SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

15 Jun 2009

KESATUAN GURU BANTAH

Berita Harian
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
15/6/2009





NUTP tak setuju lanjut Kursus Perguruan Lepasan Ijazah 18 bulan KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah cadangan Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) daripada setahun kepada 18 bulan. Presidennya, Hashim Adnan, berkata tempoh setahun sudah memadai kerana pelatih terbabit sebelum ini sudah menghabiskan masa empat tahun di universiti. "Jika kita fikir secara logik mereka sudah belajar bertahun-tahun di universiti. Kalau dicampur dengan tempoh belajar pada peringkat KPLI jika ia dilanjutkan, hampir enam tahun baru mereka dapat merasa gaji," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datuk Misrah Ibrahim, berkata pihaknya kini pada peringkat akhir memuktamadkan kertas kerja mengenai cadangan itu dan paling awal ia akan dilaksanakan pada pengambilan Januari depan. Misrah berkata, keputusan itu diambil berikutan desakan pelbagai pihak yang mendakwa tempoh setahun sekarang kurang berkesan dalam melahirkan guru berkualiti. Hashim sebaliknya mencadangkan supaya tempoh latihan praktikal dilanjutkan, berbanding tiga bulan sekarang.
Beliau juga mencadangkan sistem pengambilan ke KPLI diperkemaskan bagi memastikan pelajar betul-betul berminat untuk menjadi guru. "Saya mencadangkan supaya kementerian mengadakan minggu suai kenal selama dua minggu bagi memberi ruang kepada pelajar untuk menarik diri daripada menyertai KPLI jika merasakan tidak sesuai untuk berkhidmat sebagai guru. "Sistem ini diguna pakai bagi pengambilan kadet anggota tentera dan polis. Jika yang terpilih semuanya terhadap profesion keguruan, maka kerajaan tidak akan rugi dan mereka pun cepat dapat berkhidmat," katanya. Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob, juga berpendapat bahawa tempoh setahun pengajian KPLI sudah memadai.
Aminah bersetuju jika tempoh praktikal pelajar KPLI dilanjutkan bagi memberi pendedahan sewajarnya kepada bakal guru. "Apa yang penting adalah kandungan dan penyampaian pedagogi dengan sempurna, pembelajaran secara mikro serta latihan tiga bulan di sekolah dapat membantu mereka menjadi guru yang berkualiti," katanya.

Tiada ulasan: