SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 Julai 2008

CUEPACS SYOR PENERIMA BIW TURUT DAPAT COLA

Petikan dari Berita Harian
10/7/2008
Oleh Azrina Ahzan
erinaz273@bharian.com.my

Semua kakitangan awam dibeban kenaikan kos sara hidup PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk turut memberikan Elaun Sara Hidup (Cola) kepada kakitangan sektor awam yang menerima Bayaran Insentif Wilayah (BIW). Presidennya, Omar Osman, berkata pembayaran Cola kepada kakitangan awam terbabit wajar kerana mereka turut menghadapi beban kenaikan kos sara hidup.
Katanya, BIW tidak boleh disamakan dengan Cola kerana ia adalah ganjaran kepada kesanggupan kakitangan awam terbabit berkorban untuk bertugas di Semenanjung, Sabah atau Sarawak. "Cadangan itu pernah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi ditolak dengan alasan kakitangan terbabit sudah menerima BIW. Namun, kita memahami beban yang terpaksa ditanggung kakitangan kerajaan berikutan kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini. "Oleh itu, kita akan mencadangkan supaya kakitangan awam yang menerima BIW turut dibayar Cola," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas permintaan ahli R@kan BH semalam supaya Cuepacs mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan. Pembayaran Cola antara RM50 hingga RM150 mula dilaksanakan pada Januari 2006 membabitkan kakitangan awam dalam Gred 1 hingga 54 bergantung kepada lokasi tempat kerja masing-masing. Bagaimanapun, kakitangan awam yang mendiami kuarters atau menerima elaun wilayah, tidak layak menerima Cola. Namun, pada Bajet 2007, kerajaan mengumumkan mereka yang tinggal di kuarters turut dibayar Cola iaitu pada kadar 50 peratus daripada nilai sebenarnya dan pada Bajet 2008, kerajaan menambah sekali ganda kadar Cola iaitu kepada RM100 hingga RM300 mengikut kawasan bertugas kakitangan awam terbabit.
BIW dibayar kepada pegawai dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di Semenanjung atau sebaliknya berdasarkan peratusan gaji masing-masing dan dikategorikan sebagai bantuan sara hidup. Mengulas lanjut, Omar berkata, Cuepacs menerima banyak panggilan dan SMS daripada kakitangan awam yang meminta mereka turut dibayar Cola bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Mengenai cadangan penyelarasan Cola kepada RM500 sebulan seperti yang dikemukakan Cuepacs baru-baru ini, Omar berkata, beliau percaya kerajaan akan mengumumkannya dalam pembentangan Bajet 2009 pada 29 Ogos nanti.

Tiada ulasan: