SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI***

02 Jun 2009

KEPERHATINAN KERAJAAN TERHADAP SOKONGAN 1 & 2

Media Cuepacs
2/6/2009




Saya merasa gembira dan bangga dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri,YAB Dato' Seri Najib Bin Tun Hj Abd Razak berkenaan peluang kenaikan yang akan dinikmati oleh kakitangan awam kumpulan sokongan semasa beliau menghadiri Hari Pekerja anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dan Cuepacs pada 14 Mei yang lalu. Saya gembira kerana Kerajaan menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan kakitangan Kumpulan Sokongan terutama Kumpulan Sokongan 2.Saya bangga kerana saya turut memainkan peranan utama didalam usaha memperjuangkan isu kenaikan pangkat Kumpulan Sokongan terutama Kumpulan Sokongan 2. Dengan pengumuman itu ia telah memberi sinar harapan yang baru dan peransang kami selaku kakitangan Kumpulan Sokongan 2 untuk terus memberikan khidmat yang sebaik mungkin kepada seluruh masyarakat,Insya Allah.

Namun begitu,semenjak dari tarikh pengumuman tersebut hampir 3 minggu yang lalu,isu berkenaan perkara tersebut menjadi tajuk perbualan yang hangat dimana-mana sahaja termasuk didalam akhbar-akhbar harian.Saya ingin berkongsi pandangan dengan seluruh kakitangan awam termasuklah juga Saudara Ridzuan Mahmud dan 2 orang kakitangan awam yang menghantar komen mereka didalam ruangan blog Cuepacs ini.Saya bersetuju dan merasa simpati dengan apa yang diluahkan oleh ketiga-tiga orang kakitangan awam tersebut namun juga saya merasa dukacita dan terkilan dengan komen mereka bertiga terhadap kami kakitangan awam kumpulan sokongan.

Saya adalah seorang Pekerja Awam R1 di Jabatan Kerja Raya Kuala Kangsar.Jawatan yang saya sandang sekarang termasuk didalam kategori Kumpulan Sokongan 2 (Gred 1-16).Saya telah di lantik ke jawatan sekarang pada 2 Mei 1997 dengan gaji asas P1 T3 RM 434.00,ditambah dengan elaun khidmat awam RM65.00 dan Elaun Perumahan RM90.00,saya memperolehi RM589.00. Hasil daripada perjuangan Cuepacs,saya memperolehi pelbagai kenaikan samaada gaji dan elaun dan kini,setelah 12 tahun berkhidmat,saya memperolehi gaji dan elaun RM1782.38.Namun apa yang mendukacitakan ialah,Jabatan Perkhidmatan Awam telah menetapkan Skim Perkhidmatan Pekerja Awam R1 hanya diperuntukkan pergerakan gaji sehingga T14 sahaja bagi setiap baris-baris gaji dari P1 hinggalah P3.Gaji permulaan semasa lantikan pertama telah ditetapkan pada P1T3,ini bermakna setiap penyandang R1 akan kerugian 2 tahun pergerakan gaji.Saya telah mula menerima kesannya sekarang iaitu gaji saya telah mencapai tahap maksimum P3 T14 RM1307.38 pada tahun lepas, sedangkan pada 2 Mei yang lalu saya baru sahaja menyambut ulang tahun ke 12 perkhidmatan saya dalam Kerajaan. Untuk renungan semua,saya akan menempuh selama 22 TAHUN lagi untuk mencapai umur persaraan saya pilihan saya 56 tahun iaitu pada 2031.Cuba saudara-saudara fikirkan,adakah cukup RM1782.38 untuk saya menyara keluarga saya untuk tempoh 22 tahun akan datang?Jumlah gaji yang saya jumlahkan tersebut setelah ditambah Elaun Rumah,Elaun Khidmat Awam dan Cola berjumlah RM455.00. Andaikata Kerajaan menarik balik pemberian elaun-elaun tersebut, berapa yang tinggal? Jumlah tersebut belum ditolak pembayaran balik pinjaman perumahan,koperasi dan caruman-caruman lain.Saya merasa begitu dukacita apabila Saudara Ridzuan Mahmud mempertikaikan dan mengungkit-ungkit pemberian kenaikan gaji 35% pada tahun 2007 kepada kaiktangan sokongan 2 oleh Kerajaan seolah-olah jumlah yang kami terima itu menjangkau ribuan ringgit.
Untuk makluman semua, semasa pemberian kenaikan gaji 35% untuk Kumpulan sokongan 2 pada 2007, saya hanya memperolehi RM338.90 berdasarkan jumlah gaji asal saya sebelum kenaikan iaitu P3T14 RM968.48. Walaupun jumlah tersebut tidaklah terlalu besar namun saya amat bersyukur kehadrat ilahi dan amat berterima kasih kepada Cuepacs yang tidak kenal erti penat dan jemu memperjuangkan nasib anggota sektor awam.

Untuk makluman Saudara Ridzuan Mahmud dan kepada seluruh kakitangan awam,masih ada kakitangan kumpulan Sokongan 2 yang syarat kelayakan masuk untuk jawatan yang dipohon masih menggunakan kelulusan tamat darjah 6,bunyinya macam pelik bukan?Tetapi itulah hakikatnya.Negara telah mencapai Kemerdekaan hampir 52 tahun yang lalu,telah banyak kemajuan yang dicapai,pembangunan semakin pesat,tahap pendidikan negara semakin pesat dengan wujudnya pelbagai IPTA dan IPTS ibarat Tumbuhnya Cendawan selepas Hujan,namun bagi sesetengah jawatan didalam Kumpulan Sokongan 2 seperti Pekerja Awam R1,Pemandu Kenderaan R3,Jaga R1,Pekerja Awam Khas R3 masih menggunakan kelulusan Tamat Darjah Enam sebagai syarat kelayakan masuk sebagaimana yang telah ditetapkan olah Jabatan Perkhidmatan Awam.Gaji kami juga dibayar berdasarkan kelulusan tersebut.Disini saya ingin bertanya kepada Ridzuan Mahmud dan kepada semua yang memepertikaikan apa yang Cuepacs perjuangkan untuk kami,adilkah kami dilayan sebegitu? Mungkin Ridzuan Mahmud akan beranggapan selayaknya kami dibayar gaji berdasarkan kelulusan Tamat Darjah Enam kerana kelayakan kami hanya setakat itu.Pendapat itu mungkin betul sekiranya penjawat-penjawat jawatan yang saya sebutkan tadi menyertai Perkhidmatan Awam pada tahun 60'an,70'an atau 80'an,namun saya ingin menyatakan disini tidak semua kakitangan sokongan 2 yang mempunyai kelulusan setakat Darjah Enam,tetapi ada yang mempunyai kelayakan lebih tinggi seperti SRP/PMR,SPM malah ada Pekerja Awam di jabatan saya mempunyai kelulusan STPM.Saya sendiri mempunyai kelulusan SPM dengan kepujian Bahasa Malaysia.Saya telah mencuba memohon pelbagai jawatan dengan kelayakan akademik yang saya miliki seperti Pembantu Tadbir N17,Penyelia Asrama N17 dan beberapa jawatan lagi namun sehingga hari ini,Allah Subhanahu Wataala masih mentakdirkan keatas diri saya rezeki saya adalah Pekerja Awam R1.Saya rela dan saya redha apa yang telah ditakdirkan oleh ilahi.Namun Tuhan telah mentakdirkan isteri saya juga akhirnya menjadi seorang kakitangan awam didalam Kumpulan Sokongan 1 di sebuah Jabatan Kerajaan di Kuala Kangsar.

Di era globalisasi ini,kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh terlalu memilih kerjaya.Kelayakan akademik yang dimiliki oleh seseorang individu itu bukanlah penentu kepada kerjaya yang diceburinya.Walaupun seseorang itu graduan IPTA atau IPTS,janganlah terlalu mengimpikan kerjaya yang selesa.Saya ingin menasihatkan kepada Ridzuan Mahmud dan kepada sesiapa yang mempertikaikan apa yang Cuepacs perjuangkan untuk Kumpulan Sokongan ,kami juga kakitangan Kerajaan yang menabur bakti kepada seluruh masyarakat.Kamilah yang membuat kerja menurap jalan,mengangkat sampah,mencuci longkang,memadamkan kebakaran,memperbaiki paip air pecah,memandu ambulan membawa pesakit ke hospital dan pelbagai bidang tugas lagi yang tidak termampu untuk saya catitkan satu persatu.Kami bertugas tak kira siang atau malam,panas atau pun hujan.Saudara Ridzuan Mahmud dikira beruntung kerana mendapat suasana bekerja yang agak selesa sedangkan saya terpaksa menahan panahan cahaya mentari setiap hari dan hujan.Dan inilah yang terpaksa saya tempuhi untuk tempoh 22 tahun yang mendatang. Kami juga manusia yang memerlukan makanan,pakaian dan tempat tinggal dan kami juga memepunyai tanggungjawab menyara keluarga.Cuba Saudara Ridzuan Mahmud fikirkan nasib Anggota Kumpulan Sokongan 2 yang hanya mendapat pendapatan seperti saya tetapi bertugas dibandar-bandar besar terutamanya Lembah Kelang.Andaikata Saudara Ridzuan Mahmud mengalami sendiri apa yang kami alami barulah saudara tahu bagaimana tinggi rendahnya langit itu.

Saya yakin saudara Ridzuan Mahmud tidak menjadi ahli Kesatuan ditempat beliau bertugas.Sekiranya beliau menjadi ahli Kesatuan,beliau pasti akan faham apa itu perjuangan Kesatuan Sekerja dan tidak sewenang-wenangnya beliau memberikan komen yang negatif dan memperlecehkan apa yang diperjuangkan oleh Cuepacs.Saya ingin menasihatkan kepada diri saya,dan seluruh kakitangan awam yang beragama Islam,terutama Saudara Ridzuan Mahmud iaitu menuntut ilmu adalah sesuatu yang wajib didalam Islam.Rasullulah S.A.W pernah bersabda maksudnya "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas Muslimin dan Muslimin".Jadi tidak timbul isu menuntut ilmu kerana mengimpikan jawatan yang lebih baik berdasarkan kelayakan didalam Sektor Awam.Kita sebagai seorang Islam mestilah redha dan bersyukur diatas apa yang telah dikurniakan oleh Ilahi kepada kita.Jangan hanya berterima kasih kepada Kerajaan tetapi berilah juga penghargaan kepada Cuepacs yang telah banyak menabur bakti kepada seluruh kakitangan awam tanpa mengira seseorang kakitangan awam itu menjadi ahli atau tidak menjadi ahli kesatuan sekerja.Bagi kakitangan Awam yang membaca komen saya ini,sekiranya anda seorang Kakitangan Awam Kumpulan Sokongan yang layak menjadi ahli Kesatuan,segeralah berjumpa pemimpin-pemimpin Kesatuan sekerja dijabatan masing-masing,isilah borang menjadi ahli dan barulah anda layak menikmati apa yang kami perjuangkan.Jangan hanya menumpang atas hasil usaha penat lelah ahli-ahli Kesatuan di seluruh Negara sedangkan anda hanya berpeluk tubuh memerhatikan apa yang Cuepacs perjuangkan.

Izham Ku Zaifah,
Kuala Kangsar.

11 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SOKONG 100 %....hidup Union...

Tanpa Nama berkata...

sokong jugak 110%..kadang2 hidup nie kita perlu sentiasa sabar dan bersyukur....perjuangan tu ada tapi mungkin ia mengambil masa untuk ditegakkan...hidup UNION....Bila memandang bintang di langit jangan lupakan rumput di daratan

Tanpa Nama berkata...

saya rasa kerajaan sendiri pun patut prihatin akan nasib pekerja awam ini. bukan setakat ambil tindakan hanya kerana desakan cuepacs. bagi saya apa saja yang relevant dengan nasib pekerja awam yang difikirkan perlu kepada perubahan atau penambahbaikan, kerajaan perlu buat atau semak atau upgrade atau ubah...bukan setakat atau berdasarkan makluman atau desakan dari cuepacs semata-mata. itu baru dikatakan kerajaan perihatin..rakyat diutamakan..pencapaian diutamakan..

contohnya, bila PM najib kata "cuba lihat treck rekod saya semasa saya di kementerian pelajaran/pertahanan..cikgu, askar naik gaji.. (semasa nak umum naik gred bagi kakitangan awam yg berkhidmat 15 tahun ke atas). ini baru nama prihatin..

jika kerajaan hanya tunggu maklum balas dari cuepacs...lambat la perubahan positif akan berlaku dalam perkhidmatan awam..

bukan bermakna cuepacs tidak membuat kerja..tetapi bukan semua perkara cuepacs mampu minta daripada kerajaan dalam satu-satu masa..kerajaan mesti tidak layan punya..

oleh itu, bagi melihat keadilan ditegakkan dalam perkhidmatan awam, kerajaan kita sendiri perlu mengkaji dan memperbaharui struktur gred atau jawatan digunapakai sekarang yang mungkin sudah tidak sesuai lagi pada era milinium ini atau memberi inisiatif tertentu kepada mereka yang sudah lama berkhidmat tetapi 'kurang dihargai atau tidak dihargai' oleh organisasi tempat mereka bekerja.

semua ini akan menjadi lebih indah dalam sektor awam jika pihak kerajaan dan cuepacs peka dengan semua masalah seperti diatas.

terima kasih.

Tanpa Nama berkata...

pekerja sokongan..rasanya hendak gaji macam pegawai siswazah kot baru puaz hati..

gaji berdasarkan kelayakan akademik. kalau tidak..gagal spm pun boleh dapat gaji mcm siswazah..
susahlah mcm ni.
kpd pekerja sokongan..jgn terlalu meminta...nak apa lg..

Tanpa Nama berkata...

HOI !!

reti baca kah?

Sapa yg meminta -minta?

Kalau bukan golongan guru aja asyik menyalak siang malam,sana sini..

waktu golongan sokongan dpt sesuatu yg tak seberapa lagi hebat salakan golongan guru ini..

Selama ini siapa yg selalu meminta-minta?Siapa yg yg asyik dicerita tak puas hati sana sini kat media massa,surat khabar,tv malah d parlimen asyik hal guru aja di bincang..

Jadi cakap biar baik2 jangan asyik nak dengki aja..patut lah bangsa tak pandai nak maju-maju hingga sekarang

Tanpa Nama berkata...

saya rasa...kumpulan sokongan kena bersyukur dengan apa yang ada. rasa nya mereka akan senyap bila gaji sama dengan pegawai???

kenaikan gaji dulu telah menyebabkan jurang perbezaan gaji antara siswazah dan staf sokongan tidak jauh beza...

adil ke..

Tanpa Nama berkata...

fikirkan betul-betul.

kalau si pekerja kumpulan sokongan, katakanlah dia bekerja sebagai Pembantu Am, gaji dia N1, RM700.00 sebulan, tapi si dia ni ada kelulusan Ijazah setelah belajar secara PLK atau E-PJJ dan sebagainya. menghabiskan masa bertahun-tahun dan wang ringgit pegi belajar. namun, bila dah ada ijazah, jawatan duduk kat situ juga dan gred gaji pun sama.

bukan nak dengki, tapi cara pelaksanaan kenaikan pangkat/gred yg dilakukan oleh kerajaan kita ni saya rasa dah ketinggalan zaman. bukan tak bersyukur, tapi logik dalam mengambil tindakan bagi sesuatu kenaikan itu biarlah wajar dan adil.

contohnya, jika si pembantu am tadi ada ijazah, pihak jabatan (dibenarkan oleh kerajaan la) boleh hantar laporan tersebut kepada pihak JPA untuk perubahan gred gaji bagi pembantu am tadi setaraf dengan kelulusan yg dia ada biar pun masih pegang jawatan yg sama.

bagaimanapun, jika ada peluang kenaikan pangkat di tempat/jabatan tersebut, pihak jabatan sepatutnya memberi keutamaan kepada staf tadi yg juga mempunyai kelayakan, contoh saja...ataupun dengan cara yg lain.

