SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

15 Jun 2009

PETRONAS BANTU JAYA KEMPEN 3K

Utusan Malaysia
15/6/2009

KUALA LUMPUR 14 Jun - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini secara rasmi menjadi rakan strategik korporat pertama Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dalam menjayakan Kempen Konsumer Kebangsaan (3K).
Syarikat tersebut akan membantu kempen tersebut yang bertemakan Perubahan Bermula Dengan Saya untuk tempoh selama dua tahun.
Naib Presiden Bahagian Khidmat Korporat Petronas, Ahmad Nizam Salleh memberitahu, sebagai sebuah syarikat yang berperanan penting dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan negara, Petronas terpanggil untuk mengambil bahagian bagi sama-sama menjayakan 3K.
Dalam hal ini, katanya, Petronas mahu melanjutkan usaha pendidikannya yang selama ini tertumpu di sekolah dan institusi pendidikan kepada aspek kepenggunaan melibatkan segenap lapisan masyarakat.
"Pendekatan yang paling berkesan untuk menangani krisis ekonomi ialah dengan mengubah cara pemikiran kita sebagai pengguna, agar kita mampu membuat keputusan hasil pengetahuan dan pertimbangan yang wajar.
"Ini selaras dengan matlamat 3K untuk mendidik pengguna menguruskan kewangan ketika berdepan kegawatan ekonomi global," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Pelancaran Kolaborasi Petronas Dalam Program 3K di Dewan Kuliah 3, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) di sini semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Awam Petronas, Rosli Rahim; Presiden FOMCA, Datuk N. Marimuthu; Timbalan Presiden 2 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Hussain Mohd. Yasin dan Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Faridah Khalid.
Sebelum penyertaan Petronas hari ini, tiga rakan strategik FOMCA sebelum ini ialah Majlis Belia Malaysia (MBM), NCWO dan CUEPACS.
Menurut Ahmad Nizam, sebagai syarikat yang berkecimpung dalam industri minyak dan gas, Petronas sendiri melaksanakan beberapa langkah dalam menangani kesan-kesan daripada kegawatan ekonomi global.
"Kita tidak terkecuali daripada melaksanakan beberapa langkah menjimatkan kos perbelanjaan dan guna tenaga di setiap aspek operasi.
"Antara lain Petronas telah melaksanakan ke tahap optimum penggunaan lampu jimat tenaga dan menaikkan suhu pendingin hawa di bangunan Menara Berkembar Petronas," katanya.
Selain itu, tambah Ahmad Nizam, kakitangan Petronas juga diminta menggunakan khidmat penerbangan tambang rendah untuk sebarang urusan rasmi syarikat.
"Usaha ini bukan saja bertujuan menjimatkan perbelanjaan malah memastikan kelestarian penggunaan sumber tenaga asli yang terhad," ujarnya.
Terdahulu, Marimuthu dalam ucapannya berkata, program 3K menyasarkan para pengguna di seluruh negara dengan visi memperkasakan mereka untuk menggunakan hak mencapai keadilan sosial, ekonomi dan gaya hidup yang mampan.

Tiada ulasan: