SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

03 Julai 2008

PENYELARASAN COLA DIPERTIMBANGKAN

Petikan dari Berita Harian
Oleh Amin Ridzuan Ishak

3/7/2008

Tuntutan Cuepacs RM500 dibayar untuk penjawat awam tak kira daerah diteliti: KSN KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan secara serius tuntutan Cuepacs, supaya pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) kepada kakitangan awam diselaraskan kepada RM500 sebulan di seluruh negara. Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata beliau akan membawa permohonan kesatuan itu kepada pengetahuan kerajaan, dalam masa terdekat supaya satu kajian khusus mengenainya dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Katanya, kajian itu akan melihat secara mendalam mengenai kesan dan kesesuaian pelaksanaan tuntutan Cuepacs itu untuk jangka masa panjang, baik kepada kerajaan dan kakitangan awam itu sendiri. "Banyak perkara perlu dipertimbangkan, antaranya kemampuan kewangan kerajaan untuk membayar Cola RM500 sebulan di seluruh negara. "Kita kena lihat semua itu terlebih dulu dan tidak boleh dibuat secara serta-merta. Sebaliknya, ia perlu melalui prosedur betul... kajian lengkap yang mengambil kira pelbagai aspek," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs, kelmarin, yang salah satu cadangannya meminta kerajaan menyelaraskan Cola kakitangan awam kepada RM500 sebulan di seluruh negara. Pemberian Cola kepada pekerja perkhidmatan awam pertama kali dilaksanakan pada 2006 sebagai langkah mengurangkan beban pekerja di bandar besar yang menghadapi kenaikan kos sara hidup. Mesyuarat diadakan bertujuan membincangkan pelbagai isu berkaitan cadangan kerajaan membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai kakitangan awam. Kongres itu bagaimanapun menolak cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan dan pengurangan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tujuh peratus.
Isu lain dibincangkan ialah meminta kerajaan mempercepatkan proses penghantaran pulang pekerja asing kerana ia akan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan, selain permit perniagaan kecil untuk kerja sambilan. "Tidak semestinya apa yang mereka minta akan dapat dan saya berharap tidak akan ada sebarang bantahan daripada kakitangan awam sekiranya keputusan dibuat kerajaan berbeza dengan apa yang diharapkan. "Mereka harus sedar yang tidak semua tuntutan boleh dipenuhi kerana kadang kala ada kekangan untuk kita berbuat demikian," katanya. Ditanya bila beliau akan membawa perkara itu kepada pengetahuan kerajaan, Mohd Sidek berkata, beliau akan berbuat demikian sebaik saja menerima permohonan rasmi Cuepacs.

Tiada ulasan: