CUEPACS mendesak kerajaan untuk terus memberikan bonus dan kajian semula pemberian COLA jika kualiti perkhidmatan awam masih di takuk lama.
Amat melucukan kerana apa yang boleh beliau janjikan jika tuntutan ini ditunaikan dalam Bajet 2009 nanti hanyalah akan menganggap bajet kali ini adalah yang terbaik untuk kakitangan awam, bukannya peningkatan tahap kecekapan dalam pekerjaan.
Memetik kata-kata beliau yang menyebut kenaikan harga petrol dan diesel telah menyebabkan kenaikan harga barang keperluan yang menyebabkan kakitangan awam berpendapatan rendah dalam keadaan tersepit; tidakkah beliau sedar bahawa berdasarkan kepada situasi kenaikan gaji kakitangan awam yang lalu, pengumuman pemberian bonus atau pemberian sebarang imbuhan oleh kerajaan kepada kakitangan awam akan menyebabkan para peniaga cenderung untuk menaikkan harga barangan.
Inilah yang lazimnya berlaku. Natijahnya, tempias kenaikan harga barangan ini akan turut dirasai oleh para pekerja swasta seperti kami yang berusaha berhempas-pulas untuk memastikan survival syarikat kami, yang akhirnya turut tertekan tanpa mendapat apa-apa pembelaan. Apa lagi orang kampung yang kerjanya tidak tetap.
Akhirnya apa yang akan berlaku ialah, Presiden CUEPACS akan mengatakan dengan kenaikan harga barangan ini, pemberian bonus atau apa saja imbuhan dari kerajaan tidak membawa sebarang makna dan seterusnya terus membuat pelbagai tuntutan yang lain pula.
Suka saya nyatakan, jika permintaan CUEPACS ini ditunaikan, saya seharusnya berasa gembira kerana isteri saya juga adalah salah seorang kakitangan perkhidmatan awam. Namun, mengambil kira tahap perkhidmatan yang diberikan oleh kebanyakan kakitangan awam pada masa ini, lebih baik tuntutan oleh CUEPACS ini dikaji semula.
Biarlah ia berdasarkan merit. Lebih-lebih lagi, konsep bonus adalah imbuhan yang diberikan sebagai penghargaan kepada kakitangan di atas pencapaian terbaik yang dicapai serta berdasarkan kemampuan semasa organisasi/syarikat.
Maka jika organisasi/syarikat tidak mampu, usahlah dipaksa. Janganlah sampai anda kelihatan seperti hanya pandai meminta-minta sahaja.
Justeru, tingkatkan kecekapan dalam perkhidmatan terlebih dahulu dan bantulah kerajaan menguruskan negara ini dengan lebih cemerlang. Kemudian mintalah apa saja, saya yakin permintaan anda pasti akan ditunaikan.
BULAZ BUJAMILSetapak

KERAJAAN TUBUH MAJLIS EKONOMI, KATA ABDULLAH

PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) --

Kerajaan menubuhkan Majlis Ekonomi yang berperanan sebagai badan penasihat bagi menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi global yang memberi kesan kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Majlis 40 anggota itu yang terdiri daripada menteri-menteri kabinet, wakil pihak kerajaan dan sektor swasta, dipengerusikan oleh Abdullah dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai Timbalan Pengerusi.Abdullah dalam satu kenyataan berkata antara peranan majlis itu ialah:

* Memantau dan menganalisis aliran dan perkembangan ekonomi domestik dan antarabangsa.
* Menggubal strategi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan
pelaburan dalam dan luar negara.
* Mengenal pasti cara untuk mengawal keadaan inflasi dan merancang strategi bagi memastikan
pembekalan yang kukuh ekoran kenaikan harga minyak, komoditi dan makanan.
* Menilai semula kaedah atau sistem pemberian subsidi dan kawalan harga bagi mengurangkan
gangguan dalam ekonomi
* Merangka satu jaringan keselamatan sosial yang komprehensif bagi mengurangkan impak
terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana akibat kenaikan kadar inflasi dan
kelembapan ekonomi.

Abdullah berkata keadaan ekonomi semasa lebih sukar dan tidak menentu disebabkan faktor-faktor seperti kenaikan harga komoditi makanan dan bahan api."Keadaan ini menuntut negara menyediakan dasar dan strategi yang khusus agar pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan seperti yang disasarkan, inflasi adalah terkawal dan rakyat dapat terus menikmati kehidupan yang berkualiti, terutama bagi golongan yang tidak berkemampuan," katanya.Oleh itu, katanya, Majlis Ekonomi akan menyediakan pendekatan bersepadu serta dasar-dasar yang telah dikenal pasti mampu menangani segala isu dan cabaran yang dihadapi.Penubuhan majlis itu juga akan membantu kerajaan memperkemas dan menyelaras dasar-dasar dan prosedur sedia ada, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta menghadapi sebarang ketidaktentuan yang mungkin berlaku, katanya.

Perdana Menteri berkata Majlis Ekonomi akan mengambil alih peranan Jawatankuasa Kabinet Antiinflasi dan Majlis Membanteras Inflasi Negara yang menumpukan perhatian terhadap menyelesaikan isu-isu yang berhubung kait dengan kenaikan harga.Menteri kabinet yang menganggotai majlis itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Kewangan II), Datuk Mustapa Mohamed (Pertanian dan Industri Asas Tani), Datuk Ong Tee Keat (Pengangkutan).Datuk Noh Omar (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Dr S. Subramaniam (Sumber Manusia), Datuk Ahmad Shabery Cheek (Penerangan), Datuk Shahrir Abdul Samad (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna), Tan Sri Amirsham A. Aziz (Jabatan Perdana Menteri).Pegawai kanan kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Setiasaha Perbendaharan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Abdullah, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Sukarti Wakiman dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Wilson Baya Dandot.

Tokoh korporat meliputi Pengerusi Public Bank Tan Sri Thong Yaw Hong, Pengerusi dan CEO LIN Associates Sdn Bhd Tan Sri Dr Lin See Yan, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ISIS Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Pengarah Urusan Royal Selangor Tan Sri Yong Poh Kon, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar.Tokoh korporat lain ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif RAM Consultancy Services Sdn Bhd Tan Sri C. Rajandram, Ahli Kumpulan Kerja Majlis Ekonomi Datuk Dr Zainal Aznam Yusof dan Datuk Dr R. Thillainathan, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Zarinah Anwar, Pengerusi Eksekutif Federal Flour Mills Berhad Datuk Oh Siew Nam.

Tokoh korporat seperti Pengarah Urusan Kumpulan Felda Datuk Mohd Bakke Salleh, Ketua Eksekutif CIMB Datuk Nazir Razak, Pengerusi Eksekutif NadiCorp Holding Sdn Bhd Datuk Mohd Nazmi Salleh, Ketua Eksekutif Kumpulan Sympohony Berhad Datuk Azman Yahya, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Sharil Ridza Ridzuan, Pengarah Urusan Ethos and Company Omar Mustapa, turut menggangotai majlis itu.Tokoh akademik dan media pula terdiri daripada Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Datuk Seri Panglima Andrew LT Sheng dan Pengerusi Lembaga Pengelola BERNAMA Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini.

Tokoh-tokoh persatuan yang menduduki majlis itu ialah Presiden Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia Datuk Mohamad Ashfar Mohamad Ali, Presiden Fomca Datuk Marimuthu Nadason dan Presiden Cuepacs Omar Osman.Ketua Urusetia Majlis Ekonomi, Datuk Dr K. Govindan, turut menganggotai majlis itu.Menurut Perdana Menteri, majlis itu akan dibantu oleh sebuah urusetia sepenuh masa iaitu Unit Perancang Ekonomi. Abdullah berkata struktur dan modus operandi Majlis Ekonomi akan dirangka bagi membolehkan ia berfungsi dengan cekap, dan keputusan segera dapat dibuat supaya dapat segera dilaksanakan.Majlis Ekonomi, katanya, akan dibantu oleh anggota jawatankuasa eksekutif (Exco Majlis Ekonomi).

Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bersama Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi, akan mempertimbang dan membuat keputusan berkaitan isu-isu mengenai dasar.Beliau berkata Exco Majlis Ekonomi akan dibantu oleh Kumpulan-kumpulan Kerja Majlis Ekonomi, yang akan mengenal pasti pelbagai isu, termasuk perkembangan dan aliran pertumbuhan ekonomi doemstik dan antarabangsa, pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan domestik dan pasaran modal.Kesan sosial ekoran kelembapan pertumbuhan, kenaikan dan penurunan harga serta jaringan keselamatan sosial, turut diambil kira.Katanya Urusetia Majlis Ekonomi akan bekerjasama rapat dengan Kumpulan Kerja untuk menganalisis dan menyediakan kertas kerja yang berkaitan dasar, di samping membuat pemantauan mengenai kemajuan pelaksanaan keputusan yang telah dibuat.Selain Abdullah dan Najib, anggota Exco Majlis Ekonomi terdiri daripada Muhyiddin, Nor Mohamed, Mustapa, Ong, Shahrir, Amirsham dan Mohd Sidek manakala Zeti, Dr Wan Abdul Aziz, Dr Sulaiman dan Dr Govindan, sebagai ex-officio Exco Majlis Ekonomi.-- BERNAMA

05 Ogos 2008

CUEPACS MOHON 113 PEKERJA SAMBILAN DISERAP

Petikan dari Utusan Malaysia
5/8/2008

KOTA BHARU 4 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menyerap 113 pekerja sambilan di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan sebagai pekerja tetap berikutan tempoh perkhidmatan mereka tamat pada 31 Julai lalu.
Pengerusi CUEPACS negeri Kelantan, Shamsuddin Mohd. Noor berkata, mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun itu telah bekerja antara lima hingga 18 tahun dengan JPN Kelantan dan bergantung pada pekerjaan tersebut untuk menyara kehidupan.
Katanya, iklan untuk mengisi jawatan pembantu am dan pembantu tadbir rendah JPN telah dikeluarkan pada Mac lalu dan mereka yang terlibat telah membuat permohonan dengan harapan yang sangat tinggi.
''Mereka wajar diserapkan ke jawatan tetap kerana dapat menyelesaikan banyak masalah dan dengan pengalaman yang panjang dalam melakukan pelbagai tugas sebagai pekerja am, mereka boleh bekerja dengan baik di sekolah-sekolah terlibat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shamsuddin berkata, pihaknya telah membuat perjumpaan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pelajaran berhubung masalah yang dihadapi oleh pekerja sambilan terlibat.
''Mereka pada dasarnya bersetuju untuk menimbangkan perkara tersebut tetapi sehingga hari ini kami tidak menerima sebarang keputusan dan kita berharap akan mendapat jawapan positif," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang bekas pekerja, Ahmad Sabri Awang, 43, berharap perkhidmatannya dan rakan-rakan senasib dapat disambung kerana ia merupakan punca rezeki keluarga.
Dia yang telah berkhidmat selama 18 tahun memberitahu, menerima imbuhan sebanyak RM28.20 sehari dan bekerja secara purata antara 19 hingga 20 hari sahaja.
Menurutnya, walaupun dengan pendapatan kira-kira RM600 itu, dia dapat menanggung perbelanjaan keluarganya dan kini buntu untuk mencari pekerjaan baru.
''Saya tidak tahu apa pekerjaan yang boleh dilakukan selepas ini," katanya.
Faridah Zakaria, 43, berkata, dia bekerja sebagai pekerja sambilan sejak sembilan tahun lalu dan menggunakan pendapatan itu untuk membantu persekolahan enam orang anaknya.
''Saya amat berharap dapat diserapkan ke jawatan tetap supaya terus dapat bekerja dan menampung pendapatan keluarga. Selama ini saya telah cuba melakukan tugas sebaik mungkin," ujarnya.

MRR2 PATUT DIBINA SEMULA CEGAH ROBOH

Petikan dari Berita Harian
Oleh Mohamed Farid Noh
dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
5/8/2008

KUALA LUMPUR: Dua kesatuan pengguna serta pekerja di negara ini meminta kerajaan menubuhkan satu tribunal bebas bagi menyiasat masalah sebenar keretakan jejambat di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sehingga terpaksa ditutup kepada laluan kenderaan buat kali ketiga sejak 2004. Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Cuepacs berpendapat penubuhan tribunal itu amat penting kerana sejak jejambat berkenaan dibuka kepada laluan pada 1999, masalah keretakan pada struktur MRR2 terus berulang. Cadangan itu dibuat wakil Fomca dan Cuepacs yang membuat lawatan ke jejambat itu semalam selepas terkejut dan bimbang terhadap kejadian terbaru yang berlaku terhadap MRR2.
Setiausaha Agung Fomca, Muhammad Shaani Abdullah, berkata penubuhan tribunal itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jejambat itu terjamin selain mengetahui punca sebenar keretakan di MRR2. “Tribunal ini perlu siasat sejak awal pembinaan MRR2. Kita perlu tahu apakah masalah sebenar yang sedang berlaku pada jejambat ini dan adakah ia selamat digunakan oleh kenderaan. “Tanggungjawab penyiasatan awal dan menasihat tribunal ini juga perlu dipertanggungjawabkan kepada bahagian Kejuruteraan Kementerian Pertahanan supaya penyiasatan dapat dilakukan dengan bebas serta telus.
“Kita tidak mahu apabila berlaku saja keretakan, jejambat ini dibaiki saja kerana ia membabitkan nyawa orang ramai. Kalau jejambat itu membahayakan pengguna, kerajaan perlu membina semula MRR2,” katanya ketika dihubungi semalam. Kelmarin, MRR2 yang menghubungkan Kepong dan Selayang ke ibu kota terpaksa ditutup lagi - kali ketiga dalam tempoh empat tahun - kerana mengalami rekahan. Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kesatuan itu bimbang dengan keadaan terkini yang berlaku terhadap jejambat berkenaan dan mahukan kerajaan bertindak segera termasuk menubuhkan tribunal bebas bagi menjamin keselamatan pengguna. “Kami menyokong cadangan Fomca kerana membabitkan kepentingan pengguna yang juga kakitangan awam,” katanya.

RAKYAT MARAH MRR2 RETAK

Petikan dari Berita Harian
Oleh Wan Hazmir Bakar, Mohamed Farid Noh
dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my

KEADAAN TERKAWAL: Lalu lintas berjalan lancar di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), semalam. Cuepacs, Fomca syor bentuk tribunal khasKUALA LUMPUR: Marah, bimbang dan terkejut. Itulah reaksi pemimpin kerajaan dan masyarakat berhubung keretakan tiang jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) kelmarin, yang ketiga dalam tempoh empat tahun. Sehubungan itu, kerajaan disaran menubuhkan tribunal bebas bagi menyiasat punca sebenar keretakan terbaru itu bagi mengelak kejadian berkenaan berulang hingga membahayakan keselamatan orang ramai.
Cadangan itu dibuat Presiden Cuepacs, Omar Osman dan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah yang meninjau jejambat berkenaan semalam selepas terkejut dan bimbang dengan kejadian itu. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas kejadian itu pula menegaskan keretakan berkenaan boleh dielakkan jika pihak yang bertanggungjawab berhati-hati dan memastikan masalah sama tidak berulang pada masa yang singkat. Perdana Menteri berkata, kejadian itu bukan saja menyebabkan rakyat marah, tetapi boleh menimbulkan pelbagai andaian yang bersifat negatif.
"Mereka buat pelbagai rumusan dan sudah tentu rumusannya tak baik. Dulu apabila rosak kita belanja RM70 juta, itu satu perbelanjaan yang besar, sekarang retak lagi... inilah cerita yang buat rakyat tak seronok, tak senang hati, bahkan marah. "Masalah ini boleh dielak jika kita berhati-hati memastikan apa yang sudah dibaiki teguh dan tidak akan berlaku kerosakan atau keretakan," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Putrajaya, semalam. Kelmarin, jejambat berharga RM238 juta yang menghubungkan Kepong dan Selayang ke ibu kota itu, terpaksa ditutup lagi selepas sebuah tiangnya dikesan mengalami kerekahan. MRR2 yang mula dibuka pada 1999, kali pertama mengalami keretakan pada Ogos 2004 dan kedua, Februari 2006.
Abdullah berkata, jika semuanya dibuat dengan baik, sudah tentu rakyat tidak akan marah dan laluan itu boleh digunakan dengan selamat serta tidak menakutkan. "Menakutkan jika berlaku runtuhan atau kemalangan. Jadi, sudah tentulah ini tidak baik," katanya. Kelmarin, Presiden Generasi Profesional dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar, turut menyuarakan kekecewaannya kerana kejadian itu masih berulang di sebalik memorandum dikemukakan persatuan itu mendesak penyelesaian segera dibuat selepas berlaku keretakan dua tahun lalu. Beliau juga mahu kerajaan mendedahkan laporan syarikat perunding, Halcrow Group Ltd berhubung hasil siasatan jejambat itu sebelum ini. Beliau bimbang keretakan itu boleh membahayakan pengguna

03 Ogos 2008

SETUJU PTK DIMANSUH

Petikan dari Berita Harian

SAYA bersetuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk memansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan kerana ia tidak banyak memberi manfaat kepada sebilangan besar kakitangan kerajaan yang sudah menduduki peperiksaan berkenaan. Contohnya, ada kakitangan yang lulus peperiksaan itu tetapi tidak mendapat apa-apa faedah daripadanya selain hanya menjadi rekod simpanan peribadi. Lebih menyedihkan ada juruteknik yang menduduki peperiksaan itu pada 2006 di Sarawak, namun masih belum mendapat keputusannya sampai sekarang. Jadi kalau macam itu, bagaimana kakitangan kerajaan berkenaan boleh memajukan kerjayanya.
Justeru, saya berpendapat adalah lebih baik PTK dimansuhkan dan diganti dengan sistem yang lebih berkesan untuk memajukan kerjaya kakitangan kerajaan.

PATUT TINGGAL KENANGAN (PTK),
Sri Aman, Sarawak.

TIMUR: JPN TAMAT KONTRAK 133 PEKERJA RENDAH

Petikan dari Berita Harian
Oleh Betty Subaryati dan Nor Fazlina Abd Rahim
bhkb@bharian.com.my

Semua kakitangan berusia antara 30 hingga 55 tahun kini terpaksa menganggur KOTA BHARU: Seramai 113 pekerja rendah awam kontrak yang sudah berkhidmat antara lima hingga 18 tahun dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, kehilangan pekerjaan selepas kontrak mereka ditamatkan berkuat kuasa semalam. Semua kakitangan kontrak berusia antara 30 hingga 55 tahun yang berkhidmat sebagai pekerja rendah awam di sekolah seluruh negeri di bawah JPN Kelantan itu kini terpaksa menganggur dan hilang mata pencarian bagi menyara keluarga.
Pengerusi Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Kelantan, Shamsudin Mohd Noor, berkata kebanyakan mereka yang diberhentikan itu memberikan perkhidmatan cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan masing-masing. Beliau berkata, pihaknya kesal kerana perkara itu sebelum ini pernah dibincangkan dengan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, yang berjanji menyelesaikan masalah terbabit. "Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang tindakan lanjut diambil pihak terbabit bagi membolehkan 113 pekerja kontrak berkenaan menyambung semula perkhidmatan. Jika masalah ini dibiar berlarutan, kita bimbang apa akan jadi kepada mereka selepas ini," katanya di sini, semalam.
Shamsudin yang juga Naib Presiden Cuepacs Kebangsaan berkata, pihaknya berharap Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan memberi perhatian terhadap isu ini supaya nasib semua pekerja terbabit dibela kerana mereka mempunyai tanggungan yang ramai untuk disara. "Sebahagian besar daripada pekerja terbabit terdiri di kalangan mereka yang sudah lanjut usia dan hanya mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tentunya menyukarkan mereka mencari pekerjaan lain dalam tempoh terdekat ini," katanya. Beliau berkata, kontrak 113 pekerja terbabit sepatutnya berakhir 31 Disember 2007, tetapi disambung mulai Februari lalu dan ada pihak tertentu sebelum ini berjanji mereka akan diserapkan sebagai kakitangan tetap selepas pilihan raya umum lalu. "Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran mengiklankan kekosongan jawatan pembantu am pejabat dan hampir semua pekerja terbabit mengisi borong permohonan tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan," katanya.
Sementara itu, seorang pekerja sambilan yang sudah berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Bachok sejak tujuh tahun lalu, Faridah Zakaria, 43, berkata beliau kehilangan punca pendapatan apabila menerima surat penamatan kontrak, mulai semalam. "Saya mempunyai tujuh anak yang masih bersekolah, manakala suami Sidik Ahmad, 64, hanya bekerja sebagai pemandu teksi dan tidak memiliki pendapatan tetap. "Saya buntu memikirkan masa depan keluarga... saya berharap pihak berkaitan dapat membantu kami kerana saya kehilangan pendapatan RM650 sebulan yang diperoleh dari gaji bulanan bekerja di sekolah terbabit," katanya.

31 Julai 2008

CUEPACS: UTAMAKAN BONUS, KAJI KADAR COLA

Petikan dari Utusan Malaysia
30/7/2008

MELAKA 30 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat mengutamakan permintaan pihaknya dalam pemberian bonus dan mengkaji semula kadar pemberian Elaun Kos Sara Hidup (COLA) untuk kakitangan awam pada pembentangan Bajet 2009 pada 29 Ogos ini.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, pemberian bonus kepada kakitangan awam perlu bagi mengurangkan beban kakitangan kerajaan terutama yang berpendapatan rendah.
“Sekiranya permintaan ini dapat ditunaikan oleh kerajaan, kita anggap bajet kali ini adalah yang terbaik untuk kakitangan awam,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian dan mesyuarat agung Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka Malaysia (UTeMASA) di sini hari ini.
Omar berkata, kenaikan harga petrol dan diesel sekali gus menyebabkan harga barang keperluan naik mendadak sehingga menyebabkan kakitangan awam berpendapatan rendah dalam keadaan tersepit.
Selain itu, pada perkembangan berasingan, beliau meminta kerajaan membantu nasib 45,000 kakitangan kontrak dalam sektor awam yang ketika ini menunggu masa untuk diberhentikan daripada perkhidmatan.
Ujarnya, terdapat sebilangan kakitangan kontrak di agensi kerajaan yang ditamatkan perkhidmatannya tanpa sebab kukuh walaupun telah berkhidmat hampir 10 tahun di sektor berkenaan.

KESATUAN, NGO BANTAH KENAIKAN TAMBANG BAS

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh NORILA DAUD dan NORIZAN ABDUL MUHID

KUALA LUMPUR 30 Julai - Beberapa persatuan termasuk kesatuan sekerja meminta kerajaan tidak membenarkan sebarang kenaikan tambang bas ekspres dan berhenti-henti pada pertengahan September ini kerana ia akan menyebabkan rakyat terutama golongan pekerja berpendapatan rendah terus menderita.
Mereka turut mempertikaikan rasional Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) meminta kenaikan tambang sehingga 100 peratus kira-kira dua bulan sebelum Hari Raya Aidilfitri disambut pada Oktober ini.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan tindakan untuk menaikkan tambang bas ekspres dan berhenti-henti akan menyebabkan golongan pekerja terus jatuh miskin.
Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, tambang bas tidak sepatutnya dinaikkan atas alasan apa sekali pun memandangkan kadar inflasi telah meningkat 7.7 peratus - tertinggi dalam tempoh 26 tahun.
''Kami merayu kerajaan supaya tidak menaikkan tambang bas ekspres dan berhenti-henti bagi mengelakkan golongan pekerja yang kebanyakannya menaik bas, terus dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup.
''Saya juga yakin suasana Hari Raya Aidilfitri tahun akan terjejas kerana ribuan pekerja yang pulang ke kampung halaman terpaksa pula menghadapi beban tambahan berikutan kenaikan tambang pengangkutan awam ini,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam kerajaan mengumumkan tidak akan melayan tuntutan menaikkan tambang bas ekspres dan berhenti-henti sehingga 100 peratus tetapi sedia menimbangkan kadar kenaikan yang tidak membebankan pengguna.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, pihaknya akan berunding dengan pengusaha bas bagi menentukan kadar kenaikan yang sewajarnya menjelang Hari Raya Aidilfitri, bermula pertengahan September ini.
PMBOA mengemukakan memorandum mengenai kenaikan harga tambang yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Menangani Inflasi kelmarin.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah berkata, pihaknya tidak setuju sama sekali tambang bas dinaikkan tahun ini.
Beliau berkata, kenaikan minyak sebanyak 41 peratus sudah cukup membebankan rakyat dan sekiranya tambang bas dinaikkan, adalah sukar bagi mereka untuk membendung kos sara hidup.
Menurutnya, rakyat belum lagi dapat menyesuaikan diri dengan kenaikan harga bahan bakar itu dan sekiranya tambang bas mahu dinaikkan, ia sepatutnya bukan dilakukan tahun ini.
Katanya, syarikat-syarikat bas ekspres dan berhenti-henti tidak sepatutnya mengharapkan hanya melalui kenaikan tambang bas dapat membantu mereka menanggung kos operasi dan penyenggaraan.
Dalam hubungan ini katanya, kerajaan perlu mencari mekanisme untuk membantu syarikat bas tersebut daripada terus dibebankan dengan kenaikan harga minyak dan alat ganti kenderaan yang semakin mahal.
''Kerajaan kita tidak memberi bantuan dan subsidi sebanyak yang diberikan oleh kerajaan di negara-negara maju kepada syarikat pengendali bas dan pengangkutan awam,'' jelasnya.
Sha'ani menambah, kerajaan sepatutnya memberikan subsidi minyak kepada pengusaha syarikat bas tanpa had dan ini membolehkan syarikat menyediakan perkhidmatan bas tambahan pada hari perayaan.
Sementara itu di MELAKA, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga tidak bersetuju dengan tuntutan PMBOA untuk menaikkan tambang bas ekspres dan berhenti-henti sehingga 100 peratus.
Presidennya, Omar Osman berkata, tuntutan sehingga 100 peratus dianggap terlalu tinggi dan membebankan golongan pekerja terutama yang berpendapatan rendah.
''Kita tidak mahu kerajaan melayan tuntutan itu kerana setiap kali musim perayaan, pasti ada pihak sengaja membuat tuntutan menaikkan harga, seperti sudah menjadi budaya pula," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka Malaysia (UTeMASA) di di sini hari ini.
Di KUANTAN, Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) mahu kerajaan menangguhkan kajian terhadap tuntutan kenaikan tambang bas ekspres dan berhenti-henti sehingga selepas perayaan Tahun Baru Cina tahun depan.
Presidennya, Mohd. Firdaus Ibrahim berkata, pada waktu ini hingga perayaan tersebut adalah tidak sesuai memandangkan rakyat yang baru dikejutkan dengan kenaikan harga minyak dan barangan, akan berdepan pelbagai sambutan termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas selain persiapan persekolahan.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini, beliau berkata, cadangan menaikkan tambang bas itu wajar dipertimbangkan seawal-awalnya bulan Mac atau April tahun depan.

30 Julai 2008

KERAJAAN SEDIA BAYAR BONUS, SELARAS COLA

Petikan dari Berita Harian
Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my
29/7/2008

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menimbang tuntutan Cuepacs untuk pemberian bonus atau bayaran honorarium kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan bagi tahun ini serta penyelarasan elaun kos sara hidup (Cola) kepada RM500 sebulan. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perkara itu dinyatakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, dalam surat maklum balas kepada kesatuan itu dua minggu lalu. "Ini memberi gambaran positif kerajaan berhubung tuntutan kita. Kita menaruh harapan kerajaan mengumumkan bayaran bonus dalam Bajet 2009 pada 29 Ogos ini. Kita tidak menetapkan jumlahnya kerana ia tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan," katanya semalam.
Sebelum itu, Omar bersama ahli Majlis Kongres Cuepacs mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, di pejabat beliau di Jabatan Perkhidmatan Awam di sini. Tahun lalu, kerajaan menolak tuntutan Cuepacs untuk pemberian honorarium sebanyak RM2,000 kepada setiap kakitangan kerajaan bagi menggantikan bonus berikutan kenaikan gaji sektor awam antara 7.5 dan 35 peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun itu. Mengenai pertemuan selama hampir tiga jam dengan Ismail, beliau berkata ia bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan tuntutan Cuepacs untuk kebajikan kakitangan awam serta pelbagai isu semasa dan langkah bagi meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam.
Katanya, antara yang dibincangkan ialah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), permintaan lebih 50,000 kakitangan awam untuk menukar skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada skim pencen dan cadangan insentif khas lewat malam untuk kakitangan berpakaian seragam yang bertugas antara jam 12.30 pagi hingga 6.30 pagi. "JPA mengambil serius perkara yang kita bangkitkan dan yakin semuanya akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan," katanya yang menyifatkan pertemuan itu sebagai positif.

29 Julai 2008

PINJAMAN MUDAH SESUAI UNTUK KAKITANGAN HAMPIR BERSARA

Petikan dari Berita Harian
Oleh Khairul Azran Hussin
bhnews@bharian.com.my

Pekerja lama punyai pendapatan lebih stabil untuk bayar balik pembiayaan: Cuepacs KUALA LUMPUR: Cuepacs yang menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberikan pinjaman mudah sebanyak RM50,000 kepada kakitangan awam yang ingin memulakan perniagaan, bagaimanapun mahu kesempatan itu diambil kakitangan kerajaan yang ingin bersara dan bukan mereka yang baru bekerja. Presidennya, Omar Osman, berkata, pihaknya hanya menggalakkan kakitangan kerajaan yang ingin bersara saja memohon pinjaman tanpa penjamin atau cagaran daripada kerajaan itu bagi memastikan kakitangan kerajaan yang baru bekerja tidak akan dibebani oleh hutang akibat membuat pinjaman itu.
"Cuepacs risau kakitangan kerajaan akan dibebani hutang. Sebagai contoh pendapatan bersih kakitangan kerajaan paling rendah ialah RM750, jadi bayangkan berapa gaji yang tinggal jika dipotong lagi. "Sebab itu Cuepacs hanya menggalakkan kakitangan yang akan bersara dalam tempoh 10 tahun lagi memohon pinjaman ini kerana mereka lebih stabil, selain ia persediaan selepas bersara," katanya ketika dihubungi semalam. Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata kakitangan awam yang layak digalakkan memohon pinjaman mudah itu menerusi Tekun Nasional, Mara, Bank Rakyat, Bank SME atau Perbadanan Nasional Bhd (PNS) untuk berniaga dan menambah pendapatan.
Langkah itu adalah susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Jun lalu bahawa kerajaan akan menambah permit peniaga kecil dan penjaja bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah, termasuk kakitangan awam untuk menggalakkan mereka bekerja sambilan untuk menghadapi kenaikan harga. Omar berkata, pihaknya dimaklumkan ramai kakitangan awam yang berminat terhadap tawaran pinjaman mudah itu. Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci mekanisme pinjaman itu bagi mengelakkan kekeliruan, selain mengelakkan kakitangan awam dibebani oleh hutang pada masa depan. "Cuepacs juga mencadangkan agar kakitangan awam yang ingin berniaga menjalani temu duga terlebih dulu bagi mengetahui jenis perniagaan yang ingin dijalankan dan bagi memastikan produktiviti pekerja tidak terjejas," katanya.

JPA WAJAR KAJI SEMULA PERBEZAAN BAYARAN INSENTIF WILAYAH , COLA

Petikan dari Berita Harian
27/7/2008

SURAT jawapan bertajuk 'Elaun Pegawai Awam Bertukar Wilayah Sama' daripada Nik Noraini Nik Ya dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memang wajar diulas kerana ia boleh menimbulkan keraguan dan salah faham. Sebagai seorang kakitangan awam yang berasal dari Sarawak dan kini sedang berkhidmat di Kuala Lumpur, saya berpendapat kenyataan itu tidak relevan. Saya hairan bagaimana Bayaran Insentif Wilayah (BIW) boleh disamakan dengan elaun sara diri (Cola). Untuk pengetahuan umum, BIW dibayar kerajaan berdasarkan peratusan daripada gaji pokok seseorang pegawai. Ini bermakna, semakin tinggi tangga gaji seseorang pegawai, maka semakin tinggi jumlah BIW yang diterima.
Persoalan yang timbul daripada saya ialah bagaimana nasib pegawai awam yang memangku jawatan sokongan dan berasal dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung dan juga sebaliknya terutama mereka yang berkhidmat di bandar besar? Umum mengetahui bahawa rata-rata pegawai sokongan dari Gred 1-22 terutama gaji permulaan tidak sampai RM900. Berdasarkan perkiraan ini, jumlah BIW yang dibayar kepada pegawai berkenaan hanyalah sekitar RM206. Bagaimana, JPA boleh menyamakan BIW sebanyak RM206 dengan pembayaran Cola berjumlah RM300?
BIW seharusnya bayaran insentif kerana kesanggupan pegawai itu berkhidmat di luar wilayah asal dan bukan disamakan dengan Cola, apatah lagi kalau kami dari Sabah dan Sarawak yang umum mengetahui pendapatan seisi rumah yang jauh lebih kurang berbanding dengan di Semenanjung. Dengan kenaikan kos sara hidup sekarang, kami pun tidak ingin untuk ditempatkan di luar wilayah apatah lagi kami punyai keluarga di kampung yang harus kami berikan tumpuan. Dengan kaedah pembayaran BIW dan Cola yang dinyatakan JPA, saya berpendapat bekerja di luar wilayah asal hanya semakin membebankan pegawai awam. Saya ingin menyaran dan juga mendapatkan perhatian Cuepacs dan kerajaan di dalam isu ini. Kepada Cuepacs saya menyarankan agar nasib pekerja yang bekerja di luar wilayah seharusnya menjadi antara agenda utama. Saya juga menyarankan JPA menyelidiki isu ini yang saya percaya semakin mendapat perhatian daripada mereka yang senasib dengan saya.

IBANEZ MERANTAU,Kuala Lumpur.

24 Julai 2008

CUEPACS TUNTUT HONORARIUM LAGI

Petikan dari Berita Harian
24/7/2008



KUALA LUMPUR: Selepas tuntutan honorarium tahun lalu gagal, Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi akan berbuat demikian, tahun ini. Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini bagi membincangkan jumlah yang ingin diminta daripada kerajaan. “Tahun lalu, kita tak dapat bonus, kita sudah berkorban sebab kerajaan sudah naikkan gaji. Tahun ini saya harap kerajaan pertimbangkan cadangan ini (memberikan honorarium atau bonus) atau setidak-tidaknya memberi bonus,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tahun lalu, Cuepacs menuntut kerajaan memberikan honorarium sebanyak RM2,000 kepada setiap kakitangan kerajaan bagi menggantikan pemberian bonus yang tidak diberikan. Namun, tuntutan itu ditolak berikutan gaji kakitangan sudah dinaikkan antara 7.5 dan 35 peratus berkuat kuasa 1 Julai 2007. Omar berkata, Cuepacs juga berharap kerajaan menyenaraikan tiga lagi permintaan mereka dalam Bajet 2009 yang akan dibentangkan Ogos ini. “Tiga permintaan itu adalah menaikkan Imbuhan Tetap Perumahan daripada RM180 sebulan ke RM230, melantik kira-kira 45,000 kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun ke dalam jawatan tetap dan menyelaraskan elaun kos sara hidup (Cola) kakitangan awam kepada RM500 sebulan di seluruh negara.
“Saya yakin kerajaan akan menyenaraikan tiga permintaan ini kerana sebelum ini saya ada buat perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beliau berjanji akan membentangkan permintaan Cuepacs dalam Bajet 2009,” katanya. Mengulas mengenai permintaan Cuepacs supaya kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun ke dalam jawatan tetap, Omar berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Julai ini.

PINJAMAN MUDAH SESUAI UNTUK KAKITANGAN HAMPIR BERSARA

Petikan dari Berita Harian
Oleh Khairul Azran Hussin
bhnews@bharian.com.my
24/7/2008

Pekerja lama punyai pendapatan lebih stabil untuk bayar balik pembiayaan: Cuepacs KUALA LUMPUR: Cuepacs yang menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberikan pinjaman mudah sebanyak RM50,000 kepada kakitangan awam yang ingin memulakan perniagaan, bagaimanapun mahu kesempatan itu diambil kakitangan kerajaan yang ingin bersara dan bukan mereka yang baru bekerja. Presidennya, Omar Osman, berkata, pihaknya hanya menggalakkan kakitangan kerajaan yang ingin bersara saja memohon pinjaman tanpa penjamin atau cagaran daripada kerajaan itu bagi memastikan kakitangan kerajaan yang baru bekerja tidak akan dibebani oleh hutang akibat membuat pinjaman itu.
"Cuepacs risau kakitangan kerajaan akan dibebani hutang. Sebagai contoh pendapatan bersih kakitangan kerajaan paling rendah ialah RM750, jadi bayangkan berapa gaji yang tinggal jika dipotong lagi. "Sebab itu Cuepacs hanya menggalakkan kakitangan yang akan bersara dalam tempoh 10 tahun lagi memohon pinjaman ini kerana mereka lebih stabil, selain ia persediaan selepas bersara," katanya ketika dihubungi semalam. Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata kakitangan awam yang layak digalakkan memohon pinjaman mudah itu menerusi Tekun Nasional, Mara, Bank Rakyat, Bank SME atau Perbadanan Nasional Bhd (PNS) untuk berniaga dan menambah pendapatan.
Langkah itu adalah susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Jun lalu bahawa kerajaan akan menambah permit peniaga kecil dan penjaja bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah, termasuk kakitangan awam untuk menggalakkan mereka bekerja sambilan untuk menghadapi kenaikan harga. Omar berkata, pihaknya dimaklumkan ramai kakitangan awam yang berminat terhadap tawaran pinjaman mudah itu. Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci mekanisme pinjaman itu bagi mengelakkan kekeliruan, selain mengelakkan kakitangan awam dibebani oleh hutang pada masa depan. "Cuepacs juga mencadangkan agar kakitangan awam yang ingin berniaga menjalani temu duga terlebih dulu bagi mengetahui jenis perniagaan yang ingin dijalankan dan bagi memastikan produktiviti pekerja tidak terjejas," katanya.

23 Julai 2008

KAEDAH PELARASAN GAJI KENAIKAN PANGKAT (SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 9 TAHUN 2008)

Petikan dari pekeliling JPA

TUJUAN

1. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk menjelaskan kaedah pelarasan gaji gred kenaikan pangkat dengan Elaun Pemangkuan supaya pelaksanaannya lebih cekap, teratur dan seragam.

LATAR BELAKANG

2. Pada umumnya seorang pegawai akan diluluskan pemangkuan ke gred yang lebih tinggi sebelum dinaikkan pangkat kecuali Lembaga Kenaikan Pangkat memutuskan pegawai dinaikkan pangkat tanpa pemangkuan. Kenaikan pangkat pegawai akan dimaklumkan melalui surat penyiaran kenaikan pangkat yang dikeluarkan pada tarikh semasa dengan tarikh kuat kuasa kenaikan pangkat sama ada dikebelakangkan pada tarikh pemangkuan atau pada mana-mana tarikh yang ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat.

