SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Jun 2009

GAJI BERSIH RM200

Metro
Oleh Nor Azmelia Azahari
am@hmetro.com.my




SEREMBAN: Mengejutkan apabila ada kakitangan awam yang mempunyai beban hutang melampau, memperoleh gaji bulanan bersih hanya RM200 untuk menyara keluarga termasuk persekolahan anak.

Masalah berkenaan kebiasaannya dihadapi kakitangan awam bergaji rendah apabila mereka terjerat dengan hutang ceti haram atau along selain pinjaman bank.

Malah, ada di antara mereka yang terjerumus ke dalam pelaburan skim cepat kaya hingga menjerat diri sendiri dan terpaksa menanggung beban hutang melampau.

Perkara itu didedahkan Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Presidennya, Omar Osman, berkata kakitangan awam dinasihatkan agar menjauhkan diri daripada terjebak hutang along bagi mengelak mengalami pelbagai kesulitan pada masa depan.

“Pihak kami juga akan sentiasa berusaha mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah pekerja sektor awam yang meminjam wang daripada along.

“Kos sara hidup kakitangan awam semakin meningkat akibat meminjam wang daripada along, ditambah pula dengan bebanan hutang yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Risda (KPPR) di Dewan Sri Minang, Pejabat Risda Negeri Sembilan, semalam.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mencari jalan untuk membaiki tahap kebajikan pekerja sektor awam supaya mereka ini tidak terjebak dengan bebanan hutang yang banyak akibat meminjam daripada along.

“Sekarang kita dalam proses permohonan untuk membenarkan mereka mengeluarkan sebanyak 20 peratus daripada gratuiti atau ganjaran perkhidmatan pekerja sektor awam yang sudah berkhidmat selama 20 tahun ke atas.

“Kemudahan ini kita berikan untuk mengelakkan mereka daripada terus meminjam daripada kumpulan along yang secara tidak langsung menjejaskan produktiviti kerja yang sentiasa diganggu,” katanya.

Omar berkata, dengan cara ini, pihaknya dapat menyelesaikan masalah pekerja sektor awam daripada menggunakan perkhidmatan along untuk mendapatkan wang.

“Kebanyakan pekerja menghadapi masalah kewangan apabila hendak menghantar anak, isteri atau diri sendiri untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau menambah baik rumah yang rosak.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kali kedua sebelum menghantar memorandum berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya peluang mengeluarkan gratuiti ini, pekerja sektor awam tidak perlu lagi meminjam daripada along ataupun menyertai skim cepat kaya.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kos sara hidup sekarang tinggi... dengan bebanan tangggungan keluarga, rumah sewa yang mahal... kos untuk menanggung pengajian dan perjalanan sepanjang menghadiri kelas... cukup membebankan.. pendek kata untuk simpanan tiada lagi selepas di tolak pelbagai perbelanjaan wajib...harap cuepacs dapat membantu kami golongan bawahan ini....

Tanpa Nama berkata...

pekerja bawahan x tahu bersyukur.kenaikan gaji dulu dah banyak. macam macam kerajaan dah bagi kepada pekerja bawahan.
tolonglah kawal kewangan anda.
jika gaji rendah..buat buat macam gaji rendah. jangan bernafsu tinggi.
orang pakai vios, pekerja bawahan pun pakai vios..mana nak mampu.
fikirkan lah

Tanpa Nama berkata...

aku sokong pasal kumpulan sokongan yang gaji rendah tapi selera macam pegawai besar, lepas tu komplain gaji tak cukup. aku tengok sendiri kat opis aku dan kebanyakan opis lain yg mana sokongan nak lawan pegawai dari segi penampilan up to date, kereta import. aku sendiri pegawai pakai kereta tempatan.