SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

30 Julai 2008

KERAJAAN SEDIA BAYAR BONUS, SELARAS COLA

Petikan dari Berita Harian
Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my
29/7/2008

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menimbang tuntutan Cuepacs untuk pemberian bonus atau bayaran honorarium kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan bagi tahun ini serta penyelarasan elaun kos sara hidup (Cola) kepada RM500 sebulan. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perkara itu dinyatakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, dalam surat maklum balas kepada kesatuan itu dua minggu lalu. "Ini memberi gambaran positif kerajaan berhubung tuntutan kita. Kita menaruh harapan kerajaan mengumumkan bayaran bonus dalam Bajet 2009 pada 29 Ogos ini. Kita tidak menetapkan jumlahnya kerana ia tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan," katanya semalam.
Sebelum itu, Omar bersama ahli Majlis Kongres Cuepacs mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, di pejabat beliau di Jabatan Perkhidmatan Awam di sini. Tahun lalu, kerajaan menolak tuntutan Cuepacs untuk pemberian honorarium sebanyak RM2,000 kepada setiap kakitangan kerajaan bagi menggantikan bonus berikutan kenaikan gaji sektor awam antara 7.5 dan 35 peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun itu. Mengenai pertemuan selama hampir tiga jam dengan Ismail, beliau berkata ia bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan tuntutan Cuepacs untuk kebajikan kakitangan awam serta pelbagai isu semasa dan langkah bagi meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam.
Katanya, antara yang dibincangkan ialah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), permintaan lebih 50,000 kakitangan awam untuk menukar skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada skim pencen dan cadangan insentif khas lewat malam untuk kakitangan berpakaian seragam yang bertugas antara jam 12.30 pagi hingga 6.30 pagi. "JPA mengambil serius perkara yang kita bangkitkan dan yakin semuanya akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan," katanya yang menyifatkan pertemuan itu sebagai positif.

Tiada ulasan: