SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

24 Julai 2008

CUEPACS TUNTUT HONORARIUM LAGI

Petikan dari Berita Harian
24/7/2008



KUALA LUMPUR: Selepas tuntutan honorarium tahun lalu gagal, Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi akan berbuat demikian, tahun ini. Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini bagi membincangkan jumlah yang ingin diminta daripada kerajaan. “Tahun lalu, kita tak dapat bonus, kita sudah berkorban sebab kerajaan sudah naikkan gaji. Tahun ini saya harap kerajaan pertimbangkan cadangan ini (memberikan honorarium atau bonus) atau setidak-tidaknya memberi bonus,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tahun lalu, Cuepacs menuntut kerajaan memberikan honorarium sebanyak RM2,000 kepada setiap kakitangan kerajaan bagi menggantikan pemberian bonus yang tidak diberikan. Namun, tuntutan itu ditolak berikutan gaji kakitangan sudah dinaikkan antara 7.5 dan 35 peratus berkuat kuasa 1 Julai 2007. Omar berkata, Cuepacs juga berharap kerajaan menyenaraikan tiga lagi permintaan mereka dalam Bajet 2009 yang akan dibentangkan Ogos ini. “Tiga permintaan itu adalah menaikkan Imbuhan Tetap Perumahan daripada RM180 sebulan ke RM230, melantik kira-kira 45,000 kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun ke dalam jawatan tetap dan menyelaraskan elaun kos sara hidup (Cola) kakitangan awam kepada RM500 sebulan di seluruh negara.
“Saya yakin kerajaan akan menyenaraikan tiga permintaan ini kerana sebelum ini saya ada buat perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beliau berjanji akan membentangkan permintaan Cuepacs dalam Bajet 2009,” katanya. Mengulas mengenai permintaan Cuepacs supaya kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun ke dalam jawatan tetap, Omar berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Julai ini.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

adalah diharapkan cuepacs lebih giat lagi berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya bonus bagi kaktangan awam. disamping itu, adalah diharapkan cuepacs dapat meninjau mengenai nasib pegawai & kakitangan yang dahulunya memilih skim epf untuk diberi peluang untuk opt ke skim pencen.ini kerana pelaksanaan opt berkenaan terhadap pegawai/kakitangan amat merugikan dipihak pegawai/kakitangan berkenaan. diharap pihak cuepacs dapat membuat survey bilangan pegawai dan kaktangan yang telah opt ke kwsp dan ingin untuk opt ke pencen.