3. Jabatan ini dari semasa ke semasa masih menerima pertanyaan daripada jabatan dan agensi mengenai pelarasan gaji kenaikan pangkat dengan Elaun Pemangkuan bagi pegawai yang memangku yang mana tarikh kenaikan pangkat pegawai adalah pada tarikh yang dikebelakangkan.

Untuk keterangan lanjut sila klik sini

AMBIL KIRA INSENTIF GURU DG44- NUTP

Utusan Malaysia
23/7/2008

KUALA LUMPUR 23 Julai - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa kerajaan menimbangkan pemberian insentif kepada guru-guru dalam kumpulan DG44 dari kumpulan bukan siswazah.
Mereka merupakan kumpulan guru yang telah berkhidmat selama tiga tahun, tetapi dianggap mempunyai penghalaman satu tahun sahaja.
Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, ini menyebabkan guru-guru yang kurang berpengalaman 'melangkaui' guru-guru DG44 dari segi pemberian insentif sehingga mengakibatkan perasaan kurang senang.
Menurutnya, kumpulan itu juga tidak menerima tawaran kenaikan gaji seperti yang diterima oleh guru-guru yang berada dalam kumpulan DGA 29 dan DG41, baru-baru ini.
Katanya, NUTP juga meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar lebih prihatin dan peka terhadap pandangan dan keluhan pihak guru.
''Jangan jadikan guru-guru yang sentiasa taat setia kepada kerajaan ini sebagai mangsa,'' kata beliau dalam kenyataannya, di sini hari ini.
Tambah beliau, sebenarnya kumpulan guru DG44 adalah guru berpengalaman, tetapi telah dianaktirikan dalam dua situasi tersebut.
Beliau seterusnya memberitahu, sejak kebelakangan ini, beban kerja guru-guru berlipat ganda tetapi mereka tetap menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik.
Justeru, tambah beliau, pihak kerajaan harus mengambil kira situasi sebenar setiap warga pendidik dan memberi segala kemudahan dengan sama rata tanpa mengabaikan sesiapa.

17 Julai 2008

PELAWAAN KEMUDAHAN PINJAMAN BOLEH UBAH SESI 2008/2009 UNTUK PEGAWAI KUMPULAN SOKONGAN YANG MENGIKUTI PENGAJIAN DI PERINGKAT DIPLOMA & IJAZAH PERTAMA

Petikan dari JPA

Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2002 bertajuk Senarai Kelayakan Yang Diiktiraf Oleh Kerajaan Yang Perlu Digunakan Dalam Urusan Pelantikan Ke Dalam Perkhidmatan Awam. Pekeliling berkenaan memaklumkan perlunya Pihak Berkuasa Melantik menyemak status pengiktirafan kelayakan calon-calon dalam urusan pelantikan ke jawatan-jawatan dalam Perkhidmatan Awam seperti yang disyaratkan dalam skim-skim perkhidmatan. Sejak dari tarikh tersebut senarai kelayakan yang diiktiraf oleh Kerajaan telah dikemaskini dan dipaparkan di laman web www.jpa.gov.my/ pengiktirafan kelayakan dan tidak lagi diterbitkan dalam bentuk buku. Senarai kelayakan ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Penilaian dan Pengiktirafan Kelayakan yang dipengerusikan oleh Y. B Menteri Pengajian Tinggi. Dengan cara ini diharapkan akan memudahkan semua Pihak Berkuasa Melantik, membuat semakan senarai yang kemaskini.

untuk keterangan lanjut sila klik disini

16 Julai 2008

POTONGAN COLA TAK BANTU RINGANKAN BEBAN KAKITANGAN AWAM

Petikan dari Utusan Malaysia
16/7/2008

BANTUAN Sara Hidup atau Cola adalah antara inisiatif kerajaan meringankan beban rakyat dalam menempuhi keadaan ekonomi yang menyebabkan harga barang keperluan dan perkhidmatan terus naik. Baru-baru ini, Cuepacs membuat tuntutan tambahan daripada bantuan asal ke RM500 sebulan dan diselaras kepada semua kakitangan awam. Perjuangan Cuepacs disambut baik semua kakitangan awam. Cuma harapan kakitangan awam, supaya pemberian Cola tidak dibeza-bezakan. Ada kakitangan awam yang tinggal di bandar menerima bantuan Cola luar bandar disebabkan tempat bekerja terletak di luar bandar.
Sedangkan kos hidup mereka lebih tinggi daripada yang tinggal di bandar disebabkan terpaksa berulang alik setiap hari. Saya ingin menarik perhatian Cuepacs dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam pemberian Cola kepada kakitangan awam, iaitu wajarkah bantuan Cola juga dibuat pemotongan? Sekiranya ia adalah bantuan, mengapa masih dipotong lagi. Bagi kakitangan awam yang tinggal di kuarters kerajaan, Bantuan Sewa Rumah yang diberikan kerajaan akan dipotong sepenuhnya.
Namun, mengapa bantuan Cola juga dipotong 50 peratus lagi apabila tinggal di kuarters? Pada saya ia bertentangan dengan niat baik kerajaan untuk meringankan beban kewangan kakitangan awam. Misalannya, di tempat saya bantuan Cola adalah RM100. Apabila seorang kakitangan awam tinggal di kuarters, bantuan itu dipotong separuh menyebabkan bantuan diterima hanya RM50. Adakah dengan bantuan RM50 yang diterima buat masa ini dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk meringankan beban kewangan kakitangan awam? Bagaimana pula sekiranya bantuan Cola menjadi RM500, sudah tentu RM250 akan dipotong dan ditambah pula dengan bantuan sewa rumah yang sedia maklum dipotong. Saya mengharapkan kerajaan, Cuepacs dan JPA mengkaji semula pemotongan Cola.
NIAT BAIK, Jitra, Kedah.