tak payah dengki kat kumpulan sokongan...kumpulan yg mana stafnya tak pernah usik atau bagi sebarang idea untuk membela nasib mereka melainkan bergantung sepenuhnya kepada kebijaksaan cuepacs semata-mata atau ihsan kerajaan semata-mata, bukan ada kenaiklan automatik macam guru, pensyarah dan sebagainya iaitu mereka ada time-based dan pelbagai keistimewaan lagi untuk 'naik gred dan gaji'.

kerajaan kita pula hanya pandai memberi amaran saja kepada kumpulan sokongan supaya begitu dan begini...

jadi kumpulan guru dan pegawai atasan janganlah dengki sangat kat kami golongan bawahan ini yg kuat bekerja serta menuntut ilmu..

jangan marah...

Tanpa Nama berkata...

hairan..
kenapa asyik guru saja dipersalahkan bila staf sokongan x dapat apa yang dikehendaki..

kepada staf sokongan...jangan asyik menyalahkan guru saja,

Tanpa Nama berkata...

Manusia ini walau diberi banyak mana pun rezeki tak akan cukup. Itu lumrah manusia.

Pada kakitangan kerajaan, bandingkanlah gaji anda dgn sektor swasta, anda telah banyak terima perubahan positif yg diberi pada 2-3 thn kebelakangan ini. Kakitangan swasta gaji ditolak lg dgn KWSP. Tekanan kerja untuk mencapai KPI. Sesungguhnya anda golongan yg amat bertuah.

Kalau anda kini dah ada kelulusan yg melebihi tahap kerja anda dan nak minta kenaikan gaji sedangkan masih melakukan kerja yg lama, ubahlah pemikiran anda. Pemikiran anda tidak berkembang selaras dgn perkembangan sijil anda. Cubalah bygkan anda ini majikan, sanggupkah anda memberi kenaikan gaji hanya kerana kerani anda kini telah ada Degree? Baik ambil pekerja lain, kos lebih murah, kualiti kerja pun sama sbb kerja tu tak perlu pemikiran ke tahap Degree.

Wallahualam.

Tanpa Nama berkata...

anda tidak perlu jumud dalam memberi dan mengupas idea.

jika pembantu am yg asalnya hanya berkelulusan sijil darjah 6 tetapi atas kegigihan beliau berusaha...dapat pula ijazah sarjana muda..malah ada yg terus belajar hingga mendapat master..tak bolehkah kerajaan pertimbangkan sesuatu untuk mereka ini..
jangan emosi sangat..kami tak minta pun duit gaji kumpulan pegawai atau guru ini dipotong dan diberikan kepada kami..

kami hanya minta kerajaan pertimbangkan dan memberi pembelaan kepada golongan bawahan macam kami ni tetapi tahap 'kualiti bekerja dan berfikir' sama atau lebih daripada pegawai yg ada...

hehehe...jangan mare...

kerajaan dan cuepacs jangan jumud sangat...jangan terikut2 rentak tari golongan pegawai kumpulan A ini...hehehhe...mereka jealous la tu...

ya la..dulu kuli mereka di pejabat..tup..tup...gaji dah nak sama dengan mereka sendiri kuli ni...

nak jealous apa..kalau kuli rajin berusaha..relax la...

Tanpa Nama berkata...

Memang nak minta kenaikan gaji la,skg ne banyak kakitangan atasan merungut kerana banyak kerja lah,itulahhh inilah.macam2 sangat,hingga golongan bawahan la pula yg diarahkan tugas kakitangan A ini,jd apa salahnya golongan bawahan meminta untuk kenaikan gaji lagi..tugas korang dikurangkan gaji golongan bawahan dinaikkan.tolonglah jangan memandang sangat taraf pendidikan dan kedudukan anda sekarang,bukalah hati,minda dan jiwa anda,kita semua sama sahaja insan yang mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.sokonglah apa saja penambahbaikan yg ceupacs berikan kpd stp anggota kakitangan awam tak kira gred tinggi ke rendah.lembutkanlah hati dan jiwa anda yg keras itu saudara saudari.jgn pandang kami golongan bawahan ini seperti anjing yang tidak berguna..