SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

03 Julai 2008

GAJI SEKALI SEBULAN KEKAL

Petikan dari Berita Harian
Oleh Abdul Razak Raaff
3/7/2008

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan tidak akan melaksanakan pembayaran gaji dua kali sebulan yang sepatutnya bermula bulan depan berikutan bantahan sebahagian besar daripada 1.2 juta kakitangan awam. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju supaya pelaksanaan cadangan itu tidak diteruskan sebaliknya mengekalkan kaedah pembayaran gaji seperti sekarang. "Apabila mereka dan Cuepacs sudah memikirkan tidak perlu gaji dibayar dua kali sebulan, maka kerajaan mengambil keputusan memenuhi kehendak mereka.
"Ini menunjukkan kerajaan dan Perdana Menteri peka dengan kemahuan mereka. Apabila mereka sendiri tidak mahu, buat apa kita teruskan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2007 di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam. Bulan lalu, Perdana Menteri mengumumkan gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan, iaitu pada pertengahan dan hujung bulan, mulai bulan depan bagi membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan penstrukturan semula subsidi minyak. Menerusi kaedah itu, semua potongan seperti cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dilakukan dalam pembayaran gaji pada hujung bulan.
Bagaimanapun, sebahagian besar kakitangan kerajaan dan pelbagai kesatuan dalam perkhidmatan awam termasuk Cuepacs menolak idea itu kerana berpendapat ia akan menyukarkan pengurusan kewangan terutama kepada kakitangan peringkat bawahan. Mengenai cadangan Cuepacs supaya Elaun Sara Hidup (Cola) kakitangan awam diselaraskan kepada RM500 sebulan di seluruh negara, Mohd Sidek berkata, kerajaan perlu mengkajinya dengan teliti kerana ia membabitkan perbelanjaan besar.

Tiada ulasan: